Artikel Popular

Saturday, June 30, 2012

Lapan Alasan untuk Hubungan Seks Semalaman

SABTU, 30 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hubungan seks semalaman, bagi Jill Di Donato, adalah untuk orang yang mabuk dan banker pelaburan. "Budaya kita," tulis beliau, "tepu dengan mesej bahawa wanita yang mengadakan hubungan seks semalaman adalah terdesak untuk menarik perhatian, sengsara akibat harga diri yang rendah, mempunyai isu dengan lelaki atau ialah gadis parti yang mabuk.

Namun, Jill Di Donato, mengenal pasti lapan  alasan untuk sekali-sekala mengadakan hubungan seks semalaman: mengadakan hubungan seks untuk tujuan yang bagus; rasa buruk untuk mengadakan hubungan seks semalaman adalah tidak berguna semata-mata; seks tanpa nama adalah tulen; hubungan seks semalaman kurang menghakiskan emosi berbanding dengan seks bersahaja yang berulang; pasangan anda menyelesaikan kerja tanpa membuang masa; hubungan seks semalaman ialah seks dendam sempurna; hidup ini tidak selalunya perlu mempunyai plot; dan lebih banyak anda mengetahui diri anda, lebih baik seks yang anda akan kecapi.

Dalam tulisan itu, Jill juga memetik  Messy Bedroom bahawa seks semalaman adalah baik untuk anda.

