Artikel Popular

Friday, August 31, 2012

Gincu di Gigi Condoleezza Jadi Sendaan

JUMAAT, 31 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kehadiran Condoleezza Rice, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat untuk menyampaikan ucapan sempena Persidangan Kebangsaan Republikan, sepatutnya memberikan suntikan semangat kepada regu Mitt Romney-Paul Ryan dari segi dasar luar dan keselamatan negara. 

Namun, gara-gara tersilap mekap, iaitu gincu melekat pada giginya, Condoleezza menjadi bahan sendaan


Clint Eastwood Bercakap dengan Kerusi

JUMAAT, 31 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Bersempena Persidangan Kebangsaan Republikan tahun 2012 yang dapat diikuti  secara langsung melalui blog,  yang menyaksikan  Mitt Romney menyampaikan ucapan penerimaan calon untuk Pilihan Raya Presiden, pelakon veteran,  Clint Eastwood  turut berucap.  Beliau bercakap dengan kerusi kosong yang  mewakili  Presiden Barack Obama. 

Eastwood yang tidak puas hati terhadap Obama, bercakap dengan kerusi, "Dan saya fikir sudah sampai masanya.  Dan saya fikir jika anda berundur, Romney dan Ryan dapat ambil alih.  Namun, jenaka "tanpa Obama" itu dilaporkan mengelirukan para hadirin.

Bagi Obama, kehadiran dan ucapan Eastwood ada faedahnya kerana beliau (Eastwood) pernah menyokong  pelan penyelamat untuk industri auto, dan pernah tidak disenangi oleh Karl Rove, bekas penasihat kanan Presiden George W. Bush

Kempen Obama memberikan respons terhadap ucapan Eastwood, antaranya oleh Lis Smith, "membawa makna baru untuk yang baik, yang jahat, dan yang huduh, tetapi kebanyakannya hanya yang jahat dan yang huduh."  Sementara cerdik pandai MSNBC  menganggap ucapan itu membawa bencana; Rachel Maddow, tidak dapat berkata apa-apa,  manakala pemberita Fox News tidak memberikan liputan.  


Kisah Wanita Gelenyar Luar Biasa

JUMAAT, 31 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bayangkan jika wanita orgasma atau "naik stim" bukan sekali, tetapi 100 kali  dalam sehari. Bayangkan kesukaran si suami wanita berkenaan untuk memenuhi kehendak nafsu isterinya yang sentiasa bergelora.

Wanita dari New Jersey, Kim Ramsey, yang berusia 44 tahun, dilaporkan sering kemuncak menyebabkan hidupnya menjadi sukar.  Dia didapati menghidap penyakit Persistent Genital Arousal Disorder (PGAD), berasa gelenyar di mana-mana sahaja, seperti ketika menaiki kereta atau kereta api, menyebabkan dia berasa malu.

"Wanita lain berasa hairan bagaimana untuk mendapat orgasma, saya pula hairan bagaimana untuk menghentikannya," beritahu Kim yang tidak dapat  meneruskan hubungan normal dengan lelaki. Dia mengalami masalah pertama pada tahun 2008, selepas mengadakan hubungan seks dengan teman lelaki barunya.  Selepas itu, "saya secara tekal orgasma selama empat hari.  Saya fikir saya akan jadi gila."


