Artikel Popular

Friday, November 30, 2012

Politik Pasir

JUMAAT, 30 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam perjalanan dari Cappadocia ke Ankara, Turki,  sejauh 300 km,   bas pelancongan yang membawa kami tiba-tiba berhenti dua kali. Berhenti yang pertama, hanya pemandu bas dan pemandu pelancong  yang turun  dan kedua-duanya  kelihatan mencari sesuatu.  Kemudian, kami meneruskan perjalanan semula, tetapi tidak berapa jauh bas berhenti lagi.  Kali ini, selain mereka berdua,  beberapa pelancong dari Malaysia turut turun – mencari sesuatu di tepi jalan.  Apabila mereka semua naik semula ke dalam bas, pemandu pelancong  memberitahu bahawa pemandu bas mencari batu gunung berapi untuk kawannya  membuat ukiran.
            Seterusnya, dia mengingatkan pelancong Malaysia  itu bahawa batu tidak boleh dibawa   keluar   dari Turki, dan   perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan.    Sepanjang perjalanan, juga  semasa di Ankara, pemandu pelancong itu beberapa kali mengulangi peringatannya bahawa batu tidak boleh dibawa keluar:  “Kalau anda benar-benar ingin memiliki batu itu, anda boleh memilikinya setakat di Istanbul.”  (Destinasi terakhir kami sebelum pulang ke Kuala Lumpur.)
Meskipun  pada zaman ini maklumat, modal, dan manusia (termasuk buruh) bebas bergerak sehingga memudarkan  sempadan negara bangsa, namun seperti yang berlaku di  Turki, perjalanan batu ada batasnya.   Jika difikirkan secara mendalam,  peraturan itu  ada kewajaran atau rasionalnya kerana batu bersama-sama tanah, air, dan pasir merupakan bumi, dan oleh itu, ialah  wilayah dan kedaulatan sesebuah negara.   Nasionalisme tidak semestinya selalu tunduk pada telunjuk  globalisasi.
Sesungguhnya,  pemandu pelancong itu memberikan tutorial ringkas yang amat berguna: “Kalau anda membawa keluar batu, selepas ini  anda akan membawa keluar sebuah bangunan, sebuah gunung,  kemudian   sebuah negara.”   Sesuatu yang amat bernilai yang wajar dipelajari daripada  peringatan   itu   ialah bagaimana Turki   menyemai dan memupuk semangat  kecintaan terhadap negara dalam kalangan rakyatnya, hatta sebiji batu tidak boleh dibawa keluar.  Benda yang kecil, seperti batu dan pasir yang mungkin bagi kebanyakan orang  dianggap remeh,  tetapi amat penting dari segi   kedaulatan dan keselamatan negara, dan oleh itu, tidak boleh ditolak ansur sama sekali.
Apabila mendengar peringatan pemandu pelancong  itu, fikiran saya  terus terbayang kepada     berleluasanya  penyeludupan   pasir  dari beberapa buah negeri    di Semenanjung Malaysia ke negara jiran. Bahkan, pernah didedahkan banyaknya lori yang mengangkut pasir ke Singapura, tetapi pihak berkuasa menafikannya.  Fikiran saya juga  teringat    akan  seorang anggota Parlimen daripada parti  pembangkang yang mengemukakan soalan di Dewan Rakyat mengapa pasir tidak dieksport ke Singapura.  Seandainya dia memahami pengajaran moral  mengapa batu tidak boleh dibawa keluar dari Turki, pastinya dia tidak berani menunjukkan kejahilannya dengan mengemukakan soalan sedemikian.  Hari ini, pasir, esok lombong pasir,  dan lambat-laun negara. Negara jiran yang memperoleh pasir, sama ada melalui eksport ataupun penyeludupan, boleh menggunakannya untuk pelbagai tujuan, daripada pembinaan kompleks perniagaan kepada kompleks pertahanan.
Bagaimana strategiknya pasir bagi Singapura pernah mendapat  liputan akhbar The New York Times pada 16 Mac 2007.  Dalam makalah Neighbor Leaves Singapore Short of Sand” Wayne Arnold dan Thomas Fuller menulis, “Sesetengah negara mempunyai rizab minyak strategik; manakala negara lain mempunyai simpanan stok beras atau gandum.  Negara pulau Singapura mempunyai rizab kecemasan  pasir diimport. Pasir disimpan  di sana untuk menjamin permintaan Singapura yang tidak pernah puas untuk membina konkrit, peringatan mudah terdedahnya sebagai sebuah negara tanpa daerah pedalaman untuk membekalkan negara itu dengan sumber yang cukup penting.”
 Menurut tulisan  itu lagi, kerajaan Singapura kini terpaksa menggunakan sorokan pasirnya selepas pembekal biasanya, iaitu Indonesia tiba-tiba melarang eksport pada bulan Februari, dengan alasan impak ledakan pembinaan Singapura terhadap alam sekitar pantai dan pulau-pulau di Indonesia. Kini, dengan harga pasir hampir tiga kali ganda sebelum larangan kerajaan Indonesia, Singapura mengggunakan simpanan stok pasirnya sementara mencari pembekal baru.
Bagi mereka yang tidak peka terhadap tindak tanduk Singapura yang tidak mempedulikan kepentingan negara jirannya, terutama Indonesia, Malaysia, dan Thailand,  di sini dipetik penegasan Arnold dan Fuller, “Larangan itu menambahkan lagi   hal-hal terkini dalam rangkaian pertikaian antara Singapura dengan jiran-jirannya terhadap air, penebusgunaan tanah, konsesi satelit, pengambilalihan korporat, dan pola penerbangan Tentera Udara Singapura, sekadar menyebut beberapa contoh.”
Sekali air bah, sekali pasir berubah. Walau bagaimanapun, dalam konteks politik Malaysia apabila beberapa kepimpinan negeri bertukar  tangan selepas Pilihan Raya Umum 2008, peribahasa ini  tidak selalunya benar. Janji tinggal janji.    Jika Barisan Nasional (BN) lazimnya  dikaitkan dengan politik kayu balak, kini Pakatan Rakyat (PR) boleh dikaitkan dengan politik pasir.  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang tepat apabila beliau menyamakan  pembangkang seperti burung kakaktua  yang hanya pandai mengkritik,  tetapi tidak tahu mentadbir apabila berkuasa. Beliau  berkata,  seperti  dalam isu pasir apabila kerajaan negeri Selangor ternyata tidak dapat menyelesaikannya, sedangkan mereka ini pada masa sama hebat mengkritik kerajaan Pusat dalam isu yang lain.
Mungkin ada yang berhujah bahawa dakwaan beliau itu  lebih mencerminkan pendirian pihak  yang bersengketa dari segi politik.  Namun begitu,  keluh kesah rakyat yang   membuak dan bergelora memperlihatkan pendirian yang senada.  Ketika  perlombongan pasir di Selangor terus-menerus dibongkar, akhbar The Malay Mail pada  26 Julai lalu  melaporkan duka nestapa penghuni rumah pangsa kos murah Hulu Kelang, Selangor tentang bekalan air yang mereka ungkapkan dalam bentuk pantun:  Air kami kena cantas/ Pasir habis kena kebas/ Cukai pintu janji melepas/ Ceramah lebat kerja HAMPAS.
Sesungguhnya, perlombongan pasir di Selangor  menghangatkan lagi pergolakan politik  di negeri itu khusus dan di peringkat negara amnya.  Pendedahan aktiviti perlombongan pasir itu – menurut cerdik pandai politik -  Selangor dilanda  oleh skandal.  Pendedahan baru-baru ini tentang aktiviti perlombongan pasir yang begitu hampir dengan Paya Indah Wetlands dikatakan adalah terlalu buruk terhadap pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim – dari segi kesan alam sekitar, di samping cara syarikat diberikan hak eksklusif untuk lombong pasir menjalankan perniagaannnya. 
Walau bagaimanapun, politik pasir bukan hanya berlaku  di Selangor, bahkan juga  berlaku di tempat lain, seperti di Oregon, Amerika Syarikat, yang sedikit sebanyak ada persamaannya.   Sebagaimana di Selangor, politik pasir di Oregon menyaksikan  pertembungan antara kepentingan swasta dengan kepentingan awam.  Filem dokumentari Politics of Sand  mendedahkan sejarah yang mendalam tentang pantai Oregon memberikan tumpuan terhadap politik yang semakin pudar dan  usaha yang dicurahkan  untuk memastikan pantai itu  boleh digunakan oleh orang awam.  Pertarungan untuk memulihara pantai Oregon untuk kegunaan orang awam yang digunakan sejak turun-temurun, menjadi sengit dan semua warganegara di seluruh  Oregon terlibat secara berani dalam konflik yang berpunca daripada pemilikan swasta pantai itu.  Berlaku ancaman peribadi, bilik-bilik dipenuhi asap,  pengesanan perbualan telefon, ancaman pekerjaan, dan banyak sekali perebutan politik.
Dalam keadaan yang lebih serius, politik   pasir  boleh membawa kepada  pertumpahan darah.   Sebaliknya, di Selangor, bagaimana  tegang dan runcingnya politik pasir,  sekadar melibatkan tunjuk perasaan, laporan polis,  ceramah politik, dan   gembar-gembur media.  Di kampung Birbhum, India,  seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Telegraph pada awal Jun tahun ini, “Sand Politics Turns Bloody,”   tiga orang penyokong Communist Party of India (CPM),  disyaki dipukul hingga mati oleh penyokong Trinamul Congress.   Menurut polis, pembunuhan itu kemungkinan  kesan sampingan persengketaan yang berpunca daripada mengorek pasir di tebing sungai di Labhpur 250 km dari Calcutta.  Tiga lelaki bersepupu itu  membeli pasir daripada dua pemegang permit dikatakan berasa bimbang kemungkinan perniagaan dirosakkan oleh pihak ketiga.  Menurut akhbar itu lagi, perdagangan pasir di tempat itu bernilai  lebih Rs70,000 sehari.
Meskipun nilai pasir di Selangor tidak setinggi nilai pasir minyak di Kanada, namun kedua-duanya tetap mempunyai  persamaan.  Perlombongan  pasir sering menjadi sasaran  tuntutan yang bercanggah, iaitu  antara kepentingan perniagaan dengan kepentingan alam sekitar. Ketika Presiden  Barack Obama melawat Kanada pada Februari tahun lalu, ketibaannya di Ottawa disambut oleh kain rentang aktivis Greenpeace, “Climate Leaders Don’t Buy Tar Sands”,  yang mendesak beliau mengambil pendirian yang tegas tentang pasir minyak yang banyak sekali di negara itu. Pasir minyak mewakili rizab yang sangat besar di luar Timur Tengah, tetapi mengeluarkan minyak mentah yang tebal dari pasir mengeluarkan jumlah yang banyak gas rumah hijau, yang menjadi punca kehangatan global. “Presiden Obama dan orang awam Amerika perlu tahu bahawa tar pasir mengeluarkan minyak yang kotor di bumi ini.  Pasir tar merupakan bencana kehangatan global antarbangsa,” kata Mike Hudema daripada Greenpeace.  Walau bagaimanapun, dikatakan masalah bagi Obama ialah bahawa Kanada ialah pembekal tunggal terbesar tenaga ke Amerika Syarikat. 
Tatkala perlombongan  pasir di Selangor masih hangat lebih-lebih lagi  kerana melibatkan percakaran politik, pada kulit depan majalah The Economist dalam keluaran 17 – 23 Julai 2010, terpampang, “Shifting Sands:  Change in Coming to the West’s Arab Allies”   dengan gambar lukisan seakan-akan wajah Presiden  Hosni Mubarak – dengan seluruh  badannya, kecuali kepala dan tangan kanannya yang masih terangkat,  ditimbusi oleh pasir.  Sungguh kuat kuasa pasir sehingga presiden mampu ditelannya.    Rupa-rupanya  heboh tentang pasir tidak hanya berlaku di Selangor, bahkan juga kedengaran di dunia Arab, sehingga mendapat liputan media antarabangsa.  Akan tetapi,  di sini mengorek, di sana mengalih.  Di sini wang, di sana kuasa, tetapi wang dan kuasa saling berkaitan: politik dalam perniagaan.
Dalam rencana utamanya, “Thanks You and Goodbye”  majalah itu menyebut bahawa dua buah negara yang paling penting di dunia Arab terletak dalam tangan autokrat yang tua, iaitu Hosni Mubarak di Mesir dan Raja Abdullah di Arab Saudi.  Mungkin kedua-duanya akan dapat mengawal pewarisan.  Namun begitu, majalah itu mengingatkan bahawa peralihan dalam autokrasi selalunya bermakna ketidakstabilan.  Nasib kedua-dua negara ini penting kepada Barat kerana dua alasan:  tenaga dan keselamatan.  Mesir dan Arab Saudi ialah sekutu yang boleh dipercayai, walaupun cacat.  Jika kedua-dua negara ini terhuyung-hayang, kepentingan Barat di dunia Arab dalam bahaya.  Oleh sebab itu, rejim berkenaan perlu digalakkan untuk melonggarkan lagi sistem ekonomi dan politik negara mereka dan mengubah sistem berkenaan menjadi kedudukan yang memberikan harapan dan bukannya ketakutan.
Jika pemimpin di  negeri-negeri  yang terlibat dalam perlombongan  pasir melihat  gambar lukisan   Hosni Mubarak yang ditimbusi pasir, pasti mereka  dihantui oleh  bayang-bayang yang mengerikan!   Seakan-akan memberikan peringatan bahawa  jangan cuba mengorek pasir kerana silap langkah, boleh tertimbus diri sendiri!  Sebagaimana tsunami, pasir juga mampu menelan apa-apa dan sesiapa sahaja.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Oktober 2010.)


