Artikel Popular

Wednesday, October 31, 2012

Kejutan Oktober Datang Juga Akhirnya

RABU, 31 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hampir sebulan kejutan Oktober dinanti-nantikan, yang dijangkakan mencorakkan atau mengubah permainan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. Dalam penantian itu, pelbagai spekulasi wujud tentang kejutan tersebut, daripada serangan terhadap konsulat Amerika Syarikat di Benghazi yang terus hangat,  kepada cara Presiden Barack Obama menangani  Iran.  Tidak ketinggalan perbelanjaan kempen yang besar jumlahnya semata-mata ingin memastikan Obama tewas di tangan Mitt Romney.

Apabila Donald Trump memberitahu bahawa beliau akan mengumumkan sesuatu tentang Obama, banyak yang mengagak sesuatu yang berkaitan dengan kejutan Oktober.  Namun, nyata segala-galanya meleset, hanya menunjukkan Trump   "syok sendiri" - mencari  publisiti murah, yang akhirnya, "meletakkan dirinya sendiri tidak relevan," memetik Lloyd Grove.

Tatkala kempen tidak teratur  memasuki minggu terakhir  tanpa gambaran jelas siapakah pendahulu,   kejutan Oktober  benar-benar muncul, tetapi bukannya datangnya daripada mana-mana kempen, baik kempen Obama mahupun kempen Romney.  Sebaliknya, kejutan itu berpunca daripada bencana alam yang melanda  Pantai Timur Amerika Syarikat, yang terus mengganas dalam beberapa hari ini: Taufan Sandy.

Oleh sebab taufan itu melanda ketika rakyat Amerika  menghitung detik Hari Pilihan Raya, maka ribut politik berubah menjadi  politik ribut, atau memetik Amy Davidson, "pilihan raya Sandy."  Jika sejak beberapa bulan perhatian tertumpu pada negeri berayun, kini muncul "Taufan Sandy yang dijangkakan mengayun pilihan raya,"  menurut pemerhatian Adam Serwer dalam Mother Jones.  Jelas bahawa Sandy dapat mengubah kempen, menurut jangkaan Alec MacGillis

Presiden Barack Obama, seperti yang dilaporkan secara meluas, terpaksa membatalkan kehadirannya di Orlando, Florida, menyerahkan tugas kempen dengan sepenuhnya kepada bekas Presiden Bill Clinton,  kerana beliau terpaksa pulang ke Washington untuk menghadapi Taufan Sandy. Beliau terpaksa membuat pilihan yang sukar pada detik yang runcing lagi genting, iaitu membatalkan kempen selama tiga hari demi membuktikan  bahawa beliau mengambil berat terhadap ancaman Taufan Sandy itu, bahkan beliau segera "turun padang" dengan melawat ibu pejabat Palang Merah, dan akan melawat New Jersey yang teruk dilanda taufan tatkala Romney sibuk berkempen di Florida, walaupun beliau membatalkan acara kempennya.

Kesan "tragedi Greece"  yang sangat teruk  sehingga menyebabkan pasaran saham New York  York terpaksa ditutup,  bukan sahaja dapat dilihat dari segi ekonomi, yang kerosakannya dianggarkan lebih AS$20 bilion, yang turut dibahaskan oleh Derek Thompson, dan impak pasaran   tetapi juga, bahkan lebih penting,  dari segi politik.  Hal ini demikian kerana, malapetaka itu berlaku ketika rakyat Amerika bersiap sedia untuk memilih Presiden mereka.

"Taufan Sandy," bahas Jonathan Allen, "memaksa politik antipolitik."  Obama meskipun pulang ke Washington pada hari Isnin, menghantar Michelle Obama, Joe Biden, dan Bill Clinton berkempen tanpa beliau.  Sementara kempen Romney yang membatalkan beberapa acara pada Isnin dan Selasa, tetapi Romney turun berkempen  di Dayton, Ohio.

Peter Beinart yang menulis dalam The Daily Beast, mencadangkan supaya tragedi akibat Taufan Sandy dipolitikkan, manakala Jonathan Chait menegaskan bahawa Demokrat mempunyai hak untuk mempolitikkan Sandy.  "Politik dan Taufan Sandy," hujah Jonathan Bernstein, yang bersetuju dengan Chait, dengan berhjuah, "sememangnya kita sepatutnya membahaskan dan membincangkan perkara tersebut ketika pilihan raya.  Sesungguhnya, jika kita mengetepikan semuanya, maka tidak jelas mengapa kita mahukan demokrasi sejak mula-mula lagi."

Pastinya, tumpuan lebih terarah kepada Obama berbanding dengan Romney, kerana beliau Panglima Besar Amerika. "Ribut," tulis David Nakamura dan Karen Tumulty, "menghidangkan detik Panglima Besar kepada Obama." Jelas bahawa beliau bersiap siaga untuk menghapi segala kemungkinan daripada Sandy, seperti yang diperhatikan oleh John Cassidy.  Nyata bahawa Obama berjaya  menawan detik penyelamat Taufan Sandy, menurut tafsiran Howard Kurtz. Sebaliknya bagi Republikan, seperti yang dibahaskan oleh Ben Adler dalam The Nation, Taufan Sandy mendedahkan ketidakmampuan perubahan mereka.

Walau bagaimanapun, taufan itu yang merumitkan pilihan raya yang telah pun berbaur, dipercayai lebih banyak membawa kerosakan terhadap Presiden Obama jika dibandingkan dengan Romney.  "Kejutan Oktober ini," tulis Margaret Carlson, "boleh merosakkan Obama," manakala Romney yang masih dapat berkempen ke sana ke mari, "perlu mengelakkan dirinya daripada menjadi sasaran malapetaka itu."

Untuk mengatakan bahawa Taufan Sandy itu memberikan kelebihan kepada Romney, sememangnya tidak tepat sama sekali.  Bahkan, rakan separtinya, iaitu Chris Christie, Gabenor New Jersey, yang sebelum ini sering menggasak Obama,  menyanjung daya usaha  Presiden  menangani malapetaka itu.

