Artikel Popular

Thursday, January 31, 2013

Kalau Ingin Kurangkan Berat Badan, Jangan Makan Lewat

KHAMIS,  31 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Untuk mengurangkan berat badan, orang selalunya memberikan tumpuan terhadap makanan yang mereka makan.  Mereka seboleh-bolehnya mengelak daripada makanan yang berlemak, manis, dan makanan segera. 

Namun, dapatan terbaharu, seperti yang dipetik oleh The Independent dan Time,  berat badan bukannya berpunca daripada apa yang seseorang itu makan, tetapi bilakah dia makan. Ahli sains yang mengkaji masa makan mendapati bahawa orang yang makan lewat pada hari itu kurang kehilangan berat badan jika dibandingkan dengan mereka yang makan lebih awal.  Bahkan, jika mereka menggunakan jumlah kalori yang sama dan memperkembang tenaga yang sama, mereka yang makan tengah hari lewat dapat mengurangkan sedikit sahaja berat badan jika dibandingkan dengan mereka yang makan tengah hari lebih awal.

Dalam masyarakat kita, memang kita tidak digalakkan makan lewat malam.  Namun, jika berkunjung ke restoran makanan segera yang dibuka 24 jam, biasanya kelihatan banyak pengunjung.


Bahasa Inggeris Tidak Dipandang Orang

KHAMIS, 31 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hampir seorang dalam 10 orang, menurut banci yang dipetik oleh The Independent, bertutur bukannya dalam bahasa Inggeris atau Welsh, dengan 546,000 orang bertutur dalam bahasa Poland sebagai bahasa utama, mencerminkan lebih setengah juta orang Poland berhijrah ke England dan Wales pada dekad lalu. 

Daripada empat juta penduduk England dan Wales yang bertutur bahasa utama selain bahasa Inggeris, 1.7 juta memberitahu bahawa mereka dapat bertutur dalam bahasa Inggeris dengan sangat baik, 726,000 orang dapat bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi tidak begitu baik, dan 138,000 orang tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris sama sekali.

London dilaporkan mempunyai kadar yang lebih tinggi, iaitu pada 22 peratus orang yang memberitahu bahawa bahasa Inggeris bukan bahasa utama mereka, dengan North East mempunyai peratusan paling rendah dalam kategori ini, pada tiga peratus.

Wujud 20 bahasa yang dituturkan   di United Kingdom (selain bahasa Inggeris di England dan Welsh di Wales),  antaranya Poland, Punjabi, Urdu, Bengali, Gujarat, Arab, Perancis, Cina (tidak termasuk Mandarin dan Kantonis), Portugis, Sepanyol, Tamil, dan Turki.