Thursday, November 29, 2012

Di Ambang Kemelesetan Curam Berganda?

KHAMIS, 29 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam laman webnya, Immanuel Wallerstein daripada Yale University, membangkitkan sesuatu yang menjadi bayang-bayang yang mengerikan kebanyakan orang.  Dalam makalah dwibulanannya pada pertengahan Mei tahun ini, “The Anatomy of Fear,” beliau menulis bahawa “takut  merupakan emosi orang  awam yang paling merebak di kebanyakan dunia hari ini.  Ketakutan ini bukannya tidak rasional, tetapi tidak semestinya membawa atau menuntun cara yang bijak dalam menangani bahaya yang ditanggapi.”  Wallerstein merujuk kepada dua peristiwa yang berlaku, iaitu pertama terjunam secara dramatik nilai pasaran saham di Bursa Saham New York, antaranya adalah angkara jari gemuk (fat finger).  Kedua, rusuhan di Athens yang menyebabkan tiga nyawa terkorban dan rusuhan itu masih berterusan. 
Pada perenggan akhir makalah itu, beliau mengulangi bahawa takut  bukannya tidak rasional.  Ketakutan merupakan akibat krisis struktur sistem-dunia.  Ketakutan tidak dapat diselesaikan oleh band-aids yang kerajaan gunakan untuk mengubati penyakit yang serius yang kita hadapi hari ini.  Apabila naik turun berlaku terlalu besar dan terlalu pantas, tiada sesiapa pun dapat merancang secara rasional.  Justeru, orang ramai tidak lagi bertindak sebagai pelaku rasional yang menggunakan akal dalam ekonomi-dunia normal secara relatifnya.  Namun begitu, Wallerstein lupa untuk mengingatkan bahawa apabila orang mempunyai keyakinan mereka tidak perlu berasa takut.
Krisis ekonomi yang berlaku dua tahun lalu, boleh dikatakan meletakkan kebanyakan orang dalam ketakutan.  Keadaan ini  amat sukar untuk reda.  Meskipun sinar harapan kelihatan  bercahaya di hujung terowong, namun sinar itu ada kalanya kelihatan  suram.  Pucuk hijau yang   bertunas mula  nampak kekuning-kuningan.   Bayang-bayang yang mengerikan semakin  menjelma:  kemelesetan yang berpanjangan, pengangguran yang berleluasa, negara mungkin  jatuh muflis, dan yang terbaru kembalinya inflasi makanan. Enam bulan lalu, berhubung dengan tinjauan ekonomi dunia, majalah The Economist mengingatkan “kawal keghairahan anda.”  Mengalu-alukan pemulihan, tetapi dalam keadaan tidak seimbang, dengan bahaya bagi   Eropah yang lembap dan ekonomi yang sedang muncul berbusa.  Masalahnya ialah nasib baik ini tidak dikongsi bersama.  Kadar pertumbuhan yang kukuh di peringkat global menampakkan perbezaan antara wilayah adalah besar dan semakin besar.
Di Malaysia, belum pun reda kebimbangan tentang kesan  subsidi,  Tun Dr. Mahathir Mohamad,  mencuba untuk menarik perhatian bahawa Malaysia berkemungkinan mengalami kemelesetan curam berganda. Menurut beliau, muncul tanda kemelesetan curam berganda melanda negara Eropah dan keadaan ini akan secara tidak langsung mempengaruhi ekonomi Malaysia.  Bekas Perdana Menteri itu mengemukakan pandangan tentang ramalan ahli ekonomi dan penganalisis bahawa kemelesetan curam berganda mungkin berlaku dalam separuh kedua tahun ini dan sama ada Malaysia mengalami nasib yang serupa. 
Walau bagaimanapun, berbanding dengan subsidi, amaran kemelesetan curam berganda  ini kurang mendapat perhatian.  Seperti biasa, psikologi penafian turut kedengaran. Pihak kerajaan  memberikan jaminan bahawa Malaysia tidak menghadapi kemelesetan curam berganda kerana ekonomi negara berada pada laluan yang betul ke arah mencapai pertumbuhan tahunan yang diunjurkan, iaitu enam peratus.  Dalam kalangan  ahli ekonomi tempatan ada yang berkata Malaysia tidak mungkin berhadapan dengan kemelesetan curam berganda kerana negara telah keluar daripada fasa pertumbuhan yang perlahan yang berlaku beberapa tahun lalu.  Malaysia yang semakin bersepadu dengan Asia, pertumbuhan rantau ini secara berterusan akan memberikan rangsangan tambahan kepada ekonomi negara. 
Keyakinan yang diletakkan terhadap ekonomi Asia boleh dianggap  sebagai  berlebih-lebihan, meskipun tinjuan terbaharu Bank Pembangunan Asia (ADB) adalah memberangsangkan:  menaikkan unjuran pertumbuhan  tahun 2010 untuk 14 buah ekonomi Asia Timur kepada 8.1 peratus daripada 7.7 peratus yang diramalkan pada April.  Bagi sesiapa yang membaca makalah William Pesek, “Goldman's V Shape is Starting to Look Vulnerable” pastinya ada yang keberatan untuk belayar dalam perahu yang sama dengan ahli ekonomi tempatan itu.  Melalui makalah yang diterbitkan dalam Bloomberg.com. pada 21 Julai 2010, Pesek mendedahkan bahawa berita baik itu membenamkan berita bahawa tiga risiko utama mesti memecahkan cara Asia untuk memastikan kemakmuran terus hidup:  kemelesetan global curam berganda, menyahstabilkan aliran modal, dan berjaya merungkai langkah rangsangan.  Untuk mengingatkan Asia supaya jangan terlalu ghairah dan teruja   meraikan kemenangan, beliau memetik pandangan Srinivasa Madhur, Pengarah Kanan ADB:   Sementara kebanyakan ekonomi Asia Timur yang sedang muncul dijamin tentang pemulihan berbentuk V yang jelas pada tahun ini, tetapi terlalu awal untuk mengatakan V bermaksud  “kemenangan.”
Bagi Pesek, V ialah vulnerable atau mudah terjejas kerana pertumbuhan Amerika mendukacitakan, para pelabur menggodek-godek dan menujah-nujah Eropah untuk mentaksirkan risiko mungkir, dan duka nestapa Jepun semakin dalam.  Sama ada pertumbuhan yang stabil dapat dipertahankan, tulis Pesek, “akan bergantung pada  keputusan yang penggubal dasar ambil pada hari ini tentang tiga cabaran besar Asia.”  Satu daripadanya   ialah “ekonomi global bahawa gelombang sejarah terbitan hutang sepanjang dua tahun lalu menstabilkan pertumbuhan.  Langkah ini tidak merangsangkan pertumbuhan yang diharap-harapkan, dan ahli-ahli ekonomi berbicara tentang kembalinya kemelesetan.”  Beliau menegaskan bahawa   untuk beralih daripada “mudah terjejas”  kepada “kemenangan” boleh menjadi perjalanan yang terenjut-enjut bagi mereka yang bergantung pada “penilaian” Goldman  Sachs Group Inc.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa ketakutan terhadap  kemelesetan curam berganda itu sengaja diheboh-hebohkan atau dibesar-besarkan, sedangkan  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membawa berita gembira,  iaitu ekonomi dunia akan berkembang lebih pantas daripada yang dijangkakan pada tahun ini.  Akan tetapi, IMF juga membawa berita buruk, iaitu pemulihan masih dibayangi oleh risiko besar, dan kadar pertumbuhan kemungkinan perlahan pada tahun depan.  Setakat ini tahun ini, menurut IMF, pertumbuhan adalah lebih kuat daripada yang dijangkakan secara meluas, terutama di Asia dan pasaran sedang muncul, mendorong agensi antarabangsa itu meningkatkan ramalan pertumbuhan untuk tahun 2010 kepada 4.6 peratus berbanding dengan unjuran 4.2 peratus sebelum ini.
Di sana sini orang ramai masih dihantui oleh  ketakutan bahawa ekonomi mungkin  terjebak semula dalam kemelesetan. Editorial akhbar The Guardian pada 24 Julai 2010 yang  turut membangkitkan bayang-bayang yang mengerikan di United Kingdom dan Eropah.  Dalam “Economy:  Reasons to be Fearful” editorial itu berhujah bahawa  biar bagaimana sekalipun cerah pembawaan ahli ekonomi kesayangan anda, tiada seorang  pun yang percaya bahawa ekonomi adalah pada pertengahan keadaan melambung gaya tahun 2006 di United Kingdom – betul-betul berlawanan.  Hanya perengut yang komited yang tidak akan mengendahkan gambaran positif dalam laporan semalam; demikian juga, hanya orang optimis buta tidak akan mengendahkan semua isyarat amaran lain.
Ketakutan terhadap   kemelesetan curam berganda menjadi-jadi  apabila pertumbuhan sektor perkhidmatan yang merupakan penjana ekonomi United Kingdom  tegun pada bulan Julai, yang sekali gus memusnahkan harapan pemulihan mapan.  Banyak syarikat yang ditinjau menyatakan bahawa pembatalan kontrak sektor awam mula menjejaskan perniagaan mereka, memaksa syarikat memotong pekerjaan dan memberikan tamparan terhadap harapan Canselor George Osborne untuk menghidupkan semula sektor swasta dengan mengurangkan perbelanjaan awam.  Selain itu, perbelanjaan pengguna menjadi dingin selepas bermula dengan kukuh kerana ketidakpastian tinjauan ekonomi.
