Artikel Popular

Sunday, April 29, 2012

Kegagalan Terbesar Jimat-cermat

ISNIN, 30 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perdana Menteri David Cameron dilaporkan menyalahkan duka lara zon euro yang menyebabkan Britain terhumban ke dalam kemelesetan curam berganda sambil mengingatkan krisis hutang Eropah masih jauh untuk berakhir. Dengan mengambil pendirian sedemikian, jika diperhatikan sebaliknya, beliau mempertahankan langkah jimat-cermat yang menurut banyak pihak, menyebabkan Britain terjebak semula dalam kemelesetan dan berkemungkinan terperangkap dalam "dekad yang hilang."

Sementara Sepanyol "jatuh bebas" atau "sudah jatuh ditimpa tangga" terpaksa bergelut dengan krisis hutang, terjebak semula dalam kemelesetan,  pengangguran yang tinggi, iaitu  mencecah 24.4 peratus, manakala pengangguran dalam kalangan belia, mencecah 50 peratus, setanding dengan Greece, dan diturunkan gred kepada BBB+.

Britain dengan kemelesetan curam berganda, Perancis dengan Pilihan Raya Presiden yang dalam pusingan pertama menyaksikan Presiden Nicolas Sarkozy tumpas di tangan Francois Hollande, dan Belanda dengan keruntuhan kerajaan, membayangkan bahawa jimat-cermat yang dilaksanakan secara berleluasa di Eropah, kini berada di persimpangan.  Para pengundi yang sengsara akibat pelaksanaan jimat-cermat, diperhatikan,  semakin berani menolak pemimpin melalui peti undi.  Khusus untuk Perancis dan Belanda yang menendang keluar jimat-cermat seperti yang dibahaskan oleh Charlemagne dalam The Economist, sekali lagi menentang konsensus Eropah, seperti yang kedua-dua negara ini lakukan tujuh lalu. 


Seandainya Hollande memenangi Pilihan Raya Presiden yang pusingan kedua berlangsung pada 6 Mei ini, Canselor Angela Merkel akan kehilangan sekutu rapatnya, Sarkozy.  Siang-siang lagi Hollande memberitahu bahawa "bukannya Jerman yang membuat keputusan untuk negara lain di Eropah."  Jika terpilih, beliau berjanji tidak akan meluluskan perjanjian jimat-cermat fiskal yang dipersetujui oleh 25 buah negara Eropah, kecuali perjanjian itu mengandungi langkah untuk memacu pertumbuhan. Pertembungan antara Perancis dengan Jerman berhubung dengan perjanjian jimat-cermat tersebut semakin dapat dibayangkan. 


Tatkala Hollande bersiap sedia untuk menggantikan Sarkozy, The Economist membayangkan bahawa beliau orang yang bahaya untuk negaranya dan Eropah.   Tracy McNicoll yang menulis dalam Newsweek juga seolah-olahnya menggambarkan Hollande adalah bahaya. Beliau dipercayai akan "belanja sakan" untuk negaranya, Perancis tanpa mempedulikan langkah jimat-cermat yang dilaksanakan oleh negara-negara lain di Eropah.


Dalam kalangan mereka yang menentang jimat-cermat, Paul Krugman, tanpa berasa penat, kira-kira dua tahun terus mengkritik langkah tersebut. Melalui kolumnya, beliau menegaskan kegagalan dasar jimat-cermat, meskipun para pemimpin Eropah menafikannya,  sebaliknya mengatakan  dasar ini  berkesan. Dalam tulisan terbaharunya, beliau mengkritik editorial The Financial Times yang enggan menerima hakikat bahawa jimat-cermat gagal di Britain, dan mendesak supaya dasar yang "memusnahkan" ekonomi negara itu diteruskan. 


Setelah menulis dalam The Atlantic bahawa jimat-cermat memusnahkan Eropah, dengan  merujuk kepada Sepanyol,  Matthew O'Brien muncul sekali lagi dengan nada yang tidak kurang kerasnya: kegagalan terbesar jimat-cermat. Setelah membandingkan hasil bon 10 tahun antara negara yang melaksanakan jimat-cermat, iaitu Portugal dan United Kingdom, dengan Amerika Syarikat yang tidak melaksanakan langkah tersebut, beliau menegaskan bahawa United Kingdom bukan sahaja terjebak dalam kemelesetan curam berganda, tetapi juga di bawah prestasi zon euro sejak David Cameron menjadi Perdana Menteri dan mula mengurangkan defisit. "Eskprimen Great Britain," hujah beliau, "semuanya kesakitan dan tidak ada keuntungan."


Walau bagaimanapun, Angela Merkel yang mula kesepian, diperhatikan tidak akan berganjak daripada mendesak supaya  jimat-cermat diteruskan, meskipun  di Eropah, penentangan terhadap langkah itu semakin lantang. Berlin sepatutnya terus mendesak disiplin perbelanjaan untuk negaranya dan untuk benua itu. Tanpa mempedulikan akibat sosial dan politiknya, Bundesbank dan kerajaan Angela Merkel dikatakan masih menyokong jimat-cermat yang dilaksanakan di Eropah sejak dua tahun lalu. Setelah merasakan bahawa  kehilangan Sarkozy tidak dapat dielakkan lagi, Merkel didapati cuba mendakap Perdana Menteri Italy, Mario Monti, dan beliau juga mendakap pertumbuhan


Lebih berleluasa berlaku  pergolakan politik dan kekacauan sosial di Eropah,  nescaya berlaku penolakan secara besar-besaran terhadap  langkah yang terbukti gagal sama sekali, iaitu jimat-cermat.

Hartawan Pakaian Dalam

AHAD, 29 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Melihat senarai nama dalam "The 100 Most Influential People in the World" Time keluaran 30 April, sesetengahnya tidak memeranjatkan kerana nama itu tidak asing bagi kita semua; antaranya Presiden Barack Obama, Hillary Clinton, Christine Lagarde, Warren Buffett, Benjamin Netanyahu, dan Mitt Romney.  

Dalam senarai yang panjang itu, turut tergolong Rihanna, Lionel Messi,  Adele, Raphael Saadiq,  dan Salman Khan (bukan pelakon Bollywood, tetapi tutor bertaraf dunia untuk zaman digital, dengan makalah yang ditulis Bill Gates).  Tidak ketinggalan nama dari Dunia Arab, seperti Samira Ibrahim, Manal al-Sharif, dan Rached Ghannouchi.