Orang Sakit Eropah

KHAMIS,  31 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Krisis ekonomi semasa, seperti yang sering diperkatakan ialah buatan  Amerika Syarikat, tetapi Eropah merupakan  rantau yang tidak henti-henti terpaksa bergelut dengan krisis ini.   Eropah   seakan-akan menjadi medan serangan  wabak penyakit yang sukar dibendung. Ada yang merasakan diri mereka  dirasuk oleh pesimisme Eropah dan zon euro dalam bahaya maut. Euro untuk awal abad ke-21, bagi sesetengah penganalisis “adalah seperti Liga Bangsa-Bangsa untuk awal abad ke-20, iaitu idea yang amat bagus, tetapi akhirnya berkubur.”  Jika euro gagal, nescaya Eropah gagal – demikian bayang-bayang mengerikan sedang  menghantui benua itu.
Sepanjang tahun lalu,  Eropah  terkenal  dengan akronim yang  jijik:    PIGS (Portugal, Italy, Greece, dan Sepanyol); PIIGS  yang merujuk lima negara zon euro yang dianggap lemah dari segi ekonomi berikutan krisis kewangan (Portugal, Italy, Ireland, Greece, dan Sepanyol); dan    bagi orang yang suka melawak di Britain, muncul pula  STUPID (lima daripadanya ialah negara Eropah, iaitu Sepanyol, Turki, United Kingdom, Portugal, dan  Italy, manakala    sebuah lagi   Dubai). 
Tidak memadai dengan semua akronomi tersebut, beberapa negara Eropah  yang dikenali   dengan    panggilan yang digunakan untuk menggambarkan   kesukaran ekonomi atau kemiskinan: orang sakit Eropah.   Dari segi sejarah,  Turki mendahului senarai, kemudian disusuli oleh negara lain, seperti    Greece, Jerman, Ireland, Italy, Perancis, Portugal,  United Kingdom,  Rusia, dan beberapa buah  negara Eropah Timur. Akibat  krisis ekonomi  semasa, orang sakit  Eropah dalam  senarai yang panjang,  antaranya Greece,  Italy, dan Britain.
Selepas berdekad-dekad mengatasi ekonomi benua Eropah,   Britain   tidak dapat mengelakkan dirinya daripada menjadi orang sakit Eropah.  Lebih setahun lalu,  negara    menderita pada kedudukan  bawah dalam jadual liga pertumbuhan Eropah.  Daripada lima ekonomi terbesar di Eropah, hanya Britain dan Sepanyol pada masa itu  yang masih bergelut dengan kemelesetan.
Pada April tahun 2010,    Latvia diisytiharkan “daripada Harimau Baltic kepada orang sakit Eropah.”   Selepas melepaskan diri daripada belenggu Soviet kira-kira dua dekad, Latvia mengalami ledakan ekonomi yang luar biasa, tetapi  telah berakhir.   Dengan  pengangguran  mencecah 23 peratus,  maka dikatakan  babi kapitalis  (capitalist pig) kembali semula.  Latvia yang memohon pakej penyelamat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah bernilai 7.5 bilion euro dijangkakan akan jatuh muflis jika tanpa bantuan itu.
 Seterusnya, pada akhir tahun lalu, giliran   Ireland: Harimau Celtic menjadi orang sakit Eropah.  Hanya beberapa tahun lalu, Ireland merupakan salah sebuah negara yang memiliki kisah  kejayaan ekonomi yang paling nyata hingga menyebabkan rasa iri hati Eropah.  Apabila Ireland menggayakan dirinya Harimau Celtic, negara itu melakukannya dengan penuh kebanggaan.  Akan tetapi, kisah kejayaan itu tiada lagi untuk dikongsikan, digantikan pula oleh kedukaan  yang cukup dalam.  Masa depan ekonomi pada umumnya kelihatan tidak selamat lagi.  Tahun indah telah  berlalu, dan kemewahan dijangkakan  memerlukan masa yang lama untuk kembali semula ke Ireland.  Negara itu  dikatakan kini di ambang maut.
Ireland yang bertindak lebih awal selari dengan kehendak Kesatuan Eropah,  dan mempunyai kadar pertukaran tetap, kini menempah bahaya, ekonominya menguncup. Ireland kini memasuki tahun ketiga jimat cermat, tetapi keyakinan terus pudar. Sebaliknya, para pelabur menyedari bahawa semua langkah jimat cermat adalah menekan ekonomi negara itu. Sementara warga biasa Ireland bukan sahaja terpaksa menanggung hutang yang besar akibat kegagalan bank, bahkan juga mereka terpaksa menanggung penderitaan  akibat kejatuhan pendapatan dan pengangguran yang tinggi.  Krisis hutang negara itu yang memerlukan pelan penyelamat AS$100 bilion, memaksa runtuhnya kerajaan.    
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)  dan Kesatuan Eropah pada bulan Mei lalu,  fikir mereka telah menyelesaikan kesusahan kewangan Eropah.  Mereka dengan teliti menyediakan pelan penyelamat AS$150 bilion untuk Greece, sebahagian AS$1 trilion dana penyelamat untuk negara yang mudah terdedah pada bahaya yang menggunakan mata wang euro.  Tulis editorial The New York Times, “Greece, Ireland, and Then?” seakan-akan mengeluh panjang terhadap satu demi satu krisis melanda Eropah.   “Enam bulan kemudian, Greece masih terhuyung-hayang, dan krisis kewangan Ireland menunjukkan bahawa langkah pencegahan mereka tidak meyakinkan dan tidak berkesan seperti yang mereka fikirkan.” 
 Krisis Greece  membarah dan merebak.  Apabila pihak berkuasa akhirnya bertindak bersama-sama, mereka terpaksa menawarkan pakej  penyelamat yang lebih besar daripada yang diperlukan jika mereka bertindak lebih awal.  Sementara itu, krisis merebak ke negara defisit lain, dan dalam usaha untuk menenteramkan pasaran, pihak berkuasa berasa berkewajipan untuk sama-sama menyediakan 750 bilion euro dalam Dana Penstabilan Kewangan Eropah, dengan 500 bilion euro daripada negara anggota dan 250 bilion euro daripada IMF.  Namun begitu, menurut pemerhatian,  “pasaran tidak reda kerana lembaran terma, misalnya syarat yang dana itu beroperasi, adalah ditentukan oleh Jerman.” 
“Euro dalam situasi  ‘serius yang luar biasa’.”  Kata Canselor  Angela Merkel ketika  Ireland perlu diselamatkan, manakala beberapa buah negara mungkin dalam senarai, antaranya Sepanyol dan Portugal.  “Saya tidak melukis gambar yang dramatik, tetapi hanya mahu berkata bahawa setahun lalu kita tidak boleh membayangkan debat yang kita perlu bangkitkan dan langkah yang kita perlu ambil terhadap Greece.”   Baru-baru ini,  dalam usaha untuk menenangkan pasaran dan meyakinkan masa hadapan kesatuan monetari 16 buah negara,  beliau berkata, “Tiada sebuah negara pun di Eropah akan dibiarkan keseorangan,  tiada sebuah  negara pun di Eropah akan ditinggalkan.”
Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz dilaporkan memberikan amaran pada awal Oktober lalu bahawa masa hadapan euro “kelihatan suram” dan pemulihan ekonomi Eropah yang rapuh boleh membawa kerosakan yang tidak boleh dibaiki lagi oleh “gelombang jimat cermat” yang melanda seluruh benua itu.    Beliau juga melahirkan ketakutan bahawa kerajaan di seluruh dunia akan mencuba untuk memotong defisit terlalu cepat dan risiko kemelesetan curam berganda. 
Sementara   Nouriel Roubini, Profesor dari New York University, dalam wawancara dengan akhbar Diario Economico,   menjangkakan kemungkinan besar Portugal perlu diselamatkan.  Beliau tidak teragak-agak mencadangkan negara itu memohon bantuan kewangan daripada IMF.  Walau bagaimanapun, beliau mempertahankan pelaksanaan langkah jimat cermat  di Eropah kerana tanpanya benua itu akan ditimpa bencana. 
Selepas Greece dan Ireland, Portugal dilihat sebagai sebuah ekonomi yang lemah dalam zon euro, dilumpuhkan oleh daya saing rendah dan defisit belanjawan yang besar.  Untuk meredakan kebimbangan pasaran, parlimen Portugal baru-baru ini meluluskan pakej jimat cermat kedua yang disediakan untuk mewujudkan simpanan tambahan pada tahun 2011 kira-kira AS$6.85 bilion, dengan campuran pemotongan upah sektor awam, menaikkan cukai, dan membekukan kadar pencen. 
Banyak kesukaran  dikatakan   bermula di negara pinggir zon euro, iaitu Greece, Sepanyol, Portugal, dan Ireland yang kesemuanya terjebak dalam kemelesetan pada tahun 2008 – 2009 akibat krisis global.  Meskipun  hampir-hampir dapat mengelakkan daripada  bencana, tetapi sebelum negara berkenaan pulih sepenuhnya, Greece, Sepanyol, dan Portugal dipaksa oleh Kesatuan Eropah supaya memotong perbelanjaan awam, mengurangkan guna tenaga awam, dan melakukan liberalisasi pasaran yang seterusnya.