Ekonomi United Kingdom, menurut ramalan National Institute of Economic and Social Research, mengalami kemelesetan (depression) yang  berpanjangan.  Pertumbuhan ekonomi negara itu telah pun kehilangan kekuatannya dan trend ini akan berterusan beberapa bulan yang akan datang.  Institusi kumpulan pemikir itu menganggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) United Kingdom adalah perlahan, iaitu kepada 0.9 peratus dalam  tiga bulan hingga Julai,  jatuh daripada 1.1 peratus dalam tiga bulan hingga Jun.  Akan tetapi, masih di atas 0.6 peratus untuk suku tahun ketiga.
Apabila ekonomi Amerika Syarikat goyah, maka timbul keraguan baru tentang pemulihan global.  KDNK  Amerika, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perdagangan, meningkat sebanyak 2.4 peratus pada asas tahunan sepanjang tiga bulan hingga akhir Jun, jatuh daripada 3.7 peratus ketika suku tahun pertama 2010.  Ahli-ahli ekonomi dilaporkan mengakui sendiri bahawa mereka lebih bimbang tentang masa depan, terutama dengan kajian keyakinan pengguna yang terbaharu oleh University of Michigan yang menunjukkan rakyat  Amerika kini lebih muram tentang prospek  ekonomi jika dibandingkan dengan bila-bila  masa pada tahun ini.  Angka KDNK ini memperkukuh lagi amaran Ben Bernanke, Pengerusi Rizab Persekutuan yang memberitahu Kongres bahawa tinjauan untuk ekonomi Amerika adalah “ketidakpastian luar  biasa” – kebimbangan yang mendalam bahawa Amerika berhadapan dengan risiko terhumban balik ke dalam kemelesetan curam berganda.  Beliau mengingatkan bahawa pertumbuhan tidak cukup kuat untuk membaiki kerosakan yang menjejaskan pasaran buruh akibat kemelesetan.
Dengan kadar pertumbuhan ini ditakuti bahawa ekonomi negara itu tidak dapat mengelak daripada kemelesetan curam berganda. Kerajaan  Amerika  memaklumkan  bahawa 131,000 orang hilang pekerjaan pada bulan Julai, sebahagian adalah terutama kerana pekerjaan staf sambilan untuk banci kerajaan telah tamat, dan juga kerana pengambilan pekerja oleh sektor swasta adalah lemah berbanding dengan jangkaan. Ahli ekonomi meramalkan pekerjaan sektor swasta akan meningkat sebanyak 90,000 pekerjaan, tetapi sekadar mencapai 71,000 pekerjaan. Laporan pekerjaan ini hanya mengesahkan   pemulihan yang lembap, iaitu ekonomi Amerika perlahan pada musim bunga.  Tanpa pemulihan yang membawa kepada pekerjaan baru, nescaya pertumbuhan tidak dapat bertahan kerana perbelanjaan pengguna adalah mengendur. Dengan pemakluman itu, merentas Atlantik,  cakap-cakap tentang kemelesetan curam berganda dipersegarkan semula. 
Suku tahun terbaru AP Economy Survey  memaklumkan pada akhir Julai bahawa ekonomi Amerika akan kekal perlahan berterusan hingga tahun depan kerana pembeli-belah keberatan berbelanja dan majikan teragak-agak mengambil pekerja.  Tinjauan yang menanyakan pendapat ahli-ahli ekonomi terkemuka menunjukkan bahawa mereka berubah menjadi muram dalam tiga bulan lalu.  Mereka meramalkan pertumbuhan yang lemah dan pengangguran yang tinggi berbanding dengan yang jangkakan sebelum ini.  Meksipun mereka menjangkakan pertumbuhan yang perlahan, tetapi menurut  AP Economy Survey, majoriti daripada 42 ahli ekonomi yang ditinjau itu percaya bahawa pemulihan masih pada laluannya, meningkatkan harapan bahawa ekonomi negara itu dapat mengelakkan daripada jatuh semula ke dalam kemelesetan curam berganda.
Berita gembira IMF pada awal Julai itu yang dipetik di atas, sesungguhnya dibayangi oleh laporan muram dari Amerika pada akhir bulan yang  sama, seperti yang dapat dilihat melalui makalah Larry Elliot dalam akhbar The Observer,  “Spectre of the Double-dip Haunts Uneasy US,” yang antaranya  merujuk kepada keterangan Ben Bernanke itu.   Ketakutan semakin menjadi-jadi kerana ekonomi negara itu menanggung 9.5 peratus pengangguran dan dijangkakan AS$4 trilion lebihan hutang gadai janji. Pasaran perumahan yang pincang.  Tahap tinggi pengangguran yang susah hendak dikurangkan.  Kejatuhan keyakinan pengguna.  Pertumbuhan yang perlahan dalam pengeluaran perindustrian.  Demikian tulis Elliot tentang bayang-bayang yang mengerikan.  Dalam makalah itu  beliau memetik Paul Ashworth  daripada  Capital Economics yang tidak menjangkakan kelembapan ini akan menjerumuskan Amerika ke dalam kemelesetan kedua.  Namun begitu, beliau juga memetik,  Stephen Lewis daripada Monument Securities yang berkata bahawa dari segi keseimbangan kemungkinan, kelihatan bahawa sekurang-kurangnya satu suku tahun dalam tiga suku tahun akan datang, KDNK Amerika akan mencatatkan kemerosotan suku tahun atas suku tahun  (quarter-on-quarter decline). Perkembangan sedemikian akan mengujakan cakap-cakap tentang kemelesetan curam berganda. Akan tetapi, Lewis menjelaskan, perkembangan itu lebih tepat untuk ditafsirkan sebagai bukti ekonomi dalam depression.
Walau bagaimanapun,   Barat dikatakan  bersiap sedia untuk menghadapi berita buruk dari Amerika Syarikat ketika ketakutan menjadi-jadi tentang pemulihan.   Jean-Claude Trichet, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) memaklumkan bahawa data setakat ini untuk suku tahun terbaharu menunjukkan pertumbuhan muncul lebih kuat daripada yang dijangkakan di zon euro, tetapi beliau bercakap dengan nada peringatan kerana ECB meninggalkan kadar faedah untuk kawasan mata wang tunggal itu pada satu peratus.  “Dengan mengambil kira beberapa faktor sementara, kami terus-menerus menjangkakan ekonomi kawasan euro tumbuh pada kadar sederhana dan masih pada kadar tidak seimbang dalam persekitaran ketidakpastian,” Trichet memberitahu sidang berita pada awal Ogos.
Tatkala banyak orang asyik bercakap tentang kemelesetan curam berganda, Timothy F. Geithner, Setiausaha Perbendaharaan Amerika mempunyai pendirian yang berlainan.  “Welcome to the Recovery” demikian tajuk makalah beliau yang diterbitkan dalam  akhbar The New York Times pada 2 Ogos memperlihatkan keyakinan beliau bahawa pemulihan sedang mewarnai ekonomi Amerika.  Kemusnahan yang ditempa oleh kemelesetan besar masih masih terlalu benar  untuk berjuta-juta rakyat Amerika yang kehilangan pekerjaan, perniagaan, dan rumah.  Kesan krisis ini masih segar dalam ingatan, dan setiap laporan ekononi yang baru membawa bersama-sama gelombang kebimbangan yang lain.  Tulis Geithner. “Ketidakpastian boleh difahami, tetapi kajian semula  data tentang ekonomi Amerika menunjukkan bahawa  pada laluan untuk kembali kepada pertumbuhan.” 
Meskipun ekonomi masih dalam perjalanan yang jauh sebelum sampai potensi sepenuhnya, data minggu lalu tentang pertumbuhan ekonomi, tegas Geithner, menunjukkan bahagian besar sektor swasta terus kukuh.  Pelaburan perniagaan dan penggunaan – dua petunjuk penting untuk permintaan swasta – adalah semakin kuat, lebih baik daripada tahun lalu dan lebih baik daripada suku tahun lalu.  Ketidakpastian masih menyelubungi pelaburan, tetapi perbelanjaan modal perniagaan meningkat pada kadar tahunan yang padu, iaitu kira-kira 17 peratus.  
Penggunaan swasta dan pelaburan tetap bersama-sama menyumbang kira-kira 3.25 peratus untuk pertumbuhan.  Bahkan peningkatan import yang merendahkan kadar peningkatan KDNK, sebenarnya mencerminkan keteguhan dan pertumbuhan permintaan rakyat Amerika.  Beliau juga bersetuju dengan pandangan beberapa ahli ekonomi bahawa pemulihan yang menyusuli krisis kewangan adalah lazimnya menempuh perjalanan  yang sukar.  Itu ialah realiti.  Proses pembaikian bermakna pertumbuhan ekonomi akan lebih perlahan berbanding dengan yang kita harap-harapkan.  
Di sebalik cabaran ini, wujud berita baik untuk dilaporkan:  eksport melambung, pertumbuhan pekerjaan swasta, perniagaan membaiki kunci kira-kira mereka, keluarga Amerika lebih banyak menyimpan atau menabung, industri auto mula menjanakan keuntungan, meskipun jualan tahunan rendah, bank-bank utama lebih kuat dan lebih berdaya saing, dan pelaburan kerajaan dalam bank-bank telah memperoleh keuntungan  lebih AS$20 bilion untuk pembayar cukai dan program  Troubled Asset Relief Program (TARP) akan keluar daripada perniagaan lebih awal daripada yang dijangkakan.
Meskipun setakat ini kemunculan kemelesetan curam berganda hanya sekadar  bayang-bayang yang mengerikan, namun persediaan untuk menghadapi kemungkinan malapetaka  ini wajar dilakukan lebih awal.  Dengan kata lain, lebih baik panik sekarang daripada panik ketika malapetaka ini benar-benar melanda.  Psikologi penafian seperti yang berlaku ketika krisis dua tahun lalu, sesungguhnya  memberikan banyak pengajaran.  Hakikatnya, perjalanan pemulihan berliku-liku dan penuh ranjau.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Oktober 2010.)

