Artikel Popular

Monday, December 31, 2012

Semalam di Laughlin

ISNIN, 31 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dengan  perjalanan tanpa berhenti, kami tiba di Laughlin pada pukul 2.45 petang.  Memasuki kawasan ini, terasa seakan-akan memasuki Las Vegas kerana kewujudan kasino, antara yang kelihatan Riverside Resort Hotel & Casino. Namun,  Laughlin, menurut pemandu pelancong "bandar kecil," dan dengan itu, tidak setanding Las Vegas.

Kami sepatutnya terus mendaftar masuk di hotel tempat menginap, iaitu Harrah's, tetapi oleh sebab kami tiba awal, maka pemandu pelancong membawa kami bersiar-siar di pusat beli-belah.  Kami akan diturunkan di sini dan kemudian pemandu bas akan datang menjemput kami ke hotel.  Untuk khidmat itu, pemandu pelancong mencadangkan setiap orang memberikan "tip" kepada pemandu bas itu.

Kali ini, Laughlin Outlet Center menjadi tumpuan kami.  Sementara menunggu pemandu pelancong mendapatkan  kupon diskaun dan risalah, saya dan beberapa orang lain, tanpa lengah-lengah ke tandas. Di sini, isteri saya cuba mencari pakaian untuk dua orang menantu perempuan kami dan pakaian dua orang cucu kami.  

Tidak ada pakaian yang sesuai untuk menantu kerana kebanyakannya pakaian untuk cuaca sejuk, tetapi isteri saya menghabiskan banyak masa untuk memilih dan akhirnya membeli pakaian untuk cucu kami, Dania dan Hannah di Carter's babies and kids.  Bosan menunggu agak lama di dalam kedai itu, saya akhirnya duduk di luar, membiarkan isteri membeli-belah.  Turut sama dalam kedai kanak-kanak itu Zafeena dan suaminya, Azeil dan dua orang anak perempuan mereka.  Rupa-rupanya isteri saya mengadu kepada pasangan suami isteri ini bahawa saya sejak di Las Vegas Premium Outlets  mendesak dia membeli pakaian untuk dua orang cucu kami, dan telah pun dibeli di sana lagi.  Sebenarnya, semasa di sana, kami juga masuk dan mencari pakaian di Carter's, tetapi tidak ada yang sesuai.



Di sini, kami hanya membeli pakaian untuk dua orang cucu.  Selepas di Carter's, saya isteri bersiar-siar di pusat beli-belah dua tingkat, memasuki beberapa buah kedai, antaranya Levi's dan kedai vitamin. Turun di tingkat bawah kami memasuki sebuah kedai ingin mencari barang yang dipesan oleh anak lelaki saya, yang kami cari sejak di Las Vegas, tetapi belum ditemui.  


Sementara menunggu bas datang menjemput kami pada pukul 6.00 petang, saya dan isteri "kena" mi goreng dan kacang hijau goreng di Rice Garden yang terletak di medan selera tingkat bawah.  Di sini, minuman soda tidak boleh ditambah percuma - memadailah dengan segelas Pepsi.  Pukul 5.30 petang, kami sudah bersiap untuk ke hotel penginapan.  Hari sudah gelap.


Sebagaimana Monte Carlo, di Harrah's juga wujud kasino, bahkan lebih besar lagi.  Namun, saya perhatikan bahawa wajah-wajah kaki judi yang di sini berbeza dengan di Monte Carlo yang kelihatan lebih "kosmopolitan."  Sebagaimana di Holiday Inn di Williams, selepas mendaftar masuk dan mengangkat barang ke bilik masing-masing serta berehat sekejap, kami turun untuk makan malam di restoran yang terletak di lobi hotel dengan melalui kawasan kasino.  

Sepanjang makan angin,  hanya di dua buah hotel kami makan malam.  Ketika melalui kawasan itu, saya terpandang Restoran McDonald's yang juga terdapat di situ. Berbeza dengan di Holiday Inn, yang makan malam berdasarkan menu, di Harrah's kami disajikan  bufet. Udang,  ikan salmon, dan salad menjadi pilihan saya, di samping bermacam-macam pencuci mulut.  






Ketika menunggu isteri memilih makanan untuk dirinya, saya sempat berjenaka dengan Azeil dan isterinya yang duduk bersebelahan dengan meja kami bahawa "saya masa muda pergi ke mana-mana kurang ingat anak dan isteri, tetapi apabila tua, pergi makan angin sekejap ingat akan cucu yang dua oranga itu."   Mereka ketawa. (Sebenarnya, Azeil yang memberitahu saya bahawa isteri saya mengadu kepada mereka.)

Selepas makan dan pulang ke bilik penginapan, tetapi tatkala isteri saya mula memejamkan mata, saya diam-diam keluar, ingin merayap di kasino serta mencari anggota rombongan yang lain.  Di situ saya terserempak dengan Go Kok Ling bersama-sama isteri dan anak lelakinya.  Melihat suaminya ingin bersembang-sembang dengan saya, isterinya meninggalkan kami bertiga - pulang ke bilik.  Ketika bersembang itu, saya ternampak beberapa anggota rombongan kami mencuba nasib.  

Walau bagaimanapun, tidak lama kami di sini. Go dan anaknya beredar dahulu, sebentar kemudian saya menyusul.  


Sunday, December 30, 2012

London Bridge Masih Kukuh

AHAD, 30 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sekadar menginap satu malam di Holiday Inn, Williams, Arizona, seperti biasa, selepas sarapan di hotel, kami mengangkat beg masing-masing ke dalam bas untuk ke destinasi seterusnya.   Kami bertolak pada pukul 8.00 pagi (waktu California) untuk balik semula ke Nevada, dan menurut pemandu pelancong,  perjalanan mengambil masa lima jam.  Dalam perjalanan ke sana,   kami akan singgah di  London Bridge.

Apabila pemandu pelancong menyebut London Bridge, itulah kali pertama saya mengetahui  bahawa  London Bridge juga wujud di Arizona, dan mengingatkan saya tentang lagu kanak-kanak yang popular, "London Bridge is Falling Down" dan sebuah bab buku John Cassidy, How Market Fail:  The Logic of Economic Calamities yang pernah saya ulas dalam Dewan Ekonomi

Sebagaimana waktu datang, demikian juga waktu pulang: kiri kanan jalan ialah kawasan gurun, bukit-bukau, tumbuhan renek.  Seperti biasa, pemandu pelancong, berceloteh di hadapan, memberitahu bahawa kami menghala ke bahagian rendah. Kira-kira satu jam perjalanan kelihatan pokok renek yang menghijau dan "gurun menghijau" kira-kira 40 batu dari Kingman.

Kemudian, kelihatan bukit-bukau semula dengan bongkah batu.  Bas yang kami tumpangi mula memasuki laluan yang kiri kanan berbukit dan bongkah batu.  Dalam pada itu, kelihatan pokok renek yang hidup di kawasan gurun: tumbuhan yang sesuai dengan persekitaran dapat survive.  Pemandu pelancong yang masih berceloteh memberitahu bahawa kami berada 4000 kaki dari aras laut: gurun, bukit-bukau.

Pada 9.30 pagi, perjalanan kami melalui kawasan kediaman, rumah sebuah sebuah, dan kelihatan Hualapai Mountain Medical Center, dan  kawasan pekan:  rumah penginapan (inn), stesen minyak, dan Kingman Regional Medical Center yang terletak di  Stockton Hill Road.  Kemudian, bas yang kami tumpangi membelok ke Laughead City untuk berhenti sekejap di stesen minyak 915 W.  Beale untuk ke tandas.  Saya bersama-sama beberapa orang lain, seperti biasa, tanpa berlengah terus mengambil kesempatan untuk buang air kecil. Sebilangan daripada kami membeli minuman dan makanan di kedai ini.