Terperangkap dalam zon euro. Demikian pandangan  tentang  Ireland, Greece, Portugal, dan Sepanyol, yang kemungkiran terhadap hutang mereka tidak lagi mustahil.  Hanya orang yang benar-benar berani akan bersikap optimistik tentang masa hadapan zon euro.  Jimat cermat dikatakan tersebar luas dan wujud risiko kebekuan jangka panjang dengan kadar pengangguran yang tinggi merentas Eropah. Selain itu, ketegangan sosial menjadi-jadi dan perpecahan dalam kalangan negara anggota kemungkinan semakin melebar.  Pada awal Oktober lalu menyaksikan perarakan dan mogok yang dianjurkan oleh kesatuan sekerja merentas benua itu. 
Hingga pertengahan Disember,  krisis kewangan Eropah terus membara, dengan rusuhan tercetus di Greece sebagai protes terhadap langkah jimat cermat, isyarat baru kesukaran di Sepanyol, dan tidak banyak petunjuk bahawa para pemimpin Eropah bergerak sederap untuk mencapai persetujuan tentang pendekatan sistematik untuk kestabilan jangka panjang.  Italy  berhadapan dengan krisis keyakinan, meskipun Perdana Menteri  Silvio Berlusconi  berjaya melepasi undi tidak percaya di parlimen.  Sementara  agensi penarafan Standard & Poor’s mengeluarkan amaran bahawa agensi itu boleh mengurangkan tinjauan terhadap penarafan kredit  Belgium  kerana ketidakpastian politik di negara yang dibebani oleh hutang yang berat.
Meskipun Moody’s Investors Service  tidak menjangkakan Sepanyol mengikuti jejak Greece dan Ireland untuk memohon  pelan penyelamat daripada rakan-rakannya di Eropah, tetapi negara itu menunjukkan kos peminjaman meningkat kerana defisit belanjawan yang tinggi, bank-bank yang goyah, dan ekonomi yang lemah.   Ireland, Greece, dan Portugal dipercayai tidak banyak membawa kerosakan terhadap prospek Eropah, sebaliknya kebimbangan lebih tertumpu pada Sepanyol.  “Gajah besar dalam bilik,” kata Nouriel Roubini,  “bukannya Portugal, tetapi pastinya Sepanyol.  Tidak cukup wang rasmi untuk menyelamatkan Sepanyol jika negara itu dalam kesusahan.”
Yang jelas tentang Sepanyol dari perspektif Amerika, tulis Paul  Krugman dalam The New York Times pada akhir November,  banyak cerita ekonomi negara itu menyerupai Amerika:   gelembung hartanah yang amat besar, disusuli oleh peningkatan yang amat besar dalam hutang sektor swasta.  Seperti Amerika, Sepanyol terjebak dalam kemelesetan apabila gelembung meledak, dan mengalami peningkatan dalam pengangguran.  “Akan tetapi, tidak seperti Amerika,” Krugman mengingatkan, “Sepanyol adalah di  tubir  krisis hutang.  Negara itu  dilihat kos peminjaman meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mencerminkan ketakutan yang menjadi-jadi kemungkinan berlakunya kemungkiran pada masa hadapan.”  Punca segala masalah Sepanyol,  menurut  pemerhatian  Krugman, ialah euro.  Jika negara itu mempunyai mata wangnya sendiri, seperti Amerika atau Britain, Sepanyol boleh membiarkan nilai mata wangnya jatuh, menjadikan industri berdaya saing semula.  “Oleh itu, Sepanyol dalam  hubungan  ini banduan euro, terumbang-ambing tanpa opsyen yang baik.”   
Zon euro dikatakan    dikuasai oleh hanya beberapa negara teras, iaitu Jerman, Perancis, Belanda, dan Belgium. Keempat-empat negara berkenaan mengenakan pakatan kestabilan yang menetapkan had sembarangan tiga peratus terhadap defisit awam.  Mereka juga  menggalakkan perlumbaan ke bawah dalam pasaran buruh.  Dasar neoliberal ini dikatakan, “menyokong euro dan menggalakkan  kegiatan global bank dan perbadanan besar negara teras.”  Akibatnya, negara pinggir menerima bencana.  Negara tersebut  kehilangan daya saing kerana Jerman memerah para pekerja sendiri dan memastikan upah dibekukan untuk beberapa tahun.  Hasilnya,  Jerman mencatatkan lebihan akaun semasa yang besar, terutamanya dalam Kesatuan Eropah, manakala negara pinggir itu menanggung defisit yang besar. 
Kesalahan banyak dilontarkan terhadap  Jerman, meskipun orang  Jerman melihat diri mereka sebagai ketua penyelamat  “mana-mana sahaja berlaku kebakaran di zon euro,”   dan  mereka berasa geram kerana seolah-olahnya mereka terpaksa menyelamatkan seluruh Eropah.      “Jika zon euro berkecai,” tulis  Garton Ash, sejarawan British,  “ini adalah kerana Jerman tidak bersungguh-sungguh untuk menyelamatkannya.  Jika zon euro selamat, maka ucapan terima kasih untuk Jerman.”   Beliau yang menulis dalam guardian.co.uk pada akhir November, iaitu ketika Ireland bergelut dengan krisis,  mengingatkan cabaran yang paling besar terhadap tataurus negara Jerman sejak negara itu bergabung secara aman 20 tahun lalu.  . 
Jerman ialah “protagonis utama” dalam krisis euro dan risiko mengakibatkan deflasi terhadap Kesatuan Eropah kerana negara itu mendesak pelaksanaan jimat cermat belanjawan.  Kata Soros semasa berucap di   Humboldt University  di Berlin akhir Jun lalu, “sebagai negara yang paling kuat dan paling mempunyai kepercayaan kredit, Jerman ialah pengemudi.  Malangnya, Jerman tidak sedar apakah yang dilakukannya.  Negara ini tidak mempunyai keinginan untuk mengenakan keazamannya terhadap Eropah.”  Tanpa berselidung, beliau berkata Jerman hanya mahu melakukan sesuatu untuk mengekalkan daya saingnya dan mengelakkan daripada  menjadi “saku dalam” untuk negara-negara lain di Eropah.
Krisis euro juga  menarik perhatian  George Soros apabila beliau muncul dengan  “The Crisis & the Euro”   yang percaya bahawa tanggapan salah memainkan peranan penting dalam membentuk sejarah, dan krisis euro merupakan bukti yang jelas. Dengan merujuk bank-bank Eropah yang memegang hampir satu trilion euro hutang Sepanyol, dengan separuh daripadanya dipegang oleh bank-bank Jerman dan Perancis, beliau menegaskan, “jelas bahawa krisis hutang kedaulatan Eropah adalah saling berkait secara rumit dengan krisis bank Eropah.”  Dalam makalah itu yang diterbitkan dalam  The New York Review of Books,   hartawan ini mengulangi kritikannya terhadap Jerman:  dengan mendesak dasar prokitaran, Jerman membahayakan Kesatuan Eropah. Walau  bagaimanapun, Soros mengingatkan bahawa Jerman tidak boleh dipersalahkan kerana mahukan mata wang yang kukuh dan belanjawan berimbang. Akan tetapi, sambil  membawa kisah Procrustes,   Jerman boleh dipersalahkan kerana mengenakan kegemaran atau kecenderungannya terhadap negara lain yang mempunyai keperluan dan keutamaan yang berbeza.  Macam Procrustes yang memaksa orang lain berbaring di atas katilnya dan membaringkan  mereka atau memotong kaki mereka untuk menjadikan mereka sihat. 
Selain Jerman,  para pemimpin  Eropah turut dipersalahkan bukan sahaja kerana gagal bertindak bersama-sama, bahkan sarat dengan penafian, meskipun selepas Greece dan Ireland, dijangkakan Portugal dan Sepanyol menunggu giliran. Selain terpaksa menanggung defisit fiskal, menurut pemerhatian, Eropah  berhadapan dengan defisit  kepimpinan.   Para pemimpin Eropah dikatakan  masih gagal untuk menghadapi, atau bahkan untuk mengakui sepenuhnya skala dan perlunya tindakan segera terhadap krisis kewangan Eropah.
Penyelesaian sedikit demi sedikit  untuk krisis Eropah, bahas Alistair Darling, bekas  Chancellor of the Exchequer   dalam The New York Times,   berkesudahan dengan kegagalan.  Dalam menyelesaikan krisis ekonomi, sebagaimana krisis dalam sektor perbankan, sesungguhnya, tidak memadai dengan negara zon euro menyelamatkan setiap ekonomi apabila ekonomi itu jatuh ke dalam krisis. Sebaliknya, para penggubal dasar mesti menangani akar umbi masalah benua itu.  Masalah zon euro  sekarang mendedahkan kelemahan kesatuan monetari apabila zon euro berkongsi mata wang yang sama, tetapi tidak ditunjangi oleh kesatuan politik dan ekonomi..
Tatkala dunia dilanda krisis kewangan  dan terjebak dalam kemelesetan yang teruk sejak Kemelesetan Besar 1930-an,  John Maynard Keynes “bangkit dari kuburannya”  untuk menyelamatkan dunia. Apakah  Winston Churchill  juga akan berbuat  demikian  sambil membacakan puisi   “darah, keringat dan air mata” untuk membangunkan Eropah yang masih tidur nyenyak?
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Februari 2011.)