Selain itu, yang lebih penting, Romney mula dihantui oleh pendiriannya yang beliau bangkitkan ketika pemilihan awal Republikan agar tanggungjawab menangani bencana alam dipikul oleh kerajaan negeri, dan bukannya oleh kerajaan pusat.  Beliau dilaporkan enggan menjawab soalan pemberita tentang bagaimana beliau akan menangani Agensi Pengurusan Darurat Persekutuan (FEMA).  Pendirian beliau tentang FEMA, menurut Rick Ungar, bercanggah dengan rakannya, Gabenor Christie.

Rekodnya semasa berkhidmat sebagai Gabenor Massachusetts yang pernah memohon peruntukan Persekutuan untuk mengawal banjir, kemudian beliau vetokan peruntukan itu, diselongkar.  Sedangkan selepas itu, beliau mencadangkan kerajaan Persekutuan jangan terlibat dalam bantuan bencana.

Nate Silver dalam FiveThirtyEight, bagaimanapun, mengakui kesan Taufan Sandy terhadap pilihan raya pada Selasa sukar diramalkan. Untuk sementara waktu, ribut itu mempunyai impak terhadap bilangan tinjauan pendapat, yang sebilangannya menangguhkan tinjauan pendapat penjejakan nasional. Setakat hari ini, Silver menjangkakan Obama memenangi 299.0 undi badan perwakilan pemilih berbanding dengan 239.0 untuk Romney.  Peluang menang untuk Obama ialah 77.4 peratus, manakala Romney 22.6 peratus.


Adakah Sandy mencurahkan rahmat politik  kepada lelaki di Rumah Putih untuk kekalkan sepenggal lagi? - seperti yang dibayangkan oleh Noam Schebier dalam The New Republic.  Atau paling tidak, seperti yang dibahaskan oleh Jonathan Cohn, Sandy memberikan pengajaran kepada para pengundi bahawa kerajaan penting.

Sebagai penjawat kini, Barack Obama  mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan pencabarnya, Mitt Romney, meskipun ada kalanya berisiko.  Selain berkempen, Obama atas kedudukannya sebagai Presiden boleh muncul untuk program atau majlis rasmi, yang pastinya sukar dinikmati oleh Romney. 

Demikian juga apabila berlaku Taufan Sandy, beliau dapat menggerakkan dan menggembleng segala sumber negara. Secara rasmi, beliau kelihatan bertindak sebagai Panglima Besar, tetapi secara tersirat, beliau juga berkempen sebagai calon Presiden.  Sebenarnya, beliau berkempen dengan menjalankan tugas rasminya.  Pendek kata, "sambil menyelam minum air."


Akibat Kemelesetan dan Jimat-cermat, Bahasa Jerman Jadi Pilihan

RABU, 31 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Bayaran tuisyen yang tinggi dan pemotongan pendanaan universiti mendorong para pelajar berbahasa Inggeris mencari alternatif di luar negara.  Mereka dengan bilangan  yang meningkat, seperti yang dilaporkan oleh Spiegel Online  International, berpindah ke universiti-universiti di Jerman untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Banyak pelajar universiti Inggeris mendapati diri mereka semakin sukar untuk membiayai pendidikan mereka.  Kerajaan konservatif yang dipimpin oleh Perdana Menteri David Cameron melakukan pemotongan yang besar untuk universiti pendanaan awam dan meningkatkan secara dramatik bayaran tuisyen, daripada 3000 paun kepada 9000 paun, atau hampir lapan peratus, dan trend dijangkakan berterusan.

Sementara itu, krisis zon euro, yang merebak ke Italy, mendorong rakyat negara itu belajar bahasa Jerman, menurut Spiegel, demi meningkatkan  prospek pekerjaan mereka.  Mereka berharap bahawa menguasai tatabahasa yang rumit dan perbendaharaan kata yang menyebabkan tergulung lidah akan membantu mereka memperoleh pekerjaan bergaji tinggi di Jerman.



Industri Penerbitan di Persimpangan?

RABU, 31 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Penggabungan Penguin dengan Random House, yang melahirkan penerbit buku terbesar, sememangnya mendapat perhatian,  tentang penerbitan buku, antaranya oleh A.E.S. dalam The Economist - majalah yang pemilik Penguin, iaitu Pearson merupakan pemilik bersama.  Penggabungan dengan penerbit yang dimiliki oleh Bertelsmann, kumpulan media Jerman,  dianggarkandapat mengawal sebanyak satu perempat jualan buku dalam bahasa Inggeris.  Bertelsmann akan mempunyai kepentingan majoriti dalam usaha niaga 53 peratus dan Penguin akan mengawal bakinya 47 peratus. Sementara editorial The Guardian yang mengulas penggabungan itu, membangkitkan persoalan tentang industri penerbitan:  gelombang atau tenggelam

Industri penerbitan sering mendapat perhatian, lebih-lebih lagi dengan  kewujudan e-bukuPeter Osnos yang menulis  dalam The Atlantic, tetap yakin akan industri perbukuan, dengan adanya e-buku, yang meningkatkan nilai jualan.  Beliau juga memetik Colin Robinson yang mencadangkan 10 cara untuk menyelamatkan industri penerbitan  dan  Persatuan Penerbit Amerika yang melaporkan bahawa jualan perdagangan meningkat 13.1 peratus, iaitu kepada AS$2.33 bilion dalam enam bulan pertama tahun 2012.


Pengangguran Teruk di Eropah

RABU, 31 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Eropah, terutamanya zon euro terus dilanda krisis yang tidak memperlihatkan tanda untuk reda, dan menyaksikan pertelagahan antara  negara anggota. Selain dilanda kemelesetan, Eropah bergelut dengan kadar pengangguran yang tinggi, seperti yang ditunjukkan oleh carta harian The Economist. Dalam Kesatuan Eropah yang baru-baru ini dianugerahi Hadiah Nobel Keamanan, sehingga mencetuskan kontroversi,  golongan penganggur  berjumlah 17.8 juta orang.