Sementara menunggu bas bertolak semula, saya sempat memerhatikan kawasan keliling.  Di sebelah kanan kelihatan tanda arah:  West  - Los Angeles; To Beale St.; East South - Flagstaff, Phoenix.  Juga kelihatan beberapa stesen minyak: Diesel, TA, Techron, dan papan tanda:  TA Travel Center, Subway USA Travel Center, Country Wash, Kingman Travel Center. 


Setengah jam selepas berhenti di sini, bas yang membawa kami bertolak semula menuju ke London Bridge, melalui  Lake Havasu City.  Di sini wujud pusat beli-belah, tetapi saya hanya sempat mencatatkan JC Penny, kedai kenderaan, seperti Toyota dan Honda, Mall, Real Estate Hobby Lobby, 99 Cents Only Store,  Bradley Ford Lincoln, Sun Country Marine, dan London Bridge Plaza.   

Kira-kira pukul 11.00 pagi, kami masuk ke kawasan  London Bridge, melihat jambatan itu sambil singgah di beberapa buah kedai yang terletak di situ.  Di dalam tasik sekitar  jambatan kelihatan kawanan itik berenang-renang.  Jambatan yang terletak di Lake Havasu City ini, ialah  pembinaan semula London Bridge yang dibina pada tahun 1831, merentang River Thames, London.  Jambatan di Arizona ini merupakan konkrit struktur yang diperkukuh semula menyaluti  batu asal jambatan tahun 1830-an, sebenarnya dibeli oleh Robert P. McCulloch daripada City of London.

Kami di sini selama satu jam 45 minit, termasuk masa makan.  Saya bersama-sama isteri dan beberapa orang lain makan di In-N-Out  yang terletak berhampiran dengan London Bridge.  Kami suami isteri "kena" burger bawang setelah isteri saya memberitahu pelayan di kaunter bahawa kami tidak mahu burger daging dan ayam, lalu pelayan itu mencadangkan burger bawang.  Ketika makan, kami mengambil kesempatan menambah minuman soda beberapa kali.



Pukul 12.45, bas yang kami tumpangi bertolak ke Laughlin, Nevada, untuk menginap satu malam di sini.


Saturday, December 29, 2012

"Newsweek" Berkubur, "Time" Mencorakkan Masa

SABTU, 29 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Dalam sehari dua ini, saya bercadang untuk menghabiskan masa dengan membaca, kegemaran saya yang semakin "tumpul" sejak akhir-akhir ini. Pembacaan yang saya maksudkan itu bukan membaca  buku terbaharu George Soros,   Joseph E. Stliglitz, dan mendiang Eric Hobsbawm yang sering tertangguh, tetapi sekadar membaca  dua majalah, iaitu Newsweek dan Time

Dalam keluaran akhir/awal tahun, kedua majalah berita tersebut, di samping beberapa majalah lain lazimnya menerbitkan keluaran khas atau keluaran berganda.  Dalam keluaran seperti ini, Newsweek akan memuatkan beberapa makalah tentang ekonomi, politik, hal ehwal antarabangsa dan sebagainya yang ditulis oleh tokoh yang terkenal, tetapi akhir tahun lalu/awal tahun lalu, saya dapati keluaran itu tidak kelihatan.

Namun, pada akhir tahun ini, iaitu keluaran 31 Disember Newsweek muncul dengan rencana utama, "# Last Print Issue" menandakan bahawa mulai Januari 2013 majalah itu tidak lagi diterbitkan dalam edisi bercetak, sebaliknya diterbitkan dalam edisi digital sepenuhnya.  Beralih daripada  bercetak kepada digital.  Dalam keluaran terakhir ini, terkadung tulisan Tina Brown, Ketua Editor Newsweek dan The Daily Beast, dengan mukadimah, Ada kalanya, perubahan tidak elok, tetapi perlu." 

"Keluaran dalam tangan anda," tulis Tina "ialah edisi terakhir Newsweek dalam bentuk bercetak.  Seterusnya, dalam minggu pertama Januari, akan muncul dalam iPad atau Kindle atau telefon anda."  Pada akhir Februari, tulis beliau lagi, "anda akan lihat evolusi penuh Global Newsweek semua digital, sesuatu keistimewaan baru, yang kini sedang dibangunkan."

Tina Brown yang dipersalahkan oleh sesetengah pihak apabila beliau mengumumkan beberapa bulan lalu bahawa edisi bercetak majalah ini akan berakhir, bagaimanapun, menegaskan bahawa "sesuatu yang tidak akan berubah, dan adalah bahawa komitmen kami terhadap kewartawanan tentang kualiti yang sangat tinggi."   Beliau juga mengucapkan sayonari kepada edisi bercetak, mengucapkan terima kasih kepada 1.5 juta pembaca setia, dan memohon restu mereka dan seterusnya menyertai beliau dan pasukannya tahun depan dalam masa depan semua digital.

Dalam keluaran terakhir  itu juga terkandung makalah tentang peperangan jenama X, iaitu persaingan antara dua majalah berita yang terkenal di dunia, Newsweek dengan Time.  Persaingan ini, diungkap semula dan diulas oleh Evan Thomas, "Editor  at Large"  Newsweek dan Jim Kelly, bekas Editor Urusan Time


Tatkala Newsweek memilih jalan "membunuh diri," Time meneruskan tradisinya pada setiap akhir/awal tahun dengan "Person of the Year."  Pada kali ini, Presiden Barack Obama menjadi pilihan majalah tersebut, manakala Malala Yousafzai menduduki tempat kedua, Tim Cook (ketiga), Mohamed Morsi (keempat), dan Fabiola Gianotti (kelima).  Tentang Barack Obama, makalahnya ditulis oleh Michael Scherer - cukup terperinci dan analitis, mencakupi pasukan beliau di Rumah Putih, dan kempennya di Chicago, dan mereka yang terlibat dalam kempen kejiranan Obama di daerah Cuyahoga, Ohio, yang membawa kemenangan beliau untuk penggal kedua.

Friday, December 28, 2012

Petua Elak "Potong Stim"

JUMAAT,  28  Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Bagi warga yang tinggal di Lembah Kelang, mereka selalu melihat iklan "Ubat Kuat Lelaki" yang ditampal atau dilekatkan di mana-mana sahaja.  Dalam Facebook juga kelihatan iklan yang mempromosikan daya tahan lelaki ketika mengadakan hubungan seks. 

Sebenarnya, wujud pelbagai faktor yang menentukan prestasi seks seseorang lelaki terutamanya, seperti peranan pasangan, persekitaran atau suasana, bahkan ada yang berkata, "kekuatan kepala bawah bergantung pada kepala atas."  Maksudnya, jika fikiran kita terganggu atau "terbayang yang bukan-bukan" boleh menjejaskan prestasi. 

Drs. Chuck dan Jo-Ann Bird, mengemukakan lima cara yang boleh merosakkan kehidupan seks seseorang, antaranya berfikiran negatif atau kalah sebelum berjuang tentang seks dan tertumpu semata-mata pada prestasi. 

Bagi yang berminat, anda dapat mengikuti pandangan pakar ini melalui: http://www.yourtango.com/experts/drs-chuck-and-jo-ann-bird/your-sex-life-healthy.

Selamat mencuba!