Tindakan Afirmatif: Pengalaman Amerika Syarikat

SABTU, 30 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Apabila John McCain memilih Sarah Palin sebagai  regunya untuk  Pilihan Raya Presiden tahun 2008, antara kritikan yang dilemparkan ialah wanita ini kurang pengalaman dan cetek pengetahuan, tidak mengetahui  dengan  baik tentang dunia yang kompleks, dan falsafah politiknya boleh ditampal sebagai pelekat bampar.  Palin terpaksa  membuat kerja rumah untuk berdebat dengan Joe Biden macam pelajar memerah otak untuk menduduki ujian.  “Kelayakan  adalah soal kedua.  Standard yang paling rendah untuk bakal pemimpin untuk negara yang paling berkuasa di dunia. Demikian tulis Katha Pollitt,  dalam majalah The Nation:  “Sarah Palin, Affirmative Action Babe.”  Untuk mengukuhkan hujah beliau bahawa pemilihan Palin berdasarkan tindakan afirmatif – dasar yang ditentang oleh golongan konservatif,  Katha berkias,  “seperti yang diketahui berlaku di tempat kerja yang kurang gembira, Palin mendapat kenaikan pangkat kerana bos suka dia.”
Dalam beberapa tahun kebelakangan, tulis  Scott Plous dalam buku Understanding Prejudice and Discrimination,    tindakan afirmatif di Amerika Syarikat dibahaskan lebih sengit jika dibandingkan dengan mana-mana masa lain dalam tempoh 35  tahun sejarahnya.  Banyak penyokong menganggap tindakan afirmatif sebagai batu tanda jalan, banyak penentang melihat tindakan afirmatif sebagai batu kisar, dan banyak yang lain melihatnya sebagai kedua-duanya  perlu, tetapi tidak sempurna, penawar atau remedi untuk penyakit sosial yang sukar diselesaikan.  Beliau berpendapat bahawa kes yang menentang tindakan afirmatif  adalah lemah, terlalu bergantung pada mitos dan salah faham.  Bagi Plous, sesetengah penulis yang mengkritik tindakan afirmatif sebagai penyelesaian superfisial yang tidak menangani masalah sosial yang lebih dalam melalui pengagihan semula kekayaan dan membangunkan kesamaan pendidikan yang sebenar.  Namun begitu, hujah beliau, tindakan afirmatif tidak pernah dicadangkan sebagai  ubat untuk semua penyakit untuk penyelesaian ketidaksamaan.  Sebaliknya, tindakan afirmatif hanya bertujuan untuk membetulkan diskriminasi dari segi pengambilan pekerja dan kemasukan akademik.
            Pengalaman pelaksanaan tindakan afirmatif di Amerika Syarikat,  sedikit  banyak mempunyai persamaan dengan pengalaman  tindakan afirmatif di Malaysia sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu sarat dengan sokongan dan penentangan,  penuh dengan pro dan kontra.   Golongan  penentang  yang kadangkala merujuk  pengalaman Amerika, berhujah bahawa di negara itu tindakan afirmatif dilaksanakan untuk golongan minoriti dan kaum wanita, sedangkan di Malaysia, tindakan afirmatif  untuk golongan majoriti, iaitu bumiputera.   
Golongan penentang juga bersikap dwistandard, iaitu mengambil sikap berdiam diri apabila Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang  mengadakan  demonstrasi di hadapan pejabat Parti Keadilan Rakyat di Merchant Square atas alasan  Pakatan Rakyat (PR) belum lagi berusaha untuk  meringankan kemiskinan kaum India dengan melaksanakan program    tindakan afirmatif  -  dasar yang selama ini menyebabkan orang Melayu  dipersenda dan UMNO dikutuk.  Seandainya cadangan pelaksanaan tindakan afirmatif   itu dikemukakan oleh orang Melayu  pastinya  mereka akan menerima kritikan dan sindiran yang bertubi-tubi daripada golongan yang berlagak sebagai penentang tindakan afirmatif.
Di Amerika, tindakan afirmatif dilaksanakan melalui perintah Eksekutif 10952 yang dikeluarkan Presiden John F. Kennedy pada 6 Mac 1961,  diperkukuhkan atau diperluaskan lagi oleh presiden yang seterusnya, seperti Lyndon Johnson dan Richard M. Nixon.  Walau bagaimanapun, tindakan afirmatif di negara itu banyak menerima tentangan keras daripada orang Yahudi yang menyerang apa yang mereka sebut sistem kuota.  Sesetengah pemimpin khuatir bahawa tindakan afirmatif boleh mewujudkan polarisasi yang “membahayakan status ekonomi dan politik orang Yahudi dan orang kelas menengah kulit putih” –  sesuatu yang senada dengan tentangan yang berlaku di Malaysia,  “membahayakan penguasaaan ekonomi kaum tertentu.”  Orang Yahudi sejak lama lagi menentang kuota yang dilaksanakan di universiti dan kolej elit di negara itu yang digunakan untuk untuk mengetepikan mereka, tanpa mengambil kira  merit akademik.
            Pada tahun 1990-an berlaku perdebatan yang cukup hebat tentang tindakan afirmatif di Amerika.  Ada penulisan tentang perkara ini, dikatakan  tidak memahami pendedahan etnografi, seperti emosi.  Dan, dipercayai bahawa  emosi ini yang tidak boleh dielakkan, yang mendasari kes khusus untuk tindakan afirmatif.  Mereka yang  mempertahankan tindakan afirmatif  berhujah bahawa wujud pemisahan sebenar antara orang kulit putih dengan Afrika-Amerika: kita dan mereka.  Dan, tindakan afirmatif  boleh memainkan peranan penting untuk merobohkan halangan antara dua rakyat  Amerika ini.  Meskipun diakui  bahawa tindakan afirmatif adalah sukar untuk ditadbirkan, membangkitkan isu yang penting mengenai  keadilan, dan sebagainya, tetapi  pandangan ini tidak berapa penting jika dibandingkan dengan peranan tindakan afirmatif dalam menyampaikan mesej kepada Afrika-Amerika, “Ya, kita boleh.  Ya, kita prihatin.”
            Tindakan afirmatif di Amerika pada dasarnya bertujuan melindungi golongan minoriti dan kaum wanita daripada diksriminasi pekerjaan dan pendidikan, tetapi diakui bahawa tindakan afirmatif berkesan. Dikatakan bahawa terdapat beribu-ribu contoh situasi yang orang berkulit hitam, wanita kulit putih, dan wanita serta lelaki  golongan pekerja daripada semua kaum yang sebelum ini dihalang  peluang pekerjaan atau pendidikan, atau dinafikan peluang selepas diterima masuk, telah  menikmati akses melalui tindakan afirmatif. Meskipun program  tindakan afirmatif tidak menghapuskan rasisme dan tidak juga selalu dilaksanakan tanpa masalah, namun   dihujahkan bahawa    tidak ada perjuangan untuk menarik balik  kebaikan yang dicapai jika dasar  tindakan afirmatif tidak berkesan.
Dari segi  amalan, tindakan afirmatif  melampaui  golongan minoriti dan kaum wanita; bahkan    bekas Presiden, George W. Bush menikmati bantuan tindakan afirmatif.  Apabila beliau berkata bahawa semuanya untuk kepelbagaian dan beliau tidak pedulikan tindakan afirmatif yang diamalkan di University of Michigan yang terpaksa diselesaikan  di Mahkamah Agung, ada orang yang mengingatkan beliau, “Tunggu sekejap.  Bagaimana anda memasuki Yale?”  Seperti yang diperlihatkan oleh Michael Kinsley dalam “How Affirmative Action Helped George W.” yang diterbitkan dalam majalah Time pada Januari 2003, “bukannya kerana mana-mana pencapaian akademik beliau.”  Sebaliknya, hujah Kinsley, jelas bahawa Bush memasuki Yale kerana tindakan afirmatif.  Tindakan afirmatif untuk anak dan cucu alumni.  Tindakan afirmatif untuk anggota keluarga yang berpengaruh dari segi politik.  Tindakan afirmatif untuk budak lelaki dari sekolah persediaan istimewa (fancy).  Bentuk tindakan afirmatif seperti ini masih berterusan.” 
            Bagi Kinsley, bahkan George W. Bush mungkin cerita kejayaan tindakan afirmatif yang paling hebat atau luar biasa untuk selama-lama, meskipun pencapaian hidupnya hampir-hampir kosong: sebagai Gabenor Texas, diterima masuk di Andover, Yale, Harvard Business School, memperoleh kekayaan selepas bertahun-tahun gagal dalam perniagaan.  Kepintaran, kerja kuat, dan kualiti lain yang berkait dengan konsep merit  hampir-hampir tidak ada kena mengena kehidupan dan kejayaan beliau hingga ke tahap ini.  Namun begitu, tujuh tahun kemudian, beliau menjadi Presiden Amerika.
Bagi golongan penentang tindakan afirmatif yang dilaksanakan di Malaysia, meskipun mereka ada kalanya merujuk kepada Amerika, tetapi mereka “menggelapkan”  kes  George W. Bush (juga Sarah Palin).  Jika direnung hujah Kinsley, dalam konteks Malaysia, sesungguhnya, ramai orang yang duduk selesa di atas  tindakan afirmatif, tetapi pura-pura menentangnya, bahkan menghina dan mengeji  tindakan afirmatif.  Ramai pemimpin politik pembangkang  dan banyak pihak lain mengamalkannya.
Sesungguhnya, hujah Kinsley dalam mempertahankan tindakan afirmatif dan mengkritik mereka yang menentangnya, sedikit  banyak boleh dikaitkan dengan pengalaman Malaysia yang melibatkan persoalan kaum:   “tindakan afirmatif dikritik atau dikecam kerana kaum, dan kaum adalah terutamanya subjek  toksid.”      Beliau juga  mengingatkan bahawa golongan kaya, anak-anak alumni yang berpengaruh dari universiti yang terkenal  ialah orang kulit putih adalah tidak seimbang.  Dan, keadaan ini berkekalan untuk tempoh yang lama, terutamanya jika tindakan afirmatif berdasarkan kaum  diharamkan.  Hujah Kinsley, penentang dan penyokong tindakan afirmatif biasanya cenderung untuk bersetuju bahawa ada sesuatu yang buruk, pada amnya disebut kuota, dan sesuatu yang baik, pada amnya disebut sesuatu seperti kepelbagaian.  Hujah mereka adalah mengenai di manakah anda menandakan sempadan.  “Kehidupan tidak adil.  Kritikan yang sah tentang tindakan afirmatif adalah bahawa tindakan afirmatif mempolitikkan peluang hidup dan menumpukan tanggungjawab kesalahan terhadap kaum.”
Di Malaysia, perdebatan tentang tindakan afirmatif dipersegarkan semula dengan pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak pada 30 Mac lalu: pro dan kontra, sokongan dan tentangan.  Beliau menegaskan bahawa DEB dengan tindakan afirmatif   berjaya dilaksanakan selama 40 tahun yang lalu, mengimbangkan strategi pertumbuhan ekonomi negara  dengan keperluan menangani ketidaksamarataan struktur ekonomi dan memupuk keharmonian sosial. Kadar kemisikinan berjaya dikurangkan dengan ketara kepada 3.7 peratus pada masa ini. “Kita seharusnya berbangga dengan pencapaian tersebut. Kejayaan ini menjadi contoh kepada negara-negara berbilang kaum lain yang ingin diikuti. Namun begitu, bilangan isi rumah berpendapatan rendah masih lagi banyak di Malaysia. Kerajaan kini berhadapan dengan masalah abad ke-21 yang memerlukan pendekatan baru untuk menyelesaikannya.”
“Justeru,” kata Najib “adalah perlu kita memperbaharui dasar afirmatif terhadap MEB yang akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pendapatan semua golongan yang kurang bernasib baik.  Dasar ini akan memberi fokus terhadap keperluan seluruh rakyat – mereka yang tinggal di rumah panjang di Sabah dan Sarawak serta golongan miskin luar bandar di Semenanjung Malaysia yang sering kali tersisih daripada aktiviti ekonomi negara. Golongan nelayan, peniaga kecil dan petani juga tergolong dalam kategori ini. Begitu juga Orang Asli dan penduduk bandar yang berpendapatan rendah yang bekerja keras untuk menyara kehidupan dalam keadaan ekonomi yang sukar.”
Sejak berdekad-dekad  lamanya, DEB telah menjadi kayu pengukur pencapaian utama masyarakat.  Objektif asalnya masih lagi relevan, namun sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali pelaksanaan DEB.  Oleh itu, Najib memaklumkan bahawa  dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksanakan berdasarkan empat prinsip, iaitu mesra pasaran, berdasarkan merit, telus, dan berdasarkan keperluan.
Sebelum pengenalan MEB oleh Perdana Menteri, majalah The Economist memberikan liputan tentang pelaksanaan tindakan afirmatif:   “Out with the New.”  Majalah itu melaporkan bahawa Najib akan meneruskan tindakan afirmatif, tetapi lebih berorientasikan pasaran.  Majalah itu juga memetik Najib sebagai berkata, “Saya tidak melupakan hak orang Melayu, kepentingan orang Melayu, tetapi saya mahu orang Melayu bekerja dengan kaum lain juga.”
Michael Schuman dalam Time.com pada awal April membahaskan tindakan afirmatif susulan daripada pengumuman MEB itu dengan cara agak berhati-hati:   “Saya takut bahawa pada tahap ini dalam laman web ini, beberapa pembaca telah pun memanaskan jari mereka untuk menaip beberapa ulasan yang buruk. Walau bagaimanapun, saya menjelaskan  secara muktmad bahawa saya tidak, diulang, tidak menentang tindakan afirmatif.”  Meskipun dalam dunia teoritikal  ekonomi klasik, dasar tindakan afirmatif tidak diperlukan, namun hujah Schuman, “keputusan ekonomi malangnya dipengaruhi oleh semua jenis prasangka dan rangkaian social, dan ada kalanya undang-undang diperlukan untuk memastikan keadilan.”
Dalam makalah  “Affirmative Action: Bad for Growth?” itu Schuman, mengatakan bahawa program tindakan afirmatif di Malaysia dilaksanakan secara meluas dan pada skala yang sangat besar.  Tindakan afirmatif di Malaysia, oleh itu, mempunyai impak yang berlebihan-lebihan terhadap ekonominya.  Namun begitu, beliau mengakui bahawa wujud keseimbangan antara tindakan afirmatif dengan daya saing ekonomi yang perlu membuat pilihan antara dasar tindakan afirmatif dengan apakah yang baik untuk ekonomi keseluruhan.
Walau apa-apa pun kritikan dan tentangan,  tindakan afirmatif sepatutnya dilihat dalam konteks keadilan ekonomi dan dan keadilan sosial.   Seperti yang  ditegaskan oleh  Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi:  “Di Malaysia, peranan kerajaan diperluaskan ke arah yang satu lagi.  Untuk berdekad-dekad, kerajaan Malaysia melaksanakan program tindakan afirmatif yang agresif untuk membantu orang Melayu.  Program ini adalah bahagian penting dalam pembinaan bangsa (nation building); pandangan bahawa semua kumpulan akan mendapat faedah daripada masyarakat yang lebih stabil dan adil serta saksama adalah diterima secara meluas.”
Hakikatnya, “padang permainan masih tidak sama rata,” oleh itu, tanpa dasar-dasar nasional, seperti tindakan afirmatif, nescaya ada kaum atau golongan yang tercicir atau terpinggir daripada arus pembangunan.  Sesungguhnya, banyak kejayaan yang dicapai melalui tindakan afirmatif, meskipun di sana sini, terdapat kecacatan dari segi pelaksanaannya.  Pastinya, ahli ekonomi yang terkenal, iaitu Joseph Stiglitz tidak membuat penilaian yang membuta tuli tentang kebaikan tindakan afirmatif yang dilaksanakan sejak berdekad-dekad.  Sebagai ahli ekonomi yang memperjuangkan keseimbangan antara peranan kerajaan dengan pasaran, tentunya beliau dapat melihat  peranan penting  tindakan afirmatif. Jika dibiarkan pasaran dibiarkan bergerak bebas dan menentukan segala-galanya , dan peranan kerajaan adalah minimum, nescaya bukan sahaja ekonomi akan kucar-kacir, bahkan juga negara akan porak-peranda.
 Malangnya, apa yang dilihat oleh Stiglitz itu tidak dapat dilihat oleh penentang tindakan afirmatif di negara ini.  Atau mungkin mereka dapat melihatnya, tetapi ketamakan, kebencian, dan keangkuhan mereka mengatasi segala-galanya.  Sememangnya, berbahaya dari segi pembinaan bangsa jika pemikiran kumpulan ini dibiarkan mencorakkan pendapat awam dan mempengaruhi penggubalan dasar-dasar nasional.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Jun 2010.)