Namun, yang menarik perhatian saya ketika meneliti satu demi satu nama yang disenaraikan ialah Sara Blakely, 41 tahun, pernah menghiasai kulit depan Forbes,  hartawan pakaian dalam,  Spanx.   Meskipun bersikap terlalu negatif (naysayer), dengan hanya bermodal AS$5000 dan idea hebat, beliau "membuktikan bahawa anda tidak memerlukan MBA untuk mengetahui apakah wanita mahu dan apakah pasaran mahu."

Perniagaan Sara Blakely  berkembang dengan cukup pantas, kini menawarkan 200 produk di 40 buah negara. Beliau kini memperkenalkan Spanx untuk lelaki, dengan nama ringkas Manx atau Mirdles.


1000 Orang Kaya di Britain

AHAD, 29  April  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Britain dalam masa dua tiga hari ini, tidak dapat menarik nafas lega.   Selain skandal penggoman telafon yang melibatkan raja media, Rupert Murdoch dan News Corporation milik beliau dikatakan berusaha melemahkan kerajaan yang dipilih, Britain juga dilanda kemelesetan curam berganda yang berkemungkinan mengalami "dekad yang hilang."  

Namun, di tengah-tengah kemelut yang menyebabkan Perdana Menteri David Cameron tidak dapat tidur lena untuk mengembalikan keyakinan awam terhadap dirinya, akhbar The Telegraph memetik Sunday Times Rich List 2012,   menyenaraikan 1000 orang kaya di Britain.  Jumlah kekayaan mereka meningkat hampir lima peratus berbanding dengan tahun 2011, iaitu kepada £414 bilion.  Jumlah ini mengatasi rekod sebelum ini, iaitu £412.8 bilion  pada tahun 2008, yang ketika itu hanya beberapa bulan sebelum krisis kewangan yang akibatnya, ekonomi British secara meluas belum lagi pulih.  

Mengetuai senarai untuk tujuh tahun berturut-turut ialah jutawan keluli, Lakshmi Mittal, meskipun kekayaan beliau jatuh sebanyak £4814 juta paun, kepada £12,700 juta, meletakkan beliau hanya £385 juta  mengatasi Alisher Usmanov, pemilik Metalloinvest - pengeluar terbesar bijih besi Rusia, dengan  £12,315 juta. Menduduki tempat ketiga dalam senarai tersebut ialah Roman Abramovich, pemilik Chelsea FC yang menyaksikan kekayaannya jatuh sebanyak £800 juta, kepada £9500 juta.   

Turut tersenarai  jutawan media sosial, selain Alisher Usmanov, antaranya ialah Michael Moritz, Niklas Zennstrom, U2 (Bono), dan Andrey Andreev. 


The Sunday Times Rich List Top 10


1. Lakshmi Mittal and family, steel: £12,700m
2. Alisher Usmanov, mining and investment: £12,315m
3. Roman Abramovich, oil and industry: £9,500m
4. Sri and Gopi Hinduja, industry and finance: £8,600m
5. Leonard Blavatnik, industry: £7,580m
6. Ernesto and Kirsty Bertarelli, pharmaceuticals: £7,400m
7. The Duke of Westminster, property: £7,350m
8. David and Simon Reuben, property and internet: £7,083m
9. John Fredriksen and family, shipping and oil services: £6,600m
10. Galen and George Weston and family: retailing: £5,900m.

Social Media Millionaires:
1. Alisher Usmanov, Facebook: £12.3bn
2. Michael Moritz, Linkedin: £1.08bn
3. Niklas Zennstrom, Skype: £600m
4. U2 (Bono), Facebook, Yelp: £514m
5. Andrey Andreev, Badoo: £500m
6. Michael and Xochi Birch, Bebo, TweetDeck: £270m
7. Vikrant Bhargava, SocialGO: £230m
8. Daniel Ek, Spotify: £190m
9. Tihan Presbie, Miniclip: £155m
10. Joanna Shields, Bebo, Facebook: £50m.

Saturday, April 28, 2012

Saiz Tetek Mengikut Negara

SABTU, 28 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Bermacam-macam  aspek yang menjadi ukuran dan perbandingan, baik ekonomi dan politik, mahupun sosial dan pendidikan; daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada daya saing sesebuah negara; daripada beban hutang (negara dan isi rumah) kepada defisit belanjawan   Pendek kata, banyak  perkara yang diukur dan dibandingkan.

Dua hari lalu, The Huffington Post menyiarkan peta yang menunjukkan saiz tetek, "negara manakah di dunia ini membanggakan wanita dengan tetek yang besar?   Dengan merujuk peta, menurut akhbar itu, anda akan memperoleh jawapan.  Akhbar Jerman, Bild menyebut peta "Atlas saiz piala" yang hakikatnya,  merupakan salinan peta "Saiz Piala Tetek Purata di Dunia." 

Semua peta itu tidak menyatakan bagaimana saiz tetek diukur (meskipun kita membayangkan meneliti pembelian coli mengikut negara merupakan satu cara yang unggul).  Namun, pada kedua-dua peta itu, wanita Rusia, Finland, Sweden, dan Norway, kelihatan merupakan "pemenang" terbesar," membanggakan saiz coli "yang lebih besar daripada piala D."

Sementara wanita di Amerika Syarikat kebanyakannya mempunyai titik saiz "piala D," bersama-sama dengan waita Venezuela dan Colombia. Wanita yang bertetek kecil kelihatan dapat ditemui di Afrika dan Asia, terutamanya Asia Timur,  termasuk Malaysia.  Negara di luar rantau ini yang bersaiz "piala A," antaranya Latvia, Estonia, Peru, dan Bolivia.  

India yang jika dilihat seniwati Bollywood mempunyai tetek yang "semangat," hanya boleh berpuas hati dengan "piala B" bersama-sama beberapa negara di Asia Selatan, seperti Pakistan dan Afghanistan, dan negara lain, seperti Iran, Iraq, Arab Saudi, Turki, Mesir, dan Kazakhstan.

Bagi kaum lelaki yang berkesempatan meneliti peta ini, satu pertanyaan di sini:  Yang mana satu idaman kalbu? Tepuk dada tanya selera!