Wednesday, January 30, 2013

Cameron, "Selamat Tinggal Kesatuan Eropah"

RABU, 30 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Eropah hari ini, menurut  Slavoj Zizek ketika membahaskan krisis Barat ialah demokrasi dan kewangan, "orang buta memimpin orang buta."  Setelah bertahun-tahun dilanda krisis kewangan, persoalan bahawa Greece akan meninggalkan euro zon sentiasa menghantui, meskipun setakat ini, negara tempat kelahiran demokrasi itu terus setia seadanya dan euro dapat bertahan pada tahun lalu.  

Krisis yang berlarutan melanda zon euro bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan zon itu, tetapi juga terhadap Kesatuan Eropah yang dikhuatiri akan runtuh. Pada mulanya, Greece dan pada takat tertentu,  negara lain yang turut dilanda krisis, iaitu Sepanyol dan Portugas dijangkakan menjadi punca angkara.  

Namun, sejak akhir-akhir ini angin kencang bertiup dari Britain bahawa negara itu akan meninggalkan Kesatuan Eropah.  Perdana Menteri David Cameron akhirnya menyatakan pendirian beliau bahawa Britain akan berunding semula tentang keanggotaannya dalam Kesatuan Eropah dan berjanji akan mengadakan pungutan suara pada tahun 2017.   Pendirian beliau itu yang dinyatakan ketika beliau berucap di ibu pejabat Bloomberg di London,  dipersoalkan oleh tinjauan pendapat.  Janji itu juga bergantung pada jika Parti Konservatif pimpinannya memenangi pilihan raya tahun 2015.  Walau bagaimanapun, menurut The Economist, Cameron pada pihak yang betul, memberikan kelebihan kepada Parti Konservatif, dan meletakkan Parti Buruh dalam keadaan yang sukar.

Respons segera daripada Pemimpin Parti Buruh Ed Miliband  ialah  beliau tidak menyokong pungutan suara masuk atau keluar keanggotaan Britain dalam Kesatuan Eropah dari segi terma yang dicadangkan oleh David Cameron, manakala Timbalan Perdana Menteri Nick Clegg mengkritik Cameron kerana mewujudkan "tahun ketidakpastian." Bagi bekas Perdana Menteri Tony Blair, "tindakan meninggalkan Kesatuan Eropah adalah buruk untuk Britain." Sementara Canselor Jerman Angela Merkel  dilaporkan mencadangkan agar Cameron berunding untuk "tolak ansur yang adil," tetapi kebanyakan pemimpin Eropah menolak tuntutan Cameron. 

Kritikan datangnya daripada editorial The Guardian yang menyifatkan Cameron bermain silap mata bahawa keprihatinan sebenar bukannya ekonomi, tetapi politik gelisah penyokong Tory, pemberontakan Parti Bebas United Kingdom (Ukip), dan kebanyakan akhbar Eurofobia. Beliau dilihat tidak mempunyai keberanian, sebaliknya semborono.  Namun, bagi pemimpin Ukip, seperti yang dipetik, Britain keluar daripada Kesatuan Eropah "dalam beberapa tahun" adalah pasti kerana tidak ada kerajaan yang akan mampu menolak tuntutan untuk keluar daripada penduduk yang naik berang kerana kedatangan kaum pendatang upah murah.

"Dari luar," seperti yang dibahaskan oleh Timothy Garton Ash, "memang jelas mengapa Britain mesti kekal dalam Kesatuan Eropah. Ucapan Cameron itu boleh membawa banyak keburukan dan lima tahun ketidakpastian yang cemas merupakan berita buruk untuk Eropah dan dunia."

Nyata bahawa David Cameron begitu nekad untuk menarik Britain keluar daripada Kesatuan Eropah.  Jika partinya mendapat mandat sekali lagi pada tahun 2015, pungutan suara suatu kepastian dan hasilnya dapat dijangkakan. Namun, mampukah  Parti Konservatif yang kini terbentuk dalam kerajaan pakatan bersama-sama Demokrat Liberal, menentukan kelangsungannya dalam pilihan raya itu? 


