Artikel Popular

Wednesday, February 29, 2012

Xinjiang Mengganas Semula

KHAMIS, 1 Mac  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Selain Palestin, dua wilayah yang didiami oleh umat Islam yang mempunyai sejarah pergolakan yang panjang ialah Kashmir di India dan Xinjiang di China.  Namun, tidak seperti Palestin, bahkan tidak seperti  Bosnia dan Kosovo pada dekad akhir abad ke-20, pergolakan yang berlaku di Kashmir dan Xinjiang,  selalunya terlepas daripada radar media di negara kita, apatah lagi perhatian  dalam kalangan ahli politik,  khususnya  yang beragama Islam. Tindak-tanduk mereka mudah untuk difahami:  membangkitkan pergolakan di kedua-dua wilayah itu tidak menguntungkan dari segi politik, bahkan bagi sesetengah ahli politik Malaysia,  lebih berfaedah membangkitkan pembunuhan etnik Tamil di Sri Lanka. 

Pada pertengahan tahun lalu, perusuh menggempur balai polis di bandar Hotan, Xinjiang, serangan yang menyebabkan 18 orang terbunuh.  Kurang dua minggu kemudian, Kashgar menjadi sasaran dua serangan.  Dua orang lelaki merampas trak, menikam pemandu dan memandu kenderaan itu ke dalam kumpulan orang ramai, membunuh lapan orang, dan berbelas-belas orang cedera.  Beberapa hari kemudian, kumpulan lelaki bersenjatakan pisau menggempur restoran dan mula menikam pengunjung restoran itu, membunuh lapan orang, dan mencederakan 12 orang.


Pertumpuhan darah Selasa lalu, seperti yang dilaporkan oleh Time, berlaku di daerah perniagaan Yecheng, sebahagian besar wilayah Uighur yang ditadbirkan oleh Kashgar, terletak 150 batu ke arah barat laut.  Sebagaimana Kashgar, Yecheng yang dikenalis sebagai Kargilik dalam Uighur, menyaksikan episod keganasan, terutamanya pada tahun 1998.  Tahun itu, pihak berkuasa berkata Gerakan Islamik Turkestan Timur, kumpulan yang Jabatan Negara Amerika Syarikat letakkan dalam senarai kumpulan pengganas, meletupkan saluran paip gas asli di wilayah Yecheng, mencederakan tiga orang.  Kemudian pada tahun itu juga, beberapa letupan yang memusnahkan beberapa buah bangunan di Yecheng, termasuk rumah kediaman ketua polis tempatan. 


Pihak berkuasa China pada hari Rabu semalam menuduh pengganas di wilayah Uighur Muslim menyerang orang awam, tetapi kumpulan Uighur dalam buangan berkata keganasan yang membunuh 12 orang, menyasarkan terutamanya anggota keselamatan China. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa China dilaporkan memaklumkan bahawa jumlah kematian meningkat kepada 20 orang. 


Seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post, pertumpahan darah  terbaharu itu berlaku pada masa yang sensitif, sebelum pembukaan perundangan nasional China minggu depan, apabila pihak berkuasa mengetatkan kawalan keselamatan di seluruh negara untuk mencegah apa-apa sahaja yang boleh merosakkan persidangan tahunan itu. 



Jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei menggelar penyerang "pengganas" dan berkata mereka menyerang orang awam yang tidak berdosa. Akan tetapi, Dilxat Raxit, jurucakap bagi Kongres Uyghur Dunia yang beribu pejabat di Jerman, berkata bahawa keganasan di Yecheng - disebut Kargilik oleh orang Uighur, berlaku kerana penduduk tempatan "tidak dapat lagi menanggung penindasan sistematik China" dan dinafikan saluran untuk protes secara aman. 


Robert D. Kaplan dalam buku kembaranya, The End of the Earth:  A Journey to the Frontiers of Anarchy - From Togo to Turkmenistan, From Iran to Cambodia, pernah mencatatkan pengalamannya semasa di Xinjiang - yang mula-mula menjadi bahagian negara China hanya pada pertengahan abad ke-18, meskipun negara itu wujud lebih 3500 tahun. Beliau memetik Fitzroy Maclean bahawa sejak itu, sejarah wilayah tersebut "merupakan pergolakan mapan" berikutan perebutan antara China dengan Rusia.  Tambah Kaplan lagi, pengasas nasionalis China, Sun Yat-sen, mengiktiraf hak semua orang Turki Muslim untuk penentuan nasib sendiri.  Pada tahun 1949, komunis Mao Zedong mara ke Xinjiang dan sejak itu kekal di wilayah berkenaan. 


Tanda jalan, catat Kaplan, ditulis dalam dua bahasa, iaitu Cina dan Arab.  Penduduk Islam Turki di China masih menggunakan tulisan Arab, sebagaimana orang Turki sendiri lakukan ketika pemerintahan kesultanan  Ottoman sebelum Atartuk melakukan pembaharuan bahasa.  Catat Kaplan, Xinjiang merupakan wilayah terbesar di China, meskipun jumlah penduduk yang terdiri daripada orang Turki dan golongan minoriti lain adalah hanya enam peratus penduduk negara itu.  


"Meskipun saya di tengah-tengah Turkestan," tulis Kaplan, "semua muka dalam pakaian seragam ialah orang Cina, atau apa yang pakar akademik sebut, 'Han' mengambil sempena kumpulan etnik dominan di negara itu."  Secara terancang, Xinjiang dibanjiri oleh penduduk dari wilayah lain di China. 


