Artikel Popular

Tuesday, July 31, 2012

Negara Pemenang Sebenar Olimpik

SELASA, 31 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Sukan Olimpik 2012 yang sedang berlangsung di London, setakat ini dikuasai oleh China, yang memenangi sembilan emas, lima perak, dan tiga gangsa, manakala Amerika Syarikat menduduki tempat kedua, dengan lima emas, tujuh perak, dan lima gangsa.  Berdasarkan Sukan Olimpik sebelum ini,  tiga negara teratas dijangkakan  dikuasai oleh Amerika Syarikat, China, dan Rusia.

Dave Gilson yang menulis dalam Mother Jones cuba mengukur prestasi bukannya berdasarkan jumlah pingat yang dibawa pulang oleh para atlet, tetapi cuba membandingkan pencapaian mereka dengan saiz ekonomi dan jumlah penduduk negara mereka. 

Misalnya, semasa di Beijing pada tahun 2008, Jamaica hanya memenangi 11 pingat (atau 32 mata pingat, iaitu empat mata untuk emas, dua mata untuk perak, dan satu mata untuk gangsa).  Akan tetapi, pencapaian negara itu mengatasi negara yang kelihatan hebat, iaitu Amerika Syarikat dan China jika dilihat dari segi berapa banyak mata pingat yang diperoleh jika dibandingkan dengan ekonominya yang membangun dan jumlah penduduk yang kecil.  Sementara Amerika Syarikat meraih 0.02 mata pingat per bilion dolar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 0.8 mata pingat untuk setiap satu juta orang Amerika, Jamaica pula mengutip 2.2 mata pingat per bilion dolar KDNK dan 11.9 mata pingat untuk setiap satu juta orang Jamaica.

Mengikut metrik ini, jelas Gilson, negara lain yang mengatasi pemenang pingat terbesar pada tahun 2008, termasuk Bahamas, Cuba, Estonia, Kazakhstan, Kenya, Mongolia, dan Zimbabwe.  Bagaimana Malaysia?  Berdasarkan carta kedua yang disedikan oleh Gilson, Malaysia memperoleh  0.1 mata pingat untuk setiap satu juta penduduk dan 0.01 mata pingat per bilion KDNK.

Sementara carta harian The Economist yang menyatakan pada tahun 1970-an dan 1980-an Sukan Olimpik dikuasi oleh atlet dari negara komunis, juga  menunjukkan carta negara dari  segi   pesaing per pingat, jumlah pingat, dan jumlah Sukan Olimpik yang disertai.


Langkah Kiri

SELASA, 31 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Petanda buruk tentang lawatan ke luar  bakal calon Presiden daripada Republikan, Mitt Romney sudah terbayang semasa beliau berucap dalam perhimpunan tahunan  Veterans of Foreign Wars, yang disifatkan pelancaran yang gagal.  Selain itu, seperti yang dibahaskan Dana Milbank dalam The Washington Post, beliau  mahu "hidup di dua alam," iaitu meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan mengurangkan cukai" - membayangkan kesukaran yang beliau hadapi sepanjang kempen Pilihan Raya Presiden tahun 2012, selalu terhuyung-hayang.

Tidak mempunyai pemikiran yang jelas terbawa-bawa ketika berada di kota London yang antara tujuan lawatan itu adalah untuk bertemu dengan beberapa orang pemimpin British sambil menyaksikan Sukan Olimpik seketika, sebaliknya terpaksa  bertarung dengan kesilapan.  Ulasan tidak berasas beliau tentang persediaan tuan rumah untuk mengadakan sukan itu, mencetuskan keberangan para pemimpin dan media di negara itu.  Teguran yang  keras terhadap Romney datangnya daripada Boris Johnson, Datuk Bandar London.

Romney di Britain, tulis PC dalam The Economist, diplomatik bersifat menyerang. Keceluparan yang tidak bertempat mungkin kerana ingin bermegah dengan kejayaannya sebagai penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk di Salt Lake City pada tahun 2002, akhirnya  membawa padah.

Untuk menampilkan dirinya dari segi dasar luar, dari London,  Romney ke Israel; di negara itu beliau disambut hangat para pemimpin, termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.  Sheldon Adelson, raja kasino Las Vegas yang merupakan "lombong emas" kempen Romney turut "pulang" sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi.  Di negara itu, selain menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan  Israel dalam persengketaan dengan Iran, Romney mengadakan majlis pengumpulan dana dan perbincangan  tentang penempatan Israel.

Namun, lawatan yang kelihatan tenang jika dibandingkan ketika  di London, juga mencetuskan kontroversi apabila Romney  mengaibkan umat Palestin.  Gara-gara ingin bermain "terup ras" - memetik Peter S. Goodman, mengisytiharkan orang Yahudi lebih kaya daripada umat Palestin kerana budaya mereka.  Romney, seperti yang dilaporkan,  membandingkan pendapatan  per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rakyat Israel yang jauh lebih tinggi, iaitu AS$21,000 berbanding penduduk Palestin yang tinggal di kawasan Pihak Berkuasa Palestin yang hanya berpendapatan per kapita KDNK AS$10,000.

Malang bagi Romney bukan sahaja membangkitkan kemarahan orang Palestin,  tetapi juga angka pendapatan yang beliau nyatakan itu tidak tepat, sedangkan yang sebenar: Rakyat Israel AS$31,000, manakala umat Palestin hanya AS$1500

John Cassidy dalam blog The New Yorker mengingatkan Romney bahawa masalah umat Palestin bukan semuanya budaya.  Peter Beinart yang terkenal dengan mengkritik Romney, menulis bahawa beliau bercanggah dengan Bank Dunia tentang ekonomi Palestin yang sebenar.  Laporan Bank Dunia, tegas Beinart yang menulis secara tetap dalam The Daily Beast, menekankan perlunya pewujudan sektor ekonomi Palestin swasta yang lebih kukuh dan pembaharuan pendidikan dan menyatakan kekangan utama terhadap aktiviti sektor swasta kerana sekatan yang ketat oleh Israel terhadap pergerakan dan sumber.