Turki di Tengah Pentas

JUMAAT, 31 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketika bersantai  di lobi  Green Park Hotels & Resorts,   Istanbul  pertengahan Mei lalu (2010),    saya  tertarik dengan  berita  akhbar Hurriyet Daily News & Economic Review:  “Turkey May Help Greece Trim Budget Gap.”  Bak kata, “persahabatan teruji semasa kesusahan”  seakan-akan memperlihatkan  Turki ingin membantu Greece yang sedang bergelut dengan krisis hutang dan benar-benar di ambang muflis.
Ketakutan terhadap Turki mendorong Greece menjadi negara dalam Kesatuan Eropah (EU) yang terbesar dari segi perbelanjaan ketenteraan sebagai bahagian ekonomi pada dekad lalu. Perdana Menteri Turki,  Recep Tayyip Erdoğan yang mengadakan  lawatan ke Athens  juga mahu memotong perbelanjaan ketenteraan.    Dengan  potongan yang sama daripada musuh strategik, Turki akan membantu Greece melakukan pengurangan dalam perbelanjaan ketenteraan sebagai jaminan terhadap pinjaman berjumlah AS$139 bilion yang diberikan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah untuk mengelakkan Greece daripada membayar balik hutangnya.
Menurut   akhbar itu lagi,  Greece membelanjakan AS$63 bilion untuk ketenteraan pada dekad lalu, dengan belanjawan meningkat setiap tahun sejak tahun 2003 kerana tentera menambah jet pejuang, kapal selam, dan kereta kebal.  Perbelanjaan itu sebahagian besar adalah tujuan pertahanan menentang Turki. Kedua-dua negara anggota NATO ini hampir-hampir terbabit dalam peperangan berhubung hak wilayah terhadap Aegean pada 1996, dan meskipun hubungan semakin baik, juruterbang mereka masih lagi terbabit dalam pertempuran kapal terbang pejuang olok-olok  di perairan masing-masing.  “Turki dan Greece merupakan rakan, bukannya pesaing,” dan “kami mungkin bersama-sama memutuskan untuk mengurangkan peruntukan pertahanan dalam belanjawan masing-masing,” kata  Egemen Bağış, Menteri Turki untuk rundingan keanggotaan EU.  
Beberapa hari sebelum itu Greece menyatakan rasa ragu-ragu tentang urusan peluncutan senjata dengan Turki, dan berkata perbincangan akan dilakukan “beransur-ansur.”  Timbalan Menteri Pertahanan Greece,  Panos Beglitis dipetik sebagai berkata, “Kami juga mahu pengurangan senjata, tetapi tidak boleh ditentukan pada tahap komunikasi ala propaganda.  Potongan dalam persenjataan selesai dalam satu perjalanan yang panjang dan sukar, bukannya satu permulaan.”  Beliau juga menuduh Turki “tidak konsisten” kerana negara itu menyeru untuk pelucutan senjata, tetapi meneruskan tuntutan kedaulatan yang dipertikaikan oleh Greece.
Walau apa-apa pun keraguan Greece, ini tidak mematahkan hasrat Turki untuk membuka lembaran baru dalam hubungan antara kedua-dua negara.  Semasa di Athens, Erdoğan mencadangkan  Turki dan  Greece berkongsi rancangan penerbangan di dalam ruang udara  Aegean.  Beliau memberitahu para editor akhbar Greece, “Saya percaya 2010 akan mengukir sejarah.  Dua negara kita menunjukkan keazaman politik bukan hanya sekadar jiran, tetapi juga sebagai rakan kongsi.”  Beliau mengalu-alukan pembentukan majlis Greece-Turki sebagai bukti perkongsian dua negara.  Kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menubuhkan majlis yang mengadakan pertemuan secara tetap antara pemimpin dua negara dan menteri Kabinet mereka, dan menandatangani pakatan  tentang ekonomi, imigresen, tenaga, dan isu lain.
Daya usaha Turki di peringkat serantau itu kurang mendapat  perhatian dunia jika dibandingkan  kerjasama nuklear dengan Iran yang menyebabkan Washington melenting.  Sebaik-baik sahaja Turki berurusan dengan Greece,   pasangan diplomatik Turki dan Brazil menempa perjanjian dengan Iran tentang perdagangan uranium dalam usaha untuk meredakan kegelisahan dalam kalangan kuasa Barat dan memperkukuhkan dakwaan Tehran bahawa program nuklear adalah untuk tujuan keamanan.  Jika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberikan respons yang positif, Ankara tidak lama lagi mendapati dirinya pada kedudukan untuk memutuskan siapakah yang bermain mengikut peraturan.
Dalam peristiwa yang cukup bererti yang berlangsung di Tehran yang dihadiri oleh Presiden Brazil,  Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Iran,  Mahmoud Ahmadinejad, dan Perdana Menteri Turki,   Recep Tayyip Erdoğan,  tentang urusan pertukaran uranium Iran yang dipelopori oleh Turki dan Brazil.  Dengan usaha itu, Ankara menjadi pusat tumpuan kerana dunia tertanya-tanya adakah  Ankara boleh menjadi pengadil yang saksama antara Iran dengan Barat.  Perisytiharan tiga pihak ini merupakan sebahagian proses perdamaian antara Iran dengan P5+1 (lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan Jerman) dalam peristiwa respons daripada kuasa dunia.
Menurut  analisis jelas bahawa Turki dan Brazil – dua anggota  bukan tetap Majlis Keselamatan - bercita-cita menyakinkan Presiden Ahmadinejad bahawa endgame sudah  hampir dan jika Iran tidak bekerjasama, maka tidak banyak negara sahabat yang dapat melakukannya.  Jelas bahawa Ankara semakin tidak sabar kerana pada pihak Iran nampaknya tidak memberikan respons, meskipun semua usaha Turki adalah pada pihak Tehran.  Kerajaan Turki dikatakan beria-ia menyelasaikan masalah  nuklear Iran, selain kepentingan ekonomi  dengan Iran dan ingin menyekat keadaan menjadi konflik, Turki dengan mencari penyelesaian diplomatik,  mahu mengelak daripada terpaksa membuat pilihan antara jiran Islam dengan rakan kongsi Barat. Turki dikatakan perlu mengambil daya usaha ini demi kepentingan masa depannya dalam arena global kerana negara itu  kini menganggotai Majlis Keselamatan.  Jika Turki  mengundi menentang atau berkecuali terhadap sekatan ke atas Iran, nescaya putus hubungannya dengan rakan kongsi Barat, khususnya dengan Amerika Syarikat, mungkin menimbulkan akibat yang serius. 
Faruk Loğoğlu, bekas duta Turki ke Amerika Syarikat, melalui  makalah “The Gamble Over Iran” yang diterbitkan dalam akhbar  Hurriyet Daily News & Economic Review, menulis bahawa motif yang mendorong Turki mungkin hasrat untuk memperlihatkan kuasanya yang baru ditemui dengan menunjukkan arah dasar luar yang bebas dengan rakan kongsi daripada luar komuniti Eropah-Atlantik.  “Hal ini  juga sebagai sebahagian persoalan solidariti Islam untuk kepimpinan Turki.  Para pemerhati luar mengalu-alukan usaha Turki-Brazil itu sebagai tanda akan datangnya kemunculan keseimbangan baru dalam persamaan kuasa global.  Mereka mengatakan Amerika dan Eropah di utara tidak lagi keseorangan dalam mengendalikan hal ehwal dunia, dan kini wujud paksi kuasa baru ke selatan yang diwakili oleh negara, seperti China, India, Turki, dan Brazil.”
Walaupun seseorang itu tidak sepatutnya  menyalahkan Turki dan Brazil untuk mencuba, namun  beliau mengingatkan bahawa Turki mengambil risiko yang sangat besar.  “Jika Iran mungkir janji, kemungkinannya terlalu besar,” tulis Faruk Loğoğlu, “Turki mungkin terpaksa membayar harga yang tinggi.  Hubungannya dengan Amerika dan EU akan terjejas.  Daya usahanya pada masa depan tentang isu serantau dan global akan mendapat kurang kebolehpercayaan dan keyakinan.  Hubungan Turki-Iran akan goyang.”
Hasil diplomatic coup itu  juga memperlihatkan kejayaan kepada Brazil, dan jelas menunjukkan bahawa Turki akan bekerjasama dengan Brazil dan negara lain pada masa hadapan dalam mencuba untuk menyelesaikan kebuntuan yang ketara dalam pertikaian antarbangsa.  Namun begitu, banyak perbualan di Barat kini tentang “Turki dan Brazil ditipu oleh Iran.”  Bahkan, di Turki jelas wujud kepercayaan bahawa sesungguhnya, beberapa “penipuan” terlibat.  Lebih daripada itu, meledak  kemarahan  di Washington, London, dan Paris (semua anggota tetap  Majlis Keselamatan) terhadap daya usaha Turki-Brazil itu.  Kedua-dua negara itu  dikatakan melakukan kesilapan yang sama yang dilakukan oleh Amerika dan rakan-rakannya memanjangkan isu Iran.  Kesilapannya ialah unilateralisme.  Turki dan Brazil percaya bahawa mereka boleh melakukannya sendiri.  Menyedari bahawa kedua-duanya, iaitu sekatan dan  usaha oleh pihak ketiga tidak  mampu menyelesaikan dilema, usaha EU tidak berguna, dan percubaan lain juga gagal, memang diragui bahawa susah payah Turki-Brazil ini akan mencapai kejayaan.