Minggu Muram untuk Ekonomi

SABTU, 28 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




United Kingdom disahkan mengalami kemelesetan curam berganda menandakan jimat-cermat membawa kerosakan kepada ekonomi,  manakala krisis zon euro menyebabkan 5.6 juta orang kehilangan pekerjaan.  "Di segenap pinggir Eropah," hujah Paul Krugman melalui kolumnya, "dari Sepanyol ke Latvia, dasar jimat-cermat mewujudkan kemerosotan tahap kemelesetan dan pengangguran tahap kemelesetan."  Ekonomi Jepun pula, menurut Jared Diamond yang menulis dalam Bloomberg, menjadi semakin teruk.

Apabila United Kingdom, seperti yang dijangkakan,  terjebak semula dalam kemelesetan dan pesanan barang tahan lama di Amerika Syarikat merosot dengan ketara, menurut data terbaharu, hal ini, tegas Mohamed A. El-Erian, menandakan ekonomi global dalam kesusahan. 

Di tengah-tengah Britain  dan banyak negara Eropah terjebak dalam kemelesetan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat untuk suku pertama tahun 2012, seperti yang dilaporkan oleh The Huffington Post, Los  Angeles Times,  The Washington Post, Bloomberg,  dan Time,  adalah perlahan, iaitu hanya 2.2 peratus. Perbelanjaan pengguna yang yang lebih kukuh diimbangi oleh pemotongan dalam perbelanjaan kerajaan dan pelaburan perniagaan.  

Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat memaklumkan pada hari Jumaat bahawa ekonomi negara itu berkembang pada kadar tahunan 2.2 peratus dari Januari - Mac tahun ini berbanding dengan tiga peratus yang dicatatkan pada suku akhir tahun 2011.  Angka itu jatuh di bawah jangkaan kerana ahli ekonomi menjangkakan pertumbuhan 2.5 peratus atau lebih.  Namun, diperingatkan supaya jangan naik geram tentang angka KDNK ini. Meskipun kadar terbaharu ini dianggap kuat, hanya sebilangan orang Amerika yang berasa seronok.

Beberapa hari sebelum ini, dilaporkan bahawa Rizab Persekutuan meningkatkan gred tinjauan ekonomi Amerika Syarikat, iaitu kadar pengangguran dijangkakan jatuh kepada 7.8 peratus pada suku keempat tahun ini - suatu berita yang agak gembira kerana kadar pengangguran sekarang ialah 8.2 peratus. Pengerusinya, Ben Bernanke dipetik sebagai berkata, "Rizab Persekutuan sedia untuk bertindak jika diperlukan"  memberikan keyakinan sekurang-kurangnya kepada pasaran bahawa kemungkinan satu lagi pakej rangsangan ekonomi.

Minggu ini merupakan minggu yang panjang untuk Canselor Angela Merkel yang kehilangan sekutu rapat dan terpaksa bergelut dengan penentangan terhadap jimat-cermat daripada beberapa buah negara Eropah.  Dan, minggu yang panjang untuk para pemimpin yang menyaksikan negara mereka terus terjebak dalam kemelesetan atau masih termengah-mengah untuk mendapat rentak pertumbuhan.  


Friday, April 27, 2012

Suria Terbenam Jua

SABTU, 28  April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Jepun pada era kecemerlangannya menjadi sanjungan Timur dan Barat. Di Malaysia misalnya, Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan "Dasar Pandang ke Timur" sebaik-baik sahaja beliau menjadi Perdana Menteri, dan bahkan Amerika Syarikat, meskipun sebagai kuasa hegemoni,  dicadangkan supaya belajar daripada negara matahari terbit itu.  

Untuk bertahun-tahun, Jepun ialah negara terkaya dan ekonomi paling berkuasa di Asia. Jepun merupakan ekonomi pertama Asia yang mengalami perindustrian, dan harimau Asia, iaitu Hong Kong, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, dan kemudian China turut menyusul. 

Namun, selepas mengalami "dekad yang hilang,"  Jepun mula menurun.  Kedudukannya satu demi satu digantikan, misalnya sebagai kuasa ekonomi global kedua di belakang Amerika Syarikat,  diambil alih oleh China. 


Jared Diamond yang  menulis dalam Bloomberg bahawa ekonomi Jepun semakin teruk dengan mengenal pasti tiga alasannya: kadar perkahwinan dan kelahiran yang rendah, penduduk yang berumur dan penghijrahan, dan sumber yang tidak mapan.  "Oleh sebab masalah ekonomi Jepun berpunca daripada masalah sosialnya," tegas Diamond, "penyelesaiannya akan memerlukan perubahan dari segi sikap orang Jepun terhadap peranan wanita, penghijrahan, dan penggunaan sumber mapan."

Namun, yang kurang diperhatikan, menurut carta harian The Economist ialah negara Asia yang dikenali sebagai ekonomi perindustrian baru (NIEs) menjadi kaya berbanding dengan Jepun.  Kebanyakan ahli ekonomi menghitung bahawa cara terbaik untuk membandingkan taraf hidup adalah dengan mempertimbangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap orang diukur pada kesetaraan kuasa beli (PPP), yang diselaraskan untuk perbezaan dari kos taraf hidup di setiap negara. 

Menurut ukuran tersebut, jelas carta harian itu, Jepun digantikan oleh Singapura pada tahun 1993, oleh Hong Kong pada tahun 1997, dan oleh Taiwan pada tahun 2010.  Akan tetapi, penarafan semula yang paling daif akan berlaku apabila Korea Selatan menjadi lebih kaya daripada Jepun, ramalan terbaharu oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),  akan berlaku dalam masa lima tahun.  Hal ini merupakan berputar balik yang menakjubkan.  Pada tahun 1980, KDNK setiap orang Korea Selatan baru hanya satu perempat tahap Jepun.

Carta harian itu juga menyertakan makalah penuh yang menujukkan harimau Asia kini melawan "taukeh."


Najib Belanja Ikut Nafsu, Malaysia Hadapi Risiko Turun Gred

JUMAAT, 27 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Apakah Malaysia akan mengalami nasib, seperti Amerika Syarikat, Perancis, dan beberapa buah negara Eropah, iaitu diturunkan gred oleh agensi penarafan kredit? Negara terbaharu yang diturunkan gred ialah Sepanyol. 

Di Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak, yang  menari mengikut gendang pembangkang, begitu ghairah mengamalkan politik populis.  Melihat Najib berbelanja sakan sebagai "persiapan pilihan raya,"  memang membimbangkan kalau-kalau negara ini terjebak dalam krisis ekonomi. 