Mungkin ada beberapa perkara yang dapat dipelajari sempena lawatan beliau ke Israel yang dikatakan jauh lebih baik semasa beliau di London.  Namun, Juan Cole yang menulis dalam The Guardian, menyenaraikan 10 alasan lawatan itu dalam rasa yang buruk: tempat majlis pengumpulan berlangsung, iaitu di Hotel King David; Romney  melanggar janji ketelusannya dengan mengehadkan majlis itu hanya akhbar Amerika untuk membuat liputan; dolak-daliknya yang pada mulanya tidak mengundang pihak akhbar; mengkritik Presiden Amerika semasa di negara asing; mengadakan majlis pengumpulan dana bersama-sama raja kasino, Sheldon Adelson yang  sedang disiasat; Netanyahu campur tangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat dengan mengutamakan Romney; berjanji untuk menghulurkan derma untuk berperang dengan Iran; tidak mengadakan pertemuan dengan Mahmoud Abbas; Romney tidak menunjukkan komitmen penyelesaian dua negara dalam sempadan tahun 1967; dan majlis pengumpulan dana di Hotel King David yang pernah diletupkan oleh pengganas Zionis

Dalam lawatan terakhir beliau, iaitu Poland, Romney dilaporkan, disambut oleh bekas Presiden Lech Walesa, yang ketika pertemuan mereka, Walesa mengisytiharkan beliau menyokong Romney, dan seakan-akan menunjukkan bekas pemimpin kesatuan sekerja itu tidak menyukai Obama.  

Dalam ulasannya tentang lawatan Romney itu, Spiegel Online International, menyatakan bahawa akhbar Jerman tidak tertarik dengan prestasi Romney, sambil mengulas lawatan beliau ke London yang mencetuskan kegamatan dan ke Israel yang kononnya kelihatan gilang-gemilang.  Namun, mengingatkan bahawa "lawatan ke Israel  mungkin membantu Romney dala  jangka pendek.  Akan tetapi, dalam jangka panjang, Republikan melakukan kerosakan.  Timur Tengah memerlukan Amerika Syarikat sebagai pengantara.  Dengan berbuat demikian, orang yang menaruh harapan untuk menjadi Presiden itu tidak melayakkan dirinya sendiri."

Lawatan Romney ke tiga buah negara itu, menurut tafsiran Eugene Robinson, "gaffepalooza," "kerap kali terhenti kerana ingin mengeluarkan kaki dari mulut." Mitt Romney yang kewangannya misteri, yang dikatakan membuat pilihan yang pintar untuk melawat tiga buah negara, sememangnya tidak banyak keberhasilan yang diperoleh dalam lawatan itu. Segala-galanya hancur. Benar-benar langkah kiri. 

Memang benar apabila Fouad Ajami mengulas bahawa Romney tidak berusaha  untuk membuatkan dunia pengsan.  Sebaliknya, yang berlaku, dunia membuatkan beliau pengsan.



Perang Udara di Negeri Berayun

SELASA, 31 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012 hanya tinggal 100 hari lagi, tetapi sebilangan  pengundi masih belum dapat membuat keputusan.  Dan, dalam tempoh ini, menurut The Washington Post, Presiden Barack Obama dan pencabarnya daripada Republikan, Mitt Romney serta sekutu mereka akan membelanjakan beratus-ratus juta dolar untuk meraih sokongan golongan pengundi berkenaan.

Jika Mitt Romney menggunakan lawatannya ke Israel untuk mendapat sokongan pengundi Yahudi di Amerika Syarikat, Obama juga bermain di atas pentas yang sama dengan meluluskan bantuan ketenteraan yang baru bernilai AS$70 juta. Tentang Iran, Romney  cuba memperlihatkan perbezaan beliau dengan Obama, tetapi Presiden Amerika itu bertindak pintar dengan menghantar beberapa orang penting dalam pentadbirannya ke negara itu.

Tinjuan pendapat demi tinjauan pendapat dikeluarkan yang secara keseluruhannya menunjukkan persaingan sengit antara kedua-dua calon Presiden itu.  Yang terbaharu, The Economist menunjukkan  setakat 26 Julai, Obama mendahului 46.4 peratus berbanding 45.1 peratus untuk Romney.  Sebelum ini, tinjauan pendapat NBC News/Wall Street Journal menunjukkan Obama mendahului Romney sebanyak enam mata, iaitu 49 peratus berbanding dengan 43 peratus, meningkat daripada tiga mata sebelum ini, 47 peratus berbanding dengan 44 peratus.  

Harry J Enten cuba menganalisis beberapa tinjauan pendapat yang membolehkan  beliau merrumuskan bahawa kedudukan Romney lebih teruk daripada Obama dari segi ukuran penting penerimaan.  Sementara tinjauan pendapat USA Today-Gallup menunjukkan bahawa kedua-dua calon  menghadapi masalah yang sama, iaitu tidak disukai oleh rakyat Amerika.  Namun, sesetengah tinjauan pendapat dipersoalkan kerana berkemungkinan terpencong ke arah Obama dan persampelan berlebihan untuk Demokrat, seperti yang melibatkan tinjauan pendapat Pew Research Center.

Selain tinjauan pendapat, Pilihan Raya Presiden kali ini menyaksikan perang udara, iaitu pertarungan iklan antara kempen Obama dengan kempen Romney yang digerakkan oleh super PAC masing-masing.  Memang tidak dinafikan bahawa begitu banyak wang yang dicurahkan oleh kedua-dua kempen untuk periklanan, tetapi keberkesanannya, seperti yang dibahaskan oleh John McCormick dalam Bloomberg, gagal menggerakkan para pengundi.  

Bahkan, serangan bertalu-talu kempen Obama terhadap Bain Capital tidak dapat memberikan jawapan yang muktamad tentang keberkesanannya, meskipun disokong  pendedahan demi pendedahan oleh media dan  pengulas,  seperti tulisan Luke Johnson dalam Financial Times yang menegaskan bahawa Romney tidak ada kredibiliti. Bahkan, dikatakan bahawa serangan itu tidak berkesan.

Walau bagaimanapun, Doug Schoen yang menulis dalam Forbes,  mengakui iklan negatif  terhadap  Romney menjadi memandangkan beberapa tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Obama mendahului Romney. Kedua-dua belah pihak, iaitu kempen Obama dan kempen Romney menggunakan iklan negatif antara satu sama lain.  Demikian tinjauan pendapat Reuters/Ipsos menunjukkan serangan terhadap sejarah pembabitan Romney dalam Bain Capital dan keengganan beliau mendedahkan penyata cukai pendapatannya didapati berkesan.