Tuesday, October 30, 2012

Kemakmuran Global: Malaysia di Tangga ke-45

RABU, 31 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Beberapa hari ini menyaksikan pemakluman beberapa penarafan global, antaranya negara peramah,  dan yang terbaru ialah Global Prosperity Index 2012, yang menyaksikan Amerika Syarikat, untuk pertama kali,  terkeluar daripada 10 buah negara teratas dari segi kemakmuran, sekadar menduduki tangga ke-12.

Indeks berkenaan, seperti yang dipetik oleh Datablog The Guardian,  melibatkan 142 buah negara, yang diukur dalam lapan  kategori: ekonomi, pendidikan, keusahawanan dan peluang, tadbir urus, kesihatan, kebebasan peribadi, keselamatan, dan modal sosial. Negara Scandinavia, iaitu Norway, Denmark, dan Sweden, menduduki tangga pertama, kedua, dan ketiga, manakala Australia dan New Zealand masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima.

Indeks kemakmuran itu yang memasuki tahun keenam, membahagikan negara ke dalam empat kumpulan:  negara penarafan tinggi (30 buah), negara penarafan sederhana atas (41 buah), negara penarafan sederhana bawah (41 buah), dan negara penarafan rendah (30 buah).

Negara  Asia-Pasifik yang turut tergolong dalam kumpulan teratas ialah Hong Kong, Singapura, dan Taiwan, masing-masing di tangga ke-18, ke-19, dan ke-20, manakala Jepun ke-22 dan Korea Selatan ke-27. Malaysia yang menyertai kumpulan kedua, menduduki tangga ke-45, bersama Vietnam (ke-53), China (ke-55), dan Thailand (ke-56).  Negara lain di rantau ini yang turut tersenarai ialah Sri Lanka, Mongolia, dan Indonesia, masing-masing di tangga ke-58, ke-59, dan ke-63.

Dalam kategori ekonomi, Malaysia mencatatkan kedudukan terbaik, iaitu di tangga ke-15  dan ke-35 untuk   tadbir urus dalam kalangan semua negara yang dikaji, tetapi teruk dalam kategori kebebasan peribadi dan modal sosial, masing-masing di tangga ke-111 dan ke-100.  



Apa Kata Model Tentang 6 November

SELASA, 30 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat memasuki minggu terakhir.  Sama ada Barack Obama kekal di Rumah Putih untuk satu penggal lagi, ataupun digantikan oleh Mitt Romney daripada Republikan, pastinya diketahui selewat-lewatnya pada 7 November tengah hari (waktu Malaysia).  

Kerancakan kempen, terutamanya bagi Barack Obama, terjejas akibat Taufan Sandy yang melanda pantai Atlantik Amerika Syarikat.  Beliau terpaksa membatalkan kempen di Florida, yang akhirnya disempurnakan oleh bekas Presiden Bill Clinton yang gigih berkempen untuk Obama,  kerana perlu pulang ke Washington untuk menangani taufan itu. Taufan Sandy berkemungkinan mengganggu penjejakan tinjauan pendapat Pilihan Raya Presiden yang sebelum ini kekal stabil.

Dalam pada itu, Kevin Drum melalui kemas kini pilihan raya, mengemukakan empat model peramalan presiden yang paling popular, dengan dua teratas ialah Drew Linzer dan Nate Silver, manakala dua di bawah ialah Sam Wang dan Pollster. Obama, menurut Drum, melebarkan jaraknya daripada Romney sejak kira-kira 10 Oktober, dan kini menjadi pilihan dalam semua empat model itu.  Purata semua empat model itu memberikan 301 undi badan perwakilan pemilih kepada Obama.  


Selain itu, memang diakui oleh banyak pihak,  menurut Mark Halperin dan Elizabeth Dias, dalam Time keluaran 5 November, bahawa  Obama mempunyai kelebihan berbanding dengan Romney untuk meraih 270 undi badan perwakilan pemilih.  Obama mempunyai deposit tetap 237 undi badan perwakilan pemilih, dan Romney 191, manakala 110 lagi terbuka untuk direbut oleh kedua-dua calon itu.  Dengan itu, bermakna Romney memerlukan 79 undi badan perwakilan pemilih daripada sembilan buah negeri berayun atau "lambung duit."  

Daripada kesemua negeri itu, Romney dijangkakan menguasai Florida yang mempunyai 29 undi badan perwakilan pemilih. Namun, seperti yang dibahaskan oleh Nate Cohn dalam The New Republic, Florida, merupakan persaingan sengit antara Romney dengan Obama, dan dengan itu, Romney masih belum pada kedudukan yang selesa. Dalam tulisan yang berasingan tentang Colorado - sebuah lagi negeri berayun, Obama, tegas Cohn, kemungkinan tidak dapat mengulangi kejayaannya pada tahun 2008.

Obama yang luka parah dalam debat pertama Presiden di Denver, Colorado, nampaknya dapat memulihkan keadaan jika diperhatikan tinjauan pendapat Pew yang dikeluarkan lapan hari sebelum Hari Pilihan Raya,  apabila kedua-duanya terikat pada 47 peratus dalam kalangan kemungkinan pengundi. Sedikit peningkatan untuk Presiden Obama daripada tinjauan pendapat  4 - 7 Oktober yang menunjukkan Romney mendahului Obama 49 peratus berbanding 45 peratus.

Meskipun berlaku "momentum Mitt" sejak debat pertama itu, kempen Obama, seperti yang dicatatkan oleh David Corn, menolak hal itu sama sekali.  Sebaliknya, bagi dua ahli strategi kempen Obama, iaitu David Axelrod dan Jim Messina, adalah tentang matematik untuk mara ke Rumah Putih  dengan merentas beberapa laluan di negeri berayun, yang Obama dipercayai mempunyai kelebihan.