Sebagaimana kehadiran agresif  China di Laut China Selatan sehingga mencetuskan konflik dengan  beberapa buah negara jiran, yang terbaharu berhubung dengan penglibatan Filipina dalam mencari gali minyak gas,  tetapi kerajaan dan ahli  politik   di Malaysia, lebih berminat "berdiam diri," - demikian juga dengan keganasan  yang sentiasa berlaku terhadap orang Islam di Xinjiang. Pastinya, mereka mengambil pendirian yang sama, lebih-lebih  lagi ketika  kehangatan pilihan raya semakin dirasai. 

Pogrom Makin Popular

RABU,  29  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Masih ingat kepada Narendra Modi? Ketua Menteri Gujarat yang   terlilbat  dalam rusuhan kaum,  pembunuhan orang Islam 10 tahun lalu. Bahkan, beliau mengarahkan polis  jangan melindungi orang Islam daripada keganasan, pembunuhan, perogolan, dan pembakaran harta benda mereka.  Dalam wawancara dengan Time, Modi kelihatan tidak selesa untuk menjawab soalan tentang penglibatan beliau dalam rusuhan berdarah antiorang Islam yang berlaku pada tahun 2002, tetapi beliau sejak dahulu hingga kini tidak meminta maaf. 

Modi tidak pernah melahirkan rasa bersalah beliau kerana menyokong nasionalis Hindu yang mendesak mogok umum dan membenarkan mereka mengusung mayat dari Godra tempat berlakunya kebakaran keretapi yang menyebabkan tercetusnya rusuhan, ke kota terbesar Gujarat, Ahmedabad, tempat mayat itu dipertontonkan kepada orang ramai.  Dua keputusan yang Modi ambil yang dikritik dengan meluas kerana membangkitkan sentimen anti-Islam.  Apabila ditanya, Modi menjelaskan bahawa apa yang beliau lakukan itu adalah memenuhi tanggungjawabnya.  "Apa yang saya lakukan adalah alasan mengapa Gujarat kini maju."

Sementara majalah The Caravan yang muncul dengan "maharaja tanpa mahkota" menceritakan  kebangkitan Modi, dan sumbangnya besar dalam memajukan Gujarat seolah-olahnya menyucikan tangannya yang berlumuran darah orang Islam. Namun, majalah itu juga mendedahkan penglibatan Modi dalam pembunuhan kejam itu, manakala wanita Islam dirogol dan dibakar hidup-hidup. Untuk mempromosikan gujarat sebagai pusat pelaburan, Modi melantik syarikat yang tidak asing bagi rakyat Malaysia, iaitu APCO Worldwide. 

Selepas 10 tahun pogrom antiorang Islam yang mengorbankan 1,200  orang Gujarat. Modi dikatakan berjaya memadamkan masa lalu dan memperbetulkan kemungkinan berakhirnya era politik kepada kemajuan politik, menggantikan julukan, seperti "fasis," "pembunuh besar-besaran," dan "fanatik Hindutva" dengan gelaran  yang beliau pilih sendiri:  Vikaas Purush atau Manusia Pembangunan. 

Namun, di sebalik cerita indah tentang Modi dan Gujarat sekarang, kekejaman terhadap orang Islam di negeri itu masih belum dilupakan. Zakia Jafri, balu bekas anggota Parlimen Ahsan Jafri kini menuntut keadilan terhadap Modi atas pembunuhan kejam terhadap suaminya yang berusaha menyelamatkan orang Islam daripada keganasan dan kekejaman orang Hindu.  Ahsan Jafri yang dalam keadaan terdesak membuat lebih 100 panggilan telefon, memohon pertolongan bagi jiran-jirannya yang berteriak ketakutan dan perusuh Hindu dahagakan darah mereka. Namun, akhirnya beliau sendiri dibakar hidup-hidup oleh perusuh.   Bagi Zakia, pihak berkuasa Gujarat mesti dihadapkan ke muka pengadilan kerana pembunuhan besar-besaran itu.   

Meskipun bukti penglibatan Modi memang jelas, diragui bahawa Zakia akan memenangi pertarungan dengan yang paling berpengaruh  itu - iaitu Modi, lebih-lebih lagi kes itu dipindahkan ke mahkamah negeri itu. 


Tuesday, February 28, 2012

Obama Tidak Cakna Keselamatan Israel?

SELASA,  28  Februari  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Hari demi hari, Israel memperlihatkan keghairahannya untuk menyerang Iran.  Lambat-laun, sama ada secara bersendirian ataupun bersama-sama Amerika Syarikat, Israel akan memusnahkan program nuklear Iran. Tatkala gendang perang Israel gegak-gempita, berdentum-dentam, dan tatkala helang berterbangan di Washington dan Tel Aviv, tidak kurang pula peringatan bahaya atau akibat buruk jika Iran diserang.    

Michael Boyle yang menulis dalam The Guardian semalam, mengingatkan kesilapan strategik jika Iran diserang. Para perancang ketenteraan mungkin membayangkan untuk mengebom kemudahan  nuklear Iran, tetapi mana-mana penilaian rasional melihat tindakan itu suatu malapetaka.  Serangan Israel terhadap Iran dijangkakan akan mengheret Amerika Syarikat ke dalam kancah peperangan yang baru.

Bagi Presiden Barack Obama, yang akan mempertahankan Rumah Putih pada bulan November ini, konflik Israel-Iran boleh menjejaskan peluangnya untuk memenangi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden, meskipun Fareed Zakaria yang menulis dalam Time akhir bulan lalu, memperlihatkan Obama mengambil tindakan yang tegas terhadap Iran. Presiden Obama cuba berunding dengan Teheran dan mengenakan  sekatan yang keras terhadap negara itu. Bagi calon-calon Presiden Republikan, Obama kelihatan "lembik" dalam menangani Iran.  Sementara Pakatan Yahudi Republikan, dikatakan  menggasak Presiden Obama kerana keputusannya mengurangkan pendanaan antipeluru berpandu untuk Israel. 