Memang, dalam politik wajar diserlahkan  negatif pihak lawan.  Akan tetapi, Dole McManus yang menulis dalam Los Angeles Times, menegaskan bahawa tindakan seperti itu lebih memberikan kepada Obama berbanding dengan Romney.  Hal ini demikian kerana kegagalan  atau kesilapan Obama telah pun diketahui umum, dan dengan itu, sia-sia sahaja ditonjolkan dalam iklan.  Sebaliknya, Romney kurang dikenali, maka Obama melalui iklan, cuba mentakrifkan Romney mengikut kehendaknya sendiri, dan usaha ini didapati berkesan, seperti iklan America the Beautiful

Romney, menurut Dona Brazile, terpaksa bertarung dengan "fakta yang degil."  Fakta yang akan menghantui beliau sehingga November ini. Pastinya  fakta ini digunakan oleh kempen sebagai "tebusan" terhadap Romney.  Dan seperti yang dibahaskan oleh Maureen Dowd, bahawa Romney gemar berahsia,  seperti penyata cukai pendapatannya yang kini menjadi perhatian dan desakan umum, yang cuba dikiaskan oleh Robert L. Borosage, "calon yang berpintu pagar."

Perang udara yang dinyatakan itu banyak tertumpu di negeri yang menjadi medan pertarungan, atau seperti yang dinyatakan oleh Paul Begala dalam The Daily Beast.  Negeri yang menentukan  kemenangan Obama memang jelas, tegas Begala, demikian juga negeri yang memihak kepada Romney.  Kedua-duanya, iaitu Obama dan Romney masing-masing memperoleh 48 peratus undi, maka bakinya empat peratus pengundi di negeri berayun, iaitu Virginia, Florida, Ohio, Iowa, New Mexico, dan Colorado yang melibatkan 916,643 orang pengundi. 

Paul Begala yang juga penasihat kanan super PAC  pro-Obama, iaitu Priorities USA Action, menegaskan bahawa agenda berpandangan ke hadapan adalah penting dan bukannya berbangga dengan pencapaian masa lalu.  Untuk meraih angka bertuah 916,643 itu, tegas Begala lagi, "parti-parti politik, kempen, dan super PAC akan berbelanja lebih AS$2 bilion.  Secara terperinci, AS$2181.87  untuk seorang pengundi, atau Mitt Romney mungkin menyebutnya, perubahan poket."

Monday, July 30, 2012

Kota Perjudian dan Hubung Kaitnya dengan Ekonomi

SELASA, 31 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Ada dua tulisan yang secara keseluruhannya membincangkan pertalian antara kasino dengan ekonomi.  Yang pertama, ditulis oleh Gordon G. Chang dalam Forbes yang menggambarkan ekonomi China menuntut mangsa seterusnya, iaitu raja kasino Las Vegas, Sheldon Adelson.  Adelson kini mendapat perhatian meluas kerana beliau merupakan salah seorang penyumbang terbesar kempen Romney,  kemungkinannya mencecah AS$100 juta  demi memastikan Barack Obama terpelanting dari Rumah Putih.

Kasino Adelson di Macau, iaitu Sands China, menurut Chang,  terjejas pendapatan akibat kemerosotan pertumbuhan ekonomi China.  Sands China dan Wynn Macau, jelas beliau, merosot lebih  30 peratus selepas mencapai puncak pada April.   Hasil Sands China meningkat kepada AS$1.48 bilion, tetapi gagal memenuhi jangkaan AS$1.52 bilion.  Pendapatan bersih jatuh 40.0 peratus, iaitu kepad AS$160.5 juta dari suku yang sama tahun 2011.

"Runtuhnya kadar pertumbuhan China," tegas Chang, "bermakna semakin kurang pelawat dari Tanah Besar datang berjudi di Macau, yang menyumbangkan 70 peratus hasil perjudian Macau."

Beralih dari Macau ke Las Vegas, kita dapat mengikuti tulisan J. Patrick Coolican dalam The Atlantic, bagaimana pusat perjudian menjelaskan masa lalu dan masa kini ekonomi.  Las Vegas ialah lambang dan merupakan kota yang mengalami pertumbuhan terpantas di Amerika pada Second  Gilded Age.  Sepanjang masa, jelas Coolican, Las Vegas akan menikmati faedah daripada etos mendukung kebebasan, kedua-duanya, iaitu sosial dan ekonomi yang bangkit pada tahun 1960-an dan 1970-an.  "Oleh sebab orang Amerika menggemari perjudian dan percutian berasaskan pengalaman, Vegas kelihatan seakan-akan pertaruhan yang pasti."

Las Vegas, jelas Coolican, menjual hiburan dan "pengalaman Las Vegas," manakala kota-kota lain terpaksa mencari jalan dalam ekonomi perkhidmatan baru.  "Budaya kesatuan kami yang kuat terhadap  Strip menaikkan upah dan membolehkan pekerja tidak mahir dan tidak berpendidikan, kebanyakannya kaum imigran mencapai cebisan Impian Amerika."

Coolican juga memetik Mark Muro dari Brookings Institution bahawa Las Vegas juga merupakan mikrokosma seluruh tempat lain di Amerika Syarikat dari segi pergantungan berlebihan terhadap sektor tertentu.  Sebagaimana Amerika Syarikat terlalu bergantung pada pengewangan (financialization) dan menjual rumah antara satu sama lain, Las Vegas sebelum krisis menjanakan lebih separuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor swasta metropolitan daripada lingkaran kecil aktiviti penggunaan, iaitu aktiviti hartanah, pembinaan, makan, minum, hospitaliti.


Wanita yang Diabetes Kurang Kepuasan Seks

ISNIN, 30 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Lelaki yang menghidap diabetes dikatakan  akan musnah kelakiannya. Tenaga seksnya pupus, dan yang mungkin tinggal hanya sekadar "sapu cat."  

Akan tetapi, bagaimana pula wanita yang menghidap penyakit itu?  Berbanding dengan lelaki, hampir tidak ada langsung pengetahuan tentang kesan diabetes terhadap fungsian dan kepuasan seks wanita. Justeru,   Lindsay Abrams yang menulis dalam The Atlantic cuba menjelaskan persoalan ini, berdasarkan kajian

Sebanyak 2270 wanita daripada pelbagai etnik yang berumur 40- 80 tahun, sama ada yang tidak ataupun yang menghidap diabetes (insulin dan tanpa insulin), diminta melaporkan tahap keinginan seks, kekerapan aktiviti seks, dan kepuasan seks keseluruhan mereka. 