Tatkala murka Washington terhadap Turki dan Brazil belum lagi reda, tiba-tiba berlaku peristiwa serangan komando Israel  terhadap kapal Mavi Marmara.  Serangan yang mengorbankan sembilan nyawa dan berpuluh-puluh orang cedera dikutuk oleh warga dunia, benar-benar   mendorong Turki ke “tengah pentas.”  Meskipun pihak Israel  mereka-reka pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan kejam itu, tetapi dunia antarbangsa tidak mempercayainya:  akibat yang tidak diduga daripada kekejamannya.  Bahkan, tindakan itu mendorong akhbar  Israel,  Haaretz mengisytiharkan   “flotila Gaza mengemudi Israel ke dalam lautan kebodohan.”
Ketika Israel  terpaksa bertungkus-lumus mengawal kerosakan, sedangkan kutukan dunia datang bertalu-talu, Turki turut mendapat perhatian dunia.  Perhatian ini bukan sahaja kerana Mavi Marmara belayar dengan bendera Turki dan lapan orang daripada sembilan orang aktivis yang terkorban ialah rakyatnya, tetapi juga kerana pendirian kerasnya  terhadap Israel, antaranya  memanggil pulang dutanya ke negara itu.  Ketegangan yang memuncak dalam hubungan Turki dengan Israel dikatakan mencapai tahap yang jarang-jarang berlaku.
Penglibatan yang mendalam Turki di Timur Tengah  merupakan pemangkin yang sangat penting untuk perubahan.  Meskipun hal ini bukannya sesuatu yang baru sama sekali kerana Turki pernah tidak membenarkan Amerika menggunakan wilayahnya untuk menyerang Iraq  pada 2003, tetapi penglibatan Turki kini di rantau itu perlu diberikan perhatian.  Selepas peranan penting Turki bersama-sama Brazil dalam mempelopori urusan nuklear dengan Iran dan reaksi keras Erdoğan  terhadap serangan  kapal Turki itu, dipercayai pewujudan dasar luar Amerika kini  terpaksa mengakui bahawa sesuatu yang penting sedang berlaku.  
Dapat dikesan bahawa sejak akhir-akhir ini Turki yang semakin yakin dengan kedudukannya bukan sahaja menolak permintaan Amerika untuk menggunakan wilayah negara itu untuk menceroboh Iraq, bahkan mendesak kerusi Majlis Keselamatan PBB diberikan kepadanya.  Selain itu, Turki berusaha menjadi orang tengah antara Syria dengan Israel, dan mencuba menjalinkan perseikatan dengan Iraq dan Iran.  Lebih daripada itu, Turki dikatakan menggunakan kedudukannya sebagai sekutu ketenteraan Israel  yang paling rapat di dunia Islam untuk melemparkan kritikan yang tajam terhadap negara Yahudi dan tidak kurang pentingnya pencerobohan terhadap Gaza.  Sedangkan Israel mengambil mudah tentang hubungannya dengan Turki, bahkan sebagai anggota NATO, Turki mencuba untuk memperlihatkan kepimpinannya yang kian ketara di dunia Islam dan sebagai jambatan antara Timur dengan Barat.  Meskipun pengaruh Turki di pentas dunia semakin meningkat, dan Amerika sendiri menyedari hakikat ini, namun Israel tidak dapat merasainya.
Dengan menyerang flotila Gaza, Israel membuka gelanggang  pertarungan dengan Turki, lebih berbahaya daripada Hamas.  Pernah menjadi sekutu penting Israel di rantau itu, Turki kini mencuba untuk mencabar hegemoni Israel sebagai kuasa besar tempatan, seperti yang diperlihatkan oleh Erdoğan:  “Kita tidak akan membiarkan Israel menolak kita ke sana sini.”  Dijangkakan   Turki dan Iran kini memberikan cabaran strategik sebenar terhadap Israel.  Pemimpin  Turki, Erdoğan yang dianggap masih setia kepada bapa pengasas Turki, Mustafa Kemal Atartuk yang membina negara sekular,    sejak lama dilihat sebagai jambatan  penting antara Timur dengan Barat.  Namun begitu,  dengan peristiwa terbaru, Erdoğan seakan-akan  mengubah sejarah tentang dasar Turki yang condong ke Barat dan berusaha membentuk  peranan sebagai pemimpin di dunia Islam.   
Akibat serangan itu, Israel terlepas peluang untuk berbaik-baik dengan Turki, pemain utama dalam usaha mengenakan sekatan terhadap Iran.  Kerosakan diplomatik yang paling jelas terhadap Amerika dan Israel akibat serangan pada hari Isnin itu ialah semakin luasnya keretakan dengan Turki, sekutu yang paling penting di dunia Islam untuk kedua-dua negara itu.  Ankara sejak awal-awal lagi mengeluarkan amaran bahawa hubungan yang rosak antara Turki dengan Israel  tidak boleh dipulihkan lagi.  Turki yang meluat dengan penolakan Pentadbiran Obama terhadap usaha negara itu mempelopori tolak ansur nuklear dengan Iran, melalui Menteri Luarnya,  Ahmet Davutoglu, terang-terang menyatakan rasa kesal akan respons  Pentadbiran Obama terhadap serangan flotila Gaza.
Naib Presiden Amerika, Joe Biden dalam mempertahankan tindakan Israel itu, sesungguhnya silap apabila beliau berkata, “Oleh itu, apakah yang hendak dihairankan di sini?”   Seandainya beliau  membaca sekurang-kurangnya ulasan Thomas L. Friedman melalui kolumnya dalam  akhbar The New York Times, kemungkinannya beliau tidak akan bersikap “memejam mata” seolah-olahnya “tidak ada apa-apa yang rosak.”  Dalam makalah “When Friends Fall Out”  pada 1 Jun, Friedman menulis, “sebagai kawan kepada kedua-dua negara, iaitu Turki dan Israel, sememangnya menyeksakan apabila melihat pertempuran yang membawa bencana antara komando tentera laut Israel dengan aktivis ‘kemanusiaan’ flotila.  Secara peribadi, saya fikir, kedua-duanya, Israel dan Turki berkeadaan tidak seimbang akhir-akhir ini, dan sememangnya tugas Amerika untuk membantu memulihkan keadaan ini dengan segera.” 
Dengan berbaur  emosi Friedman menambah, “saya pernah menegaskan jika EU tidak menerima keanggotaan Turki, kita sepatutnya mempelawa Turki untuk menyertai NAFTA.  Mengapa?  Kerana saya fikir hal ini adalah penting sama ada Turki ialah jambatan ataupun  longkang antara Barat Yahudi-Kristian dengan Arab dan Timur Muslim.  Peranan Turki dari segi menyeimbangkan dan mentafsirkan Timur dan Barat merupakan pokok persoalan yang kritikal yang membantu memastikan dunia stabil.”
Pada hari itu juga   Mark Lander menulis   dalam akhbar yang sama  bahawa dalam bergelut untuk membendung  perpecahan yang getir antara dua sekutu yang penting,  Pentadbiran Obama mencuba menenangkan kerajaan Turki yang  naik radang, tetapi enggan mengutuk Israel kerana serangannya yang menyebabkan kematian itu.  Dalam makalah “After Israel Raids Flotilla, U.S. is Torn Between Allies” Lander berhujah bahawa perselisihan yang mendalam antara Israel dengan Turki, yang pernah memupuk hubungan rapat, meletakkan Pentadbiran Obama dalam keadaan sukar berhubung dengan dua isu dasar luarnya yang paling mendesak: Timur Tengah dan Iran.  “Amerika tidak mahu meninggalkan Israel yang menjadi sasaran kecaman antarabangsa, tetapi juga tidak mahu merenggangkan Turki yang peranannya semakin lantang di pentas antarabangsa.” 
Amerika sepatutnya    risau kerana   pemenang utama dalam pertembungan antara keangkuhan  Israel dengan ketegasan Turki ialah Iran.  Amerika boleh terus-menerus merestui kekejaman Israel mungkin sehingga ke peringkat  mengorbankan Turki.   Amerika mungkin sanggup    membayar  harga yang  tinggi, tetapi  yang  menikmati laba ialah Iran. Sebelum ini, berikutan  pendudukan Amerika terlalu lama di Iraq, maka hasilnya   Iran   mempunyai lebih banyak pengaruh di negara itu  jika dibandingkan  dengan Amerika. Iran juga   sedang memperluaskan pengaruhnya ke Afghanistan.
Bagi Amerika, Israel  semakin  menjadi liabiliti,   dan kini   berhadapan dengan risiko    kehilangan aset pentingnya, iaitu Turki.   Sesungguhnya,  Amerika dan Israel lebih memerlukan Turki dan bukan sebaliknya.  Amerika (juga Israel) kehilangan sekutu pentingnya, iaitu Iran sejak  lebih 30 tahun lalu, dan kesengsaraan akibat kehilangan itu terus  dirasai hingga kini.  Apakah Amerika sanggup kehilangan Turki pula semata-mata kerana kerja tidak senonoh kerajaan Israel yang melakukan pertempuran berdarah untuk mengenakan  kepungan Gaza? 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Ogos 2010, "Turki di Pentas Dunia.") 