Sementara Israel memperlihatkan bahawa satu-satu pilihan muktamad terhadap Iran ialan serangan, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa majoriti Amerika bersedia untuk menggunakan kekerasan untuk menghentikan Iran daripada membina senjata nuklear.  "Presiden Obama," tulis James Traub, "tertekan, bukan sahaja daripada partinya sendiri, tetapi juga daripada musuhnya."  Selain itu, Pentadbiran Obama dan Israel dikatakan menghantar mesej bercampur-campur tentang Iran

Tatkala Obama kelihatan tidak bersama-sama Israel untuk menyerang Iran, Teheran dan Washington didakwa menemui ikatan bersama yang memeranjatkan: berpura-pura bahawa mereka mungkin sedang menuju ke arah perundingan yang serius untuk menyekat kapasiti nuklear Iran.  Yang lebih lagi, mereka berpura-pura untuk alasan yang sama: untuk mencegah serangan Israel terhadap Iran.  Demikian spekulasi Leslie H. Gelb, "konspirasi Iran-Washington."

Obama yang bermain permainan bahaya dengan Iran, menurut satu makalah dalam The Daily Beast, yang mendedahkan pertemuan kira-kira tiga lalu.  Sebelum berpindah ke Rumah Putih, Barack Obama mula berbincang dengan Israel tentang program nuklear Iran, dan bahkan ketika itu wujud rasa tidak percaya.  Beliau bertemu pada tahun 2008 dengan beberapa orang Israel, termasuk Benjamin Netanyahu - sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, dan meyakinkan setiap orang tentang kenekadannya untuk menghentikan Iran daripada membina senjata nuklear.  Netanyahu amat tertarik terhadap apa yang beliau dengar itu.  Akan tetapi, yang menjadi masalah Netanyahu, adalah bahawa Obama tidak bercakap secara khusus tentang keselamatan Israel. 

Ringkasnya,  Obama menentang program nuklear Iran, tetapi keselamatan Israel bukan sesuatu yang penting.  Demikian juga pertemuan Obama dengan Netanyahu pada Januari  tahun ini, beliau menyatakan bahawa Rumah Putih tidak mahu Israel memulakan peperangan,  meskipun ketika itu beliau menjelaskan kepentingan dasar negara Amerika Syarikat dalam berurusan dengan program nuklear Iran.  


Konflik Israel-Iran: Merpati Putih Membawa Pesan

SELASA,  28  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Di tengah-tengah kegamatan gendang perang Israel dan tidak kurang pula yang tumpang sekaki, mengapi-apikan Israel yang naik histeria itu, Roya Hakakian menulis dalam The New York Times mengingatkan dua buah negara yang bermusuh ini mempunyai pertalian sejarah dan budaya.      Hakakian melahirkan rasa kekesalan yang mendalam jika perang antara Israel-Iran benar-benar tercetus. 

Berketurunan Iran-Yahudi, Hakakian memberitahu bahawa sejak zaman remajanya, iaitu ketika bemulanya Revolusi Iran pada tahun 1979, kesetiaannya sering dipersoalkan, termasuk konflik Israel-Iran sekarang:  "Jika tercetus perang antara Iran dengan Israel, negara manakah yang anda sokong?" tanya seseorang melalui Facebook.   

Dengan nada kesal, beliau menulis, "Tidak ada dua bangsa  yang dibentuk secara mendalam antara satu sama lain, dan namun, sangat tidak menyedari bahawa mereka terhutang budi antara satu lain."  Beliau menceritakan kemajuan Iran dalam perindustrian merupakan usaha yang diterajui oleh orang Yahudi Iran semasa pemerintahan Reza Shah Pahlavi - ketika itu Iran mempunyai tentera dan kerajaan pusat yang berkesan yang menjadikan perindustrian suatu kemungkinan. 

Semasa remaja, Roya Hakakian pernah menyertai  perbincangan kumpulan berhubung dengan konflik Israel-Palestin - apabila beliau membuat rumusan bahawa bumi itu sepatutnya dikembalikan kepada rakyat Palestin. Beliau memberitahu 100,000 orang Yahudi Iran telah berpindah, kebanyakannya ke Israel atau Amerika Syarikat, dan kini, hanya kira-kira 20,000 masih tinggal di Iran.

"Sebagaimana majoriti orang Iran tidak menyedari sejarah ini,"  tulis Hakakian, "demikian juga orang Yahudi yang tidak menyedari sumbangan orang Iran terhadap kelangsungan orang Yahudi."  Beliau memberitahu  bahawa beliau melihat  orang Yahudi Amerika terperanjat apabila bertemu dengan beliau, mereka mendapat tahu bahawa tentang kewujudan orang Yahudi di Iran untuk pertama kali, meskipun hakikatnya bahawa Iran masih merupakan tempat tinggal terbesar orang Yahudi di Timur Tengah di luar Turki dan Israel. 

Jelas Hakakian lagi, seawal abad keenam Sebelum Masihi, orang Yahudi dibuang negeri  di  Babylonia, menemui penyelamat Cyrus Agung Parsi, yang membantu mereka pulang ke Israel. Pada awal tahun 1940-an, Iran menjadi tempat perlindungan untuk orang Yahudi yang ketika itu lari daripada buruan tentera Hitler.  Beribu-ribu orang Yahudi terhutang nyawa kepada tindakan berani Abdol-Hossein Sardari, ketua utusan diplomatik Iran di Perancis, yang mengingkari perintah Nazi dengan mengeluarkan beribu-ribu pasport dan dokumen perjalanan untuk orang Yahudi.