Bagi sesiapa yang mengikuti siaran televisyen Bloomberg semalam, pastinya terpandang berita ringkas yang muncul berkali-kali bahawa kemungkinan Malaysia diturunkan gred akibat Najib berbelanja ikut nafsu. Berita itu memetik makalah Chong Pooi Koon bahawa dalam usaha Najib ingin meningkatkan sokongan sebelum pilihan raya seawal bulan depan, mungkin membawa risiko penurunan gred kredit yang pertama untuk negara ini selepas krisis kewangan Asia.

Makalah itu memetik Takahira Ogawa, penganalisis di syarikat penarafan bahawa Standard & Poor's "mungkin perlu memikirkan perkara" potensi pemotongan dalam beberapa tahun, kecuali kerajaan yang akan datang mengambil langkah untuk merangsang hasil dan mengurangkan subsidi selepas pilihan raya.  Moody's Investors Service dan Fitch Ratings juga dipetik sebagai berkata bahawa Malaysia mesti mengambil langkah untuk mengurangkan nisbah hutang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) unjurkan mungkin meningkat 55.9 peratus tahun ini, tertinggi dalam masa 20 tahun. 

Antara perbelanjaan  yang dinyatakan dalam makalah itu ialah kenaikan gaji penjawat awam sehingga sebanyak 13 peratus dan juga memansuhkan yuran sekolah untuk murid sekolah rendah dan menengah, dan bantuan RM500 untuk isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3000 atau kurang. Perbelanjaan gaji dan elaun diunjurkan meningkat kepada 4.2 peratus, iaitu kepada RM52 bilion pada tahun 2012 berbanding dengan RM49.9 bilion pada tahun 2011.

Berbanding dengan subsidi dan hutang Malaysia yang gamat dengan kemungkinan negara jatuh muflis, amaran turun gred tidak mendapat perhatian. Bahkan,  dalam kalangan pemimpin dan penyokong parti pembangkang, juga blog dan Facebook mereka tidak kelihatan reaksi terhadap  amaran atau peringatan yang agak serius ini.  Hal ini demikian mungkin kerana perbelanjaan ikut nafsu itu adalah untuk penjawat awam dan rakyat jelata yang merupakan "lombong emas," - kuasa undi yang amat besar,  lalu mereka keberatan membangkitkannya, takut kalau-kalau "senjata makan tuan."  


Lagipun, agensi penarafan kredit itu, antaranya  membangkitkan jumlah subsidi yang besar yang kerajaan pimpinan Najib.  Pastinya, dalam konteks politik masa kini, tidak ada mana-mana parti politik yang berani mengacau "lembu suci" ini, kecuali mereka sengaja ingin mencari nahas.



Cukai Pendapatan Mengikut Negara

JUMAAT,  27  April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Meskipun saya sudah bersara kira-kira empat tahun lalu, saya masih menerima borang cukai pendapatan. Setiap tahun,  saya mengisi dan mengembalikan borang tersebut untuk mengelakkan daripada dikenakan denda jika saya  menyimpannya.   Untuk tahun tafsiran terbaharu, saya telah pun mengembalikan sendiri borangnya pada 19 April lalu, jauh lebih awal dari tarikh akhir 30 April ini.  Selepas bersara, saya tidak lagi membayar cukai pendapatan berbanding dengan semasa berkhidmat dahulu, potongan bulanan agak tinggi juga, berdasarkan gaji dan elaun yang saya terima. 

Cukai pendapatan merupakan kepastian bagi banyak negara, meskipun kadarnya berbeza-beza.   Hanya di Greece saya difahamkan bahawa rakyat negara itu liat membayar cukai pendapatan dan tidak ada tindakan diambil terhadap mereka.  

Carta harian The Economist menyatakan kadar  cukai atasan di seluruh dunia menurun sepanjang tiga dekad lalu. Pada tanggapan umum, kadar cukai atasan yang rendah berkait dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi. 

Dalam kalangan negara yang tersenarai,  kadar cukai pendapatan di Sweden adalah yang tertinggi, iaitu 55 peratus.  Disusuli oleh Jepun dan Britain, dengan masing-masing ialah 50 peratus. 


Sementara di Amerika Syarikat yang kadar cukainya kira-kira 42 peratus, Presiden Barack Obama bercadangkan memperkenalkan "Peraturan Buffett," iaitu mengenakan cukai yang tinggi terhadap golongan kaya, yang kini diperdebatkan, kalau cukai perlu dinaikkan, di manakah harus bermula? 


Thursday, April 26, 2012

Mendakap Model Sweden

JUMAAT, 27 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Lebih tiga tahun sejak Lehman Brothers runtuh,  krisis ekonomi masih belum reda, iaitu pemulihan lemah, pertumbuhan perlahan, dan  zon euro terus bergelut dengan krisis hutang,  ahli ekonomi dan para pengulas masih tidak jemu-jemu berbicara tentang mencari model.  Melihat kebangkitan China, ada yang mencadangkan Konsensus Beijing lawan Konsensus Washington, atau kapitalisme negara melawan kapitalisme pasaran bebas. 

Untuk pemulihan ekonomi Eropah,  Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post mencadangkan memilih model Sweden, walaupun Jerman kelihatan stabil dan bagi banyak orang Amerika, Sweden negara kebajikan yang kembung, iaitu  tidak cekap. 

Beliau memetik Anders Borg, Menteri Kewangan Sweden bahawa pertumbuhan pekerjaan (sebagai peratusan) di Sweden bersaing dengan Jerman sejak tahun 2006; kadar pengangguran kini pada 7.5 peratus adalah rendah dalam kalangan ekonomi maju; purata inflasi kira-kira dua peratus; pertumbuhan ekonomi sejak lima tahun lalu lebih sedikit daripada Jerman; dan hutang kerajaan sebagai bahagian ekonomi adalah lebih rendah daripada Jerman. 

Cara Sweden bertindak balas terhadap  krisis ekonomi yang dialaminya pada tahun 1992, tegas  Samuelson boleh memberikan pengajaran kepada puak konservatif dan liberal Amerika. 

Puak konservatif boleh berbesar hati bahawa banyak dasar pascakrisis datangnya daripada buku mainan mereka.  Asas cukai pendapatan Sweden diperluas dan kadar cukai dikurangkan dengan ketara.  Perbelanjaan dipotong untuk pencen usia tua, elaun kanak-kanak, faedah pengangguran, dan subsidi perumahan.  Kuasa kesatuan sekerja berhubung dengan upah dikurangkan.  Banyak pasaran dibatalkan kawal selia.  Inflasi rendah dan belanjawan berimbang menjadi matlamat popular yang diterima pakai secara meluas. 