Wednesday, November 28, 2012

Bola Sepak: Bangsa dan Identiti Nasional

RABU, 28 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan telah pun berakhir.  Pasukan yang menang, iaitu Sepanyol masih berpesta, manakala pasukan pilihan yang tewas terpaksa akur dengan kelemahan masing-masing.  Di samping   32 buah pasukan yang bertanding, Paul, kurita keramat juga menunjukkan kehebatannya meramalkan keputusan perlawanan,   khususnya pertandingan yang melibatkan Jerman dan pertandingan akhir.  Selain sokongan para penonton dan tiupan vuvuzela, kehadiran bintang pop Colombia, Shakira turut menyerikan pertandingan yang berprestij itu, dan  lagu dendangannya sempena perlawanan akhir,   Waka Waka terus berkumandang hingga kini.   
Tidak ketinggalan yang menarik perhatian ialah  slogan antirasis apabila   Afrika Selatan selaku tuan rumah pertandingan, menyediakan gelanggang untuk memperlihatkan pendirian terhadap  rasisme.  FIFA menggunakan empat pertandingan suku akhir untuk menentang rasisme dan menyeru para penyokong di seluruh dunia dengan  kempennya, “Katakan Tidak kepada Rasisme.”  Federico Addiech, Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial FIFA, berkata bahawa “Kami berkata bahawa kami mahu membuat kenyataan yang jelas kepada berbilion penduduk di seluruh dunia tentang pendirian padu bola sepak terhadap rasisme dan semua bentuk diskriminasi dan tiada tempat yang lebih baik untuk melakukannya, selain  Piala Dunia.”  Ada yang berkata bahawa menonton Piala Dunia pada hari ini mereka berasa gembira melihat kempen antirasis itu. 
Sememangnya, kuasa yang luar biasa dalam  sukan dan pertandingan untuk menembusi prejudis.  Daripada Jesse Owens yang menguasai pertandingan dalam Olimpik di hadapan Hitler kepada Jackie Robinson yang membuka laluan untuk menerima keturunan Afrika Amerika dalam sukan profesional, kita dapat melihat kuasa sukan dalam masyarakat.   Demikian tulis Eric Bryant dalam Diversity  dengan teruja dan penuh keyakinan untuk menentang rasisme.
 Bahkan, ada yang mengatakan bahawa  unsur yang paling mengagumkan dalam pertandingan Piala Dunia itu  dari sudut kemanusiaan ialah komitmen yang membara untuk menyingkirkan rasisme antarabangsa.  Rayuan  adalah semuanya  lebih dramatik dan bermakna dalam edisi pertandingan bola sepak antarabangsa tahun ini di negara tuan rumah ialah Afrika Selatan, yang  berpuluh-puluh tahun menjadi kampung halaman sistem  penindasan berasaskan kaum yang dikenali aparteid.  Gambar Nelson Mandela, tokoh unggul perpaduan dan menentang rasisme dengan bersunguh-sungguh, kelihatan sebagai bukti di stadium  tempat pertandingan diadakan di seluruh negara itu.  Sebelum pertandingan bermula, pemain daripada kedua-dua pasukan menyampaikan kenyataan mengutuk rasisme.   Selepas itu, untuk menunjukkan perpaduan, gambar kedua-dua pasukan diambil untuk menunjukkan penentangan terhadap  perasaan benci, ketaasuban, dan kejahilan.
Pertandingan Piala Dunia baru-baru ini bukan sahaja sentiasa di bibir para pengulas sukan dan  peminat sukan tempatan dan antarabangsa,  tetapi juga mendapat ulasan atau pandangan para pemimpin dunia dan cerdik pandai. Misalnya,  Roger Cohen ke Afrika Selatan  untuk memenuhi kolumnya dalam akhbar The New York Times dengan pelbagai topik: perbualannya   dengan Henry Kissinger tentang bola sepak; vuvuzela; di sebalik kekalahan Perancis; tentang negara tuan rumah itu sendiri dari segi ekonomi dan politik; tentang Mezut Ozil, pemain Jerman yang berketurunan Turki; dunia harapan, iaitu perbezaan antara peperangan dengan keamanan; dan akhir sekali tentang Paul kurita keramat.
Tidak kurang pertanyaan  “nakal” yang memperlihatkan bahawa  bangsa atau keturunan tetap merupakan pertimbangan penting yang  ditujukan kepada Timbalan Perdana Britain, Nick Clegg menjelang pertandingan akhir.  Sebagai pemimpin parti kecil dalam kerajaan campuran, beliau banyak bertolak ansur.  Kemudian, beliau  terpaksa melakukan perkara yang serupa,  sama ada menyokong Belanda atau Sepanyol kerana isterinya, Miriam Gonz├ílez Dur├íntez  kelahiran Sepanyol, sedangkan beliau sendiri separuh Belanda daripada keturunan ibunya. 
Bola sepak, seperti yang diperhatikan  oleh sesetengah orang, bukan sekadar sukan, tetapi  lebih daripada itu. “Ya, bola sepak hanya satu permainan. Pasti.  Tidak, bola sepak ialah perang melalui cara lain, dan oleh itu, semua julukan – ‘pembolos,’ ‘pemberontak’ – bertalu-talu dilemparkan kepada pemain yang mengaibkan ‘la France’ di pentas yang paling banyak ditonton di dunia,” demikian ulas Roger Cohen berikutan kekalahan.
 Dayo Olopade  yang menulis dalam The Atlantic.com tentang pascakolonial bola sepak mengetengahkan hujah yang sungguh menarik:  “Oleh sebab bola sepak ialah sukan, maka kesamaan atau pariti tidak dijamin.  Namun begitu, pertandingan setiap empat tahun itu mewujudkan peluang yang jarang-jarang wujud bagi negara yang pernah dijajah untuk mencabar kuasa besar pada abad lalu.  Tidak kira bagaimana berdarah atau kompleks sejarah, Piala Dunia memberikan peluang kepada empayar untuk menyerang balas.”   
Seandainya Edward Said masih hidup tentunya beliau berasa terperanjat dan mungkin juga gembira melihat pemikiran pascakolonialnya diperluas ke dalam bidang sukan bola sepak.  Seperti yang diketahui, pascakolonialisme pada mulanya muncul dalam wacana ilmu sebagai kritikan terhadap Orientalisme yang merupakan wadah kolonial.  Tumpuan wacana pascakolonial adalah untuk membongkar peminggiran, ketidaksamaan, dan diskriminasi yang muncul daripada kolonialisme  berterusan dalam sistem global kini, dan menuntut struktur ketidaksamaan tersebut.  Para pendukung pascakolonialisme di peringkat antarabangsa, termasuk   Edward Said  sendiri, seperti yang dapat dilihat dalam bukunya, Orientalism, dan di Malaysia, seperti yang dapat dilihat dalam  Pascakolonialisme dalam Pemikiran Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,   tidak menyentuh  bola sepak dalam wacana mereka.  Namun begitu,  Dayo Olopade memperlihatkan kebijakan dan daya kreatifnya,   membahaskan pascakolonial bola sepak melalui makalah, “At the World Cup, the Empire Strikes Back.”