Hasilnya, wanita yang menghidap diabetes (kebanyakannya jenis diabetes II), kedua-duanya, iaitu insuli tanpa insulin, dilaporkan mengadakan hubungan dan mempunyai keinginan seks hanya sekerap wanita lain.  Akan tetapi, sementara 19.3 peratus wanita tanpa diabetes dilaporkan  tahap rendah kepuasan seks keseluruhan, bilangannya lebih tinggi dalam kalangan wanita yang menghidap diabetes, iaitu 34.9 peratus mereka yang mengambil insulin dan 26 peratus yang tidak mengambil insulin adalah tidak puas.  Selain itu, 2.37 peratus wanita yang mengambil insulin menghadapi masalah pelinciran dan 1.8 kali masalah orgasma.

Kesimpulannya, tegas Lindsay, diabetes sesungguhnya berkait dengan kepuasan seks yang rendah untuk wanita tua yang menghidap penyakit ini, terutamanya bagi mereka yang dirawat dengan insulin.


Pemberontakan Arab Dapat Dielakkan?

ISNIN, 30 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setelah menunjukkan  kebodohan dirinya di London sehingga beliau dilanyak dari segenap penjuru, yang boleh disifatkan  percutian yang membawa padah,  bakal calon Presiden Amerika Syarikat, Mitt Romney, terus menunjukkan kedunguannya.  Kali ini berkait dengan Pemberontakan Arab (Arab Spring), yang menurut Romney,  dapat dielakkan sekiranya Presiden Barack Obama meneruskan "agenda kebebasan" yang diperkenalkan oleh George W. Bush.  

Romney dipetik berkata demikian  dalam wawancara dengan akhbar sayap kanan, Israel Hayom, yang jelas mengkiritik Obama dan menyanjung bekas Presiden George W. Bush. Dengan kenyataan bodoh seperti itu, Romney membuktikan dirinya sebagai orang yang gemar bercakap sebarangan tanpa usul periksa, yang ada kalanya bercanggah dengan rakannya dalam Republikan dan sekutu partinya itu.  

Bahkan, George W. Bush sendiri pernah menulis dalam The Wall Street Journal mengalu-alukan Pemberontakan Arab, yang beliau sifatkan, "masa yang luar biasa dalam sejarah kebebasan."

Apabila tercetusnya Pemberontakan Arab, sebilangan Republikan, puak  konservatif, dan pengulas, mengaitkan kebangkitan luar biasa itu dengan usaha menyebarkan demokrasi  dan menegakkan kebebasan di dunia Arab   oleh Bush.  Seperti yang pernah diperkatakan oleh Elliott Abrams dalam The Washington Post, pada akhir Januari tahun lalu, "protes Mesir menunjukkan George W. Bush adalah betul tentang kebebasan di dunia Arab."  Demikian juga ulasan Peter Wehner yang mendakwa Pemberontakan Arab adalah kerana Bush, meskipun Obama tidak menyokong "agenda kebebasan."

Sememangnya, sukar untuk mengaitka Pemberontakan Arab  dengan pelaksanaan "agenda kebebasan," seperti yang diungkapkan oleh David Ignatius, "kebangkitan harapan generasi muda yang melihat perubahan global pada Internet dan tiba-tiba hilang ketakutan mereka terhadap pemimpin yang korup dan autokratik," atau memetik Immanuel Wallerstein, sebagai lanjutan semangat revolusi dunia pada tahun 1968.

Sebenarnya, dengan mengeluarkan kenyataan seperti, Romney,  menurut Jonathan Chait, cuba mengambil hati puak konservatif yang tidak pernah teruja dengan Pemberontakan Arab.  Atau dalam kata-kata Michael Tomasky, "ulasan Pemberontakan Arab merupakan surat cinta Romney kepada puak sayap kanan Israel." 

Tidak cukup dengan surat cinta itu,  Romney melawat  Israel,  bertujuan untuk memikat undi orang Yahudi di Amerika Syarikat, yang lazimnya memihak kepada Demokrat, termasuk Barack Obama dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2008.  Semasa di Israel,  beliau membela Israel untuk menghadapi ancaman nuklear  Iran   dan  mengisytiharkan Baitulmuqqadis ibu negara itu. 

Sebenarnya, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa dari segi dasar luar, Obama lebih mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan Romney.  Setelah gagal melancarkan dasar luar, seperti yang diperhatikan oleh Fareed Zakaria, dan kecundang di London, Romney menjadikan bumi Israel untuk menebus segala peluang yang terlepas itu. 

Sebaliknya, PresidenObama, seperti yang dibahaskan Jonathan Rauch dalam The New Republic, mendakap dasar luar Republikan klasik.  Setelah menyenaraikan kejayaan dasar luar Obama, iaitu menamatkan dua peperangan, menstabilkan hubungan dengan Rusia dan China, mengasingkan Iran, memperkukuh jenama Amerika, dan melancarkan perangan terhadap keganasan, Rauch menyatakan bahawa Obama meminati dasar luar George H.W. Bush, iaitu "beroperasi sebagai realis klasik."

Yang jelas, Romney meletakkan pertaruhan yang lemah, bukan sahaja terhadap Pemberontakan Arab yang memperlihatkan langkah mundur beliau,  tetapi juga ketegasan terhadap Iran, yang menurut  Jeffrey Goldberg, bahawa Obama lebih keras.  Dalam makalah yang lain,  yang diterbitkan dalam Bloomberg, Goldberg, mengingatkan bahawa konflik Israel-Iran, jangan bergantung pada Romney.

Sunday, July 29, 2012

"Interlok" Dibakar, "Paria" Masih Hidup

AHAD,  29 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kontroversi  Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain sehingga membaca kepada upacara pembakaran telah pun reda. Orang politik yang menyibuk, meskipun mereka bukan peminat sastera dan penggemar novel, boleh tidur lena seketika.  Novel kalau tidak silap saya, akan dikeluarkan daripada Komsas.

Namun, tidak semua orang mempunyai memori yang pendek, kalaupun tidak terhadap novel itu, sekurang-kurangnya terhadap perkataan "paria" yang kononnya dianggap suatu penghinaan.

Di sana sini, perkataan "paria" masih digunakan, bukan sahaja dalam kamus, dalam Internet, juga digunakan untuk orang dan negara.  Misalnya, beberapa minggu lalu, The Guardian muncul dengan makalah Billy Bragg, "Woody Guthrie at 100: The Return of a Pariah."  