Dari satu segi yang lain, jelas Samuelson, puak liberal tidak diketepikan.  Walaupun Sweden mengecilkan faedah sosial, negara itu tidak meninggalkan negara kebajikan sama sekali. Perbelanjaan kerajaan secara keseluruhan masih kira-kira 50 peratus ekonomi (Keluaran Dalam Negara Kasar - KDNK), jauh lebih tinggi daripada di Amerika Syarikat, yang nisbah sebenar kira-kira 35 peratus.  Untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan, kerajaan meningkatkan cukai lain. Cukai gasolin dan rokok dinaikkan; maka cukai dividin dan laba modal, disasarkan pada golongan kaya.  Kesemuanya, pengurangan defisit berjumlah besar 12 peratus KDNK dari tahun 1991 ke 1998.  Lebih sedikit daripada satu pertiga daripada jumlah itu datangnya cukai yang tinggi. 

Pengajaranya, tegas Borg, seperti yang dipetik oleh Samuelson, bahawa suatu kemungkinan untuk mendakap ekonomi konservatif dan dasar sosial liberal pada masa yang sama.  Matlamatnya jelas:  untuk mengganjar kerja dengan memotong kadar cukai pendapatan; mendorong orang ramai balik semula ke dalam pasaran buruh dengan mengurangkan beberapa faedah kerajaan; dan untuk menggalakkan produktiviti dengan meningkatkan persaingan.

Walau bagaimanapun, Samuelson menyedari bahawa model Sweden tidak mudah didakapi oleh negara zon euro yang dilanda krisis hutang kerana negara berkenaan tidak boleh menurunkan mata wang bersama itu demi membolehkan eksportnya berdaya saing. 

Dari segi jimat-cermat pula, hujah beliau, "langkah ini lebih dapat ditahan apabila hanya sebuah atau sebilangan negara melaksanakannya dan apabila penurunan nilai mata wang dapat merangsangkan eksport.  Di Eropah, kedua-dua syarat ini kini tidak dipegang."

Paul Krugman pernah Krugman memetik Sweden sebagai contoh kejayaan ekonomi kebajikan di Eropah, tetapi menerima kritikan dan sindiran Nile Gardiner. Sebelum Kira-kira dua tahun lalu, Benjamin Sarlin yang menulis dalam The Daily Beast mengesyorkan supaya Amerika Syarikat  "jangan takut moden Sweden." Hakikatnya, walaupun banyak negara Eropah terutamanya, dalam kesusahan, orang Sweden keriangan kerana kemajuan dan kemakmuran ekonomi.




Mati Muda

KHAMIS, 26 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Mati pada usia  muda lazimnya dikaitkan dengan fenomena negara Dunia Ketiga akibat kebuluran, pemakanan tidak seimbang, wabak penyakit, keganasan, peperangan, dan sebagainya.  Namun, carta harian The Economist mendedahkan kematian dalam kalangan orang muda di dunia kaya.  Kematian itu melibatkan golongan yang berumur antara 10 tahun hingga 24 tahun per 100,000 orang penduduk pada tahun 2009.  Carta tersebut memetik data daripada makalah George Patton yang diterbitkan dalam Lancet  pada 25 April. 

Antara 28 buah  negara yang terpilih ialah Amerika Syarikat menduduki senarai teratas, diikuti oleh New Zealand, Portugal, Ireland, dan Greece.  Negara Asia yang turut tersenarai ialah Korea Selatan, Jepun, dan Singapura yang menduduki senarai paling bawah. Punca kematian yang dikenal pasti ialah kemalangan jalan raya, keganasan, bunuh diri, dan lain-lain. 



UK Terbenam ke dalam Kemelesetan Curam Berganda

KHAMIS, 26 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Muktamad.  Angka pertumbuhan terbaharu menunjukkan Britain  mengalami kemelesetan curam berganda pertama sejak tahun 1975, mengesahkan beberapa jangkaan sebelum ini. Berita bahawa ekonomi menguncup sebanyak 0.2 peratus dalama tiga bulan pertama tahun 2012, memeranjatkan City, yang yakin bahawa United Kingdom (UK) dapat mengelakkan dua suku tahun kejatuhan output, menurut takrif teknikal kemelesetan.  Kembali kepada kemelesetan begitu cepat selepas kemelesetan lalu berakhir pada 2009, menjadikannya "curam berganda."  Negara itu dikatakan terbenam ke dalam kemelesetan terpanjang dalam tempoh 100 tahun, dan menghadapi "tahun yang hilang."

Berikutan kemelesetan tersebut, George Osborne dianggap sebagai canselor kamikaze, dan "sejarah tidak akan memaafkan beliau." Apabila terjebak dalam kemelesetan curam berganda, Osborne terus menjadi sasaran kritikan. Angka semalam tidak memeranjatkan sama sekali bagi kebanyakan orang yang memberikan amaran berbulan-bulan bahawa kemelesetan curam berganda datang, hujah David Blanchflower dalam The Independent.  "Saya memberikan amaran pada 24 Jun 2010 bahawa belanjawan jimat-cermat George Osborne 'membunuh pemulihan sejak lahir lagi.'  Saya menegaskan bahawa 'saya  yakin bahawa akibat belanjawan semborono, UK akan menerima padah kemelesetan curam berganda.'  Bukannya  Canselor Osborne tidak diberitahu, tetapi beliau tidak mempedulikan amaran oleh Robert Skidelsky, Paul Krugman, Martin Wolf, Ed Balls, dan lain-lain lagi dan bahkan kami dituduh 'penafi defisit.'  Keynes akhir terbukti betul." 

Osborne juga dihadapkan persoalan, di manakan pelan B beliau?  Pada detik yang para pengundi hilang kepercayan terhadap kemampuan George Osborne mengurus ekonomi, tulis  George Eaton dalam New Statesman, "data mengesahkan bahawa mereka betul untuk bertindak demikian.  Ed Balls yang memberikan amaran risiko kemelesetan curam berganda sebelum mana-mana ahli politik kanan lain, disangkalkan sama sekali."