Friday, June 29, 2012

Italy dan Sepanyol Tunjuk Belang

JUMAAT, 29 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dari Euro 2012 ke zon euro, Sepanyol dan Italy benar-benar tunjuk kekuatan.  Dalam perlawanan bola sepak  kedua-dua pasukan ini akan bertembung dalam perlawanan akhir Euro 2012.  

Jika ketika perlawanan suku akhir antara Jerman dengan Greece yang masih dilanda krisis politik, Canselor Angela Merkel melompatkan keriangan setiap kali pasukan negaranya menjaringkan gol sehingga para penyokong Greece naik berang, namun di sidang kemuncak Kesatuan Eropah yang berlangsung di Brussels,  beliau nampaknya terpaksa tunduk pada tuntutan Italy dan Sepanyol.  

Perdana Menteri Italy Mario Monti dan rakan sejawatannya, Mariano Rajoy dari Sepanyol dilaporkan enggan menandatangani pakej pertumbuhan bernilai AS$149 bilion, sehingga jurubayar, iaitu Jerman meluluskan langkah jangka pendek untuk mengurangkan kos kredit mereka. "Suatu kemenangan untuk Italy dan Sepanyol yang pemimpin kedua-dua negara itu menegaskan bahawa mereka banyak berusaha untuk membersihkan ekonomi mereka, tetapi masih menghadapi kos peminjam yang meningkat."

Di sidang kemuncak itu, menurut Larry Elliott yang menulis dalam The Guardian, "Jerman lawan Italy, Sepanyol, dan Perancis."  Wujud perbezaan antara Jerman dengan tiga buah negara lagi dalam Empat Besar.

Mario Monti dilaporkan tidak dapat melawan, mengingatkan Angela Merkel bahawa Italy juga memenangi perlawanan bola sepak, dengan menewaskan Jerman 2-1.  "Ini kepuasan berganda untuk Italy," kata beliau. 

Menjelang sidang kemuncak itu, Angela Merkel, menurut Spiegel International Online, menggasak rakan-rakannya dalam zon euro. Beliau juga dipetik sebagai menawarkan wawasan  federalisme untuk Kesatuan Eropah - seolah-olah membayangkan setiap orang akan tunduk pada Berlin untuk menyelesaikan krisis euro yang menyeksakan

Hakikatnya, Merkel "sudah jatuh ditimpa tangga,"  di padang dan di sidang kemuncak:  beliau akhirnya terpaksa beralah.  Sesungguhnya, ini hari yang buruk untuk Jerman. "Para pemimpin Kesatuan Eropah," tulis Bruce Crumley, "mula mencabar disiplin fiskal yang ketat yang diperjuangkan oleh Angela Merkel."