Tuesday, January 29, 2013

Pakaian "Makan" Tuan

SELASA, 29 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam beberapa hari ini, media asyik melaporkan beberapa orang selebriti yang pakaian mereka terselak atau hampir terlarah, atau salah fungsi.   Yang terbaharu, seperti yang dilaporkan oleh Daily Mail, melibatkan Jennifer Lawrence ketika Screen Actors Guild Award pada Ahad lalu. Peristiwa itu berlaku semasa Jennifer naik ke pentas untuk menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Utama, tiba-tiba pakaian terlarah.

Sebelum ini, terjadi pada Nicole Scherzinger gara-gara pakaian menyebabkan dadanya terdedah. Nasib yang sama menimpa Britney Spears yang putus tunang mendedahkan teteknya dalam pakaian yang menggoda.

Dalam pakaian salah fungsi, The Huffington Post, menyenaraikan selebriti yang terbabit, antaranya Eva Longoria, Jessica Chastain, Julianna Margulies, Julie Newmar, dan Emma Roberts. 



Panggilan Pulau

SELASA, 29 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Beberapa buah pulau kini menjadi rebutan sehingga mencetuskan konflik antarabangsa, seperti yang berlaku di Laut China Selatan yang melibatkan China dengan Filipina, Vietnam, Taiwan, Malaysia, dan Brunei.  

Sementara Pulau  Senkaku dalam bahasa Jepun dan Diaoyu dalam bahasa Cina mengheret  Jepun dan China dalam pertikaian yang sengit, menurut Odd Arne Westad.  Keadaan ini      mendorong Washington campur tangan dengan memihak kepada Jepun, antaranya kerana ingin merealisasikan pelan induk abad Asia.  Walau bagaimanapun,  China dilaporkan mencari penyelesaian secara aman dengan Jepun tentang pulau yang menjadi rebutan kedua-dua buah negara.

Pertikaian antara Britain dengan Argentina tentang Kepulauan Falkland yang telah pun reda, kini tercetus semula. Britain dilaporkan menyediakan pelan baru untuk mempertahankan kepulauan yang pernah mencetuskan peperangan antara kedua-dua negara itu. Presiden Argentina Cristina Fernandez de Kirchner dalam surat terbukanya yang diterbitkan dalam The Guardian,  mendesak Perdana Menteri David Cameron supaya mematuhi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyerahkan kepulauan itu kepada Argentina, tetapidesakan itu ditolak oleh Cameron.

Walau bagaimanapun, tidak semua menjadi rebutan dan mencetuskan konflik atau pertikaian antara negara.  Seperti yang dilaporkan oleh The Huffington Post, wujud beberapa buah pulau yang merupakan tempat penginapan yang paling relaks, antaranya Munjoh di Kepulauan Andaman,  Maravilha di Brazil, dan Pulau Lizard di Australia. 

Monday, January 28, 2013

Davos 2013: Marx Juga Dikenang Orang

ISNIN, 28 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Sebagaimana pada tahun lalu, mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davos sekali lagi menyaksikan kebangkitan Karl Marx.  Sebenarnya, semakin lama dunia bergelut dengan krisis ekonomi, maka semakin kuat Marx menghantui perdebatan dan wacana.

Larry Elliott melalui tulisannya dalam "Economics Blog" The Guardian, secara kreatif menampilkan Karl Marx sebagai ahli panel dalam perdebatan bersama-sama John Maynard Keynes, Milton Friedman, dan Fritz Schumacher, dengan Christine Lagarde, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebagai moderator. 

Golongan kapitalis yang berkumpula di Davos terpaksa menghabiskan masa beberapa hari dengan memerah tangan mereka tentang pengangguran dan kurangnya permintaan terhadap barang, Marx memulakan debat itu.   Mereka kelihatan tidak dapat mengenal pasti bahawa hal ini tidak dapat dielakkan dalam ekonomi yang diglobalisasikan.  Wujud kecenderungan ke arah pelaburan berlebihan, pengeluaran berlebihan, dan kejatuhan kadar untung.  "Itulah sebabnya lebih 200 juta orang menganggur di seluruh dunia dan wujud kecenderungan ke arah ketidaksamaan yang semakin meluas."

Walau bagaimanapun, Christine Lagarde kurang bersetuju dengan pandangan Marx itu.


Sunday, January 27, 2013

Davos 2013: Najib Sertai Kelab Orang yang Gagal

AHAD, 27 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Najib tarik perhatian dunia, demikian tajuk depan Mingguan Malaysia hari ini, penyertaan Malaysia di Forum Ekonomi Dunia (WEF) dikongsi antarabangsa. Sementara dalam halaman seterusnya, akhbar itu menerbitkan  wawancara Perdana Menteri Najib Razak dengan Fareed Zakaria, yang turut mendapat liputan Sunday Star.  Kedua-dua akhbar berkenaan juga melaporkan kegembiraan Najib tentang sambutan para hadirin Malam Malaysia:  1000 orang yang hadir, mengatasi anggaran bahawa 400 orang.  Najib sendiri berciak tentang kejayaan Malam Malaysia itu: 

Malaysian Night in Davos was hugely successful . Overwhelming attendance n very good presentation of what we can offer to the world.


Sebagaimana pada tahun-tahun sebelum ini, Davos 2013, tempat ketua negara, penggubal dasar, ahli ekonomi, ketua eksekutif, dan hartawan,  berkumpul dan berkampung terus mendapat liputan media, seperti The Washington Post, The Huffington PostThe GuardianThe TelegraphThe Daily Beast, Bloomberg, CNN, BBC, dan Time. Antara penyampai ucaptama, termasuk Perdana Menteri British David Cameron yang menyasarkan pengelak cukai,  Canselor Jerman Angela Merkel yang mempertahankan langkah jimat-cermat,  dan Perdana Menteri Rusia Dmitry Medvedev yang menegaskan bahawa ketakutan akan kestabilan negaranya tidak berasas.  Tidak kurang ulasan, antaranya oleh Ian Bremmer, Dan Gross, Rana Foroohar, Kamal Ahmed, Larry Elliot, dan Heather Stewart.