Adakah menjadi hal  bahawa Britain terjebak semula ke dalam  kemelesetan?  Jeremy Warner yang menulis dalam The Telegraph, mencadangkan supaya "Osborne mesti tidak mempedulikan kemelesetan curam berganda" dan dikatakan bahawa mungkin tidak mendalamkan  lagi kemelesetan.   Namun, merentas Atlantik, kemelesetan curam berganda itu dikhuatiri berjangkit ke Amerika Syarikat, seperti yang diperingatkan oleh Robert Reich. 

Beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan jimat-cermat menerkam mangsanya, baik dari segi ekonomi mahupun politik.


Berlin Kesepian

KHAMIS, 26  April 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Bagi Canselor Jerman, Angela Merkel, beberapa hari lalu berlangsung dalam tempoh yang panjang dan mengharukan.  Beliau kelihatan  keseorangan dalam perjuangannya untuk menyelamatkan   euro menerusi program jimat-cermat yang ketat.

Seperti yang diungkapkan secara menarik dan berkesan oleh Spiegel Online International, Francois Hollande daripada Parti Sosialis kelihatan dalam laluan untuk menyingkirkan Presiden Nicolas Sarkozy, yang merupakan rakan kongsi penting Merkel dalam perjuangan untuk mengatasi krisis hutang, dalam pusingan kedua pada 6 Mei ini. 

Dan, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, sebuah kerajaan minoriti yang meleteri Greece dan negara yang menanggung beban hutang tentang perlunya pemotongan perbelanjaan yang ketat, meletakkan jawatan pada Isnin lalu selepas Parti Kebebasan populis  kanan jauh pimpinan Geert Wilders enggan menyokong pemotongan belanjawan untuk Belanda, yang dianggap sebagai salah sebuah ekonomi yang paling stabil di Eropah.  

Di seluruh Eropah, puak populis sayap kanan sedang bangkit, memenangi undi daripada orang kebanyakan yang berasa kecewa dengan pemotongan perbelanjaan yang menyebabkan kehidupan mereka semakin sukar.  Di Perancis, calon Parti Barisan Nasional, Marine Le Pen memenangi 17.9 peratus pada Ahad lalu, satu keputusan tertinggi yang pernah dicapai oleh calon kanan jauh di Perancis.  

Krisis, seperti yang diperhatikan, mendorong orang ramai mengundi menentang Presiden Sarkozy dengan memilih sosialis dan pada takat tertentu, parti kanan jauh. Bagi akhbar Eropah, pusingan pertama Pilihan Raya Presiden Perancis mempunyai seorang pemenang, iaitu Marine Le Pen daripada Parti Barisan Nasional kanan jauh, dan dua orang yang tewas, iaitu penjawat kini Sarkozy dan Jerman.

Hollande yang kini calon pilihan untuk memenangi pilihan raya tersebut, seperti yang dibahaskan oleh Javier Valenzuela,  berusaha menghentikan apa yang Paul Krugman sebut, "bunuh diri ekonomi Eropah."  Hollande adalah antara mereka yang percaya bahawa berlaku kesilapan besar dalam diagnosis, dan akibat rawatan.  Eropah yang sakit mempunyai tumur yang serius (pertumbuhan dan guna tenaga), tetapi pasukan perubatan yang ketua yang paling menonjol ialah Merkel, merawat hanya satu masalah, iaitu keobesan (defisit dan hutang.) 


Pendirian Hollande terhadap jimat-cermat memang jelas. Jika beliau memenangi pilihan raya ini, seperti yang dipetik oleh Bloomberg, beliau akan menentang langkah Jerman itu,  sambil mengingatkan, "Eropah tidak boleh melaksanakan jimat-cermat," membayangkan ketegangan antara dua buah ekonomi terbesar di wilayah itu. Sementara  The Economist melihat Hollande sebagai pemimpin paksi pertumbuhan yang menentang jimat-cermat.

Kini, berlaku revolusi Hollande yang pada beliau diletakkan "harapan yang besar oleh banyak orang Eropah" yang ingin mengubah sejarah.  Pemberontakan Hollande menentang Berlin Merkel! "Tidak ada Pilihan Raya Presiden Perancis dalam memori kebelakangan ini tentang skala benua sedemikian, berbanding yang berlaku sekarang," tulis Valenzuela. "Berlin, Frankfurt, Brussels, Paris, London, Rom, Madrid, dan semua ibu negara lain di Eropah, yang disebut 'pasaran', di samping bukan sebilangan orang biasa tahu bahawa apakah yang dipertaruhkan dalam pilihan raya ini, adalah sama ada pasangan Merkozy, dengan dogmanya tentang belanjawan berimbang dengan apa-apa cara sekalipun, akan terus bertanggungjawab, ataupun sama ada percubaan  serius yang pertama akan dilakukan untuk mengasak matlamat pengembangan ataupun mengaktifkan semula pewujudan pekerjaan menjadi agenda utama Kesatuan Eropah."


Geografi baru Perancis-Belanda sememangnya,  membangkitkan ketakutan  bahawa Jerman mula kehilangan sekutu politiknya di tengah-tengah krisis keyakian yang kian menjadi-jadi terhadap dasar Eropah. Keputusan pusingan pertama  pilihan raya di Perancis itu dan keruntuhan kerajaan ditafsirkan oleh The Guardian,  sebagai berkemungkinan berakhirnya perjalanan untuk jimat-cermat Eropah. 


Oleh sebab blok jimat-cermat runtuh, tulis  Ambrose Evans-Pritchard dalam The Telegraph, "minggu  mimpi buruk untuk Angela Merkel." Namun, Merkel dilaporkan mempertahankan langkah jimat-cermat, meskipun berlaku pemberontakan terbuka di Eropah. Selain Berlin sebagai sasaran, dari Belanda ke Hollande, jawapannya ialah "tidak" untuk Brussels.  


Peniaga kewangan dan menteri kewangan berdebat minggu ini hanya bagaimana besarnya kerosakan yang dibawa oleh pertentangan politik-ekonomi ini, tulis David Ignatius dalam The Washington Post. "Sesetengah berhujah bahawa keadaan ini dapat meruntuhkan struktur secara keseluruhan.  Sementara yang lain menegaskan bahawa Jerman, demi penegasan terhadap jimat-cermat, tidak akan membiarkan struktur runtuh, dan akan melakukan konsesi yang perlu demi memastikan mata wang bersama itu tidak terjejas."