Thursday, August 30, 2012

Gincu di Gigi dan Betis Mendapat Perhatian

KHAMIS, 30 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Persidangan Kebangsaan Republikan tempat mengatur strategi,   menyusun gerak kerja, dan menggasak Presiden Barack Obama demi memastikan kemenangan di Rumah Putih dan Kongres mendapat liputan meluas, lebih-lebih lagi pada era Internet

Kesungguhan atau keseriusan persidangan itu dapat dilihat, iaitu bukan sahaja tidak mempedulikan ancaman ribut Isaac,  kecuali melewatkan persidangan satu hari, tetapi juga peringatan yang diberikan kepada para perwakilan agar tidak mengunjungi kelab tarian bogel di Tampa.

Dalam pada  itu, pihak media yang membuat liputan persidangan itu masih mempunyai masa dan ruang untuk memberikan tumpuan pada perkara sampingan, seperti gincu pada gigi Condoleezza Rice, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, yang turut berucap dalam persidangan itu. Beliau dianggap sebagai negarawan dan simbol  yang mampu menyelamatkan Mitt Romney dari segi keselamatan negara.

Sementara National Journal yang turut membuat liputan persidangan sempat juga mengetengahkan betis yang  dan hiasan tambahan.


Banyak orang banyak ragam.  Segala-galanya mempunyai nilai berita.


Negeri Menjadi Pertaruhan

KHAMIS, 30 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dari 27 - 30 Ogos berlangsung Persidangan Kebangsaan Republikan di Tampa, dan pada  minggu depan, berlangsung pula Persidangan Kebangsaan Demokrat di Charlotte,  sebagai persiapan Pilihan Raya Presiden pada 6 November ini.  

Setakat ini, di Tampa, antara yang telah berucap ialah Paul Ryan, calon Naib Presiden daripada Parti Republikan yang melancarkan serangan yang goyah terhadap Presiden Barack Obama, dan ucapan beliau itu    mengelirukan, dan sebagaimana Mitt Romney, juga sarat dengan pendustaan.  Sebelum ini, isteri calon Presiden, iaitu Ann Romney telah pun berucap dengan "kisah cinta"  yang diulas antaranya oleh John Cassidy dan David Corn.

Sementara itu, tinjauan pendapat USA Today/Gallup menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Amerika percaya bahawa Barack Obama akan memenangi pilihan raya ini.  Sebanyak  38 peratus menerima Ryan berbanding  36 peratus yang menolak.

Meskipun  tinjauan pendapat CBS News menunjukkan bahawa persaingan sengit,  regu Barack Obama-Joe Biden mendahului Mitt Romney-Paul Ryan dengan 46 peratus berbanding 45 peratus. Tinjauan menunjukkan  "separuh pengundi berdaftar menyatakan bahawa Romney tidak memahami masalah mereka," memperkukuh dakwaan kempen Obama bahawa Romney ialah orang kaya yang tidak memahami denyit nadi rakyat. 

Romney diperhatikan tidak mendapat sokongan pengundi Latino sehingga mendorong editorial The Wall Street mengesyorkan Republikan melembutkan retorik terhadap imigresen dan memperluas jangkauan kepada pengundi Latino.  Dalam kalangan pengundi kulit hitam pula,  Romney  mendapat sokongan sifar -  walaupun jangkaan agak berlebihan, jelas membayangkan kesukaran beliau  untuk meraih sokongan minoriti.

Carta harian The Economist pada 29 Ogos menyatakan jika pilihan raya diadakan hari ini, Obama memenangi 286 berbanding 206 badan perwakilan pemilih untuk Romney, tidak termasuk Michigan, Ohio, dan Virginia, yang data terbaharu menunjukkan perlumbaan adalah terikat.  Negeri  lain yang dijangkakan sengit ialah Nevada, Iowa, Wisconsin, North Carolina, dan Georgia.

Carta harian itu juga memetik tinjauan pendapat terbaharu Iowa oleh PPP yang menunjukkan jarak pemisahan antara Obama dengan Romney semakin rapat: Obama 47 peratus dengan 45 peratus untuk Romney.  Pada Julai, Obama mendahului 48 peratus berbanding 43 peratus untuk Romney, dan pada 51 peratus berbanding 41 peratus. Sementara di peringkat nasional, padang permainan semakin sama rata untuk kedua-dua calon ini.



Cantik di Atas Ketat di Bawah

KHAMIS, 30 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Ada dua makalah dalam The Guardian  tentang  gaya hidup  kaum wanita.  Pertama,  pembedahan kosmetik yang ditulis oleh Hannah Betts bahawa wanita di seluruh dunia dijual keunggulan Barat tentang kecantikan oleh industri yang menghasilkan keuntungan berbilion-bilion  dolar dan menyebabkan kesengsaraan yang tidak diketahui. 

Di India misalnya, yang  sejumlah besar penduduk masih hidup dalam kemiskinan dan kebuluran, tetapi  menurut Hannah, 40 peratus penduduk negara itu menggunakan pemutih muka kerana dianggap elok  dari segi profesional dan seksual.  "Pada tahun ini, warganya dijangkakan berbelanja setengah bilion dolar untuk produk tersebut, meningkat 15 peratus dari tahun 2011."