Pertumbuhan Ekonomi China Tahun 2013

JUMAAT, 28 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala pertumbuhan ekonomi global dijangkakan masih lembap pada tahun 2013, tumpuan diberikan terhadap negara membangun dan ekonomi sedang muncul, termasuk lima buah negara Afrika

Untuk China, menurut carta harian The Economist, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangkakan tumbuh antara tujuh hingga lapan peratus pada tahun 2013, dengan penggunaan dan pelaburan memberikan sumbangan utama.


Pelancongan Warisan

JUMAAT, 28  Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sebelum ke Taman Negara Grand Canyon, kami singgah untuk makan tengah hari di Best Western Premier, di sini terletak Great Restaurants. Perjalanan kami mengambil masa kira-kira tiga jam Gateway Station Mini-Mart untuk sampai di sini.  Tidak banyak pilihan makanan - makan ala kadar sahaja. Oleh sebab masa masih ada, selepas makan, saya sempat membeli  cenderamata bermagnet di kedai yang terletak di sebelah restoran,  dan  berlegar-legar di luar restoran sambil mengambil gambar.  Terasa cuaca sejuk.

Pukul 2.00 tengah hari, kami bertolak ke Sembir Selatan Taman Negara Grand Canyon, iaitu  Bright Angel, dengan di kiri kanan, saya perhatikan pokok-pokok yang kelihatan subur. Untuk tiba di sini, perjalanan kami memakan masa hanya 15 minit. Sebelum turun dari bas, seperti biasa, pemandu berpesan,  kali ini tentang masa kami bertolak semula: 3.45 petang. 

 Untuk melihat pemandangan Grand Canyon, kami memasuki dan melalui Bright Angel Lodge.  Sebenarnya, tidak lama saya dan isteri di sini kerana cuaca terlalu sejuk, sekadar menikmati keindahan alam semula jadi untuk seketika sambil berbual-bual dengan beberapa orang anggota rombongan kami. 

Saya dan isteri berpatah balik menuju ke Bright Angel Gift Shop yang terletak di dalam Bright Angel Lodge bersama-sama beberapa orang lain.  Isteri saya membeli kemeja-T untuk anak kami dan Desert Night Desert Day oleh Anthony D. Fredericks, buku cerita kanak-kanak, untuk cucu kami, Dania.  Saya mencari kemeja-T, dengan nasihat pemandu pelancong, saya membeli sehelai - itulah satu barang atau pakaian yang saya beli untuk diri saya ketika makan angin di Amerika Syarikat, di samping satu botol minyak wangi Dunhill. Di sini juga saya membeli empat kunci cenderamata.  

Tatkala isteri saya masih di dalam kedai, saya mengambil keputusan untuk di luar kedai.  Tiba-tiba saya terpandang jam dinding yang menunjukkan waktunya 4.00 petang.  Rupa-rupanya waktu  Arizona satu jam lebih awal dari waktu California.  Selepas menaiki bas semula, barulah pemandu pelancong memberitahu perkara ini dan mengingatkan bahawa kami menggunakan masa California. 



Saya berehat seketika di luar Lodge sambil menikmati pemandangan keliling dan memerhatikan orang keluar masuk.  Banyak juga pelawat yang datang ke sini.  Ketika saya dan isteri menuju ke arah bas, kelihatan renjer wanita menulis saman dan menjelaskan sesuatu kepada pemandu bas kami.  Saya mendengar dia memberitahu bahawa pemandu bas itu "kamu mempunyai dua opsyen," tetapi saya tidak mahu menyibuk, terus menaiki bas. 

Kemudian, saya memberitahu pemandu pelancong, Benny tentang peristiwa itu dan mendengar renjer wanita itu berkata, "kamu mempunyai dua opsyen."  Dia menjelaskan bahawa pemandu salah letak bas dan insurans yang tamat tempoh sudah diperbaharui, tetapi tidak dibawa bersama-sama.  Tentang opsyen yang diberikan, jelas Benny, "Mengaku salah atau pergi mahkamah.  Tidak perlu cakap banyak."  (Beberapa buah bas lain juga saya dapati dikeluarkan saman.)

Ketika di dalam bas sambil menunggu anggota rombongan lain, saya sedari bahawa 4.30 petang waktu Arizona, hari mula gelap.  Di sini juga mempunyai tempat penginapan dan kelihatan beberapa pasangan tiba dengan membawa beg - mungkin percutian hujung minggu kerana hari itu ialah hari Jumaat.  

Pukul 4.50 petang (waktu Arizona), kami bertolak ke Mather Points, yang  dinamakan sempena Stephen Mather, pengarah pertama Perkhidmatan Taman Negara, yang terletak tidak jauh dari Bright Angel Lodge. Kami di sini tidak lama, dan terpaksa bertolak ke Williams, untuk menginap satu malam di Holiday Inn.  Hari semakin gelap, perjalanan ke sana, menurut pemandu pelancong, mengambil masa satu jam. 

Taman Negara Grand Canyon, diberikan taraf tapak Warisan Dunia oleh Unesco pada 24 Oktober 1979.  Kira-kira lima juta orang melawat Grand Canyon setiap tahun dengan panjang 277 batu, 18 batu lebar, dan  satu batu dalam.

Kami tiba di hotel penginapan kira-kira pukul 6.25 petang waktu Arizona (5.25 petang waktu California), sudah pun malam.  Berdekatan hotel itu kelihatan Shell, Mobil, McDonald's dan Pizza Hut. Selepas daftar masuk dan menyimpan beg di dalam bilik masing-masing, kami semua turun untuk makan malam  di restoran yang terletak di lobi hotel.  


Thursday, December 27, 2012

Madu, Batu, dan Tupai

KHAMIS,  27 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Bas yang membawa kami semakin jauh meninggalkan Las Vegas, bergerak di atas jalan raya yang merentas gurun dan bukit-bukau, dan kadangkala kawasan kediaman.  Ada kalanya memasuki kawasan badar, dan menurut pemandu pelancong, kami menuju ke Hoover Dam.  Kadangkala di kini dan kanan jalan kelihatan kabel dan tiang elektrik.  Masih melalui bukit-bukau dan gurun dengan tumbuhan renek.  Sebenarnya, kami hanya lalu di kawasan empangan tersebut.

Pada pukul 9.40 pagi kami "singgah untuk ke tandas" di Gateway Station Mini-Mart, Arizona.  Ketika turun dari bas, saya dapat merasakan angin bertiup kencang menerjah muka. Saya dan bersama-sama beberapa orang lelaki lain, seperti biasa mencari tandas, manakala wanita terpaksa beratur panjang. Di sini, kebanyakan daripada kami mengambil kesempatan membeli barang keperluan, seperti makanan, gula-gula, dan ada yang membeli kemeja-T dan cenderamata.  

Saya merayau-rayau di dalam kedai memerhatikan barang yang dijual dan ke peti sejuk untuk melihat minuman. "Rayau punya rayau,"   tiba-tiba saya terpandang madu lebah, teringin benar saya membeli dan menikmatinya, tetapi botolnya terlalu besar, tidak habis selama berada di Amerika Syarikat.  Saya menunjukkan botol yang mengandungi madu itu kepada pemandu pelancong, Benny, dan dia berkata, "Buat apa beli.  Besar sangat, mana boleh habis."

Melihat madu lebah teringat saya pengalaman makan angin di Turki pada tahun 2010 apabila di sebuah tempat berhenti, saya menikmati yogurt yang dicampur madu dan dimakan dengan roti.  Sejak itu, setiap kali bersarapan, saya akan mencampurkan yogurt dengan madu dan dimakan dengan roti.  Saya pernah mengamalkannya seketika apabila pulang ke tanah air.  Di Turki, sesetengah hotel bukan sahaja menyediakan madu, bahkan juga madu bersama-sama sarangnya.  Terasa akan keaslian madu apabila saya memotong sarang madu itu - kalau di kampung-kampung kita, hanya pencari madu lebah yang berbuat demikian.  