Berlakunya "pemberontakan  Eropah"   bukan sahaja menyebabkan jimat-cermat terhubung-hayang, tetapi juga masa depan zon euro sendiri menjadi tanda tanya.  Sejak awal-awal lagi, dalam menangani krisis zon euro, ketulusan Berlin diragui.



Wednesday, April 25, 2012

Kota Pasaran Sedang Muncul

RABU, 25 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Lagi kisah kota, dan nampaknya kisah ini belum kering. Di sebalik kepadatan penduduk,  kesesakan lalu-lintas, pencemaran udara, dan hidup condong ke arah kebendaan,  kota tetap menjadi idaman kebanyakan orang untuk menjadi warganya. 

Seperti yang ditunjukkan oleh carta harian The Economist, kira-kira 52 peratus penduduk dunia kini tinggal di kawasan bandar; pada tahun 2025, jumlah mereka sepatutnya meningkat kepada 58 peratus.  Hampir semua pertumbuhan penduduk ini berlaku dalam ekonomi pasaran sedang muncul, terutamanya Asia kerana golongan perantau dari kawasan desa berpindah ke kota untuk mencari pekerjaan. 

Kini, penduduk bandar pasaran sedang muncul ini, mewakili lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.  Dalam tempoh 15 tahun lalu, penduduk Delhi berkembang sebanyak 10 juta orang; jumlah ini akan menambah enam juta lagi (sama dengan Miami) dalam tempoh 15 tahun akan datang.  Keadaan ini membebankan lagi infrastruktur kota, meningkatkan pengguna pengangkutan, memburukkan lagi kekurangan air, dan menerukkan lagi kekurangan bekalan elektrik.  Dijangkakan sepanjang dua dekad akan datang, kawasan bandar dalam ekonomi sedang muncul akan mewakili kira-kira dua pertiga perbelanjaan infrastruktur di seluruh dunia. Kebanyakan perbelanjaan adalah untuk membina rumah.  China dan India bersama-sama akan menambah 16 trilion meter persegi perumahan sepanjang tempoh ini, untuk menampung setengah juta penduduk tambahan.


Rakyat Afrika Gemar SMS

RABU, 25 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Afrika biasanya dibayangkan atau ditanggapi dengan pelbagai keburukan, seperti kebuluran, kemiskinan, kemunduran, wabak penyakit, negara yang gagal, dan sebagainya. Hanya dalam satu atau dua tahun kebelakangan ini, benua itu mengalami pertumbuhan yang agak pesat. 

Namun, carta harian The Economist memaklumkan bahawa rakyat Afrika paling kerap meggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Afrika ialah benua yang "wang mobil," iaitu urus niaga monetari pada telefon mobil setakat ini, paling maju.  

Memetik kajian baru tentang kegemaran kewangan oleh Gates Foundation, Bank Dunia, dn Gallup, di 20 buah negara, lebih 10 peratus orang dewa menyatakan bahawa mereka menggunakan wang mobil pada pada masa tertentu dalam 12 bulan yang lalu.  Daripada jumlah negara itu, 15 buah negara adalah di Afrika.  Di kebanyakan bahagian, telefon mobil merupakan pengganti bank tradisional, yang membolehkan orang ramai yang tinggal berbatu-batu jauhnya dari cawangan bank atau ATM menggunakan perkhidmatan kewangan. Hal in, terutamanya penting di negara, seperti Somalia yang ketiadaan kerajaan yang berfungsi, tetapi 34 peratus orang dewasa menggunakan wang mobil (selalunya untuk menerima kiriman wang daripada anggota keluarga di luar negara). 

Akan tetapi, ada kalanya, perbankan mobil kelihatan bergerak seiringan dengan penyebaran perbankan tradisional.  Di Kenya, yang memeranjatkan apabila 68 peratus orang dewasa menggunakan wang mobil (setakat ini, kadar tertinggi di dunia), separuh juga mempunyai akaun bank berasaskan kertas.





Kota dengan Aneka Cerita

RABU, 25 April 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Natalia Antonova menulis dalam The Guardian, mengalu-alukan kehadiran pelawat  ke Kiev, iaitu kota wanita jelita dan industri seks yang menjadi maju. Hakikatnya, Kiev mungkin mempunyai beberapa wanita paling jelita di dunia, dan mereka mewakili semua peringkat masyarakat. 

Berita hebat, jelas Natalia, ialah Kiev, kota kelahirannya, menduduki tangga pertama dalam penarafan Traveler's Digest sebagai kota dengan wanita yang paling jelita di dunia.  Kota-kota lain yang turut tersenarai ialah Stockholm, New York City, Buenos Aires, dan Varna.

Traveler's Digest juga memberikan penarafan kepada kota dengan lelaki paling tampan di dunia.  Mendahului senarai lima teratas ialah Stockholm, New York City, Amsterdam, Lisbon, dan Buenos Aires.  Jelas bahawa Stockholm, New York City, dan Buenos Aires, bukan sahaja mempunyai wanita paling jelita di dunia, tetapi juga lelaki paling tampan.  Kota-kota lain yang turut tersenarai ialah Sydney, Madrid, Berlin, Milan, dan Tel Aviv. 

Dalam penarafan terbaharunya, Traveler's Digest mengemukakan 10 buah kota dengan hiburan malam terbaik di dunia.  Menduduki senarai teratas ialah Bangkok, diikuti oleh Rio De Janeiro, Miami, Barcelona, Amsterdam, Tel Aviv, Mykonos dan Ios, New York City, Turkish Riviera, dan Singapura. 

Sementara itu, Time pula menyenaraikan 100 buah tempat yang paling berpengaruh dalam sejarah, yang juga terdiri daripada beberapa buah kota, antaranya New York City, Dublin, Athens, Istanbul, Makkah, dan Damsyik.  

Memberi kota dengan  penarafan, sebenarnya menjadi daya tarikan kepada para pelancong. Bagaimana dengan penarafan beberapa kota di Malaysia, seperti Kuala Lumpur, George Town, Ipoh, Melaka, dan sebagainya?


Tuesday, April 24, 2012

Demokrasi Memusnahkan Zon Euro?

SELASA, 24 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Apabila dua buah negara zon euro, iaitu Greece dan Italy  yang dilanda krisis hutang menyaksikan dua pemimpin yang dipilih secara demokrasi digantikan oleh teknokrat, antara ulasan atau pandangan ialah demokrasi terpaksa dikorbankan demi menyelamatkan kapitalisme.  