Sementara makalah kedua tentang revolusi seksual di India, yang ditulis oleh Samira Shackle, berhubung dengan penggunaan krim yang dikenali  untuk mengetatkan kemaluan wanita yang mencetuskan kontroversi. Krim yang dikenali 18 Again membangkitkan kegembiraan  wanita:  "Dalam iklan, wanita berpakaian sari  menari di keliling suaminya,  menyanyi "Saya rasa macam anak anak dara."  Si suami pula berasa gembira, meskipun dengan kehadiran kebanyakan keluarganya.


Jangan Berlapar Jika Mahu Hidup Lama?

KHAMIS, 30 Ogos 2010
Oleh:  ZULKIFLI  SALLLEH


Kekurangan makanan, tegas ahli sains, boleh memaksa penduduk dunia mengamalkan makan sayur-sayuran, tetapi langkah ini  dipercayai  tidak akan menyelesaikan krisis makanan.  Akibat kemarau teruk melanda Amerika Syarikat, krisis makanan menghantui dunia semula, seperti yang dilaporkan dalam Spiegel Online International, tetapi kemarau bukan hanya satu-satunya faktor.  Biobahan api, spekulasi kewangan, dan perubahan kegemaran diet juga menyumbang kepada krisis ini.

Jangan risau jika anda terpaksa berlapar.  Ikat perut jika anda ingin hidup lama.  "Kurangkan pengambilan kalori anda di bawah diet harian anda akan memanjangkan usia anda, seperti yang dipercayai selama ini, berikutan kajian terhadap tikus pada tahun 1930-an. 

Walau bagaimanapun, penyelidikan terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature, seperti yang dilaporkan oleh Time dan Reuters,  mendapati pemotongan secara dramatik terhadap kalori harian sebanyak 30 peratus tidak membantu monyet hidup lama jika dibandingkan dengan monyet yang makan secara normal. Sebaliknya, penyelidikan itu mendapati bahawa 57 ekor monyet yang dikawal diet mempunyai jantung dan sistem imun atau daya tahan yang sihat dan rendah kadar diabetes, kanser, atau penyakit lain.


Wednesday, August 29, 2012

Reagan Sosialis?

RABU, 29 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan dan Perdana Menteri British, Margaret Thatcher terkenal dengan mantera neoliberalisme, iaitu liberalisasi, penswastaan, dan pembatalan kawal selia, yang juga disebut  Konsensus Washington.  

Namun, Bloomberg Insider dalam keluaran 28 Ogos 2012, mendedahkan bahawa Ronald Reagan ialah  sosialis, melalui tulisan Michael Tackett. Selama lapan beliau di Rumah Putih, pekerjaan dalam sektor kerajaan berkembang lebih 300,000 orang pekerja.  Beliau memotong cukai pendapatan individu, tetapi meningkatkan cukai berbelas-belas kali.  Bagi Reagan, secara peribadi, beliau tidak fikir tolak ansur adalah teruk; inilah yang banyak beliau lakukan berbanding dengan apakah yang beliau katakan.  Beliau memberikan retorik kanan, tetapi dasar beliau adalah tengah. 


Kreativiti pada Kulit

RABU, 29 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Kulit hadapan majalah bukan sahaja mencetuskan kontroversi, seperti yang pernah terjadi pada Time dan Newsweek, tetapi juga mencerminkan kreativiti.  Hakikat ini dapat dilihat pada keluaran terbaharu The New Yorker oleh Barry Blitt,  tentang dua calon Republikan Mitt Romney dan regunya, Paul Ryan.  Pada setiap gambar pada kulit hadapan majalah ini tercermin tentang apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh calon Presiden dan Naib Presiden.   

Demikian juga kulit hadapan The Atlantic keluaran September, pertarungan antara Barack Obama dengan Mitt Romney dalam Pilihan  Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012 digambarkan seperti perlawanan tinju.  Pembikinan kulit hadapan majalah ini dijelaskan secara terperinci  oleh Luke Hayman.


Sesungguhnya,  kulit kedua-dua majalah ini sudah cukup menjadi daya tarikan kepada para pembaca untuk mengikuti apakah yang terkandung di dalam majalah berkenaan. 



  

Tuesday, August 28, 2012

Pilihan Raya Presiden: Siapa Mendahului Siapa?

SELASA, 28 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Persidangan Kebangsaan Republikan di Tampa,   Florida, sepatutnya bermula pada Isnin semalam,  terpaksa dilewatkan kerana   Taufan Issac. Hal  ini  membimbangkan pihak penganjur kemungkinan ancaman ribut ini "menawan" persidangan penting mereka, terutamanya dari segi liputan media.

Dalam pada itu, kekhuatiran ini mungkin reda kerana calon mereka, Mitt Romney, menurut tinjauan pendapat terbaharu yang dikeluarkan oleh The Washington Post/ABC News, mendahului penjawat kini, dengan 47 peratus berbanding 46 peratus dalam kalangan pengundi berdaftar. Walau bagaimanapun, tinjauan pendapat Reuters/Ipsos menunjukkan bahawa Romney menghadapi cabaran besar untuk menewaskan Obama pada  6 November ini.  Sementara di Florida, Obama masih mendahului Romney, dengan 50 peratus berbanding 46 peratus, menurut Time/CNN/ORC, tinjauan pendapat yang dilakukan hanya sebelum calon dan perwakilan tiba di negeri itu untuk menghadiri persidangan. 

Tinjauan pendapat kebangsaan, menurut analisis Nate Cohn, menunjukkan persaingan sengit dalam kalangan berkemungkinan pengundi. Sementara dalam kalangan pengundi berdaftar, tinjauan pendapat Gallup adalah selari dengan The Washington Post/ABC News, iaitu memihak kepada Romney, juga 47 peratus berbanding 46 peratus untuk Obama.



Nate Silver dalam analisis terbaharunya, menunjukkan bahawa Obama masih  mendahului lawannya,   iaitu 299.0 berbanding Romney 239.0 untuk badan perwakilan pemilih.  Sementara peluang Obama untuk memenangi pilihan raya ini ialah 69.3 peratus berbanding 30.7 peratus untuk Romney.

Anggota pasukan Obama, menurut Mark Halperin, masih percaya bahawa badan perwakilan pemilih memihak kepada mereka; mereka melihat atau tidak ada prospek untuk pihak lawan untuk menguasai undi Hispanic, ibu tunggal, atau pengundi muda; mereka fikir Medicare dan pemotongan cukai untuk golongan kaya merupakan muslihat mereka yang sukar digugat; mereka menganggap Romney calon yang lemah, yang biodata dan latar belakangnya mudah terdedah pada serangan populis; dan mereka fikir bahawa kemahiran calon mereka dan digemari jauh lebih berkuasa untuk digugat.  Inilah teori Chicago sebelum ini dan pada hari ini. 