Dengan nada emosi, Roya Hakakian bertanya, "Adakah dua bangsa ini membenarkan pemimpin mereka memulakan peperangan jika mereka sedar akan betapa mereka terhutang budi kepada antara satu sama lain? Beliau mengingatkan bahawa dengan mengebom Iran, Israel akan mengebom bahagian sejarah Yahudi.  Jika ini berlaku, mana satu negara yang saya sokong tidak akan menjadi persoalan.  Saya akan dimusnahkan dua kali oleh dua budaya yang tidak sempurna, tetapi disayangi yang setiap budaya itu menjadikan separuh diri saya wanita.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama, orang keturunan Yahudi melahirkan rasa terhutang budi dan nyawa kepada orang Islam.  Sebelum ini, iaitu akhir tahun lalu, Eva Weisel menulis juga dalam The New York Times, dan pernah petik, "memberikan penghormatan kepada semua orang yang menyelamatkat orang Yahudi."  Maksud Weisel, ialah  Khaled Abdul Wahab, orang  Islam Arab di Tunisia,  yang telah pun meninggal dunia, yang pernah menyelamatkan beliau dan keluarga beliau daripada tentera Jerman. 

Seperti yang diketahui umum, ketika kerajaan Kristian Eropah menzalimi orang Yahudi, mereka  mencari tempat perlindungan di negara Islam.  Demikian juga apabila orang Yahudi menjalankan perniagaan pemberian pinjaman wang  di kota-kota Italy, mereka diusir oleh pemerintah, lalu mereka berhijrah ke negara yang diperintah oleh Empayar Ottoman.  Di situ, mereka meneruskan perniagaan "lintah darah" mereka yang akhirnya muncul syarikat kewangan yang besar - yang kini di seluruh dunia.

Namun, sebagaimana banyak suara lain, baik orang Islam mahupun orang Yahudi dan Kristian, Roya Hakakian dan Eva Weisel tenggelam dalam gegak-gempita gendang perang yang digamatkan lagi oleh  tempikan helang dan puak neokonservatif yang sentiasa dahagakan darah. 

Monday, February 27, 2012

Serang Iran Suatu Kepastian?

ISNIN,  27  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Gendang perang Israel gegak-gempita.  Israel  seakan-akan naik histeria, bersiap sedia untuk menyerang Iran.  Pembinaan bom  nuklear Iran betul-betul menghantui negara "anak yang dimuakan,"  meskipun Amerika Syarikat sendiri tidak percaya Iran cuba membina bom itu.  Senator Amerika, iaitu Joseph Lieberman, Lindsey Graham, dan Robert Casey, dan AIPAC menggamatkan lagi  paluan  gendang perang. Meskipun para pakar mengingatkan bahawa serangan terhadap Iran tidak rasional, bahas Peter Beinart, helang yang berkeliaran memenangi debat. 


Intelektual berwajah helang, seperti Niall Ferguson, melalui kolumnya dalam Newsweek, turut tumpang sekaki, dengan mesej yang jelas:  Israel jangan gentar untuk menyerang Iran dan Iran membina program nuklear dengan mengugut Eropah yang bergantung pada minyak negara itu. Demikian juga  calon-calon Presiden daripada Republikan yang kini bersaing dalam pemilihan awal, menganggap Iran sebagai ancaman.  Semua calon ini, boleh dikatakan juga naik histeria untuk menyerang Iran.

Ketakutan terhadap nuklear palsu dikatakan, menyebabkan Barat hilang pertimbangan. Sekatan demi sekatan dikenakan terhadap Iran, dan yang terbaharu oleh Kesatuan Eropah yang menyekat import minyak dari negara itu.  Akan tetapi, langkah Kesatuan Eropah ini dipercayai tidak diproduktif, seperti yang dibahaskan Rory Miller dalam Foreign Affairs:  "Kegagalan membawa kuasa dunia yang bersama-sama melemahkan usaha Kesatuan Eropah untuk memperlihatkan dirinya sebagai orang tengah antarabangsa utama mengenai Iran."  

Adakah Israel akan menyerang Iran? -  masih menjadi tanda tanya. Israel, seperti yang diperhatikan oleh Joel Greeberg, "kelihatan beralah untuk menyerang Iran." Pihak tentera Amerika Syarikat mengingatkan Israel jangan menyerang Iran dan Amerika sendiri meningkatkan usaha diplomasi untuk mencegah Israel daripada melancarkan serangan terlebih dahulu.  Seperti yang diperingatkan oleh Eugene Robinson, Perang Teluk III bukan pilihan, manakala Fareed Zakaria mencadangkan bagaimana pengajaran boleh menyekat sikap agresif Iran. 

Tidak ada siapa pun, tegas The Economist,  yang patut mengalu-alukan prospek Iran bersenjata nuklear, tetapi menyerang negara itu, bukan jalan penyelesaiannya. Dalam makalah yang lain, The Economist mengakui bahawa kemungkinan menyerang program nuklear Iran semakin meningkat, tetapi peluang untuk menamatkan cita-cita nuklear negara itu adalah rendah.  Tatkala paluan gendang perang Israel berdentum-dentam,  Seumas Milne dalam The Guardian, serangan terhadap Iran hanya tindakan kebodohan jenayah. 
Ehud Eiran yang menulis dalam Foreign Affairs agar Israel mengadakan debat awam yang dapat mencegah malapetaka strategik. Beliau membangkitkan implikasi ketentaraan  apabila  Iran menyerang balas.  Para penggubal dasar Israel, bahas beliau, mengabaikan beberapa aspek potensi jangka panjang serangan Israel itu:  tahap persediaan di negara Israel sendiri; kontur strategi keluar Israel; impak terhadap hubungan Amerika Syarikat-Israel; kesan sampingan diplomatik global; kestabilan pasaran tenaga dunia; hasil dalam negara Iran sendiri.