Untuk mengatakan bahawa "Najib tarik perhatian dunia" sempena Mesyuarat Tahunan WEF, sesungguhnya, berlebih-lebihan dan sekadar gembar-gembur.  Sebenarnya, banyak lagi pemimpin   yang mendapat perhatian di WEF,  di samping tiga pemimpin yang menyampaikan ucaptama, antaranya Raja Abdullah  dari Jordan, Presiden Aquino dari Filipina, dan Ehud Barak dari Israel.  Bahkan, George Soros, Nouriel Roubini,  dan Sheryl Sandberg,  lebih mendapat perhatian berbanding dengan Najib Razak.  Najib juga tidak tersenarai dalam kalangan pemimpin global yang membuat ramalan tahun 2013.  Walaupun beliau diwawancara oleh Fareed Zakaria, tulisan terkini Fareed dalam GPS, tertumpu pada Raja Abdullah dan Medvedev.

Meskipun saya tidak berani mengatakan bahawa gambaran yang diberikan terhadap Najib di Davos tidak lebih sebagai "syok sendiri," satu hakikat yang wajar dipertimbangkan sebelum tersadung dalam kemegahan, ialah Davos ialah kelab orang yang gagal - memetik editorial The Guardian.  Justeru, tidak banyak perkara yang dapat dibanggakan tentang WEF, seperti yang dibahaskan oleh editorial itu.  Davos sepatutnya kelab pemenang, tetapi lima tahun selepas keruntuhan Lehman Brothers,  WEF gagal menyelesaikan masalah ekonomi dunia, meskipun perhimpunan berlangsung setiap musim sejuk.  Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, Davos pada tahun ini dijangkakan terus terhegeh-hegeh  dengan "Resilient Dynamism."

Sebelum berbangga diri, bermegah-megah, seseorang itu perlu perhatikan pentas tempat dia berdiri.  Takut kalau-kalau pentas itu sedang menunggu masa untuk roboh. Dengan kata lain, memetik semula editorial tersebut, pastikan anda menganggotai kelab yang betul, dan bukannya kelab yang dianggotai orang yang gagal!


Beyonce "Main Bibir"

AHAD, 27 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Selain Barack Obama sendiri dan pada takat tertentu isterinya, Micheele Obama, dengan pakaian merahnya,  penyanyi terkenal, Beyonce turut mendapat perhatian ketika upacara pelantikan Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua. Bersempena upacara tersebut, Beyonce mengadakan persembahan, menyanyikan lagu kebangsaan Amerika Syarikat

Namun, Beyonce dikatakan tidak menyanyi, sebaliknya beliau merakamkan lagu itu terlebih dahulu, sehingga mencetuskan kontroversi, bahkan pakar mengatakan beliau melakukan kedua-duanya.  Walau bagaimanapun, ahli muzik profesional, seperti yang dipetik oleh Mike Daughty dalam Slate, mengatakan Beyonce, yang merupakan penyokong kuat Obama dalam pilihan raya baru-baru ini, tidak merakamkan lagu itu terlebih dahulu.

Republikan yang mengkritik ucapan Obama bersempena upacara pelantikan itu, termasuk Paul Ryan, mengambil kesempatan mendesak Obama meletakkan jawatan kerana skandal Beyonce kerana beliau turut menontonnya, demikian tegas Senator Rand Paul (Republikan-Kentucky).  Beliau menggunakan alasan keengganan Rumah Putih untuk mengulas krisis Beyonce itu "hanya menunjukkan Presiden menyembunyikan sesuatu."  Hujah Paul, "jika Beyonce merakamkan lagu kebangsaan terlebih dahulu, bagaimana kita tahu bahawa Presiden Obama tidak merakamkan sumpahnya terlebih dahulu?"



Saturday, January 26, 2013

Foto Upacara Pelantikan Barack Obama

SABTU, 26 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada 21 Januari lalu, berlangsung upacara pelantikan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-57 untuk penggal kedua. Upacara tersebut dilaporkan dihadiri oleh kira-kira sejuta orang, kurang daripada yang pertama yang dihadiri oleh 1.8 juta orang.

Bersempena upacara yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang yang turut ditaja oleh pihak tertentu, termasuk korporatThe Atlantic merakamkan 57 keping foto upacara tersebut, manakala The Guardian merakamkan majlis tari-menari. 


Britain Terbenam dalam Kemelesetan Curam Ganda Tiga

SABTU, 26 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Seperti yang dijangkakan, Britain terus terjebak dalam kemelesetan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh,  menurut Pejabat Perangkaan Negara, yang dipetik oleh The Guardian dan The Huffington Post, tetapi kejatuhan 0.3 peratus untuk suku keempat tahun 2012, di luar jangkaan sama sekali. 

Angka KDNK terbaharu itu, jelas bahawa ekonomi strategi yang diperkenalkan gagal, hujah Larry Elliott, "orang ramai tahu. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tahu.  Agensi penarafan kredit tahu. Nick Clegg tahu.  Bahkan, George Osborne tahu, meskipun beliau seakan-akan enggan mengaku. 

IMF terang-terang memberitahu kerajaan Canselor Osborne bahawa langkah jimat-cermat yang dilaksanakan gagal, dan masanya sudah tiba untuk memikirkan pelan B. Datuk Bandar London, Boris Johnson dilaporkan turut mengkritik jimat-cermat yang diperkenalkan oleh Osborne dan menggesa beliau menghentikannya.  Sementara The Guardian menegaskan  kemelesetan terbaharu adalah berpunca daripada Osborne, seperti yang dapat dilihat daripada judul editorialnya, "Osborne's depression."


Friday, January 25, 2013

Misteri Laut Dalam

JUMAAT, 25 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Meskipun 182 penerokaan yang ditaja kerajaan sejak dekad lalu, 95 peratus laut, dilaporkan belum diterokai. 


Nasib Tenggiri

JUMAAT, 25 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Semasa kanak-kanak, saya diberitahu bahawa ikan tenggiri ialah ikan yang ada "kelas" jika dibandingkan dengan ikan lain, aya, selayang, tamban, selar, cencaru,  dan bahkan kembung. Hanya orang yang berwang dan tidak kedekut yang sanggup membeli ikan tenggiri.  

Semasa makan angin di Istanbul pada tahun 2010 dan baru-baru ini di San Francisco, saya berkesempatan menikmati  tenggiri yang berbeza sama sekali dengan tenggiri di Malaysia.  Di negara kita, saiz tenggiri sangat besar, sedangkan di kedua-dua tempat itu, tenggiri "kurus."  