Keunikan pascakolonialisme,  pampasan, usaha untuk mengaburkan kebenaran, aliran kaum imigran,  dan peperangan langsung – mencipta drama yang tinggi dalam semua sukan. Tulis Olopade.  “Perlawanan pascakolonial  tahun ini, termasuk Amerika Syarikat lawan England (beliau tulis  United Kingdom), Portugal lawan Brazil, dan Sepanyol melawan hampir setiap pasukan  yang lain.”  Kehadiran pasukan dari Afrika dan Amerika Latin – dari negara yang pernah dijajah untuk menentang negara penjajah, seperti England, Belanda, Sepanyol, Perancis, dan Portugal dalam Piala Dunia baru-baru ini menandakan padang permainan disamaratakan.  Seandainya Algeria berkesempatan menentang Perancis, pastinya ada sesuatu yang menarik untuk berbicara tentang pascakolonial bola sepak. 
Seterusnya, beliau menegaskan bahawa identiti etnik dan nasional yang samar-samar dalam Piala Dunia moden ini merumitkan perhitungan mudah Stephen Biko, aktivis antiaparteid Afrika Selatan, tentang kulit  hitam pada kulit putih (black on white), Dunia Ketiga melawan Dunia Pertama, kita melawan mereka.  Hari ini, pasukan Perancis dipenuhi oleh pemain keturunan Arab dan Afrika, pasukan Jerman dengan pemain utama keturunan Turki, pasukan Belanda akhirnya memiliki penyerang kulit hitam.  Pemain Argentina lebih lama tinggal di Sepanyol; Kaka dari Brazil dan Cristiano Ronaldo dari Portugal bermain bersama-sama untuk Real Madrid.  Sembilan pemain Amerika tinggal di Britain – tujuh lagi ialah generasi pertama Amerika.
Sejarawan terkenal, Eric Hobsbawm, yang bukunya pernah diulas dalam Dewan Masyarakat, melihat bola sepak dalam konteks komuniti yang dibayangkan – konsep yang diperkenalkan  oleh Benedict Anderson. “Komuniti yang dibayangkan berjuta-juta orang,” tulis   Hobsbawm,  “kelihatan lebih betul-betul sebagai pasukan 11 orang yang dinamakan.”  (The imagined community of milions seems more real as a team of eleven named people.)  Bahkan, tegas beliau, kebangkitan semula nasionalisme Inggeris menemui penyataan awamnya yang pertama dalam pameran awam bendera pasukan bola sepak  Inggeris antarabangsa (berbeza daripada Scotland, Welsh, dan Ireland Utara).
Nasionalisme dan identiti nasional, menurut Anderson, bukannya kebenaran yang pasti atau konkrit,  sebaliknya ialah bayangan kolektif.  Untuk setiap warganegara mengetahui warganegara lain dan mengenali diri mereka dalam hubungan dengan warganegara lain hanya boleh muncul melalui jenis identiti massa kolektif yang dibentuk dan diperkukuh menerusi imaginasi.  Beliau mentakrifkan bangsa sebagai “komuniti politik yang dibayangkan bahawa dibayangkan sebagai kedua-duanya, iaitu memang terhad dan berdaulat (inherently limited and sovereign). 
Komuniti yang dibayangkan adalah berbeza daripada komuniti sebenar kerana komuniti yang dibayangkan tidak (dan tidak boleh) berasaskan interaksi muka dengan muka (face-to-face) setiap hari antara anggota komuniti berkenaan.  Sebaliknya, anggota tersebut menyimpan dalam minda mereka bayangan (imej mental) tentang kesamaan mereka, misalnya kenegaraan yang anda rasakan dengan anggota lain dalam bangsa (nation) anda apabila “komuniti yang dibayangkan” anda itu menyertai acara yang lebih besar, seperti Sukan Olimpik.  Bangsa, tegas Anderson, “ialah dibayangkan kerana anggota, bahkan bangsa yang lebih kecil tidak pernah mengetahui kebanyakan anggota bangsa mereka, tidak pernah berjumpa dengan mereka, atau bahkan tidak pernah mendengar tentang mereka.  Namun begitu, dalam minda setiap anggota itu hidup imej perhubungan mereka.”
Walau bagaimanapun,  komuniti yang dibayangkan adalah berbeza untuk pasukan England, seperti yang cuba dibahaskan oleh   Gary Younge dalam “What Soccer Says About Us” yang diterbitkan dalam majalah The Nation pada pertengahan Julai lalu. Komuniti nasional England adalah hanya betul-betul sebagai pasukan 11 orang yang dinamakan. Sementara identiti sukan muncul daripada identiti nasional di kebanyakan negara, di England adalah sebaliknya. Selagi England bermain bola sepak – permainan yang berakhir dalam tempoh 90 minit, negara itu muncul. Namun begitu, sebaik sahaja permainan atau kejohanan berakhir, “bangsa” (nation) tidak wujud lagi.  Bendera England hilang; kostum dan jalur dilipat, dibasuh dan disimpan untuk pertandingan akan datang.  Maka, rumus Younge, bola sepak   ialah “bangsa  90 minit.”
Bagi Younge, tanggapan bahawa kita dapat mengagak suasana  nasional daripada hubungan negara dengan pasukan sukan kebangsaannya adalah keterlaluan.  Apabila Perancis memenangi Piala Dunia pada tahun 1998, komposisi yang pelbagai dalam pasukannya dialu-alukan sebagai aset yang paling besar,  memberi harapan bahawa negara yang wujud  pembahagian kaum dan agama yang cukup luas mungkin dapat mencari jalan untuk hidup bersama demi kebaikan bersama.  “Apakah contoh yang lebih baik  tentang perpaduan dan kepelbagaian kita berbanding dengan pasukan yang indah dan mengagumkan,” kata Perdana Menteri Sosialis, Lionel Jospin.
“Wawasan utopia ini,” tulis Younge, “jelas tidak tahan lama. Menjelang Piala Dunia akan datang, pemimpin terlampau kanan  (far-right), Jean-Marie Le Pen mengalahkan Jospin untuk menduduki tempat kedua dalam pusingan pertama pilihan raya presiden.  “Tahun ini (Piala Dunia di Afrika Selatan), pasukan ini berpecah belah dengan persaingan kaum dan agama sesama sendiri, mencetuskan tuduhan percakapan nasional berbau perkauman tentang pengasingan dan ‘mentaliti ghetto’.”
Younge merumuskan bahawa sukan hanya boleh melakukan sesuatu dengan banyak, dan sebagaimana metafora, sukan boleh menjadi kasar dan menyusahkan.  Nasionalisme yang dilahirkan oleh sukan boleh menjadi keji, ganas, dan mudah terpengaruh dengan manipulasi.  Akhir sekali, mempunyai  identiti nasional melalui corong kejohanan  lelaki secara eksklusif (bola sepak wanita berkembang, tetapi masih tidak ada tempat dari segi budaya), adalah memang terhad.
Kini, tiupan vuvuzela tidak kedengaran lagi, bendera kebangsaan negara yang bertanding telah diturunkan, para penyokong dengan kostum yang mencerminkan identiti nasional masing-masing sudah tidak kelihatan,  dan rangkaian sukan kabel beralih kepada sukan lain, seperti besbol.  Sesungguhnya, sesuatu yang dapat dipelajari daripada pertandingan yang berprestij itu ialah bagaimana bola sepak menjelaskan dunia.  Bola sepak permainan yang cukup menarik, permainan dunia, dan bagaimana sukan ini memberikan makna kepada dunia. Justeru, memang tepat jika ada orang berkata bahawa untuk menggunakan bola sepak, iaitu penontonnya, pemainnya, dan strateginya sebagai cara berfikir tentang bagaimana orang ramai mengenali diri mereka pada era baru globalisasi (dan ketidakpuasan hati).
(Nota:   Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, September 2010, di bawah judul "Antirasisme dan Pascakolonialisme.")