Namun,  seperti yang dibahaskan oleh Larry Derfner, "Israel bersiap sedia untuk berperang dengan Iran."  Dan Ephron juga memberikan peringatan yang sama dengan memetik sumber dalaman bahawa "jangan memperlekeh kemampuan Israel menyerang Iran."   Bahkan, para pegawai Amerika dipetik sebagai berkata bahawa sekatan terhadap Iran akan gagal, menyebabkan tindakan ketenteraan,  sama ada dilancarkan oleh Israel atau Amerika Syarikat suatu kemungkinan. 

Israel  memperlihatkan kepada dunia bahawa Iran benar-benar merupakan ancaman.  Sementara Iran dengan program nukelar dituduh  mengancam keselamatan Israel dan menggugat kestabilan serantau,  dan baru-baru ini, Setiausaha Luar British, William Hague memberikan amaran: program nuklear Iran boleh mencetuskan Perang Dingin baru di Timur Tengah, Israel masih "terbang tinggi."  Selain keberanganya terhadap Iran meluap-luap kadangkala berbaur dengan ketakutan yang dibuat-buat, Israel dicadangkan supaya  campur tangan di Syria, seperti yang dibahaskan dalam The Huffington Post dan The Daily Beast

Tatkala Israel semakin kuat memalu gendang perang  dan histerianya kian menjadi-jadi, Iran juga tidak mahu ketinggalan dalam perang psikologi. Teheran memberikan amaran bahawa serangan Israel terhadap pemasangan nuklear boleh membawa keruntuhan Israel.

Sunday, February 26, 2012

Vietnam: Harimau Asia Baru?

AHAD,  26  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perkataan "harimau Asia" amat terkenal pada dekad 1990-an.  Akibat tercetusnya   krisis kewangan Asia Timur tahun 1997-1998,  harimau Asia terbenam bersama-sama "nilai Asia" dan sekali gus menyebabkan kemunculan abad Asia - iaitu abad ke-21 - menjadi samar-samar.

Namun, ini tidak bermakna bahawa Asia dari segi ekonomil sekurang-kurangnya tidak lagi penting kerana dua daripada empat buah negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) adalah  dari rantau ini.  Kebangkitan China dan India, meskipun kedua-dua negara itu saling bersaing antara satu sama lain. 

Dalam pada itu, Marco Breu dan Richard Dobbs menulis dalam Foreign Policy, mendedahkan kebangkitan Vietnam sebagai harimau Asia baru, dengan menyenaraikan 10 perkara yang orang ramai tidak ketahui tentang kebangkitan negara komunis itu, memetik laporan McKinsey Global Institute, "Sustaining Vietnam's Growth:  The Productivity Challenge."  

1.  Vietnam mengalami pertumbuhan yang pesat jika dibandingkan dengan ekonomi Asia lain, kecuali China. 

2.  Vietnam keluar dari sawah padi.

3.  Vietnam merupakan eksport utama lada hitam, gajus, beras, dan kopi.

4.  Vietnam bukan "China + 1."

5.  Vietnam menjadi tarikan pelaburan asing.

6.  Vietnam mempunyai infrastruktur jalan raya lebih maju berbanding dengan Filipina dan Thailand.

7.  Generasi  muda Vietnam meminati dalam talian.

8.   Vietnam sedang muncul sebagai lokasi untuk disumberluarkan dan perkhidmatan pesisir pantai.

9.  Bank-bank Vietnam memberikan pinjaman pada kadar segera berbanding dengan bank-bank di China, India, negara-negara lain di Asean.

10. Dividen demografi Vietnam semakin merosot.

Dengan kebangkitan Vietnam, sekali lagi membuktikan bahawa negara komunis merupak tapak yang subur untuk kapitalisme.  Seperti yang sering dibahaskan, kapitalisme memerlukan wilayah baru untuk terus berkembang, akhirnya terpaksa memilih negara komunis.  Hal ini demikian mungkin kerana tapak lama tempat kapitalisme berkembang, seperti Amerika Syarikat dan Eropah, tidak henti-henti bergelut dengan krisis. 

Bagi Asean, kebangkitan Vietnam,  menjadikan sebuah lagi negara di rantau ini, di samping Indonesia, kuasa ekonomi bukan sahaja di peringkat serantau, tetapi juga di peringkat global.  

Saturday, February 25, 2012

Greece Terus Diasak

AHAD,  26  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Greece seperti yang sering dirujuk, tempat lahir demokrasi, tetapi yang sering dilupakan bahawa di situ juga lahirnya anarki.    Akibat krisis hutang, kedua-duanya   menghala ke arah yang berlawanan: yang pertama menjunam, manakala yang kedua kian ketara. Hilang kedaulatan, hilang maruah. Bahkan, ada yang mencadangkan bahawa Greece  sepatutnya mengadakan pungutan suara untuk keluar daripada kemelut yang berpanjangan itu. 