Sementara kempen Romney didapati mempunyai kelebihan dari segi kewangan, kerana disokong oleh penderma konservatif yang berazama menumbang Obama,  kempen Obama pula mempunyai senjata sulit: turun ke lapangan untuk memujuk pengundi, seperti yang didedahkan oleh Sasha Issenberg dalam  Slate.  Walau bagaimanapun, super PAC pro-Obama dan Demokrat juga tidak ketinggalan dari segi sumbangan derma.

Balik kepada empat model peramalan, segala-galanya akan terbukti ketepatannya kelak, hanya kira-kira seminggu dari sekarang.  Mungkinkah "kejutan Oktober" mengubah permainan?



Obama Merampas Semula Kedudukan?

SELASA, 30 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jika pilihan raya diadakan hari ini (29 Oktober), isytihar The Economist, Barack Obama akan memenangi 332 undi badan perwakilan pemilih berbanding 206 untuk pencabarnya, Mitt Romney.  

Di negeri yang menjadi rebutan terkini, majalah ini sempat merujuk tinjauan pendapat Rasmussen yang menunjukkan Romney mula menguasai Ohio dengan dua titik peratusan, iaitu 50 peratus berbanding 48 peratus untuk Obama.  Pastinya, di Ohio, Rasmussen berbeza dengan beberapa tinjauan pendapat yang lain, antaranya TPM yang  menunjukkan  Obama masih mendahului Romney, dengan 49.5 peratus berbanding 48.1 peratus.

Meskipun persaingan di negeri berayun menyaksikan Obama dan Romney bersaing sengit,   pilihan raya di negeri berkenaan menurut Nate Silver dalam FiveThirtyEight, "boleh diramalkan." 

Tinjauan pendapat terbaharu yang dikeluarkan oleh Politico/George Washington University, menunjukkan   Obama merampas semula penerajuan nasional yang sempit mengatasi Romney.  Obama semakin mendapat sokongan kaum wanita dan mempunyai kelebihan pengundian awal.  Beliau mendahului Romney dengan satu titik peratusan, iaitu 49 peratus berbanding 48 peratus, yang menunjukkan ayunan tiga titik peratus ke arah Obama dari seminggu lalu, walaupun perlumbaan masih terikat dari segi statistik. 

Demikian juga tinjauan pendapat terbaharu Public Policy Polling dan Reuters/Ipsos yang menunjukkan Obama mendahului Romney di peringkat nasional,  dengan titik peratusan yang kecil. 

Obama yang memperoleh sokongan padu daripada para pengundi Latino,  menurut Tourne, dijangkakan menang dalam pilihan raya kali ini.   Romney pula diperhatikan mara ke negeri biru, iaitu Pennyslvania dan Minnesota, tetapi hal ini dinafikan oleh kempen Obama, menganggapnya bohong.


Monday, October 29, 2012

Perjalanan ke Rumah Putih Melalui Ohio

ISNIN, 29 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala Hari Pilihan Raya hanya tinggal lapan hari lagi, beberapa tinjauan pendapat, seperti Rasmussen dan Gallup,  menunjukkan bahawa di peringkat nasional, Mitt Romney mendahului Barack Obama. Demikian juga tinjauan pendapat The Washington Post/ABC News yang melibatkan kemungkinan pengundi, menunjukkan Romney mendahului Obama 49 peratus berbanding 48 peratus dalam tiga hari berturut-turut.   Sementara Reuters/Ipsos dalam tinjauan pendapat yang dikeluarkan pada hari Ahad - sembilan hari sebelum pilihan raya,  menunjukkan Obama mendahului Romney 49 peratus berbanding 46 peratus dalam kalangan kemungkinan pengundi. Selain itu, kedua-dua kempen, iaitu kempen Obama dan kempen Romney mendakwa bahawa mereka mempunyai laluan untuk kemenangan.

Sejak debat pertama Presiden  di Denver, Colorado pada 3 Oktober lalu, Romney memperlihatkan kemaraannya, yang disebut "momentum"  Mitt, yang dibahaskan dengan mendalam oleh Andrew Sullivan, yang meraguinya.  Meskipun "perisytiharan" kemenangan Romney dianggap suatu pembohongan dan "Obama akan menang," bahas Robert Shrum,   kesan prestasi buruk Obama  amat serius, yang menurut Charlie Cook, "jika beliau kalah, salahkan debat itu." Sedangkan, kemenangan Obama dalam dua debat seterusnya, termasuk yang terakhir di Boca Raton, tidak banyak memberikan lantunan kepada beliau: sekadar menebus kekalahan debat pertama, tetapi tidak dapat mengembalikan sokongan yang hilang.

Perhatian bukan sahaja tertumpu terhadap kedua-dua kempen, iaitu kempen Obama dan kempen Romney, tetapi juga terhadap tinjauan pendapat yang turut mencorakkan pilihan raya, yang menurut Robert J. Samuelson, "menghadapi detik kebenaran," dan Mark Blumenthal, "bilakah mendahului benar-benar mendahului?"  Sementara ramalan  pilihan raya  mencetuskan polemik dalam kalangan cerdik pandai politik, seperti dalam kes "David Brooks lawan Nate Silver" - kedua-duanya daripada The New York Times.