Tuesday, November 27, 2012

Zaman Jimat-cermat: Rahmat atau Laknat?

SELASA, 27 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Apabila krisis kewangan melanda dan dunia diancam kemelesetan, pelan penyelamat dan  rangsangan ekonomi  menjadi pilihan utama.  Kira-kira dua tahun berlalu, kedua-dua petua yang dianggap mujarab itu mula dilupakan.  Kalaupun masih wujud hanyalah   rangsangan ekonomi, itu pun di penghujung pelaksanaan.  Meskipun sesetengah ahli ekonomi dan penggubal dasar mengingatkan bahawa dengan strategi keluar yang begitu cepat,   kemungkinan dunia mengalami kemelesetan cerun berganda, namun kebanyakan negara mula menutup bab  pelaksanaan  rangsangan ekonomi.  Bagi sesiapa yang menonton televisyen kabel Bloomberg pada Jun lalu tentu  dapat mengesani  program yang seakan-akan menandakan  detik kebenaran,    “Age of Austerity.” 
Ada yang menulis “selamat datang Zaman Jimat-cermat.  Pastinya, jimat-cermat berlawanan dengan kemakmuran.  Jimat cermat buzzword yang akhir-akhir ini sentiasa di lidah setiap orang.   Dikatakan bahawa  “Zaman mewah telah berlalu.  Selamat datang Zaman Jimat-cermat.”  Sejak bertahun-tahun ahli-ahli  politik membahaskan bagaimana untuk berbelanja hasil pertumbuhan.  Untuk tahun-tahun mendatang, tidak dapat tidak mereka akan membahaskan apakah yang patut dipotong.  Menendang keluar semula kemakmuran pada Zaman Jimat-cermat.
Satu daripada tiga cara untuk keluar daripada krisis, seperti yang dicadangkan oleh Niall Ferguson, Profesor Sejarah, Harvard University ketika menyampaikan Syarahan Niarchos tahunan kesembilan di Peterson Institute for International Economics, Washington, DC pada 13 Mei lalu,  "Fiscal Crises and Imperial Collapses: Historical Perspectives on Current Predicaments,"  ialah kesengsaraan fiskal, yang bermaksud meningkatkan cukai dan/atau memotong perbelanjaan awam.
Sesungguhnya,  Ferguson tidak keseorangan kerana     beberapa buah negara, terutamanya  di Eropah, dan tidak ketinggalan Jepun di bawah pimpinan baru, berlumba-lumba mendakap mesra  jimat cermat. Semasa  sidang kemuncak   di Toronto, Kanada, pada akhir Jun lalu, para pemimpin G-20 bersetuju dengan langkah memotong perbelanjaan dan meningkatkan cukai, meskipun Presiden Barack Obama memberikan amaran bahawa terlalu berjimat-cermat dengan terlalu cepat boleh membantutkan pemulihan global. Merentas Eropah, kerajaan mengumumkan rejim jimat-cermat baru yang menonjolkan potongan perbelanjaan dan pengenaan cukai yang tinggi dan bukan lagi perbelanjaan rangsangan, meskipun dikhuatiri bahawa perubahan dahsyat akan mencampakkan rantau itu  ke dalam kemelesetan. 
Kerajaan  Eropah, menurut Nouriel Roubini, Profesor di New York University yang pernah meramalkan berlakunya krisis kewangan,  tidak mempunyai pilihan, kecuali mengawal defisit.   “Jimat-cermat bukannya pilihan,” beliau  memberitahu akhbar Le Monde.  “Menaikkan cukai dan memotong perbelanjaan memang sengsara dari segi sosial.  Akan tetapi, apakah alternatif yang ada? Terus mengekalkan dasar belanjawan murah hati?  Pasaran telah pun memberikan  amaran bahawa penerusan itu akan  menyebabkan negara jatuh muflis.”
Terima kasih kepada krisis hutang kedaulatan Greece, yang menggerunkan ahli politik, rangsangan keluar dan pengurangan defisit masuk.  Demikian tulis makalah “Austerity Alarm” dalam  The Economist yang merujuk kepada keputusan G-20 itu.  Tambah makalah itu lagi, “selamat jalan Keynes (John Maynard Keynes), helo Hoover (Presiden Amerika Herbert Hoover semasa berlakunya Kemelesetan Besar 1930-an).”  Makalah itu juga memetik analisis terbaharu oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)  yang mengatakan bahawa jimat-cermat fiskal bersama-sama dengan pembaharuan struktur akan menghasilkan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada pelaksanaan jimat-cermat semata-mata.
Perdana Menteri, David Cameron memberitahu para pengundi bahawa Britain akan mengharungi  tahun-tahun jimat-cermat dengan potongan yang lebih dalam sejak  Margaret Thatcher menjadi Perdana Menteri pada tahun 1980-an.  Potongan yang dikenakan itu akan memakan masa yang lama sejak Perang Dunia Kedua.  Sementara  Perdana Menteri, Jean-Claude Juncker yang mengetuai kumpulan Menteri Kewangan zon euro memberitahu wartawan di Luxembourg  bahawa Sepanyol dan Portugal perlu mengambil usaha yang lebih untuk mengurangkan defisit belanjawan masing-masing “melampaui tahun 2011”.  Rancangan belanjawan jimat-cermat yang diumumkan oleh kedua-dua buah negara itu, bagi Juncker, “signifikan dan berani” dan akan dapat membantu menstabilkan tahap hutang.
 Negara yang  banyak bergantung pada pelabur asing, seperti Greece, Perancis, Ireland, Italy, dan Sepanyol dikatakan tidak mempunyai alternatif, sebaliknya mereka mesti memotong perbelajaan demi mengelakkan daripada ditutup dari pasaran modal. Pada awal  Jun lalu, Greece, Sepanyol, Italy, dan Portugal adalah antara negara zon euro yang melaksanakan program jimat cermat.  Perancis merancang pembekuan perbelanjaan selama tiga tahun.  Hungary yang menjadi negara terbaru menanggung beban  hutang terpaksa melakukan potongan perbelanjaan yang drastik. 
 Di Jerman, Cancelor Angela Merkel mengambil langkah yang sama dengan merancang potongan belanjawan, meskipun ditentang oleh kesatuan sekerja kerana langkah itu dianggap tidak adil kepada golongan miskin dan yang tidak mempunyai pekerjaan.  Beliau  mengumumkan program empat tahun untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak AS$97.6 bilion dalam perbelanjaan persekutuan antara tahun 2011 hingga 2014 dalam usaha untuk memperkukuh mata wang euro. 
Reaksi kesatuan sekerja terhadap rancangan Merkel mencerminkan tentangan yang meluas terhadap langkah jimat-cermat apabila kerajaan Eropah mencuba untuk mengurangkan defisit dan hutang yang melamahkan euro.  Oleh sebab penduduk Eropah mula merasakan kesan potongan dalam faedah kebajikan masyarakat, kemarahan orang ramai merebak, seperti yang berlaku di Sepanyol, Greece, dan Ireland.  Ketegangan juga berlaku antara kerajaan Kesatuan Eropah (EU) bagaimana untuk mengurangkan perbelanjaan, manakala Britain pula menolak rancangan EU supaya semua belanjawan negara mesti diteliti oleh negara lain sebelum belanjawan itu diluluskan.
Apabila Canselor George Osborne melaksanakan  langkah jimat-cermat untuk setiap keluarga di Britain, dengan mengumumkan pakej  40 bilion paun sterling dari segi peningkatan cukai kecemasan, potongan kebajikan, dan kekangan perbelanjan Whitehall, antara kritikan yang dilemparkan ialah “sengsara sekarang, sengsara  yang lebih teruk  kemudian dalam rancangan jimat cermat.”  Meskipun langkah  Belanjawan 2010  yang disediakan untuk mengubah defisit struktur dalam perbelanjaan 4.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada lebihan 0.3 peratus dalam empat tahun dihargai oleh agensi penarafan, Fitch sebagai  “penting untuk mengukuhkan keyakinan” dan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menganggapnya “langkah berani,” namun ada yang mengingatkan bahawa  “Tory mendapat gambaran yang sama salah sama sekali tentang kemelesetan, kini mereka mendapat gambaran yang salah tentang pemulihan.”  Meskipun diakui bahawa  defisit mesti dipotong, tetapi tergesa-gesa melaksanakan jimat-cermat berhadapan dengan risiko melemahkan pemulihan global yang tidak kukuh.
Akhbar The Observer dalam editorialnya  pada 20 Jun 2010, “The Austerity Agenda Must Not Go Unopposed”  yang memang tidak mengalu-alukan langkah jimat cermat itu, membahaskan  kurang kepastian bahawa situasi ekonomi yang mewajarkan tajuk yang agak histeria, iaitu “belanjawan kecemasan” yang diperkenalkan oleh Osborne.  Menurut editorial itu,  tajuk berkenaan  bermaksud untuk menghantar mesej  bahawa kerajaan Konservatif tidak takut untuk melaksanakan jimat cermat dengan tergesa-gesa dan bahawa kerajaan Buruh mengheret negara ke dalam kancah malapetaka.  “Kecemasan” bahas editorial itu dalam konteks itu ialah slogan politik.
“Tuan Osborne mengambil risiko berganda.  Pertaruhan pertama ialah ekonomi dengan mempertaruhkan bahawa keyakinan dan permintaan dalam ekonomi adalah cukup tinggi untuk bertahan daripada berhenti dengan secara mendadak pengambilan keluaran wang awam.  Dengan harapan bahawa aktiviti sektor awam akan berkembang maju untuk pampasan bagiu sektor awam yang mengecut.  Pertaruhan kedua ialah politik.  Tuan Osborne dalam mengharapkan orang awam British menerima doktrin Konservatif bahawa pengecutan drastik kerajaan adalah idea yang  bagus, bahkan jika keadaan membenarkan pendekatan yang lebih lembut.”