Saya pernah berbincang dengan Lim, pesara guru, dari Johor Bharu, yang bersama-sama isterinya dalam  rombongan kami ke Amerika Syarikat.  Dia yang pernah ke Turki juga  berasa seronok apabila memotong sarang madu, bahkan dia membeli madu lebah untuk dibawa balik ke Malaysia.

Kira-kira pukul 10.00 pagi, bas meneruskan semula perjalanan, melalui kawasan gurun, tidak banyak rumah yang kelihatan.  Setengah jam kemudian, saya dapati bas mula menaiki kawasan tinggi, terpaksa bergerak perlahan, manakala matahari semakin tinggi dengan sinarnya menerjah muka saya. Hanya sekejap mendaki tanah tinggi, perjalanan kami mula memasuki kawasan pekan, kelihatan stesen Chevron dan beberapa stesen lain, dan Carl's Jr.,


Apabila kami semakin sampai di  Grand Canyon, pemandu pelancong mengingatkan kami agar tidak mengambil batu di sana kerana ini merupakan satu kesalahan. "Boleh dilihat, tetapi tidak boleh ambil apa-apa sahaja di Grand Canyon," dia menasihat sambil memberikan alasan, "jika setiap orang mengambil batu, nescaya batu di Grand Canyon, lama-kelamaan akan pupus.  

Dia menceritakan suatu peristiwa seorang pelawat yang degil - tidak mendengar nasihat mengambil batu di Grand Canyon untuk dibawa pulang.  Tiba-tiba kelihatan  kenderaan renjer mengejar,   dan pegawai renjer menahan bas itu dan megarahkan  semua orang turun.  Ketakutan, pelawat itu menyembunyikan batu yang diambilnya di celah kerusi bas.  Apabila seorang demi seorang diperiksa oleh renjer, batu tidak ditemui, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan. Tiba di hotel, barulah diketahui di manakah batu itu disembunyikan.  Batu diambil dan dicampakkan di situ, tidak ada  orang yang berani menyimpannya.

Peringatan tentang batu sekali lagi membangkitkan memori saya di Turki apabila pemandu pelancong dari negara itu mengingatkan kami bahawa kami boleh menyimpan batu setakat di Istanbul - tempat terakhir kami  sebelum berangkat pulang ke Malaysia.  Di negara itu, membawa keluar batu juga satu kesalahan, dan hal ini pernah saya catatkan dalam "Politik Pasir" yang  diterbitkan dalam Dewan Masyarakat dan baru-baru ini saya masukkan dalam blog ini.  Saya masih ingat akan pesan pemandu pelancong itu, "hari ini anda mengambil batu keluar, kemudian sebuah bangunan, dan seterusnya sebuah bukit."

Di Turki, menurut pertimbangan saya, batu dilihat dari segi kedaulatan negara bangsa, manakala di Arizona, batu dilihat dari segi kelangsungan ekologi:  Grand Canyon mungkin terhakis oleh tiupan angin, tetapi tidak boleh dibiarkan terhakis oleh angkara manusia.

Pemandu pelancong juga mengingatkan kami agar jangan beri tupai makan kerana itu juga suatu kesalahan.  Biarkan tupai mencari makanannya sendiri.  Jika tupai diberikan makanan, tupai menjadi malas untuk mencari makanan sendiri, sebaliknya bergantung pada yang disediakan oleh manusia. Di Taman Negara Grand Canyon saya ternampak notis amaran:  "Do Not Feed the Squirrels!" kerana tupai boleh membahayakan manusia.


Wednesday, December 26, 2012

Las Vegas dalam Kenangan

RABU, 26 Disember 2012
Oleh: ZULKIFLI SALLEH

Pada kedinginan pagi
Rasa gembira berbaur hiba
Daku bergerak meninggalkan
Kota percutian, kota perjudian.

Dalam sekelip waktu
Daku harungi gelora nafasmu
Tanpa digoda rasa lesu lambaian jemu
Lemas daku dalam dakapan rindu
Las Vegas mekar di kalbu.

Setelah dua malam di Monte Carlo, selepas sarapan, saya dan isteri mengangkat beg yang semakin memberat ke lobi untuk perjalanan seterusnya.  Kami bertolak pukul 8.30 pagi untuk ke Grand Canyon, Arizona.


Seperti lazim, pemandu pelancong, Benny Low "berceloteh" di hadapan, memberitahu sesuatu, berkongsi pengetahuan.  Dia memberitahu bahawa di Las Vegas, wujud 25 buah hotel, besar dan kecil. Dia juga memberitahu bahawa 400 juta orang ke kota itu setiap tahun.  Saya berpendapat suatu jumlah yang amat besar, mungkin saya silap dengar.  

Fakta yang saya peroleh melalui Internet, menunjukkan pada tahun 2011, jumlah pelawat ialah 38.9 juta orang, kedua tertinggi selepas tahun 2007 yang mencatatkan 39.2 juta orang pelawat. Beberapa hari kemudian, melalui USA Today, saya mendapat tahu bahawa Las Vegas juga menjadi tumpuan penerbangan antarabangsa. Kira-kira 15 peratus penerbangan yang mendarat di McCarran International Airport ialah pelancong antarabangsa.  Pegawai pelancongan Las Vegas berharap untuk meningkatkan bahagian pelancong  antarabangsa daripada 16 peratus kepada 30 peratus daripada kira-kira 39 juta orang jumlah pelawat setiap tahun dalam dekad yang akan datang. 




Pada malam kedua, selepas pulang dari Premium Outlets, saya dan isteri tidak ke mana-mana,  Saya tidak pasti akan anggota rombongan yang lain, sama ada mereka keluar semula selepas pulang ke hotel.  Selepas mandi dan "kena" mi segera dan minum kopi,  sambil membaca USA Today, saya bersiap untuk ke lobi untuk berlegar-legar di kasino memerhatikan kaki judi mempertaruhkan nasib mereka. 

Di kasino saya terserempak dengan Benny yang baru pulang bersama-sama seorang anggota rombongan kami dan dua orang anak saudara wanita itu.  Dia memberitahu saya bahawa dia menemani mereka keluar makan.  Dia bersama-sama saya seketika untuk berbual-bual sambil berjalan dari sebuah mesin ke sebuah mesin judi sebelum beredar.  Saya pula ke McDonald's - sambil makan sambil berehat. 

Ketika berlegar-legar semula di kasino saya ternampak beberapa orang anggota rombongan kami mencuba nasib pada mesin judi.  Saya yang "buta kayu" sekadar melihat sahaja. Tidak seperti malam sebelum ini, pada malam terakhir ini, saya beredar dari kasino kira-kira 11.00 malam,  naik ke bilik hotel.  

Dalam perjalanan ke Hoover Dam dan seterusnya ke Grand Canyon, saya pernah memikirkan Las Vegas mengubah imej Nevada yang bergurun dan berbukit-bukau.  Mungkin tanpa kota percutian dan perjudian ini, nescaya Nevada kekal sebagai negeri gersang seadanya.  

Meninggalkan kota itu, di kanan jalan, kelihatan gurun dan bukit-bukau, juga kawasan perumahan. 

Catatan Tambahan

Selepas kira-kira dua minggu saya pulang ke tanah air, saya sedar  bahawa kasino bukan tempat yang selamat kerana pernah berlaku kejadian tembakan di Hotel Excalibur,  seperti yang dilaporkan oleh Daily News sehingga menyebabkan kematian. 