Walaupun Romney diperhatikan mendahului Obama di peringkat nasional, hal ini tidak menjamin kemenangan untuk beliau kerana medan pertempuran sebenar ialah di sembilan negeri berayun, iaitu Florida, Ohio, Michigan,  North Carolina, Virginia, Wisconsin, Colorado, Iowa, dan Nevada, dengan lima daripadanya dikuasai oleh Obama: Ohio, Michigan, Wisconsin, Iowa, dan Nevada.  Tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Obama menguasai Ohio dan Virginia, yang menurut Nate Silver,  lebih penting.  Obama dan Romney bersaing sama-sama hebat, iaitu "Romney mahu Republikan yakin, Presiden Obama mahu Demokrat berasa takut," memetik Ezra Klein, tetapi  yang jelas  di Ohio, Obama masih mendahului Romney.  Masing-masing menguasai beberapa buah negeri berayun, tetapi penguasaan Obama di Ohio, Nevada, dan Wisconsin, memadai untuk memperoleh 271 undi badan perwakilan pemilih, hujah Nate Cohn.

Selain Nate Silver, bahas Robert Wright, The Huffington Post dan RealClearPolitics, menunjukkan Obama sebagai calon pilihan.  Bahkan,  di negeri berayun, menurut pemerhatian Gabriel Snyder dalam The Atlantic Wire, Romney sudah lama ketinggalan, maka kemenangan pilihan raya memihak kepada Obama.  

Presiden Barack Obama diperhatikan menguasai negeri berayun untuk membolehkan beliau memenangi sekurang-kurangnya 270 undi badan perwakilan pemilih. Jika pilihan raya diadakan pada hari ini (26 Oktober), isytihar The Economist, Obama menang dengan 286 undi badan perwakilan pemilih berbanding 252 untuk Romney kerana beliau menguasai negeri berayun, termasuk Ohio.  Sementara Sam Wang daripada Princeton Election Consortium dalam ramalannya pada 28 Oktober, Obama menang 300 berbanding 238 undi badan perwakilan pemilih untuk Romney.



Debat terakhir itu, yang menurut pemerhatian, adalah semuanya  mengenai Ohio, meskipun mungkin tidak mengubah matematik pilihan raya, Romney, bahas Charlie Cook, menghadapi kesukaran untuk laluan ke 270 undi badan perwakilan pemilih. 

Jika pada tahun 2000, medan pertempuran di Florida yang menyaksikan kemenangan George W. Bush sebagai Presiden Amerika Syarikat, kali ini medan pertempurannya beralih ke Ohio.  Seperti yang dibahaskan oleh Daniel Politi, "potensi laluan ke Rumah Putih."  Ohio, yang mempunyai 18 undi badan perwakilan pemilih, menurut Danz Balz dan Felicia Sonmez yang menulis dalam The Washington Post, "negeri mata lembu" yang menjadi rebutan Obama dan Romney, yang menyaksikan  iklan kempen  tanpa henti selama 80 hari

Negeri tersebut akan menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden pada 6 November ini.  Obama nampaknya menumpukan segala kekuatan untuk memenangi Ohio - yang dikatakan tidak ada calon Republikan yang menang sebagai Presiden tanpa memenangi negeri ini.   Justeru, "Romney benar-benar perlukan Ohio," isytihar Mark McKinnon, dan Romney kelihatan benar-benar terdesak

Malangnya, langkah Obama menyelamatkan industri auto memberikan kelebihan kepada beliau, lebih-lebih lagi industri ini melantun semula.  Jika Obama menang di Ohio bersama-sama dua negeri lagi, iaitu Wisconsin dan Nevada, tegas Michael Cohen, tidak ada peluang bahawa beliau akan tewas dalam pilihan raya ini.

Obama, menurut Nate Silver terus mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu di Ohio dan negeri lain untuk meraih 270 undi yang menjamin kemenangan beliau untuk penggal kedua.  Silver dalam ramalannya yang dikemaskinikan pada 28 Oktober, masih meletakkan Obama sebagai pemenang, iaitu beliau memperoleh 296.6 berbanding 241.4 undi badan perwakilan pemilih untuk Romney, manakala peluang Obama untuk menang ialah 74.6 peratus berbanding 25.4 peratus untuk Romney.

Sebaliknya, dari segi aritmetik, sukar bagi Romney untuk menang pilihan raya, seperti yang dibahaskan oleh Harry J. Enten, bahkan kemenangan di Colorado, Florida, dan Virginia masih tidak cukup untuk menggenapkan 270 undi.  Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa calon Republikan itu masih berpeluang untuk menang di Ohio dan/atau Wisconsin pada Hari Pilihan Raya.  Romney tidak perlu mendahului secara purta pada akhir kempen.  Sejarah menunjukkan, hujah Enten, beliau perlu mendahului sekurang-kurangnya sekali dalam tinjauan pendapat dalam dua pertandingan ini.  Malangnya, setakat ini, belum wujud tinjauan pendapat seperti itu, yang maksud Enten, tinjauan pendapat yang bebas, yang tidak ditaja oleh mana-mana kumpulan tindakan politik.

John Cassidy yang menjangkakan Obama memenangi 277 berbanding 235 undi badan perwakilan pemilih bagi Romney, manakala 26 undi disifatkan "lambung duit," masih dapat memenangi perlumbaan ke Rumah Putih tanpa Ohio, tetapi tugas ini amat sukar. Cassidy telah  mengubah kedudukan lapan negeri medan pertempuran, iaitu satu negeri cenderung kepada Romney (Florida), empat negeri cenderung kepada Obama (Iowa, Nevada, Ohio, dan Wisconsion), dan tiga negeri "lambung duit" (Colorado, New Hampshire, dan Virginia).  Sebagaimana beberapa pengulas lain, Cassidy memerhatikan keterbatasan laluan Romney untuk ke Rumah Putih  tanpa Ohio.

Berbanding dengan Obama, Romney sebenarnya mempunyai laluan alternatif yang agak terbatas di negeri berayun.  Selain itu, beliau setakat ini gagal mara negeri medan pertempuran yang amat strategik, iaitu Ohio.



Jalan Berlumuran Darah ke Arah Aparteid: Di Manakah Maharani Tanpa Pakaian?

ISNIN, 29 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pemimpin pseudodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi,  yang pada suatu ketika mempunyai peminat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, boleh tersenyum lebar kerana berjaya mencipta lawatan bersejarah, pertama ke Eropah, dan kemudian ke Amerika Syarikat.