Namun, pilihan raya di Perancis  dan beberapa buah negara lain, bahas Michael Sivy dalam Time, berkemungkinan  menunjukkan penentangan popular besar-besaran terhadap dasar jimat-cermat yang diperlukan demi menyelamatkan mata wang Eropah bersama itu. 

"Euro," tulis Sivy, "mampu mengharungi pelbagai bencana, daripada krisis perbankan di Ireland kepada keruntuhan hartanah di Sepanyol, di samping kekacauan ekonomi yang berpanjangan di Greece.  Akan tetapi, kini mata wang Eropah bersama menghadapi ancamana yang paling besar, sesuatu yang mungkin tidak mampu diatasi, iaitu demokrasi."

Hujahnya mudah, jelas beliau, di kebanyakan negara yang menganggotai zon euro, tidak wujud lagi majoriti yang besar yang bersedia untuk berkorban demi memastikan kelangsungan mata wang euro.  Hal ini, memang benar pada takat tertentu, seperti yang dinyatakan, iaitu defisit demokratik, yang bermaksud sistem ekonomi Eropah yang sebahagian besar pewujudan kepentingan politik dan perniagaan yang sangat berkuasa dan kurang ketelusan, kebertanggungjawaban, dan mandat popular yang luas.  Akan tetapi, hingga kini, sokongan elit lebih daripada cukup untuk memastikan sistem itu dalam keadaan baik.

Tambah Sivy, sepanjang beberapa minggu akan datang, golongan elit kemungkinan mula hilang cengkaman mereka.  Beberapa buah negara utama Eropah mengadakan pilihan raya, dan parti politik yang menyokong euro dijangkakan kalah teruk.  Di negara Eropah yang dilanda krisis paling teruk, penentangan popular terhadap dasar jimat-cermat kian memuncak. Pada masa yang sama, di negara yang masih stabil dari segi kewangan, para pengundi semakin tidak bersedia untuk membahagikan wang demi mengelakkan negara lemah daripada jatuh muflis. 

Pilihan Raya Presiden Perancis untuk pusingan pertama menyaksikan kali pertama dalam generasi kini,  calon sosialis Francois Hollande menewaskan calon bertahan, iaitu Nicolas Sarkozy. Pastinya, kekalahan Sarkozy itu tidak memeranjatkan, meskipun beliau berjaya mara untuk pusingan kedua. Hal ini demikian kerana kemuraman ekonomi Perancis dikatakan memalapkan peluang beliau untuk dipilih dalam penggal kedua. 

Pertembungan antara Hollande dengan Sarkozy untuk pusingan kedua memang tidak memeranjatkan.  Akan tetapi,  Sarkozy menduduki tempat kedua di belakang Hollande,  hanya memperoleh 24.4 peratus.  Sesungguhnya, ini satu mimpi ngeri buat dirinya yang pernah menerima 31.2 peratus undi pusingan pertama dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2007. Hal ini menandakan berakhirnya  lembaran Sarkozy - memetik Anne Sinclair yang menulis dalam The Huffington Post.  

Hollande yang sebelah kaki memasuki "istana Presiden,"  dihadapkan dengan persoalan, mampukah beliau mengelak kereta api euro yang ranap?  Hollande juga dijangkakan belanja sesuka hati di Perancis yang menimbulkan kebimbangan terhadap jimat-cermat Eropah. Seperti yang dipersoalkan oleh Jeremy Warner dalam The Telegraph, apa yang berlaku seterusnya pada euro jika Perancis menolak jimat-cermat  - membayangkan perubahan pucuk pimpinan di negara itu akan memudarkan masa depan langkah yang membangkitkan kemarahan rakyat.  Jika Hollande menang, nescaya negara zon euro "teras" akan berpecah belah

Nampaknya, jimat-cermat yang gagal di Eropah itu  memberikan pengajaran bukan sahaja dari segi ekonomi, bahkan juga dari segi politik. Namun, tidak sesiapa yang boleh dipersalahkan kerana golongan elit sendiri yang mencari padah dengan melaksanakan jimat-cermat sesuka hati, meskipun banyak juga peringatan diberikan.  Jimat-cermat Eropah,  seperti yang dibahaskan oleh editorial The Guardian, terbabas dari jalan apabila politik negara anggota utama bergerak ke arah yang berlawanan.

Jika pilihan raya di beberapa buah negara Eropah menyaksikan satu demi satu elit tersungkur,  maka sepintas lalus,  jangkaan Michael Sivy adalah tepat bahawa demokrasi memusnahkan zon euro. Namun, siapa yang cari susah mendakap jimat-cermat tanpa usul periksa?


Krisis Zon Euro: Pasaran Lintang-pukang, Kerajaan Belanda Runtuh

SELASA, 24 April 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Ketakutan terhadap kemelesetan yang panjang di zon euro dan ketidakstabilan politik yang semakin menjadi-jadi di Belanda, Perancis, dan Republik Czech,  dilaporkan, menyebabkan pasaran saham lintang-pukang di seluruh benua itu pada hari Isnin semalam. "Ketakutan menghantui zon euro semula," tulis Ben Chu dalam The Independent.

Dax Jerman jatuh lebih 3.5 peratus dan Cac Perancis jatuh sebanyak 2.8 peratus.  Di London, 27.6 bilion lesap daripada nilai FTSE yang jatuh dua peratus, iaitu kepada 5665 mata. Sementara indeks Purata Perindustian Dow Jones (Dow) jatuh 102.09 mata, kepada 12,927.17 mata. Seperti yang dilaporkan oleh The Telegraph, "lebih 122.3 bilion paun lesap daripada nilai syarikat terbesar Eropah pada hari Isnin di tengah-tengah ketakutan bahawa komitmen zon euro terhadap jimat-cermat disapu keluar oleh pemberontakan politik. 

Sementara itu,  Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte meletakkan jawatan selepas tujuh minggu perbincangan tertutup tentang langkah jimat-cermat, yang bertujuan mengurangkan defisit belanjawan daripada yang dijangkakan 4.7 pertus kepada di bawah tiga peratus pada tahun 2013.  Selepas persetujuan dicapai untuk memotong sebanyak 11.5 bilion euro, Geert Wilders, pemimpin Parti Kebebasan yang anti-Eropah dan anti-Islam, memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada pakatan minoriti puak demokrat Konservatif dan Kristian. 

Apakah Eropah betul-betul di ambang keruntuhan, seperti yang dibayangkan dalam Time pada tahun lalu?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...