Bahkan,   pakar berpendapat bahawa untuk menyelamatkan zon euro, Jerman sepatutnya meninggalkan zon mata wang bersama itu, dan bukannya Greece atau Sepanyol. Dan, pagi tadi waktu Malaysia, Jerman benar-benar tersingkir daripada Euro, yang sungguh mengecewakan Berlin.

Setelah sekian lama diaibkan dengan akronim yang menjijikan - PIIGS (Portugal, Ireland, Italy,   Greece, dan Sepanyol),  dua daripadanya berjaya memasuki perlawanan akhir dan mengajar Berlin tentang "langit tinggi rendah."


Anjakan Pusat Graviti Dunia

JUMAAT, 29 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


"Sirih pulang ke ganggang"  begitulah lebih kurang.  Dari Timur pulang ke Timur.  Pusat graviti ekonomi dunia, seperti yang ditunjukkan oleh carta harian The Economist, beranjak ke Timur semula. 

Memetik kajian baru tentang impak ekonomi pembandaran oleh McKinsey Global Institute, yang menjejaki "perjalanan" kota yang menjadi pusat graviti sejak tahun pertama Masihi, dari Timur ke Barat, kemudian berpatah balik semula ke Timur, iaitu  Shanghai pada tahun 2025. 


Pastinya anjakan pusat graviti ekonomi dunia ke kota Shanghai berkait rapat dengan kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi yang sering diperkatakan sekarang, misalnya dalam Time keluaran 18 Jun, "The Next Leap Forward" (hanya mereka yang melanggani majalah dapat akses melalui talian).   Juga China sebagai kelahiran kuasa besar.  Meskipun pertumbuhan ekonominya mula perlahan dan tercetus pergolakan sehingga dilabelkan sebagai "Republik Rakyat Skandal,"  China, hujah David Lundquist dalam The National Interest, tidak akan runtuh.



Satu Lagi Keputusan Mahkamah Memihak kepada Barack Obama

JUMAAT, 29 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Presiden Barack Obama sekali lagi pada minggu terpaksa menempuh  minggu yang cukup resah, meskipun dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012, kempen beliau mula memperlihatkan kekuatan menyerang lawannya, Mitt Romney, terutamanya isu  yang berkait dengan imigran dan Bain Capital.  

Atas kertas, bahas Doyle McManus dalam Los Angeles Times, Jun bulan yang teruk untuk Obama. Bermula dengan komen beliau yang bodoh yang tidak serius bahawa "the private sector is doing fine."  Kemudian, Rizab Persekutuan menyemak semula unjuran pertumbuhannya ke bawah, menjelaskan bahawa pengangguran lapan peratus berkemungkinan berterusan selepas hari pilihan raya.  Keyaki pengguna melendut kepada terendah dalam masa lima bulan, dan satu tinjauan pendapat yang diterbitkan pada minggu ini, bahawa 61 peratus orang Amerika berkata mereka fikir Amerika Syarikat pada laluan yang salah.  Selain itu, Mitt Romney mengatasi Presiden dari segi derma kempen, luar biasa untuk penjawat kita hadapi.  

Minggu ini, seperti yang diketahui umum, Barack Obama menghadapi dua keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat, yang dipercayai dapat menentukan keputusan perlumbaan ke Rumah Putih.  Pada hari Isnin, Mahkamah Agung membuat keputusan berhubung undang-undang antiimigran Arizona,  yang memihak kepada kerajaan Persekutuan.

Seterusnya pada hari Khamis, 28 Jun, Mahkmah Agung membuat keputusan tentang undang-undang penjagaan kesihatan yang diperkenalkan oleh Pentadbiran Obama, diluluskan oleh Kongres pada tahun 2010,  yang banyak mencetuskan kontroversi dan polemik, membawa kepada pertarungan undang-undang, dan andaian tentang kemungkinan keputusan mahkamah itu. Pastinya juga mencetuskan pertikaian politik dan memperlihatkan pendirian Republikan yang cenderung menentang apa-apa sahaja yang dikemukakan oleh Barack Obama, seperti yang dibahaskan oleh Ezra Klein dalam The New Yorker dan Bloomberg. Klein juga menulis Wonkblog, kemungkinan keputusan Mahkamah Agung dan tindakan politik seterusnya oleh Republikan dan Romney. 

Menjelang keputusan Mahkamah Agung itu, lawan Obama, iaitu Mitt Romney bukan sahaja menyindir Obama "tidak dapat tidur lena," bahkan apa-apa sahaja keputusan, beliau dikatakan menuntut kemenangan.  Menunggu keputusan Mahkamah Agung itu, mungkin bagi Obama merupakan suatu penyeksaan dan masa depan politiknya bagaikan "telur di hujung tanduk" - menyempitkan peluangnya untuk memenangi penggal kedua.  

Namun, keputusan yang dapat diikuti secara langsung, antaranya melalui SCOTUSblog, berkesudahan dengan memihak kepada penjagaan kesihatan Barack Obama.  Dengan keputusan 5-4, Mahkamah Agung mengesahkan peruntukan utama Affordable Care Act dengan menyatakan bahawa mandat insurans kesihatan individu adalah mengikut Perlembagaan. Keputusan itu memeranjatkan, seperti yang dilihat dalam kata-kata  Amy Davidson,  "mahkamah konservatif, dan kehakiman konservatif, mengesahkan undang-undang yang diluluskan dan  dihargai oleh puak liberal."  Namun, beliau menjelaskan pemenang yang ialah rakyat Amerika yang lebih 50 juta orang tidak memiliki insurans kesihatan. (Teks penuh keputusan tersebut dapat diakses.)

Dengan keputusan tersebut, Obama dikatakan mencipta kemenangan besar dan memberi beliau kemenangan utama pada tahun pilihan raya. Secara keseluruhan, komen  tentang  keputusan itu adalah  sebagai kemenangan untuk Obama, tetapi beliau menganggap kemenangan rakyat di seluruh negara. Sementara Romney yang begitu yakin sebelum ini bahawa Mahkamah Agung menolak,   berazam untuk memansuhkan  undang-undang itu sekiranya beliau dipilih sebagai Presiden.  


Kate Pickert yang menulis dalam Time menyenaraikan pemenang, antaranya Pentadbiran Obama dan Demokrat dalam Kongres,  dan Mitt Romney, yang tewas, antaranya Republikan dalam Kongres dan Gabenor Republikan. 