Seterusnya, baru-baru ini dalam The Huffington Post, "North Korea Hunger Worsen Despite Talks of Economic Reform,"  perkataan "paria" digunakan, tetapi kali untuk negara: ".... Kim Jong-un has been in office, there have been few tangible changes inside a country which is now, since Myanmar's decision to open up, Asia's last pariah state."  Apabila disebut negara paria terakhir, iaitu Korea Utara, maka bermakna bahawa sebelum ini ada lagi negara lain yang bertaraf paria, iaitu Myanmar.

Memang kita tidak mengharapkan upacara pembakaran diadakan  kerana The Guardian diterbitkan jauh, iaitu di kota London, dan dengan itu, akhbar tersebut tidak beredar di Malaysia, manakala The Huffington Post pula ialah akhbar Internet.  Namun, kita juga tidak mengimpikan bahawa perkataan yang "hina-dina" itu akan lenyap akibat keberangan sebilangan orang di negara Malaysia ini.


Banyak Waktu Pejabat Digunakan untuk E-mel?

AHAD, 29 Julai 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Beberapa tahun lalu, saya berurusan dengan pihak Google, dan semasa berurusan itu, saya sering berhubung dengan wakilnya di Kuala Lumpur melalui e-mel.  Staf Google menyedari bahawa saya selalunya menjawab e-mel dia pada waktu malam, lalu dia bertanyakan mengapa.  

Jelas saya, pada waktu pejabat, saya agak sibuk. Saya lazimnya membaca e-mel pada waktu pejabat, tetapi mana-mana e-mel yang memerlukan  penjelasan atau ulasan tertentu yang tidak memerlukan jawapan segera, saya lebih gemar menjawabnya di rumah kerana waktu itu agak tenang dan memberikan ruang kepada saya untuk berfikir sebelum menjawab. Pada waktu itu juga saya dapat membaca sesuatu e-mel itu dengan lebih tekun dan terperinci berbanding ketika waktu pejabat.  

Ringkasnya, saya cuba menggunakan waktu pejabat saya untuk e-mel seminimum yang mungkin.  Sebenarnya, kekangan masa itu mendorong saya dan mungkin orang lain juga untuk membuat pilihan berdasarkan keutamaan.

Jordan Weissman yang menulis dalam The Atlantic, dengan memetik sumber McKinsey Global Institute,  mendedahkan bahawa seseorang menggunakan masa 13 jam seminggu, atau 28 peratus waktu pejabat, untuk e-mel.  Dengan andaian dua minggu bercuti, maka jumlah waktu pejabat  yang digunakan untuk e-mel ialah 650 jam setahun.


Saya masih ingat bahawa pada awal tahun 2000-an, pernah dibahaskan bahawa adakah Internet meningkatkan produktiviti?  Hal ini demikian kerana Internet digunakan untuk tujuan lain, seperti mengikuti pasaran saham, mencari jualan murah, dan memenuhi kegemaran peribadi. 

Kini, selain e-mel, kita mempunyai Facebook, Twitter antaranya, yang begitu popular dan  digunakan dengan  begitu meluas.  Maka, hal ini tidak dapat tidak, banyak menggunakan waktu pejabat, meskipun penggunaan itu untuk tujuan peribadi, paling tidak untuk mencurahkan perasaan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa teknologi banyak membantu sesebuah organisasi  meningkatkan produktiviti dan kecekapan, seperti dengan kewujudan percetakan 3D. Namun, apabila teknologi itu disalahgunakan, maka hasil yang sebaliknya akan diperoleh. Seseorang staf yang sepanjang "menghadap" komputer belum tentu dia menggunakannya, sama ada untuk tugas rasmi atau tujuan peribadi.  Seseorang ketua pula tidak mudah untuk mengesan perbuatan tersebut dengan begitu pantas.  Kalaupun dia mengesyaki menggunakan komputer untuk tujuan peribadi dan bukannya untuk tujuan rasmi, mustahil dia pergi menjengokkan mukanya ke arah komputer staf berkenaan.


Saturday, July 28, 2012

Memulihkan atau Mengeruhkan Hubungan Inggeris-Saxon?

SABTU, 28 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Bakal calon Presiden, Mitt Romney dalam usaha menampilkan kepimpinannya  dalam dasar luar, yang setakat ini diragui,  untuk bertarung dengan Presiden Barack Obama, mengadakan lawatan ke Britain, Poland, dan Israel, sambil menyaksikan Sukan Olimpik yang berlangsung di London.  Tatkala Romney masih terhegeh-hegeh, Obama terus mengatasi beliau, seperti hubungan Amerika Syarikat dengan Israel.


Lawatan ke Britain, seperti penasihatnya memberitahu The Telegraph, adalah untuk memulihkan hubungan antara negara itu dengan Amerika Syarikat yang terjejas sejak Pentadbiran Obama. Sebagai reaksi, Ian Vince yang menulis dalam The Guardian, secara sinis, mengemukakan beberapa nilai baik Inggeris-Saxon untuk Mitt Romney.


Janji yang ditaburkan oleh penasihat yang tanpa dinyatakan namanya itu mencetuskan kontroversi dan kritikan, termasuk daripada kempen Obama,  menyebabkan kempen Romney kepanasan dan menafikan bahawa mereka ada kena mengena.  Sementara Romney sendiri menyatakan bahawa beliau tidak setuju dengan kata-kata penasihatnya itu.


Kehadiran Romney  di kota London boleh dikatakan sesuatu yang serba tidak kena untuk dirinya.  Kenyataannya tentang persediaan  London  menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, yang betul-betul mencerminkan kebodohan dirinya yang membayangi lawatan beliau.  Kenyataan ini   mencetuskan keberangan Perdana Menteri David Cameron dan Datuk Bandar, Boris Johnson:  "Adakah kita bersedia?  Ya, kita bersedia!"   Timbul tanda tanya mengapa Romney mengaibkan Cameron.

Secara tersirat, Romney cuba membandingkan kejayaannya menerajui dan menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Salt Lake City pada tahun 2002.  Beliau, hujah Justin Frank, didesak untuk memberitahu orang ramai bahawa beliau mampu melakukannya lebih baik, dan beliau memberikan gambaran itu di London.


Fred Kaplan yang menulis dalam Slate,  menegaskan itu bukan kebodohan Romney, sebaliknya  padangan dunia sebenar beliau.  Kaplan juga memetik Gabenor Louisiana, BobbtyJindal - salah seorang bakal calon Naib Presiden daripada Republikan, yang mempertahankan Romney:  "Hakikatnya, kami tidak bimbang tentang tajuk berita sebarang laut itu."  Ini mungkin betul, hujah Kaplan, akan tetapi mengapa sejak mula lagi Romney ke luar negara?  Beliau juga memetik Joshua Keating, penulis blog Foreign Policy yang mengatakan bahawa Britain, bagi Romney, ialah kepulauan kecil yang membuat benda yang tidak siapa pun mahu.