Tuesday, December 25, 2012

Membeli-belah Sakan

SELASA, 25 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Membeli-belah di Premium Outlets masuk pusingan kedua.  Kali ini di Las Vegas Premium Outlets: North. Saya dan anggota rombongan yang lain tidak berkesempatan ke sebuah lagi, iaitu Las Vegas Premium Outlets: South kerana bersiar-siar pada malam ketibaan kami.  

Selepas bersarapan di Monte Carlo dengan makanan yang agak berat, kami bertolak ke sana pada pukul 9.00 pagi.  Oleh sebab sekadar menghantar dan tidak menunggu kami, pemandu pelancong bertanyakan pukul berapa kami akan dijemput sambil mengingatkan bahawa membeli-belah tidak akan habis sampai bila-bila.  Kebanyakannya mencadangkan pukul 6.00 petang kami dijemput pulang.  Saya menjangkakan pukul 4.00 petang sudah memadai, "apa yang hendak dibeli selama berjam-jam."

Seperti biasa, apabila sampai di Las Vegas Premium Outlets:  North, pemandu pelancong meminta kami tunggu sekejap kerana dia ingin mendapatkan Shopper's Guide yang juga mengandungi peta, dan baucar diskaun.  Saya, seperti biasa, mengambil kesempatan untuk ke tandas seketika. Berbeza dengan di Gilroy, di sini, kedai adalah dua deret dengan ruang pejalan kami yang cukup luas. Kira-kira pukul 10.40 pagi, para pengunjung mula kelihatan, tetapi keadaan  masih belum sesak.

Oleh sebab saya dan isteri telah membeli beg tangan dan minyak wangi di Gilroy Premium Outlets di California, maka tumpuan kami (lebih tepat tumpuan isteri) kepada barang lain sambil mencari pakaian untuk cucu, Dania dan Hannah, dan  beats pro yang dipesan oleh anak lelaki saya.


Setelah keluar masuk beberapa buah kedai, termasuk berbelanja di  Polo Ralph Lauren,  kami singgah di Tommy Hilfiger.  Isteri saya banyak menghabiskan masa di sini: memilih dan membeli pakaian dan beg kecil untuk wanita.  Oleh sebab terlalu lama isteri saya meneliti dan memilih barang di sini, saya mengambil keputusan untuk di bangku yang terletak di luar di antara kedai itu dengan Polo Ralph Lauren.  Saya perhatikan bangku-bangku disediakan untuk para pengunjung untuk mereka menunggu dan berehat.  Sambil berehat mata saya tertumpu pada gerai buku Day by Day Calendar Co.  yang terletak di tengah-tengah laluan pejalan kaki dan  betul-betul di hadapan saya.

Coach masih menjadi tumpuan kami, tetapi kali ini kedai untuk lelaki.  Di sini, kami membeli dua dompet untuk dua orang anak lelaki kami.  Kami tidak membeli dompet untuk anak lelaki bongsu kerana isteri saya telah pun membelinya ketika dia makan angin ke Tokyo dan Hokaido kira-kira dua bulan sebelum ini. 


Sekali-sekala kami terserempak dengan beberapa anggota rombongan kami yang ke sana ke mari dan masuk kedai keluar kedai. Aziel yang begitu ghairah membeli-belah bersama-sama keluarganya kelihatan   membeli beg pakaian yang baru yang agak besar saiznya.  Saya sempat bertanya dia berapa harga, "AS$250," jawabnya, "Samsonite tidak dapat di Malaysia." Dalam perjalanan seterusnya selepas Las Vegas, ketika masuk dan keluar hotel, saya dapati sebilangan daripada kami mempunyai beg baru, sama ada yang bersaiz besar ataupun yang sederhana.

Selepas makan tengah hari yang agak lewat di medan selera, kami singgah di Starbucks untuk "kena kopi" - terpaksa beratur dalam barisan yang agak panjang. Oleh sebab "masa itu emas," kami mengambil keputusan minum sambil berjalan-jalan mencari barang.  Ada lagi yang belum dibeli, iaitu pakaian cucu dan beats pro

Untuk barang yang dipesan oleh anak kami, saya dan isteri pernah ke Bose yang juga ada di Las Vegas Premium Outlets.  Apabila saya menunjukkan gambar barang tersebut yang dimuatkan dalam telefon bimbit saya, pekerja kedai itu menunjukkan   kedai yang berdekatan, iaitu Zumiez. Setelah menunjukkan gambarnya dalam telefon bimbit saya, pekerja itu mengambil barang berkenaan yang  kelihatan sama seperti yang dipesan oleh anak saya, harganya AS$299.  Oleh sebab harganya agak tinggi, saya mendapatkan kepastian anak saya, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).  Jawapannya, "harga tidak mahal."  

Walau bagaimanapun, saya tidak mahu tergesa-gesa membelinya, lalu memberikan alasan kepada pekerja kedai itu bahawa saya sedang menunggu pengesahan daripada anak saya. Kedatangan kami kali kedua kedai ini memang ingin membeli barang berkenaan.  Selepas melihat barang itu sekali lagi, nyata bahawa adalah studio dan bukan pro, sedangkan yang kami cari ialah pro.   

Kami masih ke sana ke mari, mencari pakaian untuk dua orang cucu, kesemua kedai pakaian kanak-kanak kami singgah - sambil singgah di kedai-kedai lain.  Akhirnya,  sebelah petang, kami sekali lagi ke Tomy Hilfiger untuk membeli  pakaian cucu setelah puas mencari di semua kedai kanak-kanak, tetapi tidak ada yang sesuai: Carter's, The Children's Place Outlet, Disney Store Outlet, Gap Outlet - Kids & Baby, Gymboree Outlets, Oshkosh B'gosh, dan Polo Ralph Lauren Children.  

Kira-kira pukul 5.00 petang, saya dan isteri beransur-ansur bergerak ke kedai-kedai yang berdekatan dengan tempat menunggu bas yang akan datang menjemput kami dan anggota rombongan yang lain.  Beg beli-belah semakin banyak, ditambah dengan Lacoste dan Levi's. Ketika kami duduk di  bangku di situ -  menunggu kedatangan bas, anggota rombongan lain mula muncul dengan beg beli-belah masing-masing.  Ketika menunggu, isteri saya singgah di kedai berdekatan, mencari barang yang yang berkenan di hatinya. 

Ketika kami menuju ke bas,  kelihatan sebilangan anggota rombongan  kami, sembilan orang semuanya baru tiba.  Mereka sebenarnya mempunyai program lain, iaitu menaiki helikopter meninjau Grand Canyon dari udara, bayarannya AS$300.  Mereka dijemput di Monte Carlo pada awal pagi dengan menaiki bas dan dihantar pulang.  Oleh sebab mereka tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah, maka  mereka terus  ke Premium Outlets. Salah seorang daripada mereka, iaitu Go, memberitahu saya keesokannya bahawa dia dan keluarga pulang ke hotel kira-kira 11.00 malam  dengan menaiki teksi.

Hampir sehari suntuk kami di Premium Outlets.  Justeru, kami menolak cadangan pemandu pelancong untuk membawa kami makan malam. Bagi saya, mi segera masih belum habis.  Lagipun di bahagian lobi hotel di sebelah kasino ada McDonald's dan beberapa restoran lain. Malam ini saya akan berlegar-legar di kasino sambil makan jika lapar.


Monday, December 24, 2012

Edisi Bercetak Terakhir "Newsweek"

ISNIN,  24 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Seperti yang pernah diperkatakan dalam tulisan beberapa bulan lalu, Newsweek tidak lagi diterbitkan dalam edisi bercetak mulai Januari 2013, sebaliknya diterbitkan dalam bentuk digital sepenuhnya.