Jika keputusan sebaliknya, seperti yang dibayangkan oleh Michael Tomasky dalam The Daily Beast, "Obama muncul untuk sidang akhbar dengan kepala tunduk, bercakap senada masam."  Obama banyak menghabiskan masa  untuk program penjagaan kesihatan dan merupakan keutamaan beliau.  Seandainya keputusan tidak memihak kepada beliau, lebih-lebih lagi tahun pilihan raya, pastinya beliau dituduh memperkenalkan dasar yang silap yang pastinya menghantuinya hingga November ini.  


Obama menang dalam pertarungan,  bersiap sedia untuk bertempur dalam peperangan. Seperti yang pernah diperkatakan, jika dalam kesusahan, beliau memilih untuk menyampaikan ucapan yang besar dan turun padang. Beliau pastinya selesa untuk berbuat demikian kerana beban yang beliau galas dalam tempoh sepenggal telah pun mencapai keputusan yang muktamad.




Thursday, June 28, 2012

Selamat Datang ke Negara Uncle Sam

KHAMIS, 28 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Politik yang melibatkan kaum imigran di Amerika Syarikat, yang bermula dengan Presiden Barack Obama menggunakan perintah eksekutif menyekat penghantaran pulang anak-anak imigran ke negara asal mereka.  Keputusan ini dilihat memberikan kelebihan kepada Barack Obama dalam  Pilihan Raya Presiden 2012, yang dijangkakan menentang Mitt Romney daripada Republikan, untuk mendapatkan sokongan orang Latino.  Namun, di tiga buah negeri berayun, iaitu Florida, Ohio, dan Pennylsvania, menurut The Washington Post, tindakan itu tidak banyak membantu Obama. 


Kemudian, pada hari Isnin, Mahkamah Agung menolak hampir kesemua undang-undang imigresen Arizona anti-Latino yang dianggap sebagai kemenangan untuk Barack Obama dan Parti Demokratik. Memburukkan lagi keadaan, keputusan mahkmah itu dibuat ketika Romney masih bertungkus-lumus untuk mendapatkan sokongan orang Hispanic. Kedua-dua calon itu berlumba-lumba untuk menenangi undi Hispanic.  Untuk memenangi pertarungan di Colorado, Nevada, dan Virginia,  Romney memerlukan hampir 40 peratus undi Hispanic. Kehangatan Arizona, dipercayai tidak lagi akan dirasai oleh Romney


Dalam menangani isu imigresen, Michael Gerson membandingkan kedua-dua calon Presiden itu:  Kegagalan strategik Romney, manakala Obama bertindak ala Napoleon, iaitu beliau tahu bagaimana melontarkan kekuatannya terhadap sudut kelemahan lawan pada detik penentuan, seperti yang beliau lakukan dengan Akta Impian mininya. 

Pada takat tertentu, pihak berkuasa Amerika Syarikat masih mengalu-alukan kehadiran imigran.  Walau bagaimanapun, kajian meluas oleh Pew Research Center, yang dipetik oleh  Slate dan Time, menunjukkan imigran Asia mengatasi Hispanic.  Menurut banci terbaharu, kira-kira 430,000 orang Asia atau 36 peratus semua imigran baru, tiba di Amerika Syarikat pada tahun 2010, berbanding dengan kira-kira 370,000 atau 31 peratus ialah Hispanic. 

Memetik laporan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), carta harian The Economist menunjukkan negara yang banyak menerima imigran atau pendatang asing. Mendahului senarai ialah Amerika Syarikat yang banyak menerima imigran baru dari Mexicom disusuli oleh China dan India.  Sebaliknya,  kaum imigran ke Rusia, hampir secara eksklusif datang dari negara yang membentuk Kesatuan Soviet pada suatu masa dahulu. Sebagaimana Rusia dan Amerika, diukur berasaskan perorang, Switzerland dan Kanada memberikan kewarganegaraan dua kali ganda kepada imigran. 


Wednesday, June 27, 2012

Keluaran Dalam Negara Kasar Dunia

KHAMIS, 28 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pertumbuhan ekonomi dunia, menurut carta harian The Economist, meningkat pada tiga bulan pertama tahun ini, mengukur Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, berdasarkan 52 negara. Output pada suku pertama tahun 2012 berkembang sebanyak 2.9 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu, satu persepuluh titik perpuluhan lebih tinggi berbanding suku tahun sebelumnya.  

Walau bagaimanapun, langkah jimat-cermat disertai dengan ketidakpastian tentang masa depan euro, menyaksikan ekonomi kawasan mata wang bersama itu merosot  sedikit.  Dan yang lebih membimbangkan tanda kejatuhan sumbangan kepada KDNK global oleh negara BRIC, yang dianggap secara meluas merupakan kuasa pemacuan di sebalik pertumbuhan global.  Pertumbuhan ekonomi di Brazil, India, dan China perlahan pada suku pertama lalu.  Di Amerika, meskipun tanda pemulihan boleh menyahpecut, pertumbuhan suku pertama hampir mencecah dua peratus, dipacu terutamanya oleh penggunaan dan eksport.


Ekonomi sesebuah negara mempunyai gambaran yang berbeza-beza, baik dari segi pemulihan mahupun pertumbuhan.  Ekonomi Amerika Syarikat, menurut laporan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD),  pulih. Laporan yang diterbitkan setiap dua tahun, menyatakan bahawa pemulihan Amerika Syarikat memperoleh rentak, tetapi masih lemah, dengan negara itu menghadapi masalah, seperti rekod pengangguran jangka panjang, ketidaksamaan pendapatan, dan kekurangan pelaburan dalam bidang pendidikan dan inovasi.   


Laporan itu menyatakan masalah  yang sering diperkatakan sekarang, khususnya  oleh Joseph Stiglitz, yang menulis di sana sini, yang terbaharu dalam The Financial Times:    ketidaksamaan. Selain itu, telah diketahui umum bahawa Amerika Syarikat menanggung hutang yang besar, iaitu 102 KDNK, jauh lebih tinggi daripada purata Kesatuan Eropah 83 peratus dan Kanada kira-kira 85 peratus. Hal ini membangkitkan persoalan: berapa bahayanya hutang negara itu?  


Sementara itu, Bank of England memberikan amaran bahawa tinjauan ekonomi United Kingdom yang telah pun terjebak ke dalam kemelesetan curam berganda,  semakin teruk. Sepanyol dan Italy pula bergelut dengan halangan ekonomi yang baru, iaitu kos peminjam meningkat dan pasaran saham jatuh.  Oleh sebab Cyprus memohon pelan penyelamat, maka timbul ketakutan tentang jangkitan yang melanda zon euro - merumitkan dan menajamkan lagi krisis di zon tersebut. 


Rana Foroohar yang menulis dalam Time keluaran 18 Jun, mendedahkan bahawa pertumbuhan KDNK perlahan di ekonomi terbesar dunia, misalnya diunjurkan pada tahun ini tumbuh hanya dua peratus, China lapan peratus, BRIC enam peratus, dan zon euro menguncup sebanyak 0.3 peratus. Sementara Eropah yang dilanda kemelesetan pada tahun ini, pertumbuhan dua peratus boleh membangkitkan keseronokan. Eropah yang dilanda krisis hutang diibaratkan "Bad Romance" memetik lagu Lady Gaga.