Namun, kejayaan itu tidak dapat mengaburi mata antarabangsa kerana di Myanmar masih berlaku persengketaan etnik, iaitu pembunuhan yang berleluasa terhadap  orang Islam  minoriti, Rohingya.  Pada pertengahan bulan ini, Reuters melaporkan bahawa beribu-ribu sami Buddha berarak di dua buah kota terbesar Myanmar, menunjukkan bantahan mereka terhadap Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC), yang bercadang menubuhkan pejabat perhubungan di negeri Rakhine.

Dalam persengketaan terbaharu, menurut kerajaan Myanmar, 82 orang terbunuh di Rakhine, dan 2800 buah rumah dibakar.  Kedua-dua angka itu, hampir keseluruhannya dikurangkan anggaran.  Human Rights Watch, yang beribu pejabat di New York, yang memantau persengketaan itu menunjukkan pemusnahan oleh kebakaran pada 24 Oktober yang melibatkan kediaman orang Islam di kepulauan Kyauk Pyu.  Penduduk di kepulauan  dilaporkan melarikan diri, kebanyakannya melalui laut, ke ibu negeri, Sittwe. Di situ, kira-kira 75,000 orang, kebanyakan orang Islam Rohingya, ditempatkan di dalam kem yang menjelikkan untuk tujuan dipindahkan secara dalaman.

Banyan yang menulis dalam The Economist, mendedahkan bahawa Myanmar sedang menuju ke arah Aparteid dengan berlumuran darah.  Dan bahkan,  aktivis demokrasi di Yangon, enggan mengiktiraf orang Rohingya sebagai warganegara Myanmar, tegas Banyan.  "Aung San Suu Kyi, pemimpin pembangkang, berkata bahawa beliau tidak tahu, sama ada mereka ialah warganegara ataupun tidak."

Meskipun persengketaan etnik ini mengancam pembaharuan yang rapuh, seperti yang dibahaskan oleh Hannah Beech, pemimpin pembaharuan yang menjadi "budak mata biru" Barat, iaitu Suu Kyi, tetap memilih jalan selamat demi kelangsungan politiknya. 



Laporan Bank Dunia Dipersoalkan: Agenda Neoliberal

ISNIN, 29 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Laporan Bank Dunia tentang menjalankan perniagaan di peringkat negara  yang diterbitkan baru-baru ini membangkitkan beberapa persoalan.  Dalam laporan itu, Singapura menduduki tangga teratas, manakala Malaysia  mara ke tangga ke-12 - maka paluan kompang bergema di sana sini satu "Malaya." Banyak negara dalam atau hampir 50 teratas penarafan Bank Dunia yang terbukti bergelumang dengan kontroversi.

Phillip Inman yang menulis dalam blog The Guardian, memaklumkan  bahawa laporan itu  dikritik kerana mengaburi kemiskinan dan rasuah yang wujud di sesetengah negara.  Beberapa negara yang kononnya merupakan tempat terbaik untuk menjalankan perniagaan, seperti Georgia (tangga kesembilan) dan Zambia (tangga ke-94), mencetuskan kontroversi.  

Georgia   berjaya mengurangkan rasuah, seperti yang dilaporkan oleh Transperancy International, namun amalan itu diidapati masih berleluasa.

Dalam konteks yang lebih luas, para pengkritik menegaskan bahawa penarafan Bank Dunia mempromosikan agenda neoliberal tentang penswastaan, potongan kebajikan, dan mengehadkan hak guna tenaga dan upah rendah untuk mengambil hati dan menarik multinasional asing.



Thursday, October 25, 2012

Suntikan Vagina

KHAMIS, 25 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kekuatan untuk lelaki, kecantikan untuk wanita.  Itulah sebabnya, bagi lelaki, iklan "ubat kuat lelaki" kelihatan di serata cerok.  Bagi wanita pula, mereka mengutamakan kecantikan dari hujung kaki hingga ke hujung rambut.

Menurut majalah Fabulous, yang dipetik oleh The Huffington Post, banyak wanita di Pantai Barat Amerika,  berebut-rebut berjumpa doktor untuk mendapatkan "G-Shot" untuk titik rahsia mereka

Wanita dikatakan sanggup berbelanja lebih AS$1000 untuk suntikan vagina mereka yang menjanjikan berbulan-bulan keseronokan seksual yang diperhebat dan orgasma yang dipuncakkan.



Kelebihan Tetek Kecil?

KHAMIS, 25 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Bagi sesetengah wanita, tetek merupakan mahkota mereka. Ada yang berbangga mempunyai  tetek yang besar, dan ada yang berasa rendah diri kerana mempunyai tetek yang keci saiznya.

Bagi wanita yang bertetek kecil, mereka sepatutnya sedar bahawa saiz tetek seperti itu mempunyai kelebihannya, menurut The Huffington Post, yang merujuk buku The Advantages of Being Small-Breasted.

Kecil itu indah!


Jurang Gender Global: Malaysia di Tangga ke-100

KHAMIS, 25 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Menurut 2012 Global Gender Gap Report, yang dikeluarkan pada 23 Oktober oleh Forum Ekonomi Dunia, Malaysia menduduki tangga ke-100 daripada 135 buah negara yang dikaji. Laporan itu berasaskan 14 petunjuk yang digunakan untuk mengukur saiz jurang gender negara dalam empat bidang utama:  penyertaan dan peluang ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kelangsungan, dan pemerkasaan politik.

Iceland yang sejak tahun 2009 menduduki tangga pertama, berjaya mengekalkan kedudukannya sekali lagi pada tahun ini, manakala Finland yang tahun lalu di tangga ketiga, bertukar tempat dengan Norway, untuk tempat kedua.  Sweden yang sejak tahun 2009 di tangga keempat, kekal pada kedudukan itu, diikuti oleh Ireland, New Zealand, Denmark, Filipina, Nicaragua, dan Switzerland,  untuk 10 teratas.