Dalam edisi bercetak terakhir, Andrew Romano menyusun sejarah lisan majalah bercerita itu - majalah yang tulisan Peter Goldman yang pernah dibaca oleh 20 juta orang setiap minggu antara tahun 1962 hingga 1988.  

Para pembaca dapat mengikuti tulisan Romano itu.  Bagi saya, terasa ingin benar memiliki edisi bercetak terakhir ini - harap dapat diperoleh dalam pasaran kita dan saya tidak terlepas kesempatan untuk memilikinya.


Sunday, December 23, 2012

Bahasa dan Keselamatan Tempat Kerja

AHAD, 23 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Laporan tentang kemalangan yang berlaku di loji ternakan ayam di Arkansas pada Jun 2011, seperti yang  diulas oleh S.A.P. dalam The Economist, menunjukkan bahawa arahan keselamatan ditulis dalam bahasa Inggeris,  sedangkan pekerja hanya bertutur dalam bahasa Sepanyol.  Hakikatnya, 68 peratus pekerja di loji itu bertutur dalam bahasa Sepanyol dan 12 peratus dalam bahasa Marshallese, bahasa Austronesia di Kepulauan Marshall.  Hanya 17 peratus pekerja loji itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka.  Centers for Disease Control (CDC) yang mengeluarkan laporan itu menegur  pihak loji kerana kegagalan menyediakan latihan yang betul dari segi bahasa pekerja.

Berikutan terbitnya laporan itu, S.A.P. meragui idealism gerakan hanya bahasa Inggeris di Amerika Syarikat.  "Pekerja  tidak tahu berbahasa Inggeris dan menyebabkan berlaku kemalangan yang serius.  Jika setiap orang dapat membaca dalam bahan keselamatan dalam bahasa Inggeris, mungkin kita dapat mengelakkan kemalangan seperti ini.  Akan tetapi, CDC menegaskan bahawa mengetahui bahasa Inggeris, bahkan mengetahui hanya bahasa Inggeris, mungkin tidak membantu."  

Tambah S.A.P. lagi, "bahan keselamatan selalunya ditulis dalam bahasa Inggeris peringkat universiti, meskipun penutur bahasa Inggeris di kilang biasanya rendah tahap literasi.  Penutur bahasa Inggeris secara relatifnya kurang di kilang.  Penutur bukan bahasa Inggeris tidak akan meninggalkan kilang pada masa terdekat, dan menafikan mereka sumber dalam bahasa mereka sendiri hanya mengetepikan masalah, dan bukannya menyelesaikannya."

Ringkasnya, dari segi  keselamatan pekerjaan, bahasa arahan sepatutnya difahami oleh pekerja. 

Mencari Syurga yang Hilang

AHAD,  23 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bagi pasangan suami isteri yang tidak lagi berminat mengadakan hubungan seks antara mereka, Laurie Watson mengemukakan tujuh petuanya untuk "naik galak" semula, iaitu:

1.  Bayangkan pasangan anda mempunyai pengalaman cermin dalam hubungan.
2.  Menjadi pakar penggoda.
3.  Sentuh, usap, jamah, ramas, dan  picit pasangan anda.
4.  Tawarkan pingat emas di atas katil.
5.  Mulakan, tunjuk galak.
6.  Setubuh dahulu, parti kemudian.
7.  Jadikan seks keutamaan kudus.

Bagi yang ingin mengikuti petua tersebut dengan mendalam, sila ukuti tulisan Laurie: 
http://www.huffingtonpost.com/laurie-watson/not-having-sex-how-to-start-again_b_2338754.html?utm_hp_ref=tw


Malam Segar Jiwa Bertenaga

AHAD,  23 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Pada keletihan ini 
Seharian dalam kembara
Bagai musafir berkelana
Tidak sempat mata melelap
Kaki melunjur
Wajar  daku mendekur di kamar hotel
Didakap nyaman dibuai mimpi.

Namun, tatkala malam mula mengepak
Lambaianmu meniup rasa memekar kesegaran
Lalu daku menyisi kamar mengorak jejak
Demimu Las Vegas.


Tidak seperti penginapan dua buah hotel sebelum ini yang sekadar semalaman, kali ini, di Monte Carlo, saya dan anggota rombongan  yang lain menginap selama dua malam.  Justeru, saya berasa selesa kerana tidak perlu mengemas pakaian dan mengangkat beg, berpindah-randah.  Oleh sebab saya  mendaftar masuk agak awal jika dibandingkan dengan sebelum ini, maka saya mempunyai masa untuk berehat seketika sebelum meneruskan program yang telah ditetapkan. Mungkin yang lebih penting, saya dapat menikmati kehidupan malam di Las Vegas dengan lebih bertenaga: mata tidak mengantuk, langkah tidak longlai.

Kira-kira pukul 6.30 petang, bas membawa kami untuk makan malam di Pampas.    Walau bagaimanapun, bas hanya menurunkan kami di tepi jalan, lalu kami berjalan kaki untuk ke sana. Di Pampas, kami dihidangkan barbeku Brazil: ikan salmon,  undang, dan tiram antaranya, dan salad.  Meja kami yang terdiri daripada saya suami isteri, Aziel bersama-sama ibu dan ibu mentuanya - isterinya tidak dapat ikut serta kerana menjangkakan kesukaran berjalan kaki dengan dua orang anak kecil -  hanya memilih makanan laut. 



Selepas makan malam, kami dibawa untuk menonton pertunjukan jalanan dan "persembahan  udara"  (mungkin istilah ini kurang tepat).   Beberapa orang daripada kami, mengambil kesempatan untuk bergambar dengan "One Million Dollars" dan  membeli kemeja-T "Las Vegas."  Beredar dari situ menuju ke bas yang akan membawa ke tempat lain; juga sekadar menurunkan kami di tepi jalan.  Maka, kami terpaksa berjalan kaki lagi untuk menikmati suasana malam.

Kali ini, pemandu pelancong membawa kami untuk menyaksikan gunung berapi yang meletus di hadapan Hotel Mirage. Selepas menunggu seketika, kira-kira pukul 9.00 malam, kami dapat "mengalami" sendiri suasana cetusan gunung berapi. Apabila suasana kembali normal, kami ke The Forum Shops Caesar, iaitu pusat beli-belah. Di sini, saya dan isteri tidak membeli apa-apa, sekadar meninjau-meninjau.  




Kami di sini hingga 10.00 malam sebelum beredar untuk menyaksikan pancutan air dari "anak sungai."  Selepas menyaksikan pancutan air itu saya memberitahu Aziel, "Las Vegas dibina berdasarkan konsep hiburan.  Serba-serbi hiburan.  Air dari "anak sungai' dapat dijadikan hiburan, meskipun sekadar  pacutan."  Dari sini, Aziel dan keluarga pulang ke Monte Carlo dengan menaiki teksi, manakala saya dan isteri bersama-sama pemandu pelancong dan anggota rombongan yang lain,  berjalan kaki untuk ke hotel penginapan.  

Meskipun sudah larut malam, mata saya masih belum mengantuk.  Selepas berehat di dalam bilik hotel seketika sambil menikmati mi segera dan minum kopi, saya meninggalkan isteri, turun ke bawah ke lobi kerana di sini ada kasino.  Sebenarnya, ketika pulang daripada bersiar-siar, salah seorang anggota rombongan kami, Go Kok Ling, mungkin dia mempunyai pengalaman, sambil lalu untuk ke lif hotel, menunjukkan beberapa mesin judi kepada saya.