Tolak minyak, bahas Patrick Cockburn, "Greece seperti negara Arab.  Di negara itu, meminjam menggantikan minyak." Dengan kelulusan pelan penyelamat kedua yang bernilai AS$172 bilion baru-baru ini setelah berbulan-bulan berbincang,    maka Greece boleh menarik nafas lega,  paling tidak, seketika, dan pasaran pula reda, meskipun bayang krisis masih belum pergi jauh. 

Atas desakan  troika, iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Pusat Eropah (ECB), dan Kesatuan Eropah, Greece terpaksa melakukan pemotongan demi pemotongan belanjawan, dan menswastakan  aset negara.  Sebilangan rakyat negara itu merasakan bahawa kerajaan menjual mereka. Berikutan pelan penyelamat, kesatuan sekerja Greece berjanji akan melancarkan pemberontakan popular

Sebagaimana negara lain dalam zon euro yang ekonomi dijangkakan menguncup sebanyak 0.3 peratus  pada tahun ini, maka Greece memerlukan pertumbuhan untuk mengelakkan depression. Namun, dengan langkah jimat-cermat yang dilaksanakan secara sembarangan, pertumbuhan masih jauh di belakang. 

Banyak pemerhati, seperti yang dilaporkan oleh Spiegel Online International, menganggap  sasaran pakej pelan penyelamat terlalu optimistik.  Wujud keraguan bahawa Greece akan benar-benar mampu balik ke laluan untuk pertumbuhan dan mengurangkan hutang awamnya daripada tahap semasa yang melebihi 160 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada sasaran 120.5 peratus pada 2020.  Demikian juga banyak yang berasa takut bahawa 130 bilion euro (AS$172 bilion) dalam pelan penyelamat itu tidak cukup. Bahkan, seperti yang dibahaskan oleh Clive Crook dalam Bloomberg sebaik-baik sahaja pelan penyelamat kedua diluluskan, "langkah itu mengheret Eropah ke kancah malapetaka."

Tidak cukup dengan tekanan demi tekanan yang dikenakan terhadap Greece, yang terbaharu troika mahu mengenakan potongan terhadap upah minimum. Antara senarai potongan upah dan potongan perbelanjaan sosial yang troika kenakan terhadap Greece ialah upah minimum yang hingga sekarang dirundingkan dalam perjanjian kolektif nasional dan kini ialah 862 euro sebulan, akan dipotong sebanyak 22 perats.  Pekerja muda  dari segi  upah minimum, bahkan dipotong sebanyak 32 peratus. 

Dari sudut pandangan Troika, memotong upah minimum adalah semata-mata langkah logik dalam proses yang bermula pada Mei 2010 apabila perjanjian pelan penyelamat pertama ditandatangani.  Pada masa itu, upah sektor awam dengan bayaran bulanannya 13hb dan 14hb diwakili sebagai hak istimewa yang tidak diingini.

Dengan upah minimum yang semakin berkurangan bersama-sama dengan pemotongan yang lain sebagai langkah jimat-cermat, kuasa beli pekerja di Greece akan terjejas, dan dengan itu, menjejaskan perbelanjaan isi rumah yang diperlukan untuk menjanakan pertumbuhan. Bahkan, dalam kes di United Kingdom misalnya, untuk dijadikan perbandingan, data terbaharu menunjukkan bahawa perbelanjaan isi rumah dan kerajaan gagal menopang ekonomi negara itu pada suku keempat tahun 2011.  

Justeru, bayangkan apabila perbelanjaan isi rumah dan kerajaan  itu terus-menerus dikurangkan, seperti yang dilaksanakan di Greece atas desakan troika, pastinya pertumbuhan tidak kunjung tiba.

Kegembiraan dan KDNK

SABTU,  25  Februari  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Antara kelemahan atau kekurangan Keluaran Dalam Negara Kasar  (KDNK) yang dibangkitkan dalam buku teks ekonomi terutamanya, ialah KDNK tidak mengambil kira sumbangan suri rumah kerana sumbangan ini tidak menerima upah. Selain itu, KDNK juga tidak mengambil kira pencemaran alam sekitar dan kesesakan lalu-lintas yang melibatkan kos yang tinggi dan menentukan kualiti hidup manusia.  Tidak ketinggalan yang sering dibahaskan ialah KDNK tidak mengambil kira kegembiraan penduduk di sesebuah negara.

Dalam carta hariannya, The Economist, mendedahkan  kegembiraan dengan KDNK dengan memetik tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Ipsos.   Meskipun berlaku kemuraman ekonomi, dunia adalah gembira jika dibandingkan dengan keadaan sebelum tercetusnya krisis kewangan.  

Kajian yang melibatkan 19,000 responden dewasa di 24 buah negara menunjukkan bahawa 77 peratus menyatakan diri mereka adalah "gembira," tiga titik peratusan lebih tinggi daripada yang wujud pada tahun 2007.  Negara yang menyatakan mereka gembira cenderung kepada negara  miskin dan negara pendapatan sederhana, manakala keadaan muram di negara kaya.


Krisis Kewangan "Dekad yang Hilang"

SABTU,  25  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Carta harian The Economist  mengetengahkan krisis kewangan yang berlaku pada tahun 2008 dengan apa yang pernah dialami oleh Jepun pada tahun 1990-an dan masih  dipetik secara meluas: dekad yang hilang.  Dengan tujuh petunjuk yang merangkumi output ekonomi, kekayaan, dan pasaran buruh, Amerika Syarikat mengalami dekad yang hilang kira-kira 10 tahun lalu.  Misalnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap orang yang mencecah tahap tertinggi jika dibandingkan dengan sekarang ialah pada tahun 2005, dan indeks pasaran saham utamanya adalah tinggi pada tahun 1999. 