Berhubung dengan pertumbuhan perlahan dan masalah ekonomi lain yang dialami oleh negara BRIC, hal ini disedari dan sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.  Misalnya, baru-baru ini, Bloomberg mendedahkan penurunan nilai mata wang negara tersebut  sejak tahun 1998, menjadi semakin teruk. 


Jim O'Neill, Pengerusi Goldman Sachs Asset Management, yang memperkenal konsep BRIC, melahirkan kebimbangan terhadap empat negara itu - Brazil, Rusia, India, dan China kerana para pelabur mencampakkan saham negara berkenaan. China memotong sasaran pertumbuhannya kepada kadar terendah sejak tahun 2004, penarafan kredit gred pelaburan India mungkin dipotong, pertumbuhan ekonomi Brazil terus kurang daripada tiga peratus untuk dua tahun berturut-turut, dan kejatuhan harga minyak mungkin menjejaskan Rusia.  Kemerosotan yang berpanjangan yang dialami oleh empat negara itu memberikan ancaman baru terhadap ekonomi dunia yang masih lemah sejak berakhirnya kemelesetan pada tahun 2009.


India diberikan gambaran seakan-akan cerita pertumbuhannya  berakhir, dan  seperti yang ditunjukkan dalam The Economist, kadar pertumbuhan India jatuh kepada 5.3 peratus mungkin tidak penting, tetapi kadar itu adalah yang terendah dalam tujuh tahun, dan menggerutup keajaiban ekonomi membawa kos sosial yang dapat melebihi kesakitan zon euro.  Selain itu, yang pada takat tertentu  juga ada kaitannya dengan BRIC, iaitu keajaiban Asia, menurut Antoine Van Agtmael dalam Foreign Policy, sudah berakhir, iaitu kemerosotan memang benar. 


Di samping India, Brazil diperhatikan kehilangan "lembu jantan" apabila  ekonomi hanya tumbuh 2.7 peratus pada tahun 2011, jauh ditinggal oleh negara lain dalam BRIC, iaitu Rusia, India, dan China mampu mencatatkan pertumbuhan antara 4.3 peratus hingga sembilan peratus. 

BRIC  turut  menerima kesan buruk daripada krisis zon euro, tetapi tiga negara  BRIC, iaitu Brazil, India, dan China  juga memainkan peranan aktif dari segi menghulurkan bantuan kepada negara membangun lain. Untuk China dan Brazil, Charles Kenny yang menulis dalam Foreign Policy mencadangkan supaya kedua-dua negara itu "membangun;" kedua-duanya baru kaya - gambaran yang elok bahawa sekurang-kurangnya dua negara BRIC merupakan negara kaya. 


Meskipun carta harian yang dipetik pada permulaan tulisan ini menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi dunia meningkat pada suku pertama tahun 2012, yang jelas kemelesetan masih lagi menghantui, bahkan, seperti yang dibahaskan oleh  Kenneth Rapoza dalam Forbes, dunia terjunam ke kemelesetan semula. 


Keterukan kemelesetan yang berlaku sekarang, seperti yang ditegaskan oleh Jack A. Goldstone dalam The Atlantic, "memang teruk berbanding dengan apa yang anda fikirkan.  Separuh masa antara dua dekad yang hilang." Jelas beliau ekonomi Brazil secara praktik tegun pada suku pertama, semua angka pembuatan China menunjukkan pertumbuhan yang sangat rendah jika dibandingkan dengan tahun lalu, Britain kekal dalam kemelesetan, sistem perbankan Sepanyol memerlukan pertolongan dan mungkin runthy, dan Amerika Syarikat yang kekal titik terang (bright spot) terakhir dalam ekonomi global tiba-tiba  mula menggerutup.



Negara yang Rakyatnya Kaki Dadah

RABU, 27 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Semuanya masalah global: krisis kewangan, kemelesetan, kemiskinan, kebuluran, wabak penyakit, keganasan, dan tidak ketinggalan dadah.  Carta harian The Economist mendedahkan negara yang rakyatnya gemar menghisap dadah.  

Memetik laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada 26 Jun, wujud antara 119 juta hingga 224 juta pengguna dadah di seluruh dunia.  Pulau Palau di Pasifik  dilaporkan paling tinggi, iaitu hampir satu perempat pendudk berumur antara 15 tahun hingga 64 tahun menghisap ganja. Rakyat Italy dan Amerika juga gemar khayal, dengan kadar masing-masing ialah 14.6 peratus dan 14.1 peratus. Sementara  Uruguay, yang merancang untuk membenarkan penggunaan dadah dari segi undang-undang dipertikaikan, kadarnya 5.6 peratus.


Zon Euro: Masa Makin Suntuk

RABU, 27 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Oleh sebab krisis semakin membesar, maka ahli politik semakin mengecil - memetik Jonathan Freedland, pilihan raya di Greece dan Mesir tidak akan menentukan nasib mereka.  Kuasa beranjak ke pasaran, Brussels dan jauh lagi. 

Para pemimpin Eropah diperhatikan terus keliru dan bukannya menangani secara betul krisis hutang.  Kini, krisis tersebut mengancam mula-mula lagi tonggak Kesatuan Eropah dan mampu memusnahkan gaya hidup yang berjuta-juta orang Eropah anggap remeh.  Akan tetapi, harapan yang menggunung untuk sidang kemuncak Kesatuan Eropah yang berlangsung minggu  akan berkesudahan dengan kekecewaan. 

Krisis zon  euro  dapat dijejaki daripada idea kewujudannya, yang menurut  Greg Palast, euro bukannya tentang mengubah Eropah menjadi unit ekonomi yang bersatu padu dan berkuasa.  Euro adalah tentang Reagan dan Thatcher. 

Krisis zon euro semakin dalam apabila Cyprus merupakan negara kelima terpaksa memohon pelan penyelamat dan Moody's Investor Service menurunkan gred 28 buah bank Sepanyol.    Kawasan euro, tegas Simon Johnson dalam Bloomberg bergelut dengan krisis ekonomi yang utama.

Sekali lagi, mungkin sudah berpuluh-puluh kali, Jerman diletakkan harapan untuk menyelesaikan krisis zon euro, tetapi negara sentiasa bersikap "acuh tidak acuh," termasuk terhadap Greece. Canselor Angela Merkel, dilaporkan semakin degil apabila pemimpin negara lain bersatu menentang beliau, seperti kritikan baru-baru ini oleh  Presiden Francois Hollande dan Perdana Menteri Mario Monti. 

George Soros dalam wawancara dengan Spiegel International Online sekali menggesa Jerman menyelesaikan krisis zon euro dengan segera sambil mengingatkan bahawa jika euro berkecai, nescaya Jerman yang menanggung kerugian paling besar. 