Seorang diri, saya berpindah dari sebuah mesin ke sebuah mesin, dari sebuah permainan ke sebuah permainan, daripada buah kepada daun terup, memerhatikan kaki judi mencuba nasib mereka.  Tidak kurang juga wanita, tua dan muda yang mencuba nasib, juga tidak ketinggalan wajah orang Asia.  

Di sebuah mesin ketika memerhatikan seorang wanita "mat salleh" berusia akhir 20-an tahun (agakan saya), tiba-tiba dia mengajak saya duduk di sebelahnya, tetapi saya menolak.  Dia bertanya, "Dalam percutian."  "Ya," jawab saya ringkas, kemudian menambah, "bersama-sama isteri yang sedang tidur."  "Oleh sebab isteri kamu tidur, mengapa kamu tidak ke hotel saya," dia mempelawa - mungkin menggoda. Namun, saya menolak - saya bukan lelaki yang mudah "kelabu mata," apatah lagi masuk perangkap perempuan yang tidak dikenali  - sekadar  kenal sekejap di kasino.  

Sebaik-baik sahaja saya beredar, beberapa pekerja kasino menyuruh dia meninggalkan mesin itu.  Tanggapan saya, dia sudah kehabisan wang, dalam keadaan seperti itu, dia sanggup menggadai dirinya.  

Naik ke hotel kira-kira pukul 2.00 pagi, dengan terbayangkan wanita tadi dan teringat pesan  kawan-kawan yang lebih tua ketika saya remaja dan nakal yang lebih kurang begini: "Main perempuan, berfoya-foya, kita selalu menjaga badan, berpakaian kemas.  Orang minum arak setakat muntah, rebah, masih ada had.  Masuk bab judi, paling teruk, lupa anak isteri, lupa makan minum, badan busuk.  Rokok sebatang boleh berkongsi tiga empat orang.  Tidak ada had sama sekali sehingga wang dalam saku habis."  

Dengan kata lain, antara tiga maksiat ini, judi yang paling teruk pada  kehidupan pengamalnya.    Mungkin sedikit berbeza di Monte Carlo, orang berjudi berpakaian kemas, tidak selekeh.  Namun, hadnya masih tidak ada kerana saya perhatikan ketika saya lalu di kawasan kasino untuk bersarapan, masih ada orang yang berjudi, walaupun pada awal pagi.  Mengertilah saya bahawa kasino ini dibuka selama 24 jam tanpa tutup. 

Saya tidak memberitahu isteri tentang wanita itu,  mustahil seseorang suami memberitahu segala-galanya pada isterinya.  Namun, pada malam berikutnya, juga ketika di kasino, saya terserempak dengan pemandu pelancong, Benny, saya memberitahu perkara itu.  Dia ketawa sambil berkata, "Bahaya.  Kalau ikut, silap-silap kena ugut." 


Dia juga membangkitkan "risalah" yang dia berikan kepada anggota rombongan lelaki ketika kami bersiar-siar pada malam pertama - sekadar untuk dilihat, iaitu "khidmat perempuan" yang ditawarkan, siap dengan gambar dan harganya, termasuk pondan.  "Itu pun tak boleh pakai.  Kalau kita panggil ke  bilik kita, harga itu mungkin untuk lihat perempuan itu bogel. Kalau mahu pegang, kena tambah lagi; mahu 'main,' lain pula harganya," katanya dalam loghat Pulau Pinang.

Bagi saya, "jangan mudah jatuh cinta pada orang asing."  Jangan cari pasal. Malam di Monte Calo juga saya hayati dengan penuh curiga.  Sukar untuk dibayangkan pada keusiaan ini, masih ada wanita muda asing mempelawa saya ke hotelnya: masakan tempua bersarang rendah!


Friday, December 21, 2012

Las Vegas, Kami Datang!

JUMAAT,  21 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sebagaimana di San Francisco, kami hanya menginap satu malam di Park Inn, Fresco.  Dan seperti biasa juga, selepas sarapan, kami yang terdiri daripada 23 orang dewasa dan empat orang kanak-kanak bersama-sama pemandu pelancong, dibawa ke destinasi seterusnya:  Las Vegas. 

Bertolak dari Park Inn pukul 8.30 pagi, dalam perjalanan  saya mengambil kesempatan memerhatikan keadaan keliling sambil mencatatkan apa-apa yang saya lihat, dan sekali-sekala mengambil gambar.   Oleh sebab saya duduk di sebelah kanan bas, perhatian saya banyak tertumpu pada persekitaran di sebelah ini. 

Meneliti semula catatan ringkas saya, di sebelah kanan jalan, wujud pengedar kereta Honda, stesen Shell, dan ladang ternakan kuda.  Sepanjang jalan kelihatan ladang pertanian, ladang buah-buahan, dan ladang ternakan lembu. 

Sambil mendengar pemandu pelancong "berceloteh" di hadapan, mata saya asyik memerhatikan sebelah kanan jalan: ladang pertanian, Harley Davidson Motor, Lawrence Tractors Company, dan Akal Travel Plaza - masih lagi di California.  Sementara di sebelah kiri, kelihatan anggur, yang buahnya, menurut pemandu pelancong, dibuat wain.  Juga kelihatan stesen Chevron, Shell.  Ladang pertanian masih kelihatan.  Pada suatu ketika saya cuba mengambil gambar motel yang terletak di sebelah kanan jalan. Tidak ketinggalan McDonald's.

Pukul 10.00 pagi matahari memancar, beberapa orang anggota rombangan kami mula menurunkan langsir bas.  Saya masih berdegil masih tidak mahu melepaskan peluang untuk memerhatikan persekitaran di sebelah kanan, membiarkan cahaya matahari "menerjah" ke muka. Kelihatan Clarion Hotel, Rosdale Hotel, stesen Mobil, McDonald's.  

Kira-kira 25 minit kemudian, bas yang membawa kami singgah di Royal Truck Wash - masih di California - untuk berehat dan seperti biasa, membuang air kecil bagi orang yang macam saya terutamanya.  Dalam kalangan kami, ada yang membeli barang keperluan, seperti  air mineral berkotak-kotak kerana murah, gula-gula, kemeja-T.  Di sebelah Royal Truck Wash kelihatan stesen Shell dan Noble Romans Piza. 

Kami meneruskan perjalanan pada pukul 10.45; di sebelah kanan masih kelihatan ladang pertanian.  Sekali-sekala saya menoleh ke sebelah kiri yang  juga kelihatan ladang pertanian, dan jajaran bukit-bukau berpasir.  Pemandu pelancong memberitahu bahawa bukit-bukau kelihatan dekat, sebenarnya jauh, kira-kira satu jam perjalanan. Dia juga memberitahu bahawa ladang anggur - buahnya dijadikan wain. Bukit-bukau juga kelihatan di sebelah kanan.  Pendekat kata, di sebelah menyebelah jalan ialah bukit-bukau atau tanah tinggi.  Bukit-bukau yang gondol, rumput kekeringan.  Di sebelah kiri dan kanan juga kelihatan pokok yang sederhana besar.  

Pada suatu ketika, di sebelah kanan kelihatan bukit-bukau bertumbuhan dan pokok-pokok yang tumbuh.  Di atas bukit, kiri dan kanan jalan kelihatan benda, seperti kincir angin.  Tiba-tiba di sebelah kanan, muncul kereta api dengan gerabak yang panjang, J.B. Hunt Intermodal, yang bergerak perlahan.