"Romney tersadung di London," ulas Alex Altman dalam Time, betul-betul "sebab pulut santan binasa." Beliau tersadung dari segenap penjuru, tegas Nicholas Watt dalam The Guardian.  "Britain dalam tarikh yang mudah," tanya  Jonathan Freedland, "maka bagaimana Mitt Romney bercelaru dengan teruk?" Media British dilaporkan menggasak Romney dengan teruk: "tidak ada pingat emas untuk beliau." 


Akibatnya, kempen Romney terpaksa bertungkus-lumus untuk mengehadkan kerosakan itu.  Sementara Romney sendiri selepas mengadakan pertemuan dengan David Cameron, cuba membetulkan keadaan dengan mengatakan, "Britain bersedia."   Dipercayai bahawa pembetulan ini tidak banyak membantu kerana dipersetujui umum bahawa lawatan ke Britain satu kemusnahan terhadap beliau membangkit persoalan tentang kemampuan diplomasi beliau sebagai Presiden.


Carl Lewis bekas jaguh pecut Amerika memberitahu The Independent, "Duduk di rumah jika anda tidak tahu apakah yang mahu dicakapkan," - ditujukan kepada Romney sambil mengingatkan bahawa setiap Sukan Olimpik adalah bersedia.  Pemimpin Majoriti Senat, Harry Reid (Demokrat) dipetik sebagai berkata, "Mitt Romney memalukan Amerika Syarikat, dan dirinya sendiri, dengan pergi ke London dan mengaibkan British menjelang Sukan Olimpik."


Romney dalam kempen Presiden mengambil langkah berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh membawa padah, tiba-tiba melakukannya ketika beliau di London.  "Romney terlepas peluang," ulas Josh Kraushaar dalam National Journal.  Selepas peristiwa itu, nasihat Michael Hirsh, Romney "sepatutnya hanya berdiam diri dan senyum."  Hirsh juga memetik tajuk akhbar Daily Mail di London, "siapa yang mengundang beliau?"  


Yang tidak kurang mengaibkan ialah "Romney terpulau di England," seperti yang dibahaskan oleh Michael Tomasky dalam The Daily Beast. Atau dalam kata lain, percutian yang mengecewakan.  Sementara anggota kanan Parti Konservatif memberitahu The Huffington Post, "Kepala kami dengan Romney, hati kami dengan  Obama."  Fox News yang terkenal dengan pro-Romney, melalui pengulasnya seakan-akan tidak boleh percaya Romney mengeluarkan kenyataan seperti itu.


Walau bagaimanapun, Jay Carney, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, dilaporkan  "enggan tumpang sekaki" menggasak kebodohan Romney dengan berkata bahawa beliau menjawab soalan yang berkait dengan dasar dan bukannya politik.  Sebaliknya, Demokrat menggunakan kesempatan ini dengan memperkenalkan Romneyshambles.


Romney diperhatikan melancarkan serangan dasar luar ketika beliau berucap sempena perhimpunan tahunan Veterans of Foreign Wars.  Namun, hujah Fareed Zakaria yang menulis dalam Time, pelancaran itu gagal kerana menurut tinjauan pendapat, dari segi "menangani dasar luar,"  rakyat Amerika mengutamakan  Obama berbanding Romney sebanyak 15 mata.  Mitt Romney, jelas Fareed, ialah orang yang pintar yang banyak kejayaan profesional.  Akan tetapi, bahkan diakui sendiri oleh orang dalam Republikan, beliau anehnya, amatur tentang dasar luar.  Kempen beliau, menurut mereka, tidak terdiri daripada staf yang terkenal dalam dasar luar Republikan, seperti Robert Zoellick, Richard Armitage, Richard Haass, dan Stephen Hadley. 


Jelas Fareed lagi, Romney menghadapi masalah yang sukar.  Presiden Obama merupakan Demokrat pertama dalam masa hampir 50 tahun yang memasuki pilihan raya dengan kelebihan dramatik dalam dasar luar.  (Yang terakhir ialah Lyndon Johnson lawan Barry Goldwater pada tahun 1964.)


Pastinya, kebodohan  di London itu menambahkan lagi kesukaran Romney untuk bertarung dasar luar dengan Presiden Barack Obama.


Penderma Besar Lawan Ukar Umbi

SABTU, 28 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Mungkin buat pertama kali Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012,  menyaksikan perang kelas, iaitu antara pencabar yang kaya-raya, Mitt  Romney dengan  Presiden Barack Obama yang hartanya tidak seberapa.  Mungkin juga menyaksikan bahawa pencabar dengan sokongan dana yang cukup besar mampu mengatasi perbelanjaan penjawat kini. 


Pilihan raya kali ini dijangkakan melibatkan perbelanjaan yang besar, iaitu melibatkan "wang gelap" yang menyebabkan wujud desakan supaya super PAC mendedahkan penyumbang iklan mereka.  Setakat bulan Jun, super PAC, menurut The Huffington Post, banyak menerima sumbangan daripada penderma mega, iaitu sekurang-kurangnya AS$500,000.

Setakat ini, penderma besar untuk super PAC pro-Obama seakan-akan tidak bersemangat untuk menghulurkan sumbangan jika dibandingkan dengan keadaan sebelum ini, meskipun hartawan Demokratik turut menyumbang, dan  antara yang menghilang itu, iaitu Penny Pritzker muncul semula.


Sebaliknya, dengan super PAC yang diterajui oleh Karl Rove, atau disebut Raja Karl,  maka kedudukan kewangan kempen Romney lebih selesa, kerana adanya penyumbang besar, seperti Koch bersaudara yang melancarkan perang terhadap Obama - menurut Jane Mayer, dan raja kasino, Sheldon Adelson yang dikatakan terlibat dalam melanggar amalan rasuah asing. Walaupun Romney, seperti yang dibahaskan oleh David Corn dalam Mother Jones, pernah menentang perjudian ketika berkhidmat sebagai Gabenor Massachusetts, kini secara terang-terangan bersekongkol dengan tauke judi.