Kerajaan Tory  mencuba secara berlawanan  untuk menjual pandangan “Masyarakat Besar” adalah alternatif yang lebih cekap kepada campur tangan birokratik.  Walau bagaimanapun, editorial itu mengingatkan bahawa jika orang awam berasa ragu-ragu terhadap penegasan itu, jimat-cermat tidak lama lagi kelihatan seperti sadisme.  “Jika Tuan Osborne juga silap tentang kemampuan ekonomi yang sedang pulih dapat bertahan daripada potongan perbelanjaan, kerajaan Tory akan mendapati  diri mereka kelihatan kedua-duanya, iaitu teruk dan bodoh,” hujah editorial itu.
Apabila agensi penarafan, Moody’s menurunkan pengkadaran kredit Ireland daripada AA1 kepada AA2 pada pertengahan Julai lalu,  para pengkritik mengambil kesempatan untuk menggasak  belanjawan kecemasan Canselor George Osborne:   “Biar penurunan gred Ireland menjadi pengajaran kepada beliau.”  Seperti yang ditegaskan oleh bekas Canselor Alistair Darling, pengalaman Ireland merupakan pengajaran yang sungguh berguna tentang akibat pemotongan perbelanjaan awam dengan begitu cepat.  “Jika anda menumbuk keluar kemampuan untuk tumbuh,” ulas beliau, “anda menumbuk keluar kemampuan untuk membayar balik hutang anda.  Anda tidak akan dapat membayar balik hutang, kecuali anda mengalami pertumbuhan.  Dengan mengambil langkah untuk pergi jauh dan dengan terlalu pantas, anda tidak mengalami pertumbuhan, anda melengahkan pemulihan.” 
Ireland mengalami kemerosotan yang dalam jika dibandingkan dengan mana-mana negara dalam EU ketika krisis sejak tiga tahun lalu, dengan KDNK merosot sebanyak 10 peratus pada tahun 2008 dan 2009, dan dijangka akan jatuh lagi pada tahun berikutnya, 2010.  Pengangguran kini  mencecah 4.5 juta orang adalah di atas 13 peratus.  Gaji sektor awam, bayaran kebajikan dan projek infrastruktur merupakan sasaran kerajaan Irish dalam usahanya untuk mengatasi defisit belanjawan yang meningkat.  Ireland melakukan pemotongan terlalu drastik, dan jika langkah negara itu ditiru oleh negara lain, nescaya peluang untuk mengalami pertumbuhan yang sangat diharap-harapkan akan menyusut dengan serius.  
Dietmar Hornung, yang mengetuai penganalisis Moody’s untuk Ireland dilaporkan berkata, “Negara ini mengalami pengecutan yang serius dalam KDNK sejak 2008 yang berpunca daripada kemerosotan yang ketara dalam hasil cukai.  Hutang kerajaan dengan nisbah KDNK meningkat daripada 25 peratus sebelum krisis kepada 64 peratus pada akhir 2008, dan nisbah ini terus meningkat.”
Pengalaman   Ireland sekarang dianggap sebagai “gambaran kos tinggi jimat cermat.” Apabila ekonomi utama Eropah memberikan tumpuan terhadap “mengetatkan tali pinggang” sebenarnya mereka mengikut jejak Ireland.  Namun begitu, kini disedari bahawa apabila  negara yang berkembang maju, iaitu Ireland terpaksa  bertungkus-lumus untuk keluar daripada krisis, tanda-tanda pemulihan segera masih tidak kelihatan.  Kira-kira dua tahun lalu, ekonomi runtuh memaksa negara itu memotong perbelanjaan awam dan menaikkan cukai,  bentuk langkah jimat cermat yang pasaran kewangan kini mendesak negara perindustrian paling maju mengambil pendekatan yang serupa.  Maka, tidak memeranjatkan sekiranya  negara yang mengikut langkah Ireland akan mengalami nasib yang sama: terjerumus ke dalam kemelesetan.
Ketika diwawancara oleh Carol Massar daripada “Street Smart”  Bloomberg, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Paul Krugman mencadangkan Amerika Syarikat sepatutnya mempunyai “strategi sink dapur” yang menggunakan semua dasar fiskal dan monetari seberapa mungkin untuk mencegah ekonomi daripada terjebak semula ke dalam kemelesetan.  Tatkala negara Eropah, seperti Jerman menggesa pelaksanaan jimat cermat untuk menyelubungi defisit belanjawan, beliau menggesa lebih banyak rangsangan untuk mencegah Amerika daripada mengulangi dekad yang tidak menyenangkan yang dialami oleh Jepun pada tahun 1990-an.
Krugman adalah antara ahli ekonomi yang tidak bersetuju dengan langkah jimat cermat yang dilaksanakan sekarang.   Tatkala negara Eropah berlumba-lumba melaksanakan jimat cermat seolah-olah tidak mempedulikan akibat buruk yang akan menimpa, Krugman menulis “Myths of Austerity”  dalam kolumnya dalam The New York Times pada 1 Julai.  Beliau mengkritik secara sinis bahawa kepercayaan “Orang Serius”  bergantung pada prejudis, dan bukannya analisis.  Dan prejudis ini tertakluk kepada sementara dan cara (fads and fashions). 
“Untuk beberapa bulan lalu,” tulis Krugman, “saya dan lain-lain memerhatikan dengan hairan dan gerun, kemunculan konsensus dalam lingkungan dasar yang mengutamakan jimat cermat fiskal yang segera.  Beliau tidak setuju dengan pandangan bahawa jangan bimbang:  “potongan perbelanjaan mungkin menyakitkan, tetapi pari-pari keyakinan akan membawa pergi kesakitan itu.”  Beliau juga tidak setuju dengan pandangan Jean-Claude Trichet, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB):  “idea bahawa  langkah jimat cermat boleh mencetuskan keadaan tidak berkembang adalah tidak benar.”
Tanpa menafikan bahawa wujud kes sejarah potongan perbelanjaan dan peningkatan cukai disusuli oleh pertumbuhan ekonomi, Krugman mempersoalkan apakah bukti untuk mempercayai bahawa penyusutan fiskal adalah sebenar pengembangan fiskal.  “Meskipun wujud kes yang kesan negatif jimat-cermat adalah diimbangi oleh faktor lain, “hujah beliau, “faktor itu tidak mungkin relevan lagi hari ini.  Misalnya, era jimat-cermat dengan pertumbuhan Ireland pada tahun 1980-an bergantung pada gerakan  drastik daripada defisit perdagangan kepada lebihan perdagangan, satu strategi yang setiap orang teruskan pada masa yang sama.”
Untuk mempertahankan hujahnya bahawa jimat-cermat akan mencetuskan kesan buruk terhadap ekonomi yang masih tidak stabil, Krugman merujuk kepada “pahlawan yang bagus” dalam krisis ini, namun akibat silap perhitungan semua kecundang:  Ireland yang bermati-matian melaksanakan potongan perbelanjaan yang sangat drastik.  Ganjarannya, negara itu terjebak dalam kemerosotan tahap Kemelesetan – dan pasaran kewangan terus-menerus mengancam negara itu kerana risiko kemungkiran yang serius.  Dua lagi “pahlawan yang bagus”, seperti Latvia dan Estonia, bahkan lebih teruk – dan semua ketiga-tiga negara ini, percaya atau tidak, mengalami kemerosotan yang teruk dari segi output dan guna tenaga berbanding dengan Iceland.  Bahkan, Krugman mengingatkan “Oleh itu, pada masa akan datang anda mendengar penjelasan orang yang bunyi serius tentang perlunya jimat cermat fiskal, cuba huraikan hujah mereka.”
Dalam kolumnya sebelum ini, Krugman menulis:  Rizab Persekutuan nampaknya sedar akan risiko deflasi, tetapi tidak mencadangkan apa-apa untuk menangani risiko ini.  Pentadbiran Obama memahami bahaya jimat cermat fiskal yang belum tiba waktunya, anggota Republikan dan Demokrat yang konservatif dalam Kongres tidak meluluskan bantuan tambahan kepada kerajaan negeri, bahawa  jimat-cermat yang sedang mara di Amerika dalam bentuk potongan belanjawan di peringkat kerajaan tempatan dan negeri.
Pihak yang lebih kritis  mempersoalkan kewajaran dan ketulusan langkah jimat-cermat: mengapa dan untuk siapa?  Jawapannya ialah untuk perusahaan kewangan  yang mendesak kerajaan menaikkan cukai atau memotong perbelanjaan atau kedua-duanya sekali.  Dengan langkah itu, kerajaan akan mempunyai wang yang lebih banyak untuk membayar faedah pinjaman dan membayar balik pinjaman.  Kerajaan yang gagal melaksanakan jimat-cermat akan berhadapan dengan kadar faedah yang tinggi untuk pinjaman baru atau pinjaman yang diperbaharui atau dinafikan pinjaman sama sekali.  Dihujahkan bahawa jimat-cermat satu lagi beban tambahan yang dikenakan terhadap ekonomi global oleh krisis kapitalis.
 Sama ada teriakan “Kita semua Keynes sekarang” ataupun digantikan oleh “Kita semua Hoover sekarang” sesungguhnya, ini semua mencerminkan peperangan idea, khususnya antara “Wall Street” dengan “Main Street.”  Apabila berlaku sesuatu krisis, baik krisis ekonomi mahupun krisis politik, banyak orang  ingin  memperlihatkan kehebatan dengan mengemukakan idea masing-masing.   Namun begitu,    tanpa pertumbuhan, semua idea dan juga kesengsaraan yang ditanggung akibat pelaksanaan sesuatu dasar  tidak bermakna sama sekali. Akhirnya, orang akan bertanya di manakah pertumbuhan?
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, September 2012.)