Jika sebelum ini, Soros mengingatkan bahawa Jerman mempunyai masa tiga bulan untuk menyelamatkan euro, yang terbaharu, beliau menegaskan hanya tiga hari, iaitu  melalui kesatuan fiskal.  Dalam The Financial Times, beliau menulis bagaimana untuk menggerakan Jerman keluar daripada ragam "tidak boleh." 


Tuesday, June 26, 2012

Indeks Kuasa Digital

SELASA, 26 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dalam masa tidak sampai dua dekad, Internet mengubah hampir segala-galanya tentang cara kita menjalani kehidupan kita:  Cara kita berkomunikasi, cara kita membeli-belah, cara kita membaca, cara kita berasmara, cara kita bergaduh, cara kita bermain. Justeru juga, orang yang membentuk dan mengubah dunia berkembang biak berbeza daripada golongan pemerintah lama.

Demikian mukadimah ringkas Indeks Kuasa Digital Newswseek Daily Beast yang mengenal pasti dan mengetengahkan tokoh dan individu yang mempelopori dan menerajui dunia digital dalam pelbagai kategori: peramal/kasyaf, inovator, pembawa kitab Bible, personaliti, tokoh revolusioner, pembina, pencetus pendapat, dan sebagainya. 

Pengkaedahan yang digunakan untuk mencipta indeks turut dijelaskan, iaitu ahli panel yang dilantik untuk pelbagai kategori diminta mencalonkan dan memberikan markah  pemenang dalam proses dua langkah.  Pertama, setiap ahli panel disediakan senarai 10 orang calon, iaitu pemimpin atau personaliti terkenal yang ahli panel rasakan paling berpengaruh dalam kategori itu pada tahun lalu.  Newsweek kemudian mewujudkan senarai induk semua calon, dan ahli panel diminta memberikan markah untuk setiap calon berdasarkan skala daripada satu hingga lima, menggunakan tiga ukuran untuk "pengaruh": jangkauan, impak, dan inovasi.


"Wanita Tidak Mahu Seks Lagi"

SELASA,  26 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Wanita tidak mendapat segala-galanya, salahkan budaya kerja yang ekstrem, tulis Rana Foroohar dalam Time dengan memetik tulisan Anne-Marie Slaughter dalam The Atlantic, yang banyak diperkatakan dan dijangkakan dibaca oleh wanita tahap profesional tinggi. 

Sebenarnya, perbincangan tentang wanit tidak terbatas pada dunia keprofesionalan, tetapi juga melibatkan dunia penulisan.  Menurut pengarang British, Jilly Cooper, seks dalam fiksyen secara amnya hilang daya tarikannya untuk kaum wanita.  Alasannya, "Wanita tidak mahu seks lagi."  Kenyataan beliau itu memeranjatkan kerana novel erotik E.L. James,  Fifty Shades of Grey mencipta jualan terlaris dan pernah diharamkan di perpustakaan di  Florida, Amerika Syarikat.

Cooper yang menulis beberapa buah novel romans, menyalahkan jadual ketat yang dialami wanita menyebabkan mereka keinginan seks mereka pudar.  Namun, beliau menaruh harapan bahawa Fifty Shades of Grey akan memberikan suntikan baru untuk novel seks.  Novel tersebut juga, tegas Jen Doll,  mengubah wajah penerbitan.

Kenyataan Cooper itu diragui kerana wanita masih belum minat terhadap seks, baik dalam fiksyen mahupun dalam kehidupan sebenar.  Pastinya, bahaya jika dalam kehidupan sebenar, wanita tidak mahu mengadakan hubungan seks.  Ke mana si suami ingin melepaskan sesak?


Rakyat Amerika Tidur Lena

SELASA, 26 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Jika seseorang itu mahu tidur lena, maka dia makan tidak kenyang; jika seseorang itu mahu makan kenyang, maka dia tidur tidak lena.  Wujud korelasi songsang antara makan dengan tidur: banyak bekerja, maka terpaksa kurangkan tidur. 

Selain itu, kita sering mendengar pengurusan masa yang lazimnya ditafsirkan bagaimana seseorang itu membahagikan masanya.  Akan tetapi, maksudnya lebih daripada itu, iaitu pengurusan masa juga ditafsirkan bagaimana seseorang itu menentukan masanya sendiri.  Atau dengan kata lain, individu berkenaan tidak membiarkan orang lain menentukan masanya sendiri: orang ajak menonton wayang, dia ikut menonton wayang; orang ajak makan; dia ikut makan; orang ajak bersembang, dia pun bersembang.

Melalui carta harian, The Economist menyatakan bagaimana rakyat Amerika membahagikan atau memperuntukkan masa mereka.  Memetik kajian penggunaan masa, carta itu menunjukkan bahawa rakyat Amerika berumur 15 tahun ke atas, lelaki dan wanita,  memperuntukkan masa mereka untuk tidur lebih satu pertiga secara purata. Antara lelaki dan wanita, wujud perbezaan masa yang dihabiskan untuk tidur, makan dan minum, dan memasak dan mencuci.  Dari segi hari purata, 83 peratus wanita dan 65 lelaki menghabiskan masa untuk beberapa aktiviti isi rumah.  

Menonton televisyen merupakan bahagian terbesar untuk masa lapang rakyat Amerika.  Orang yang berusia lebih 25 tahun yang tidak memiliki diploma sekolah tinggi menghabiskan dua pertiga masa untuk menonton televisyen jika dibandingkan dengan mereka yang mempunyai ijazah. 


Negara Paling Gembira dari Segi Alam Sekitar

SELASA, 26 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Negara paling gembira terus mendapat perhatian, bermacam-macam indeks dikeluarkan.  Yang terbaharu, negara paling gembira dinilai dari segi alam sekitar, iaitu berdasarkan Indeks Planet Gembira (HPI)

Menduduki tangga tertinggi dalam senarai 10 buah negara teratas, ialah Costa Rica, diikuti oleh Vietnam, Colombia, Belize, El Salvador, Jamaica, Panama, Nicaragua, Venezuela, dan Guatemala - nampaknya indeks ini kuasai oleh negara Amerika Latin.

Hasil kajian HPI yang baru menunjukkan takat yang 151 buah negara di seluruh dunia mewujudkan kehidupan yang panjang usia, kegembiraan, dan mapan untuk penduduk yang mendiami negara berkenaan.  Skor indeks keseluruhan negara yang diberikan penarafan berdasarkan kecekapan negara berkenaan, berapa banyak kehidupan yang panjang usia dan kegembiraan setiap komponen hasilkan per unit output alam sekitar.  Setiap tiga komponen mengukur jangkaan hayat, kesejahteraan yang dialami, dan Jejak Ekologi.  

Tiga buah negara Asia Tenggara, selain Vietnam, menduduki senarai 25 buah negara teratas, iaitu Indonesia (ke-14) dan Thailand (ke-20), dan Filipina (ke-24), jauh meninggalkan Malaysia  (ke-83) dan Singapura (ke-90).