Perlumbaan wang tahun 2012 ini, seperti yang diperhatikan oleh Michael Scherer dalam Time, adalah antara Romney yang bergantung pada penderma besar dengan Obama yang memancing akar umbi.  "Mitt Romney terpaksa bertungkus-lumus untuk orang ramai menghulurkan amaun kecil sumbangan untuk kempennya.  Bagi Barack Obama, masalahnya adalah untuk menarik kawan besar daripada penyumbang kaya."


Walaupun kajian menunjukkan dalam pilihan raya kali ini, Demokrat tidak lagi seghairah pada tahun 2004 dan 2008, keadaan ini tidak menjejaskan operasi untuk mendapat sumbangan daripada penderma kecil, sekurang-kurangnya jika dibandingkan dengan tahun 2008.  Obam berjaya mengumpulkan AS$112 juta daripada penyumbang kurang daripada AS$200, berbanding dengan AS$93.6 juta pada takat ini pada tahun 2008.  Seperti yang dinyatakan, keghairahan penyumbang besar untuk kempen Obama agak berlainan.  Pada takat ini dalam pilihan raya lalu, jelas Scherer, Obama mengumpulkan AS$87.3 juta daripada  penderma yang mempunyai diberikan had perundangan, 27 peratus daripada jumlah yang beliau terima.  Tahun ini, Obama hanya berjaya mengumpulkan AS$47 juta dalam sumbangan yang beliau peroleh, atau 16 peratus daripada jumlah keseluruhan beliau.



Berapa Banyak Wang yang Anda Benar-benar Perlukan untuk Gembira?

SABTU, 28 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Memang wang bukan segala-galanya, tetapi banyak orang yang terpaksa membanting  tulang, bermandikan keringat, dan memerah otak demi wang.  Memang betul wang tidak semestinya menjanjikan kebahagiaan, tetapi pesan orang tua-tua, "hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin." Selain itu, setiap orang mengalami ekonomi yang berbeza, maka tidak mudah untuk menentukan  kegembiraan seseorang.

Robert Glatter, MD, yang menulis dalam Forbes cuba mengupas berapa banyak wang  diperlukan untuk menjadikan seseorang itu gembira.  Tegas beliau, pastinya wujud hubungan antara gaji anda dengan kegembiraan; orang yang menikmati kehidupan yang lebih baik selalunya berasa gembira berbanding dengan orang yang hidup dalam kemiskinan

Pendapatan tambahan, menurut Glatter biasanya tidak membawa kepada kegembiraan tambahan apabila seseorang itu telah mencapai "piawai keselesaan."  Pastinya "piawai keselesaan" itu berbeza antara kota, negeri, dan negara yang seseorang itu diami.

Memetik Elizabeth Dunn dan Michael Norton yang menulis dalam The New York Times pada awal bulan  ini, Glatter menjelaskan bahawa di Amerika Syarikat, piawai jatuh kepada kira-kira AS$75,000.  Para penyelidik di Princeton mengkaji data tinjauan pendapat Gallup daripada hampir 500,000 isi rumah Amerika Syarikat dan mendapati pendapatan keluarga yang tertinggi berkait dengan mood yang lebih baik dalam kehidupan sehari-harian.  Walau bagaimanapun, kesan positif wang tidak mempunyai kesan terhadap kegembiraan dan mood  orang  selepas AS$75,000 dicapai.

Elizabeth dan Norton, menurut Glatter, menjelaskan bahawa berasaskan penyelidikan mereka dengan sampel rakyat Amerika, fikir bahawa kehidupan akan gembira dengan pendapatan mereka yang berlipat ganda (daripada AS$25,000 kepada AS$55,000) tidak menterjemahkan ke dalam mana-mana kegembiraan yang boleh diukur.  (Wang yang berganda tidak membawa kegembiraan yang berganda.)

Akan tetapi, menurut data Elizabeth dan Norton, orang yang memperoleh AS$55,000 hanya sembilan peratus lebih berasa puas hati berbanding dengan orang memperoleh AS$25,000.  Kegembiraan sembilan peratus mungkin sukar untuk diukur, dan lebih baik daripada sifar peratus, dan bukannya 100 peratus yang mungkin anda jangkakan daripada pendapatan tambahan.


Pertumbuhan Lembap: Bekalan atau Bebanan terhadap Obama?

SABTU, 28 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Jika Jumaat pertama bulan Julai menyebabkan Presiden Barack Obama resah kerana pada hari itu dilaporkan bahawa kadar pengangguran bulan Jun kekal pada kadar 8.2 peratus, Jumaat terakhir bulan ini mungkin tidak meredakan keresahan beliau itu.  

Seperti yang dilaporkan antaranya oleh Los Angeles Times, The Huffington Post, The Washington Post,  USA Today, Time, dan Bloomberg,   pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada  suku kedua tahun 2012 adalah lembap, iaitu hanya tumbuh 1.5 peratus akibat kemerosotan perbelanjaan pengguna.  Pada suku pertama 2012, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika tumbuh sebanyak dua peratus dan suku terakhir tahun 2011 ialah 4.1 peratus. "Dengan kadar pertumbuhan ini dan pertumbuhan suku pertama," ulas Ezra Klein, "ekonomi masih tidak terlalu bagus."



Apabila kadar pengangguran masih tinggi dan pertumbuhan adalah lemah, pastinya Republilkan melompat keriangan memandangkan bahawa Pilihan Raya Presiden kurang dari empat bulan lagi.  Bermakna, sebelum pilihan raya itu, empat lagi laporan pekerjaan akan diumumkan dan satu lagi KDNK, iaitu suku tahun ketiga - dijangkakan diumumkan pada akhir Oktober - lebih  seminggu sebelum  tarikh pilihan raya. 

Yang mungkin melegakan Barack Obama ialah meskipun kadar pertumbuhan masih rendah, sekurang-kurangnya Amerika Syarikat tidak terjebak dalam kemelesetan curam berganda, seperti yang dialami oleh United Kingdom apabila ekonomi negara itu menguncup 0.7 peratus  dalam suku tahun kedua.  Bahkan, China dalam suku kedua hanya mampu mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus berbanding 8.1 peratus suku pertama tahun 2012.  Dengan ekonomi  yang masih lemah itu,  Amerika Syarikat mungkin mencatatkan pertumbuhan yang lebih rendah daripada pertumbuhan ekonomi global yang menurut unjuran  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),  tumbuh 3.5 peratus pada tahun ini. 