Hakikatnya, kemenangan calon bergantung pada badan perwakilan pemilih yang berbeza-beza mengikut negeri, misalnya 55 untuk California dan sekadar tiga, misalnya Alaska.  William Galston yang menulis dalam The New Republic,  cuba memberikan bimbingan awal tentang badan perwakilan pemilih untuk menjangkakan siapakah calon yang akan menang.  

Galston memberikan taksiran paling konservatif untuk Obama, dengan asas 201 badan perwakilan pemilih dan Romney 181, tidak termasuk Pennsylvania yang mempunyai 20 badan perwakilan pemilih yang dijangkakan memihak kepada Obama, dan satu lagi negeri, Missouri (10 badan perwakilan pemilih) berkemungkinan memihak kepada Romney.  Justeru, asas Obama meningkat kepada  221 badan perwakilan pemilih, manakala Romney kepada 191. 

Pertarungan seterusnya adalah di tiga buah negeri yang Romney mesti menang dan dua lagi yang Obama mesti menang.  Romney 3 ialah Florida (29), North Carolina (15), dan Ohio (18). "Tidak ada  calon Republikan yang pernah sebagai Presiden," tegas Galston, "tanpa Ohio, dan Romney mustahil menjadi yang pertama."  Tidak ada jalan untuk 270 badan perwakilan pemilih untuk calon Republikan tanpa menang di Florida.

Sementara di Ohio, berdasarkan lima Pilihan Raya Presiden yang lalu, kemungkinan besar memihak kepada Obama jika diperhatikan enam tinjauan pendapat terbaharu: Obama memperoleh purata 47.2 peratus, iaitu 0.7 peratus lebih daripada bahagian kebangsaan.  "Memo untuk kempen Romney: apa-apa sahaja anda lakukan di Ohio, tidak berkesan." 

Obama 2 pula ialah Wisconsin (10), yang Obama sebanyak 14  titik peratusan pada tahun 2008, dan Michigan (16) yang beliau menang 16 titik peratusan. Tinjauan pendapat tahun ini menunjukkan persaingan sengit, dan pemilihan Paul Ryan sebagai calon Naib Presiden Republikan menyumbang kepada kesengitan pertandingan.  Menang, salah sebuah negeri ini akan menjadi pengubah permainan, meluaskan opsyen Romney untuk meraih 270 badan perwakilan pemilih dan menyempitkan peluang Obama.

Dengan andaian Romney menang di Florida, North Carolina, dan Ohio.  Katakan Romney menang di ketiga-tiga negeri ini, dan Obama menang di Wisconsin dan Michigan.  Maka, kedudukannya, 253 untuk Romney dan 247 badan perwakilan pemilih untuk Obama.  Dan lima buah negeri lagi yang tinggal untuk menentukan kemenangan:  Virginia (13), New Hampshire (empat), Iowa (enam) Colorado (sembilan), dan Nevada (enam).  Obama menang kesemua lima negeri pada tahun 2009, empat negeri dengan margin mengatasi margin nasional, dan Virginia kurang sedikit daripada margin nasional.

Untuk lima negeri ini, Galston banyak menggunakan andaian, iaitu "jika" untuk menentukan siapakah  yang mara ke Rumah Putih.  Jika Obama menang di Virginia, beliau memerlukan dua negeri lagi,  dengan yang terendah New Hampshire dan yang tertinggi Colorado.  Jika beliau tewas di Virginia, beliau perlu menang di empat negeri untuk menambahkan 253, menjadi 272 badan perwakilan pemilih, betul-betul "cukup makan."


Gemuk, Memadai Bersenam 30 Minit

SELASA, 28 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Macam-macam cara untuk mengurangkan gemuk: daripada drug kepada peralatan, daripada diet kepada kurangkan minuman soda, daripada gim kepada joging, dari tempat tertutup ke kawasan terbuka. 

Lindsay Abrams yang menulis dalam The Atlantic, mengemukakan petua mudah, iaitu hanya bersenam 30 minit setiap hari.  Beliau memetik American Journal of Physiology yang mendapati bahawa lelaki banyak mengalami  penurunan berat badan dengan bersenam setengah setiap hari berbanding dengan bersenam satu jam.

Penyelidikan yang melibatkan 60 orang lelaki Denmark yang secara sederhana mempunyai berat badan, yang secara rawak menjalankan aerobik sederhana atau berat, iaitu berlari, berbasikal, atau berdayung.  Lelaki yang bersenam secara sederhana, iaitu 30 minit, membakar 300 kalori sehari, manakala lelaki yang bersenam berat selama 60 minit, dapat dijangkakan, membakar 600 kalori.

Sementara itu, telur yang dikatakan sama  bahaya dengan rokok, dipersoalkan oleh Kristin Wartman,  yang menulis dalam The Atlantic, dengan menegaskan .kebanyakan orang sepatutnya makan banyak telur, terutamanya kuning telur.



Syarikat Terbesar di Dunia

SELASA, 28 Ogos, 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pembuat telefon mobil, Nokia, menurut carta harian The Economist,  menyumbang satu perempat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Finland antara tahun 1998 hingga 2007. Walau bagaimanapun, bukan hanya Finland yang ekonomi terlalu bergantung pada sebuah syarikat; banyak juga negara lain yang terbabit.  Firma tenaga menguasai senarai dari segi sumbangan kepada KDNK negara tertentu.

Mendahului senarai ialah Arcelor Mittal yang hasilnya AS$94.0 bilion, menyumbang 161 peratus KDNK Luxembourg pada tahun 2011.  Diikuti oleh Essar Energy yang memperoleh hasil AS$14.9 bilion, menyumbang 132 peratus KDNK Mauritius.  Menduduki tempat ketiga ialah Royal Dutch Shell dengan hasil paling tinggi, iaitu AS$470.2 bilion, menyumbang KDNK Belanda sebanyak 55 peratus. 

Dua firma syarikat di Asia Tenggara turut tersenarai, iaitu PTT di Thailand dan Wilmar International di Singapura yang masing-masing menyumbang 24 peratus dan 18 peratus KDNK untuk negara berkenaan.



Monday, August 27, 2012

Suara Elit Global Baru

ISNIN, 27 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Apabila penerbitan   Asia Week dihentikan pada awal tahun 2000-an, maka dikatakan bahawa berakhirnya "suara Asia,"  meskipun majalah itu "mati sebelum mati."  Memang kesan pemberhentian  penerbitannya  amat dirasai, meskipun masih ada majalah lain yang tidak kurang juga kepopularannya, iaitu Far Eastern Economic Review.  Namun, majalah ini mengalami krisis identiti, iaitu perubahan konsep, dan semakin tidak kelihatan dalam pasaran. 