Dalam kalangan negara yang diperhatikan, Greece adalah paling teruk.  Dari segi ekonomi, negara itu hanya memasuki alaf baru semula.  Secara keseluruhan, dunia kaya menerima pukulan teruk akibat krisis kewangan.  Hanya enam daripada 34 buah ekonomi "maju" yang dikategorikan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mempunyai KDNK setiap orang lebih tinggi pada tahun 2011 berbanding dengan tahun 2007, yang paling ketara ialah Jerman dan Australia. 


Friday, February 24, 2012

Tindakan Afirmatif: Daripada Kaum kepada Kelas?

SABTU, 25 Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Mahkamah Agung Amerika Syarikat dilaporkan akan mendengar rayuan seorang pelajar perempuan dari Texas yang mencabar pelaksanaan  tindakan afirmatif berdasarkan kaum di kolej dan universiti. Para hakim memaklumkan bahawa mereka akan mendengar rayuan pelajar yang kecewa itu yang mencuba menamatkan "keutamaan kaum" dalam proses kemasukan di pusat pengajian tinggi di Amerika Syarikat. 

Rayuan pelajar perempuan berkemungkinan mempunyai impak nasional, berpotensi sebagai kes yang menamatkan keputusan mahkamah tinggi di negara iyu lebih tiga dekad membenarkan tindakan afirmatif dalam kemasukan di kolej dan universiti. 

Mahkamah Agung kali pertama meluluskan tindakan afirmatif di pusat pengajian tinggi dalam kes Bakke pada tahun 1978.  Satu generasi kemudian, iaitu pada tahun 2003,  Hakim Sandra Day O'connor, menulis keputusan mahkamah itu mengesahkan semula amalan itu, mengatakan dalam kes melibatkan University of Michingan bahawa kolej dan universiti boleh mengehadkan keutamaan kaum dalam usaha untuk mencapai kepelbagaian di kampus.  Pada masa itu, O"Connor mencadangkan bahawa selepas 25 tahun lagi, jika prasangka perkauman semakin lemah, maka keutamaan tersebut tidak boleh dipertahankan lagi.

Dengan keputusan terbaharu Mahkamah Agung untuk mendengar rayuan itu, paling tidak, akan  mengehadkan tindakan afirmatif.  Kali ini kemungkinan besar rayuan itu diterima berdasarkan individu hakim yang menganggotai Mahkamah Agung, misalnya Hakim Samuel Alito yang kelihatan berseteru dengan tindakan afirmatif jika dibandingkan hakim sebelum beliau, iaitu O'Connor.  Sementara Hakim Kagan yang mungkin membuat keputusan bersama-sama hakim yang cenderung kepada liberal dalam menyokong dasar tersebut tidak mendengar kes ini kerana ketika kes itu didengar di Texas dahulu, beliau bertindak sebagai pendakwa raya. 

Pada tanggapan umum, tindakan afirmatif menunggu detik untuk berakhir, seperti yang dibayangkan oleh Andrew Cohen, "Ini bukan lagi mahkamah O'Connor.  Ini ialah mahkamah Anthony Kennedy.  Dan beliau memperlihatkan dirinya tidak bersahabat dengan jenis dasar kemasukan seperti ini.   Justeru, selepas 50 tahun atau lebih, pelajar kulit hitam tidak diterima masuk di universiti-universiti di Selatan kerana warna kulit mereka, Mahkamah Agung bersikap tenang dan yakin untuk menamatkannya, atau sekurang-kurangnya secara dramatik, mengehadkan tindakan afirmatif di pusat pengajian tinggi."


Namun, Kevin Powell yang menulis tindakan afirmatif dan musuh kepelbagaian mengingatkan seluruh hujah tindakan afirmatif selalunya untuk meratakan padang permainan, memberikan mana-mana peluang kepada  golongan yang tidak memiliki kerana warna kulit atau latar belakang mereka peluang untuk impian Amerika.  Tegas Powell, "jika Mahkamah Agung yang cenderung kepada konservatif membuatkan keputusan yang memihak kepada rayuan Abigail Fisher itu, dan menentang tindakan afirmatif secara umumnya, ini merupakan satu malapetaka, terutamanya terhadap pelajar kulit hitam dan Lationa di kolej dan universiti Amerika."

Selain para hakim yang mendengar kes menjadi tumpuan, Richard Kahlenber yang menulis dalam Slate mencadangkan supaya Presiden Barack Obama campur tangan.  Beliau sepatutnya menyokong tindakan afirmatif berdasarkan keutamaan kelas yang membantu semua pelajar berpendapatan rendah.  Berdasarkan barisan hakim yang akan mendengar rayuan ini, Kahlenber juga membayangkan tindakan afirmatif akan berakhir. Namun, pergi lebih jauh dengan mencadangkan Mahkamah Agung menjadikan universiti memberikan perhatian terhadap pembahagian kelas yang membimbangkan di pusat pengajian tinggi.

"Tindakan afirmatif berdasarkan kaum jarang-jarang memberikan faedah kepada pelajar pendapatan rendah dan kelas pekerja," tulis Kahlenber yang merujuk beberapa sumber kajian, antaranya   tinjauan Los Angeles Times dan Newsweek yang mendapati bahawa rakyat Amerika menentang keutamaan kaum dalam kemasukan kolej dengan 2:1, tetapi memilih keutamaan pendapatan dengan margin yang sama. 