Negara lain di Asia Tenggara yang mendahului Malaysia, ialah Singapura (ke-55), Thailand (ke-65), Vietnam (ke-66), Tmor-Laste (ke-68), Brunei Darussalam (ke-55), dan Indonesia (ke-97).  Satu-satunya negara di rantau ini yang di belakang Malaysia ialah Kemboja yang menduduki tangga ke-103.

Malaysia, Jepun (ke-101), Kemboja, dan India (ke-105), menurut laporan itu,  di bahagian bawah kedudukan dalam kalangan negara Asia-Pasifik.  Kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan Jepun jatuh dalam kedudukan sebanyak tiga tempat.  Kemerosotan Malaysia berpunca kemerosotan nisbah jantinan, manakala Jepun disebabkan oleh kejatuhan kecil dari segi peratusan anggota parlimen wanita dan kejatuhan nisbah seks ketika kelahiran.  Malaysia, menurut laporan itu lagi, ialah negara kedua terbaik dari segi data kesamaan upah.




Mencari Kegembiraan Meninggalkan Keluaran

KHAMIS, 25 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Adakah kegembiraan negara kasar akan menggantikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)? Inilah persoalan yang sering dibangkitkan sejak World Happiness Report  dan Better Life Index diterbitkan.  Raja Bhutan yang mahukan warga dunia gembira mencadangkan agar kerajaan sepatutnya bertujuan memaksimumkan kegembiraan negara kasar rakyat berbanding dengan KDNK.

Robert Skidelsky yang menulis dalam The Guardian, menjelaskan memang mudah untuk melihat mengapa kerajaan sepatutnya tidak lagi menumpukan  pertumbuhan ekonomi apabila  pertumbuhan itu didapati sukar ditemui.  Zon euro tidak dijangkakan tumbuh sama sekali tahun ini.  Ekonomi British menguncup.  Ekonomi Greece merosot sejak bertahun-tahun.  Bahkan, China dijangkakan perlahan.  "Mengapa tidak tinggalkan pertumbuhan dan menikmati apa yang kita ada?" tanya Skidelsky.

Berhubung dengan KDNK, Jane Gleeson-White baru-baru ini membayangkan bahawa penguasaan sebagai satu-satunya ukuran kekayaan akan berakhir.  KDNK tegas beliau, yang mengabaikan sumbangan semula jadi  dan isi rumah menghadapi cabaran yang semakin menjadi-jadi.  KDNK tegas Jane lagi, ialah ukuran separa dan mengelirukan tentang kekayaan dan kesejahteraan.

Jane memetik Simon Kuznets yang berhujah bahawa KDNK ialah ukuran separa kekayaan negara, seperti yang dilakukan oleh John Maynard Keynes yang menyelia pembinaan akaun negara British yang pertama ketika Perang Dunia Kedua. "Kedua-duanya, iaitu Keynes dan Kuznet menganggap angka ini menjadi ukuran sementara, untuk kegunaan semada kecemasan, seperti peperangan dan kemelesetan."

Ahli politik pertama, jelas Jane, yang secara terbuka menentang KDNK ialah Senator Robert Kennedy pada Mac 1968:  "Terlalu banyak untuk terlalu lama, kita kelihatan menyerahkan keunggulan peribadi dan nilai komuniti dalam pengumpulan perkara kebendaan semata-mata."



Wednesday, October 24, 2012

Ketidaksamaan dan Kapitalisme Kroni

RABU, 24 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dalam usahanya untuk berehat sekejap daripada menulis Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, Eliot Spitzer yang menulis dalam Slate, mencadangkan orang Amerika merujuk The Economist keluaran 13 Oktober, "True Progressivism."  

Tulisan dalam majalah itu, tegas beliau, menerima seperti pada premisnya bahawa ketidaksamaan yang meningkat dalam ekonomi Amerika adalah bermasalah pada banyak tahap, dan bahawa penumpuan kuasa ekonomi dalam kalangan plutokrasi mewujudkan bentuk kapitalisme kroni yang adalah antitesis terhadap pertumbuhan ekonomi dan ketahanan.






Dari Mana Datangnya Bahasa?

RABU, 24 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Benjamin K. Bergen yang memulakan penulisannya dengan menegaskan bahawa mencipta makna merupakan satu perkara yang paling penting yang kita lakukan.  Sebagai permulaan, perkara itu ialah sesuatu yang kita lakukan hampir konstan.  Tegas beliau lagi, kita berenang dalam laut kata. Setiap hari, kita mendengar dan membaca berpuluh-puluh ribu kata. Dan entah kenapa, bagi kebanyakan bahagian, kita memahami kata.

Makna hujah Bergen, bukan sahaja konstan, tetapi juga kritis.  Dengan bahasa, kita dapat berkomunikasi apakah yang kita fikir dan siapakah kita.  Tanpa bahasa, kita akan terasing.  Kita  sepatutnya tidak mempunyai fiksyen, tidak mempunyai sejarah, dan tidak mempunyai sains.  Untuk memahami bagaimana makna berfungsi, maka adalah untuk memahami baahgian apakah yang menjadi manusia.

Bagi Bergen, sains baru menunjukkan kita mewujudkan makna dengan mewujudkan simulasi mental. Dalam tulisannya itu, beliau turut membahaskan teori tradisional makna dan simulasi yang terjelma.


Tuesday, October 23, 2012

Kesan Debat Ketiga: Berapa Jauh Berapa Dalam?

SELASA, 23 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Berbulan-bulan kalaupun tidak bertahun-tahun, Presiden Barack Obama mempunyai kelebihan dari segi dasar luar berbanding dengan lawannya, Mitt Romney yang mempunyai kelebihan dari segi ekonomi.  Namun, serangan  di Benghazi yang  mengorbankan empat nyawa, sehingga mencetuskan kontroversimendedahkan kelemahan utama Obama, menurut pandangan para pengundi.  Sejak serangan 11 September itu yang diperburuk lagi prestasi buruk Obama dalam debat pertama Presiden di Denver, pada 3 Oktober, beliau kelihatan terhuyung-hayang dan menuju ke arah kekalahan. 