Majalah  berita lain, seperti Time, Newsweek, dan The Economist, yang boleh dikatakan juga terkenal, tetapi tidak mewakili suara di rantau ini.  Memang, antara majalah itu, misalnya Time mempunyai edisi Asia dan The Economist mempunyai ruangan Asia.  Sementara majalah lain, yang dianggap sebagai majalah elit di Amerika Syarikat, seperti The Atlantic, The New Yorker, dan The New Review of Books (dianggap sebagai majalah, meskipun bentuk fizikalnya adalah tabloid), tetapi pengedaran ketiga-tiga majalah tersebut di Asia tidak meluas jika dibandingkan dengan majalah berita.

Aram Bakshian Jr. yang menulis dalam The National Interest, membuat pemerhatian yang  menarik bahawa kini, The Economist berkemungkinan mendahului senarai, sedangkan majalah berita lain, seperti Newsweek dan Time bukan sahaja merosot dari segi edaran, tetapi juga kehilangan yang agak banyak.  Selain itu, era majalah berita seakan-akan berakhir, lebih-lebih lagi adanya media elektronik dan berita kabel.

The Economist, hujah Bakshian, mendapat faedah daripada pengaruh bahasa global, iaitu bahasa Inggeris.  Bermula di Great Britain, merebak ke Amerika Syarikat, Kanada, Australia, dan New Zealand.  Bahasa Inggeris juga merupakan bahasa elit terpelajar di negara Asia, Afrika, Pasifik, dan Hindia Barat yang merupakan sebahagian empayar British yang besar.

Hasilnya ialah berkembangnya khalayak elit di seluruh dunia yang terdiri daripada penutur dan pembaca bahasa Inggeris, yang kini merupakan kira-kira 1.5 juta pelanggan The Economist.  "Majalah ini menjadi berita mingguan seluruh utama untuk elit global baru," tegas Bakshian.

Setelah memperhatikan The Economist selama 22 minggu, Bakshian yakin bahawa majalah ini adalah yang terbaik dalam kalangan majalah berita.  Tahap kepintaran pemberitaan dan analisis dan keluasan liputan, dari segi geografi, politik, ekonomi, saintifik, intelektual, dan kesenian, memang tidak dapat ditandingi.


Putera Tanpa Pakaian Angkara Murdoch

ISNIN, 27 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada zaman Internet, foto Putera Harry yang berbogel, tersebar dengan pantas dan muncul dalam pelbagai media, yang betul-betul mengaibkan keluarga diraja British, terutamanya ayahandanya, Putera Charles yang melalui peguamnya berusaha menyekat penyiaran foto itu. 

Walau bagaimanapun, The Independent mendedahkan bahawa Rupert Murdoch yang naik berang mengarahkan akhbar The Sun miliknya menerbitkan gambar Putera Harry yang berbogel kerana beliau ingin menghantar amaran kepada Ketua Hakim Leveson yang mengetuai penyiasatan penggodaman telefon yang melibatkan empayar media Murdoch.  Dalam laporan khasnya, The Independent juga mendedahkan bahawa empayar media Murdoch menyerang balas.

Murdoch, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian, mempertahankan tindakannya itu mendakwa kurangnya kebebasan akhbar di Britain mewajarkan penerbitan fotograf Las Vegas dapat diperoleh dengan percuma melalui Internet.  Murdoch mengemukakan ulasan itu melalui Twitter: "Needed to demonstrate no such thing as free press in the UK. Internet makes mockery of these issues. 1st amendment please."

Dengan kekayaan yang dimilikinya, Rupert Murdoch yang merupakan penyokong Mitt Romney,  ingin memberitahu dunia bahawa beliau dapat melakukan apa-apa sahaja,  meskipun empayar medianya mula goyang dan anak perempuannya, Elisabeth baru-baru ini mengkritik nilai News Corporation milik ayahnya itu.

The Sun, seperti yang dibahaskan oleh Lauren Collins dalam The New Yorker, menerbitkan gambar Putera Harry atas alasan kebebasan akhbar: berjuta-juta orang di seluruh dapat melihatnya melalui Internet, mengapa dinafikan hak rakyat British.  Di negara itu, jelas Lauren, untuk menerbitkan maklumat, akhbar mesti menunjukkan "kepentingan awam" yang jika tidak, boleh dianggap peribadi. 


Sunday, August 26, 2012

Maharani "Berbadan Dua"

ISNIN, 27 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Akhirnya,  "Jackie Kennedy" China, iaitu Gu Kailai didapati bersalah atas tuduhan membunuh ahli perniagaan warganegara British. Pembunuhan dan perbicaraan yang melibatkan isteri Bo Xilai, anggota Parti Komunis China yang sedang meningkat naik, mendapat liputan yang meluas, termasuk daripada pengulas terkenal, seperti William Pesek daripada Bloomberg.

Geoffrey Sant yang menulis dalam Slate, tentang kesukaran berganda di China, meragui kehadiran Gu Kailai ketika perbicaraan atau dia mempunyai pengganti diri.  Pada awal bulan ini, Sant pernah menulis bahawa di China, golongan kaya dan sangat berkuasa boleh mengupah pengganti diri  sebagai banduan

Tegas Sant, Gu Kailai yang memasuki kamar mahkamah banyak berubah, bahkan saudara-maranya keliru.  Beliau memetik The New York Times yang melaporkan bahawa Gu "kelihatan gemuk, dan saudara-mara berasa terkejut, mengatakan rupa dia berubah secara dramatik sejak mereka bertemu kali terakhir.  Sant juga memetik The Wall Street Journal, yang menulis bahawa Gu "agak berat dan kurang glamor jika dibandingkan dengan fotografnya yang disiarkan dalam cerita berita di seluruh dunia sejak skandal meletup."

Banyak orang di China, jelas Sant, berasa Gu kelihatan berbeza kerana dia adalah berbeza.  Pakar Barat segera "berdesas-desus bahawa wanita yang muncul dalam kandang si dituduh" mungkin pengganti diri.  Meskipun Sant memetik banyak sumber untuk membuktikan bahawa wujud pengganti semasa perbicaraan itu, beliau tidak memberikan kepastian yang mutlak apabila beliau merujuk pakar yang diiktiraf, iaitu Dr. Behnam Bavarian: "Gu Kailai dan orang yang hadir di mahkamah 'berkemungkinan orang sama.'" 

Satu persoalan lagi, tegas Sant, adakah pihak berkuasa China membenarkan pengganti digunakan ketika perbicaraan yang mendapat perhatian, disiarkan di peringkat antarabangsa?