Ekonomi dijangkakan mewarnai Pilihan Raya Presiden tahun ini, meskipun kini kempen Obama banyak menumpukan tenaga untuk menyerang Bain Capital dan kempen Romney cuba membuka medan pertempuran baru, iaitu dasar luar yang Barack Obama dikatakan mempunyai kelebihan. 

Pada amnya, lebih rendah  kadar pertumbuhan ekonomi (dan lebih tinggi kadar pengangguran), maka lebih rendah peluang Obama untuk kekal di Rumah Putih.  Larry Elliott yang mengulas laporan terbaharu tentang ekonomi Amerika Syarikat, membayangkan kesukaran yang dihadapi oleh Obama. 

Walau bagaimanapun, menurut Mike Dorning yang menulis dalam Bloomberg, pertumbuhan KDNK yang perlahan itu cukup untuk Obama mengharungi penggal kedua.  Namun, beliau menjelaskan bahawa tidak wujud hubungan yang benar-benar kukuh antara pertumbuhan ekonomi dengan pemilihan Presiden Amerika. "Dari segi sejarah, pertumbuhan ekonomi yang kuat membantu Presiden memenangi penggal kedua, meskipun tidak selalunya merupakan prasyarat."

Dorning merujuk Dwight Eisenhower yang seperti Obama, masih popular dari segi peribadi dengan para pengundi, dipilih semula, meskipun ekonomi lembap pada tahun 1957 - tumbuh hanya 0.3 peratus secara purata.  Sebaliknya, George H.W. Bush tewas dalam pusingan kedua, walaupun ekonomi tumbuh 4.3 peratus secara purata. 



Prestasi yang lemah, hujah R.A. dalam The Economist, membuka satu lagi bilik tambahan untuk mengkritik Presiden Obama oleh pencabarnya, Mitt Romney.  Akan tetapi, bahkan pertumbuhan yang perlahan cukup untuk menjamin kemenangan penjawat kini. Berasaskan model Abramowitz, dengan pertumbuhan 1.5 peratus, hujah Nate Cohn dalam The New Republic, maka Obama sepatutnya menerima kira-kira 50.5 peratus undi popular dua parti, cukup memastikan kemenangannya.

Memang diakui bahawa ekonomi merupakan faktor penting dalam Pilihan Raya Presiden kali ini, dan pada umumnya, meletakkan Obama pada laluan yang agak sukar.  Lebih-lebih lagi tinjauan pendapat oleh Gallup, menunjukkan pemilik perniagaan tidak menyetujui prestasi Barack Obama, sedangkan tempoh pemegangan jawatan Romney di Bain Capital, menurut tinjauan pendapat, merupakan kelebihan pada beliau untuk memegang jawatan Presiden: Romney lebih diutamakan berbanding dengan Obama untuk menangani ekonomi.


Namun, setelah bulan demi bulan ekonomi Amerika mencatatkan pertumbuhan yang lemah dan kadar penganggguran yang tinggi, Obama, menurut tinjauan pendapat yang terbaharu  mendahului lawannya,  iaitu 49 peratus berbanding dengan 43 peratus Romney.  Setakat ini, Romney gagal menggerakkan tinjauan pendapat.  Bahkan, Nate Silver dalam analisisnya melalui FiveThirtyEight masih mengekalkan unjurannya yang memihak kepada Obama sebagai pemenang. 


Kalau benar, ekonomi menyebabkan Obama terhuyung-hayang, sepatutnya beliau, seperti yang dibahaskan oleh Derek Thompson dalam The Atlantic, jatuh lebih besar, tetapi sebaliknya beliau masih menang.  Sementara di negeri berayun, menurut Chris Cilliza yang menulis dalam The Washington Post, gambaran ekonomi memberikan peluang yang sedikit cerah untuk Obama.  Bahkan di Nevada, yang kadar pengangguran mencecah 11.6 peratus, Obama, menurut John Dickerson, masih mempunyai peluang untuk menang.


Friday, July 27, 2012

Televisyen Kabel Akan Lenyap?

JUMAAT, 27 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Adakah televisyen kabel akan lenyap bersama-sama pejabat pos dan perpustakaan awam? Begitulah kira-kiranya, seperti yang dibayangkan oleh Daniel Fisher.  

Di Amerika Syarikat, menurut Fisher yang menulis dalam Forbes, kabel menghadapi persaingan yang terhad, kemudian muncul jalur lebar wayarles yang mungkin penting untuk menyekat kuasa pasaran kabel dalam akses jalur lebar yang sangat pantas.  Perkhidmatan wayarles generasi keempat baru (4G) merupakan kepantasan yang luar biasa, dan semakin pantas. Jika dipersiapkan secara betul, jalur lebar wayarles mampu menyediakan kekangan daya saing terhadap kabel.


Bagaimana Teknologi Mengubah Cara Kita Bercakap

JUMAAT, 27 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Derek Thompson menulis dalam The Atlantic tentang abad sosial, iaitu 100 tahun bercakap, menonton, membaca dan menulis di Amerika.

Pada tahun 1900, berkomunikasi adalah mudah, jelas Thompson.  Anda boleh bercakap dengan seseorang.  Anda boleh menulis surat.  Anda boleh membaca dakwat yang bercetak pada kertas.  Jika anda memiliki telefon, anda ialah golongan satu peratus.

Pada tahun 1950, empat dalam 10 isi rumah  memilik telefon atau radio.  Jika tidak, instrumen pembuatan dan penggunaan maklumat tidak banyak berubah.  Bercakap dengan orang atau membaca halaman merupakan hampir keseluruhan semua diet komunikasi keluarga.  Jika anda memiliki televisyen, anda merupakan golongan sembilan peratus.

Pada tahun 2012, kita terpaksa hidup menerusi ledakan Cambrian teknologi komunikasi.  Jika anda ingin membuat atau menggunkan maklumat, anda boleh melakukannya pada Facebook, pada Tumblr, pada Twitter, pada Pinterest, pada Foursquare, dalam teks, pada telefon mobil, pada telefon talian, pada telefon VOIP, pada televisyen, pada iPads, dengan fon kepala, dengan pembesar suara, padaa radio, secara bercetak, dalam mel, dan terutamanya jika Gchat dan Twitter terpadam, anda masih dibenarkan bercakap ke dalam muka manusia secara sebenar, secara langsung.

Graf yang ditunjukkan di bawah beliau petik daripada kertas McKinsey Global Institute tentang rangkaian sosial, iailah 110 tahun sejarah bercakap, menonton, membaca, dan menulis.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...