Semasa di Istanbul, saya dan anggota rombongan yang lain dihidangkan makan tengah hari berlauk ikan tenggiri dengan asam limau dan sambal (bukan sambal belacan).  Oleh sebab berhari-hari saya dihidangkan sayur-sayuran ketika berhenti makan atau ketika di hotel, dari sebuah tempat ke sebuah tempat, maka terasa benar enak hidangan berkenaan.  Bahkan, saya meminta diberikan seekor lagi, tetapi pekerja restoran itu memberitahu hanya seekor seorang.  Saya juga bertanya apakah jenis ikan itu, jawabnya, "mackerel." 

Demikian juga ketika tiba di San Francisco, saya dan anggota rombongan yang lain dibawa untuk makan malam, menikmati bufet Jepun di Moonstar.  Di situ saya "sapu" dua ekor tenggiri.

Baru-baru ini, Annalisa Barbieri menulis dalam The Guardian, tentang salah urus tenggiri, dan ikan itu dikeluarkan daripada senarai "ikan untuk dimakan" kerana perikanan yang berlebih-lebihan di luar Kesatuan Eropah. Beliau memberitahu beliau mendapat panggilan daripada Marine Conservative Society yang menurunkan gred tenggiri daripada "makan sepuas-puasnya" kepada "makan dengan berhati-hati." 

Walau bagaimanapun, jelas Annalisa, tenggiri yang menjadi perbincangan adalah dari stok  timur laut (kawasan dari Gibraltar ke Rusia), yang tidak terancam.  Hanya dicadangkan dihadkan tangkapan mana-mana ikan. Beliau memetik International Council for the Exploration of the Sea (ICES) bahawa biojisim stok peneluran tenggiri kini kira-kira 2.7 juta tan.  Angka biologi selamat ialah 2.3 juta tan, dan angka ini dijangkakan tidak jatuh di bawah angka pada "tahap eksploitasi semasa" hingga tahun 2014.

Cerita sedih, menurut Annalisa, hingga baru-baru ini perikanan terurus dengan baik.  Kesatuan Eropah dan Norway mempunyai kuota 90 peratus daripada jumlah kuota tenggiri; selebihnya 10 peratus adalah untuk Iceland dan Kepulauan Faroe.  Hingga tahun 2008, hampir tidak ada tangkapan dilaporkan di perairan Iceland dan Faroe kerana di kawasan itu tidak banyak tenggiri untuk ditangkap.  Akan tetapi, beberapa tahun kebelakangan ini, tenggiri mula berpindah berpunca daripada banyak faktor, seperti kenaikan suhu laut dan untuk mencari makanan.  Dua buah negara tepi pantai ini mahu lebih daripada  10 peratus.  Pada tahun 2010, kedua-dua negara itu mula meningkatkan tangkapan mereka daripada 20 peratus kepad 32  peratus daripada jumlah yang dibenarkan.

"Kini, tidak wujud persetujuan antarabangsa yang menentukan had perikanan tenggiri, meskipun ada harapan dilaksanakan pada tahun ini."


Tempat yang Sihat di Dunia untuk Hidup atau Bersara

JUMAAT, 25  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Suzan Haskins dan Dan Prescher menyenaraikan beberapa buah tempat yang sihat di dunia, yang menurut mereka sesuai untuk hidup dan bersara supaya seseorang itu sentiasa berasa muda dan hidup lebih lama.   

Tempat berkenaan dipilih,  tegas Suzan Prescher, bercuaca hangat, kehidupan sosial, dan makanan yang sihat.  Tempat yang mereka senaraikan terdiri daripada New Zealand, Panama, Semenanjung Nicoya di Costa Rica, Sardinia, Vilcabamba di Equador, dan Perancis.


Thursday, January 24, 2013

Kejayaan Sistem Pendidikan Finland

KHAMIS, 24 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada April 2011, bulan-bulan awal saya  melibatkan diri dalam blog, saya menulis "Bahasa Dunia Dunia Bahasa."   Yang menarik dan memeranjatkan, dua hari lalu, saya menerima e-mel daripada Allison Morris memberitahu bahawa beliau melihat tulisan itu dan beliau menawarkan  sesuatu yang amat hargai, berkait dengan sistem pendidikan Finland.  

Kebetulan, saya pernah menulis beberapa makalah tentang sistem pendidikan di negara itu, yang patut dicontohi, iaitu "Pendidikan:  Amerika Melihat ke Korea Selatan dan Finland" dan "Pandang ke Finland, Amerika."

Berhubung kejayaan sistem pendidikan Finland, yang dibekalkan oleh Allison Morris, adalah mengatasi negara maju, seperti Amerika Syarikat dan Kanada. Finland yang pelajarnya  tidak dikehendaki membuat  kerja rumah, mempunyai lepasan sekolah tinggi 93 peratus berbanding dengan 78 peratus di Kanada dan 75 peratus di Amerika Syarikat. Dua dalam tiga orang pelajar akan meneruskan pelajaran mereka ke peringkat kolej.

Apakah faktor yang menyebabkan pelajar Finland begitu berjaya?  Berdasarkan graf yang dibekalkan oleh Allison Morris, ialah:

  • Pelajar berinteraksi secara kerap dengan guru.  Bilangan pelajar di Finland ialah 600,000 orang, dengan nisbah 1:12 (seorang guru dengan 12 orang pelajar), manakala di New York City, jumlah pelajar hampir 1.1 juta, dengan nisbah 1:24. 
  • Ujian terpiawai adalah minimum.  Pelajar Finland perlu mengambil ujian terpiawai apabila mereka berumur 16 tahun.  Sebaliknya, di Amerika Syarikat, pelajar New York memasuki sekolah tinggi, mereka dikehendaki mengambil 10 peperiksaan terpiawai.
  • Di Finland, kanak-kanak mempunyai banyak masa untuk hidup sebagai kanak-kanak. Purata pemegang gred kelima Amerika Syarikat mempunyai 50 minit untuk kerja rumah setiap hari, manakala pelajar Finland jarang-jarang dikehendaki kerja rumah sehingga mereka meningkat remaja.
  • Yang paling penting, Finland tahu bahawa guru yang baik adalah penting.