Singgah di Barstow Station pada pukul 12.35 - di situ terdapat Burger King, McDonalds, Carl's Junior,  dan Seafood Shoppe.  Sebelum bas berhenti, pemandu pelancong mencadangkan kami makan di Carl's Junior kerana katanya, restoran ini tidak ada di Malaysia (isteri saya memberitahu saya sebenarnya, ada).  Sebilangan besar  kami ke restoran itu, manakala yang sebilangan kecil ke McDonald's.    Saya memesan kentang goreng dan Coca-Cola dan isteri saya hanya meminta aiskrim.  Minuman kami kongsi kerana boleh ditambah sesuka hati, termasuk minuman soda lain yang disediakan di situ.



Pukul 1.40 petang kami meneruskan perjalanan, dan kira-kira 3.15 petang, kami mula memasuki Las Vegas, kasino mula kelihatan. Akan tetapi, gurun dan bukit-bukau yang gondol masih kelihatan.  Saya cepat melihat Gold Strike Casino sebelum kami tiba di Monte Carlo - pukul 4.15 petang daftar masuk.  

Suatu perjalanan yang agak jauh, kiri kanan jalan gurun dan bukit-bukau.  Namun, demi Las Vegas kuharungi jua.




Thursday, December 20, 2012

Akhbar: Bukan Edisi Bercetak Merosot, Digital Meningkat

KHAMIS, 20 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pasaran iklan akhbar yang tenat di United Kingdom dilaporkan bertambah teruk pada tahun depan dengan akhbar kebangsaan diunjurkan menghadapi hampir sembilan peratus kemerosotan, yang akan menyaksikan hasil jatuh di bawah satu bilion paun untuk pertama kali.

Tatkala krisis kewangan melanda, industri persuratan di banyak negara, terutamanya di Amerika Syarikat, terpaksa menempuh detik sukar kerana kemerosatan hasil periklanan.  Di negara itu, beberapa akhbar memfailkan kemuflisan, terpaksa ditutup, atau meninggalkan penerbitan bercetak beralih kepada digital.

Baru-baru ini, The Economist melaporkan bahawa  Financial Times Deutschland (FTD), akhbar harian yang dilancarkan pada tahun 2000, akan menamatkan penerbitannya pada 7 Disember.  Hayat yang singkat bagi FTD mengejutkan kewartawanan Jerman, tetapi jelas bahawa akhbar ini gagal menguasai bahagian pasaran dan dikatakan menanggung kerugian terkumpul sebanyak AS$327 juta. 

Boleh dikatakan bahawa dunia persuratkhabaran berada di persimpangan, khususnya untuk edisi bercetak.  Seperti yang dicatatkan oleh Derek Thompson, "sesuatu yang menakutkan perniagaan akhbar, bukan kerana kemerosotan edisi bercetak, tetapi kerana pertumbuhan digital."   Thompson yang memulakan tulisannya memetik Emma Gardner yang mengemukakan tinjauan visual penerbitan digital pada tahun 2012.

Akhbar bercetak tidak mati, hujah Thompson, di Amerika Syarikat, akhbar itu meghasilkan AS$20 bilion setahun dari segi iklan.  Juga bukan isu jumlah pembaca.  "Lebih banyak orang membayar The Wall Street Journal dan The New York Times sekarang jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, jika anda mengambil kira langganan digital."

Bukannya kematian akhbar, hujah beliau lagi, dan sememangnya, bukan soal menakutkan perniagaan akhbar.


Beli-belah Sejak Awal Lagi

KHAMIS, 20  Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada hari kedua, kami mula memenuhi aktiviti yang merupakan kegemaran wanita terutamanya, iaitu beli-belah. Sepanjang  di Amerika Syarikat, Premium Outlets menjadi tumpuan kami kerana itulah yang diatur oleh agensi pelancongan. Daripada atur cara yang diberikan kepada kami oleh pemandu pelancong, Benny Low,  ketika di KLIA lagi, saya dapati beli-belah merupakan aktiviti utama.

Selepas makan tengah hari pada pukul 11.30 pagi di Hunan Restaurant di China Town, San Francisco, untuk memenuhi permintaan ramai, meskipun saya dan isteri, Lily agak keberatan, kami menaiki kapal persiaran pada pukul 1.00 tengah hari.  Saya dan isteri pada mulanya keberatan kerana kami pernah menaiki kapal persiaran ketika di Sydney pada tahun 2008 dan di Istanbul pada tahun 2010. Antara ketiga-ketiganya, di Sydney, kami rasakan yang paling bagus.

Program kami seterusnya selepas memuaskan kehendak majoriti itu, bas Lion Express membawa kami ke Garlic Capital,  California untuk membeli-belah di Gilroy Premium Outlets.  Setibanya di sana, pemandu pelancong memberi kami Shopper's Guide yang di dalamnya juga terkandung peta kawasan itu dan buku kecil baucar diskaun, tetapi baucar ini kami tidak gunakan kerana diskaun yang diberikan oleh pekedai lebih tinggi.  Kami diberikan masa selama tiga jam kerana selepas ini kami akan bertolak ke Fresno untuk menginap di sana.  

Kebanyakan kami tidak tergesa-gesa membeli-belah kerana "melepas" di tandas juga penting.  Di  Gilroy Premium Outlets yang merupakan kawasan kedai sederet yang luas, saya dan isteri terus mencari Coach Factory  Meskipun semasa dalam bas yang berlegar-legar untuk memasuki kawasan meletakkan kenderaan, Coach  Factory (juga ada Coach Men's) telah kelihatan dan berbekalkan peta di tangan, saya dan isteri menghadapi kesukaran mencarinya.  Akhirnya, saya bertanya dengan orang yang kami temui di situ, rupa-rupanya kami sudah hampir.  

Banyak masa kami habiskan di Coach Factory untuk memilih dan membeli beg tangan sebelum berpindah ke kedai Perfume dan Levi's - semuanya berdekatan.  Hari semakin gelap, walaupun baru pukul 7.00, saya dan isteri ke Applebee's untuk makan malam.  Di situ, saya dapati beberapa anggota rombongan kami yang mahu beredar, selesai makan, dan sedang makan.  Jelas bahawa saya dan isteri ialah orang terakhir dalam kalangan kami.  Mungkin kerana sibuk, pesanan makanan kami lambat tiba sehingga mendorong isteri saya memanggil pelayan minta disegerakan.  

Pemandu pelancong mencari kami dan memberitahu  bahawa pemandu ingin bertolak segera kerana perjalanan ke Park Inn, Fresno, tempat penginapan kami memakan masa dua jam.  Makanan yang tiba di meja kami tidak sempat dinikmati kerana pemandu pelancong menggesa supaya kami segera beredar, lalu isteri saya minta dibungkuskan sahaja.  Bayangkan bagaimana sukar untuk saya membawa ke dalam bas, walaupun letaknya tidak jauh: beg tangan, minyak wangi, Levi's, makanan, minuman, dan beg galas yang saya bawa ke sana ke mari.

Dalam kegelapan kerana lampu bas dipadamkan, saya menikmati ikan salmon dan kentang goreng dan Coca-Cola.  Isteri saya yang kekenyangan,  menawarkan makannya kepada saya, tetapi saya menolak kerana saya juga  kenyang.  Semasa di Park Inn, dia memberitahu saya, "sepatutnya kita pesan satu makanan sudah memadai kerana   banyak sangat."

Isteri saya nampaknya berasa terkilan kerana sebahagian masa digunakan untuk menaiki kapal persiaran, akibatnya masa beli-belah agak suntuk, tanpa dia sedari bahawa Premium Outlets sedang menunggu kami di Las Vegas.

Dalam perjalanan yang gelap, kami tiba di Park Inn pada pukul 9.30  malam.  Pemandu pelancong meminta kami menunggu sekejap sementara dia bertanyakan pihak hotel tentang blok kami menginap.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...