Monday, November 26, 2012

Persengketaan Israel-Hamas: Siapakah Pemenang?

ISNIN, 26 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Peperangan tanpa kesudahan antara Israel dengan Palestin meletus semula baru-baru ini apabila Israel dan Hamas terjebak dalam persengketaan.  Selepas lapan hari konflik Gaza menyaksikan  serangan roket Hamas, serangan udara Israel,  yang menumpahkan darah serta  mengorbankan nyawa, terutamanya umat Palestin, kedua-dua pihak, bersetuju mengadakan gencatan senjata, yang dijangkakan tidak dapat bertahan lama, tetapi    bagi Hamas, suatu kemenangan bagi mereka.  

Perisytiharan Hamas ini, senada dengan apa yang dicatatkan oleh Aaron David Miller dalam Foreign Policy, "Hamas menang dalam peperangan, tidak kira benar-benar penting Israel menang pertarungan."

Bagi pihak Israel pula, meskipun wujud gesaan supaya Hamas menjadi "padang jarak padang tekukur,"  Israel sebenarnya, menurut James Zogby, berjaya menjinakkan Hamas.  Walau bagaimanapun, Raymond J. Learsy berpendapat dan memetik The New York Times, bahawa Hamas bersepakat dengan Israel dalam usaha untuk mengimbangi kemaraan kumpulan Salafis di Gaza.  

Sebenarnya, siapakah pemenang? soal The Economist dan Time.  Adakah Israel benar-benar menang? Dan Epron yang menulis dalam The Daily Beast, menyenaraikan pemenang dan yang tewas berikutan persetujuan gencatan senjata itu.  Pemenang: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Hamas, manakala yang tewas:  Mahmoud Abbas, dan rakyat Israel dan umat Palestin. Abbas kelihatan terpinggir dan tidak relevan di Tebing Barat, manakala Hamas memperkukuh kedudukan di Gaza.

Walaupun Israel dan Hamas menuntut kemenangan, seperti yang dibahaskan oleh Marc Champion, kedua-duanya sebenarnya kalah.  Sebalikanya, tegas beliau yang menang ialah Iran dan Mesir.

Bagi Israel, seperti yang dibahaskan oleh David Milband, dasar yang dilaksanakannya mengundang bencana.  Beliau juga memetik Financial Times bahawa Israel memerlukan strategi dan bukannya peperangan.  Sementara Robert Fisk yang menulis dalam The Independent menegaskan bahawa dalam persengketaan terbaharu ini, Benjamin Netanyahu mengheret Israel ke dalam pengasingan.

Tidak kira siapakah pemenangnya, yang jelas Israel diperhatikan menggunakan Gaza untuk membuat persediaan menyerang Iran. Sementara Iran pula dilaporkan  terlibat dalam menyediakan teknologi kepada Hamas untuk "dengan cepat" mengeluarkan peluru berpandu jarak jauh sendiri tanpa memerlukan penghantaran langsung.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...