Bagi anda yang berminat melihat grafik yang dibekalkan oleh  Allison Morris, di sini.

(Nota:  Saya ingin merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Allison Morris yang bukan sahaja melihat tulisan saya, tetapi juga kerana kesudian beliau berkongsi pengetahuan dengan membekalkan graf yang penting ini.)


IMF Kurangkan Ramalan Pertumbuhan Dunia Tahun 2013

KHAMIS, 24 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), seperti yang dipetik oleh  Time,  USA Today,  Financial Times, dan The Wall Street Journal, menjangkakan ekonomi dunia tumbuh sebanyak 3.5 peratus pada tahun 2013, meningkat daripada 3.2 peratus pada tahun 2012, tetapi mengurangkan  0.1 titik peratusan daripada yang diramalkan pada Oktober lalu.  

Menurut unjuran terbaharu ini, World Economic Outlook,  negara Barat yang  kaya masih termengah-mengah, dengan pertumbuhan 1.4 peratus tahun ini  berbanding 1.3 peratus tahun 2012.

Ramalan IMF ini pastinya lebih daripada Bank Dunia yang mengunjurkan ekonomi dunia berkembang 2.4 peratus pada tahun ini.  Sebagaimana IMF, Bank Dunia juga mengurangkan unjuran daripada tiga peratus pada Jun lalu. 

Selain ramalan pertumbuhan yang masih lemah, dunia terpaksas bergelut dengan pengangguran yang tinggi, menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), iaitu 202 juta orang di seluruh dunia, seperti yang dipetik oleh The Guardian

Pengumuman IMF dan ILO ini muncul di tengah-tengah para elit global yang menganggotai kelab yang gagal sedang berkumpul di Davos.


Wednesday, January 23, 2013

Kebaikan Bercinta

RABU, 23 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Orang yang dalam percintaan lazimnya kelihatan ceria dan gembira.  Bagi lelaki yang sudah beristeri, tetapi mempunyai kekasih baru, pastinya dia kelihatan bertenaga, biarpun di hadapan isteri, "pijak semut tidak mati."

Getwed.com menyenaraikan  manfaat kesihatan bagi orang yang dalam percintaan:  Percintaan merendahkan risiko penyalahgunaan alkohol, percintaan menjadikan kita muda sokmo, percintaan baik untuk wanita, tetapi buruk untuk lelaki, percintaan memperbaik kesihatan mental anda, percintaan memberi anda banyak hari lahir, dan percintaan mengubati jantung (bukan jantung hati, ya).


Tuesday, January 22, 2013

Petanda Pilihan Raya Kelihatan dalam Pasaran Saham

SELASA, 22  Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Walaupun bukan "Isnin hitam," pasaran saham Malaysia pada 21 Januari, jatuh teruk, dengan FBM KLCI jatuh 40.81 mata kepada 1635.63 mata selepas sepanjang hari berlegar-legar antara 1630.99 mata dengan 1676.36 mata.  Dua puluh kaunter utama menjunam daripada Hong Leong Finance Group yang paling jatuh, iaitu 62 sen kepada Astro dan Genting Malaysia (GEM), masing-masing jatuh 10 sen, manakala Felda Global Ventures (FGV) yang mendapat perhatian politik, jatuh 15 sen kepada RM4.42, menghampiri harga tawaran awam permulaan (IPO).

Pastinya, sukar untuk dikaitkan kejatuhan teruk ini dengan pasaran saham serantau kerana beberapa pasaran, seperti Singapura, Shanghai, dan Sydney meningkat, manakala Hong Kong, dan Seoul jatuh.  Di peringkat antarabangsa, London dan New York meningkat.

Saham Malaysia yang jatuh kepada yang terendah dalam masa enam minggu, menurut analisis Gan Yen Kuan dalam Bloomberg, sebagai mengambil berat terhadap pilihan raya yang menyebabkan ekuiti lebih tidak stabil  berbanding penanda aras indeks pasaran sedang muncul untuk kali pertama dalam masa hampir lima tahun.  

Ringgit juga lemah, hujah Gan Yen Kuan, yang turut memetik Alan Richardson, pengurus dana yang beribu pejabat di Singapura bahawa "wujud ketidakpastian, sama ada parti yang memerintah mampu sekurang-kurangnya mengekalkan majoriti yang sedia ada."  Dalam pada itu, menurut Yen Kuan, masa semakin suntuk untuk Perdana Menteri Najib Razak yang mesti membubarkan Parlimen pada 28 April, sedangkan kepopularan beliau jatuh pada tahap terendah dalam masa 16 bulan.


Awas: Minuman Tenaga Boleh Membawa Anda ke Hospital

SELASA, 22 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


James Hamblin yang menulis dalam The Atlantic mendedahkan jumlah kepergian ke jabatan kecemasan  hospital yang meningkat, iaitu daripada kurang 2000 pada tahun 2005 kepada lebih 20,000 kepergian pada tahun 2011.  Soal beliau, jika minuman tenaga selamat mengapa minuman itu menghantar kita ke hospital? 

Hamblin memetik Substance Abuse and Mental Health Services Administration (SAMHSA) yang mengeluarkan laporan baru-baru ini yang menyatakan minuman tenaga "terus-menerus membangkitkan kebimbangan kesihatan awam."  Ya, minuman tenaga, seperti Red Bull, 5-Hour Energy, Monster, Full Throttle, CHARGE!, Neurogasm, Hardcore Energize Bullet, Facedrink, Eruption, Crakshot, Crave, Crunk, DynaPep, Rage Inferno, SLAP, dan bahkan Venom Death Adder, tegas beliau.

Meskipun setiap yang menjadi keprihatinan kesihatan awam, memang benar, tetapi bagaimana pula keprihatinan orang awam terhadap minuman tenaga, padahal data SAMHSA itu membimbangkan.  Menunjukkan bahawa bilangan lawatan ke jabatan kecemasan berhubung dengan minuman tenaga meningkat hampir 10 kali ganda antara tahun 2005 dengan 2011:





Kajian tersebut juga dipetik oleh The Huffington Post yang menunjukkan bahawa minuman tenaga boleh memudaratkan kesihatan para pengguna.  Walau bagaimanapun, akhbar Internet itu kemudiannya melaporkan bahawa Monster Beverage Corp bertindak balas mempertahankan dirinya dan minuman tenaga yang dikeluarkannya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...