Impian Bintang Lucah Bertaraf Ibu

ISNIN, 27 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kasih ibu sepanjang jalan.  Kita selalu mendengar bagaimana seorang ibu tunggal membesarkan anak-anaknya sehingga ke peringkat universiti dan akhirnya mereka berjaya dalam hidup mereka.  Kita juga pernah mendengar seorang ibu yang bekerja sebagai penari kelab malam atau perempuan kabaret - suatu profesion yang popular pada suatu waktu dahulu -  tidak mahu anak perempuannya mengikuti jejak langkahnya. 

Demikian juga dengan bintang luncah, Stormy Daniels, seniwati terkenal dalam industri orang dewasa, yang mempunyai anak hasil hubungannya dengan kekasihnya, Glendon Crain. "Hanya kerana anda pelakon filem orang dewasa," tulis Kristin Battista-Frazee dalam The Daily Beast, "tidak bermakna anda menjadi ibu yang teruk." 

Stormy, 33 tahun memberitahu, "Saya benar-benar terpaksa bekerja keras dan banyak bersedia kerana saya tidak seperti ibu yang normal.  Saya tidak boleh bekerja ketika saya hamil.  Saya terpaksa melakukan dua tahun kerja dalam satu tahun."

Namun, Stormy mengakui bahawa tidak mudah bagi seorang pelakon lucah untuk menjadi seorang ibu.  Dia terpaksa menghadapi beberapa kritikan huduh.  Dia terpaksa merahsiakan bahawa dia hamil demi mengelakkan pandangan serong, tetapi seorang peribadi yang terkutuk muncul terhadap dirinya dan anaknya yang baru dilahirkan apabila seseorang mengucapkan tahniah pada Twitter dia selepas dia melahirkan anak perempuannya, yang kini berusia 19 bulan.  Mesej yang terkandung: Stormy tidak layak menjadi ibu kerana kerjaya lucahnya.

Justeru, jika wanita itu ialah bintang lucah, mampukah dia menjadi ibu yang baik? tanya Kristin.  "Pasti!  Dan sesungguhnya, ibu yang malang yang bekerja dalam industri orang dewasa yang berfikir bahawa dia jenis 'kurang daripada' ibu.  Mereka berkongsi cabaran seharian yang sama untuk membesarkan anak-anak, sebagaimana kita juga." 

"Selamat Datang ke Tampa"

ISNIN, 27 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Persidangan Kebangsaan Republikan di Tampa, Florida, terpaksa ditangguhkan sekurang-kurangnya ke hari Selasa  kerana ancaman Taufan Isaac.  Dengan penangguhan itu, maka satu lagi halangan untuk Mitt Romney.

Namun, bagi Joe Redner, Raja Kelab Tarian Bogel, penangguhan persidangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk "meraikan" perwakilan Republikan yang datang dari seluruh Amerika Syarikat.  Kesibukan bersidang demi memastikan calon mereka menang dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012, dan kepenatan, tentunya tidak menghalang mereka untuk berkunjung ke Mons Venus

Tatkala semua perhatian tertumpu pada Persidangan Kebangsaan Republikan itu  dan ancaman taufan tropika yang merentas Atlantik, Lloyd Grove yang menulis dalam The Daily Beast,  masih sempat memberikan liputan pada Redner,  yang "setaraf Thomas Edison dan Wright   bersaudara,"   merancang untuk menghiburkan para perwakilan Republikan.

Redner yang kini menghidap kanser paru-paru, ketika minggu persidangan ini, perniagaannya meningkat sebanyak 60 peratus, berjumlah AS$100,000 dalam bentuk bayaran masuk dan minuman ringan. Dia menjangkakan lebih daripada itu.  Namun, dia tidak mahu teruja kerana kemudian putus asa.  "Saya tahu bahawa perwakilan dan calon diberikan amaran supaya tidak datang ke sini."

Dari segi politik, pengusaha kelab tarian bogel ini penentang kuat Republikan.  Dalam pilihan raya tahun 2008, dia mengundi Barack Obama, dan bercadang melakukannya sekali lagi tahun ini.  "Ya, saya akan mengundi beliau.  Saya beri beliau wang," kata Redner, yang menegaskan bahawa Presiden Obama tidak mendapat pujian yang cukup untuk pencapaian beliau. 

Tidak memeranjatkan jika terutamanya perwakilan  Republikan berkunjung ke Mons Venus, meskipun mereka diberikan amaran, kerana secara diam-diam, menurut CNN, sebilangan Republikan bersahabat dengan komuniti  gay


Assam: Krisis yang Terabai

AHAD, 26 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam edisi bercetak keluaran 25 Ogos, The Economist memberikan liputan terhadap persengketaan kaum di Assam, India, antara puak Bodo dengan orang Islam yang bertutur dalam bahasa Bengali. Bodo merupakan animis atau Kristian bersengketa dengan orang Islam yang semakin bertambah besar jumlah mereka di wilayah itu, iaitu daripada 24 peratus kepada 31 peratus dalam tiga dekad ke tahun 2001.

Persengketaan di Assam, menurut majalah itu, berlaku sejak berdekad-dekad, yang terburuk berlaku pada tahun 1983.  Namun, persengketaan bukan terutamanya kerana agama, tetapi adalah tentang tanah.  Bodo memiliki tanah secara bersama, manakala petani tetap penutur bahasa Bengali ini, bersemangat mewujudkan hak harta persendirian sebagai perlindungan daripada perampasan. Bodo yang pada tahun 2003 berjaya mewujudkan Majlis Wilayah Bodo sendiri, menganggap semua orang Islam adalah orang asing, dan dengan itu, pertikaian terhadap masjid.

Kali, persengketaan di Assam turut mencetuskan rusuhan di Mumbai dan serangan di berhampiran Pune terhadap orang dari Manipur. Kira-kira 30,000 orang  penduduk timur lau  titu melarikan diri  ke Bangalore, dan sembilan daripada mereka dicampakkan dari kereta api yang sedang berjalan. Sesetengah pihak berkuasa menggalakkan pelarian itu dengan menyediakan kereta api khas: 30,000 keping tiket untuk ke Guwahati, ibu negeri Assam dijual dalam masa tiga hari.

Telefon mobil, menurut The Economist, memanaskan lagi persengketaan itu.  "Pada 12 Ogos, orang ramai mula menerima mesej yang memberikan amaran kepada penduduk timur laut supaya pulang ke rumah sebelum berakhirnya Ramadan (20 Ogos). Mereka juga menerima mesej video dengan imej yang dipinda yang bertujuan menunjukkan mayat orang Islam yang dibunuh di Assam, sedangkan mereka sebenarnya mangsa Taufan Nargis pada tahun 2008 di Myanmar.

Menteri Dalam Negeri India, Sushil Kumar Shinde berkata bahawa banyak imej palsu datangnya daripada laman web di Pakistan, meminta kerajaan negara itu membantu menutup laman berkenaan. Walau bagaimanapun, Pakistan menafikan penglibatan itu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...