  


Negara yang Gagal

SELASA, 26 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Fund for Peace dengan kerjasama Foreign Policy menerbitkan Indeks Negara Gagal Tahun 2012 yang melibatkan 177 buah negara,  menunjukkan kegagalana merupakan masalah yang berakar umbi yang setakat ini cara mengatasinya belum dapat dikenal pasti.  Negara yang sebelum ini, menduduki senarai teratas, terus mengekalkan kedudukan tersebut, iaitu Chad, Republik Demokratik Congo, dan Iraq, manakala Somalia kekal menduduki No. 1 untuk lima tahun berturut-turut. 

Anjakan terbesar indeks tahun ini dicatatkan oleh Libya, Syria, dan Mesir; kedudukan  ketiga-tiga negara ini meningkat dalam senarai, mengingatkan bahawa meskipun revolusi mungkin melemahkan atau menumbangkan rejim, revolusi juga boleh membawa ketidakstabilan yang teruk. 

Indeks itu juga menyediakan peta yang interaktif, menunjukkan kategori kritikal, dalam bahaya, sempadan, stabil, dan amat stabil.  Dalam kategori kritikal, seperti yang dijangkakan  kebanyakannya negara Afrika,dua buah negara Amerika Latin, iaitu Colombia dan Bolivia.  Negara lain yang turut tersenarai dalam kategori tersebut ialah Iran, Afghanistan, Pakistan,   Bangladesh, dan negara Asia Tengah, seperti Tajikistan, Uzbekistan, dan Kazakhstan.  Tidak ketinggalan negara di Asia Tenggara, seperti Myanmar, Kemboja, Laos, Filipina, Timor-Laste, dan termasuk Papua New Guinea.  Indonesia dan Thailand dalam senarai dalam bahaya, manakala Malaysia sempadan. 

Australia, Kanada, Jerman,  Iceland, Ireland, Denmark,  Norway,  Sweden, dan Finland dalam kategori paling stabil. 

Mengapa negara gagal, seperti yang dijelaskan oleh makalah dalam jurnal ini, antaranya kerana keruntuhan keseluruhan semua institusi negara, seperti yang berlaku di Afghanistan selepas pengunduran Kesatuan Soviet, atau kerana perang saudara berdekad-dekad lama, seperti di Sierre Leone, apabila kerajaan tidak wujud sama sekali.  Namun, kebanyakan negara gagal bukan kerana ledakan peperangan dan kegaganasan, tetapi benar-benar tidak mampu mengambil kesempatan daripada potensi besar masyarakat untuk pertumbuhan, mengheret warganegara mereka ke dalam sepanjang hayat kemiskinan.  Jenis kegagalan yang perlahan, yang mengazabkan menyebabkan banyak negara di Afrika Sub-Sahara, Asia, dan Amerika Latin, dengan taraf hidup terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara Barat.

Negara yang runtuh ini kerana negara berkenaan diperintahkan oleh apa yang disebut institusi ekonomi "ekstraktif," yang memusnahkan insentif, tidak menggalakkan inovasi, dan melemahkan bakat warganegara mereka dengan mewujudkan padang permainan yang senget dan merampas peluang mereka.

Mengiringi indeks tersebut ialah makalah yang ditulis oleh Robert D. Kaplan tentang kesilapan Pakistan sehingga negara terjebak ke dalam negara yang gagal.  Juga tulisan Ahmed Rashid, "tidak ada negara untuk orang bersenjata" tentang pergolakan semasa Pakistan.



Monday, June 25, 2012

Krisis Zon Euro Terus Memburu Mangsa

ISNIN, 25 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Greece akhirnya  berjaya mengadakan pilihan raya dan  membentuk kerajaan, dan dengan itu, seakan-akan mengelak kebuntuan politik, serta mengelakkan kemungkinan negara itu meninggalkan zon euro.  Namun, tidak ada tanda-tanda bahawa krisis zon euro itu akan reda. Semua sistem pelan penyelamat di bawah matahari ini,  seperti yang ditegaskan oleh Roger Bootle, tidak dapat menjadikan zon euro berfungsi.  

Seperti biasa, Jerman diharapkan menyelamatkan zon euro, manakala Jerman pula mengingatkan Greece jangan lagi meminta pertolongan dan mula memotong belanjawan. Dikatakan Jerman mempunyai alasan yang kukuh memastikan zon euro kekal kerana zon mata wang itu berfungsi baik, negara mendapat banyak manfaat. Sementara Canselor Angela Merkel yang sentiasa kelihatan keberatan, dicadangkan supaya memilih antara Eropah dengan jimat-cermat. George Soros sekali menggesa Jerman bertindak menyelamatkan zon euro dengan segera sambil mengkritik sikap negara yang kononnya "tidak dapat berbuat apa-apa."

Hanya kalaupun ada berita gembira di tengah-tengah keghairahan para pemimpin Eropah melaksanakan jimat-cermat, ialah komitmen yang ditunjukkan oleh empat pemimpin untuk memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kesatuan Eropah sebanyak satu peratus.

Tatkala para pemimpin utama Eropah masih terhegeh-hegeh dan masih mengharapkan antara satu sama lain untuk mula bertindak, kesan krisis itu dijangkakan merebak tanpa sempadan. Bahkan, negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) yang ekonomi masing-masing dianggap "stabil" secara relatifnya jika dibandingkan dengan banyak negara Eropah dan Amerika Syarikat, dipercayai menerima kesan krisis zon euro itu

Selain krisis zon euro yang kesannya merebak ke benua lain, langkah jimat-cermat yang dilaksanakannya juga meninggalkan kesan terhadap dunia miskin, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian. Aliran bantuan dari Eropah ke negara miskin di dunia jatuh sebanyak 700 juta euro pada tahun 2011, kejatuhan pertama untuk hampir satu dekad kerana krisis dalam mata wang tunggal memaksa 14 buah negara anggota memotong bantuan pembangunan.


Kerja Jerih, Upah Tidak Meningkat

ISNIN, 25 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sementara eksekutif Wall Street menikmati kenaikan gaji yang lumayan, para pekerja kelas menengah dan bawahan terpaksa berputih mata dengan upah yang tidak meningkat.  Hal ini meluaskan lagi jurang ketidaksamaan, seperti yang dibahaskan oleh Joseph Stiglitz, yang pernah dipetik dalam blog beberapa kali. 

"Semuanya kerja dan tidak ada gaji, majikan mendesak para pekerja meningkatkan output tanpa meningkatkan upah," tulis Monika Bauerlein dan Clara Jeffrey dalam Mother Jones. Produktiviti meningkat, tetapi upah dan pendapatan beku untuk kebanyakan rakyat Amerika.


Ekonomi tumbuh semula, tetapi pekerjaan tidak kunjung tiba.




Dan, banyak lagi carta yang membuatkan darah anda mendidih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...