Jika tidak berlaku serangan yang semakin dipolitikkan oleh Republikan, dicampuradukkan dengan pendustaan,  pastinya Obama mempunyai perjalanan yang selesa ke Rumah Putih, dan pastinya beliau mempunyai laluan mudah dalam debat ketiga yang tertumpu pada dasar luar, terutamanya Timur Tengah.  Maka, dijangkakan bahawa beliau tidak dapat  meraih kemenangan besar, dan bahkan kemungkinan kalah dalam debat ketiga yang baru sahaja berlangsung di Boca Raton, Florida, meskipun kekalahan itu mungkin tidak seteruk kekalahan dalam debat yang pertama. 

Walau bagaimanapun, Obama memenangi debat tersebut, menurut tinjauan segera oleh CBS News dan CNN. "Obama menang pusingan tiga," isytihar Elspeth Reeve dalam The Atlantic Wire.  Debat dasar luar, kemenangan untuk Obama, tulis Lexington dalam The Economist.

Pastinya, debat terakhir  itu mengundang pelbagai tafsiran oleh cerdik pandai, lazimnya ditentukan oleh "di mana mereka duduk, di situ mereka berdiri," misalnya dikatakan bahawa  Obama  menang,  Romney tidak tumbang, walaupun jelas beliau, menurut Fred Kaplan, cuba mengelak, dan bersetuju dengan Obama dari segala segi.  Romney, bahkan, menurut pemerhatian  E.J. Dionne Jr.,  "naik ke pentas untuk bermain, dan bukannya untuk menang."  Romney tahu bahawa tidak ada jalan untuk beliau menang debat dasar luar, maka beliau tenggelam.

Debat Obama-Romney itu, seperti yang ditegaskan oleh Alex Roarty, berkemungkinan detik utama terakhir dalam kempenYang jelas, debat tersebut tidak mewujudkan "detik Gerald Ford" - memetik Amy Davidson yang menulis dalam New Yorker - majalah yang mengisytiharkan sokongan kepada Obama.  Atau menurut Dana Milbank, tidak benar-benar debat dasar luar kerana bercampur-aduk dengan dasar dalam negara yang dibangkitkan oleh kedua-dua calon. Khusus bagi bekas Gabenor itu, seperti yang dibahaskan oleh John Nichols, "dasar luar yang benar-benar asing bagi Romney."

Secara keseluruhanya, beberapa cerdik pandai, seperti David Corn, Alec MacGillis, Robert Wright, James Fallows, Andy BorowitzAlexander Burns, Ewen MacAskill, Robert Reich, Matt Zelller, Dan Balz dan David Nakamura, David Ignatius,  Eugene Robinson, Greg SargentHoward Kurtz,  Andrew Sullivan, Joe Klein,  dan Roger Simon,  dengan tegas menyataka bahawa Obama benar-benar terserlah dalam debat itu, jauh berbeza daripada lawannya, Romney. Jelas bahawa beliau mendahului Romney yang berjaya meletakkan lawannya dalam keadaan defensif.  Bahkan, ibu-ibu Walmart yang menyertai kumpulan fokus, dilaporkan memihak kepada Obama.

Namun, seperti yang dipersoalkan oleh Molly Ball, hanya dua minggu sebelum Hari Pilihan Raya, debat yang baik untuk Obama, tetapi dapatkah beliau menyekat Romney yangsemakin memperkukuh rentaknya?  Perkara yang hampir sama dibangkitkan oleh Michael Tomasky:  Obama menang, tetapi adakah kemenangan itu memberikan apa-apa kebaikan kepada beliau? Seperti yang ditegaskan oleh Gary Younge, sukar untuk membayangkan bahawa debat ini mengubah minda para pengundi.  Berhubung dengan perkara ini, Brian Montopoli yang menulis dalam CBS News berpendirian bahawa debat dasar luar tidak berkemungkinan mengubah banyak minda.

Sebelum debat ini berlangsung, Harry J. Enten mempersoalkan adakah debat ketiga Presiden ini membawa perubahan, sama ada untuk Obama ataupun Romney?  Enten juga mengingatkan bahawa Romney kekurangan laluan yang boleh laksana untuk untuk memperoleh 270 undi badan perwakilan  pemilih.  Meskipun beliau menguasai beberapa buah negeri berayun, beliau masih kekurangan undi yang diperlukan paling minimum, iaitu 270 badan perwakilan pemilih.

Namun, bagi Obama, setelah kalah teruk dalam debat pertama, kemudian berjaya disekat oleh Joe Biden daripada jatuh bebas dalam debat Naib Presiden, dan Obama sendiri menghentikan pendarahan berikutan kemenangan beliau dalam debat kedua, kemenangan debat terakhir membuktikan bahawa beliau masih menguasai dasar luar. Sekurang-kurangnya kemenangan beliau dalam debat kedua dan ketiga dapat mengobati kekalahan teruk dalam debat pertama. 

Walaupun kempen Romney memberikan tumpuan terhadap dasar luar sejak akhir-akhir ini, iaitu selepas serangan 11 September di Benghazi, debat terbaharu ini menyimpul  kukuh kedudukan Obama dalam bidang ini, yang jelas menunjukkan bahawa tidak mampu dicabar dan disaingi oleh Romney. Dengan demikian, ini membolehkan Obama memperkukuh kedudukannya di beberapa buah negeri berayun demi memastikan kemaraannya ke Rumah Putih dengan beberapa laluan alternatif di negeri berkenaan. 

Memandangkan masa semakin suntuk, sebarang kesilapan pastinya membawa padah yang sukar untuk dibaiki. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...