Di Malaysia, desakan demi desakan diajukan supaya tindakan afirmatif yang didakwa menguntungkan kaum bumiputera dihapuskan, tetapi tidak kurang yang mempertahankan dasar ini.  Yang jarang-jarang kedengaran atau tidak kedengaran langsung, desakan tindakan afirmatif diteruskan, berdasarkan keutamaan kelas dan bukannya keutamaan kaum.  Maksudnya, tindakan afirmatif yang memberikan keutamaan golongan miskin, golongan berpendapatan rendah.

Keusangan Sistem Dua Parti

JUMAAT,  24 Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Adakah sistem dua parti menyebabkan Amerika Syarikat tidak boleh diperintah?  Demikian tajuk forum anjuran NPR pada kira-kira setahun yang lalu, dengan David Brooks dan Arianna Huffington sebagai pencadang, manakala Zev Chafets  dan P.J.  O'Rourke sebagai pembangkang - keempat-empat nama ini tidak asing lagi. 

Seperti yang pemerhati ratapi apa yang mereka lihat polarisasi yang semakin menjadi-jadi dan kurangnya kesopanan dalam politik, sesetengah pemerhati berasa hairan jika Amerika sudah sampai ke titik yang sistem dua parti  menyebabkan Amerika tidak boleh diperintah. 

Sesetengah bersetuju bahawa Amerika terkunci ke dalam penilaian setiap isu menerusi prisma kiri dan kanan. Mereka berkata negara perlu keluar daripada sistem yang membawa kebekuan dan kesukaran mencari kesefahaman. Sementara yang lain berhujah balas, meskipun sistem dua parti mempunyai kelemahannya, sistem ini berkembang secara organik dan mempunyai sejarah yang panjang untuk dilaksanakan di Amerika Syarikat.  Dan, mereka berkata bahawa sistem ini berasas luas dan memberikan peluang kepada calon bebas dan parti ketiga. 

Sebelum debat ala Oxford itu berlangsung, para hadirin di Skirball Center for Performing Art,, New York University, 46 peratus menyokong usul itu, 24 peratus menentang, dan 30 peratus tidk dapat membuat keputusan.  Selepas debat, 50 peratus menyokong usul, iaitu meningkat empat peratus dan 40 peratus menentang, meningkat 16 peratus, menjadikan penyokong dua parti pemenang debat.  Sementara 10 peratus hadirin tidak dapat membuat keputusan. 

Arianna Huffington menulis tentang debat yang beliau sertai itu, memetik hujah rakannya, David Brooks, kolumnis The New York Times:  Mengapa terlalu besar untuk gagal bank masih terlalu besar untuk gagal?  Mengapa masih wujud sedikit penekanan terhadap pekerjaan ketika apabila 26 juta rakyat Amerika menganggur?  Mengapa sistem kita baru-baru ini menggagalkan kita dalam tiga cara yang ketara, iaitu kegawatan kewangan, malapetaka perlombongan Upper Big Branch di West Virginia, dengan 29 orang terkorban, dan tumpahan minyak BP di Teluk?"  Jawapannya,  tegas Brooks, "kerana sistem dua parti betul-betul rosak - hanya mampu menghasilkan 'penyelesaian suboptimum' untuk krisis besar kita."

Tentang satu demi satu isu, pendidikan,  infrastruktur yang berderai, peningkatan kos penjagaan kesihatan, defisit, kemerosotan yang berterusan golongan kelas menengah, dasar luar, sistem dua parti semasa menggagalkan rakyat Amerika. 

Selain debat itu, Wes Moore menulis dalam Time bagaimana untuk memecahkan sistem dua parti kerana partisan melumpuhkan Amerika Syarikat tatkala rakyat sangat memerlukan ahli politik bertindak. 

Kekecewaan demi kepercayaan terhadap hiperpartisan memaksa banyak orangn Amerika, bahas Moore, "mempersoalkan kedua-duanya, kesahan dan kecekapan kerajaan sistem dua parti kita.  Pemimpin, seperti Thomas Friedman dan Matt Miller, tokoh perniagaan, termasuk Howard Schultz dan Duncan Niederauer, dan paling penting,  dan paling penting, warga biasa yang cuba membahaskan pengenalan kepimpinan bebas dan parti ketiga Amerika.  Kita hidup pada zaman yang anggota teras parti kita mempunyai untuk himpunan alasan, berundur kepada sudut ideologi tidak lazim dan meninggalkan kebanyakan kita di tengah-tengah gelanggang bersendirian, mencuba mencari juara."

Jelas Moore, ini bukannya kali pertama masalah dua parti dibangkitkan.  Organisasi, seperti No Labels dan American Elect mengambil langkah yang berani ke arah mempromosikan calon Presiden Amerika yang tidak terhutang budi kepada manifesto parti tertentu, tetapi memberikan tumpuan terhadap penyelesaian cabaran negara dengan komitmen yang jelas terhadap pragmatisme.

Masa berakhir untuk sistem dua parti Amerika? Tanya Bernd Debusmann, kolumnis Reuters pada Ogos tahun lalu, dengan membangkitkan keyakinan terhadap Kongres Amerika Syarikat adalah rendah dari segi sejarah, lebih separuh rakyat Amerika percaya bahawa Parti Republikan dan Demokratik melakukan kerja yang teruk yang parti ketiga diperlukan. dan perkataan "disfungsi" menjadi kelaziman dalam debat yang dicetuskan berhubung dengan hutang negara. Tanya Debusmann lagi, "Adakah ini bermakna loceng berbunyi untuk duopoli yang menguasai kehidupan politik Amerika lebih 150 tahun?

Memang disedari di Amerika Syarikat sejak akhir-akhir ini akan penting parti ketiga dan sekali gus memecahkan monopoli sistem dua parti.  Antara pendukungnya, bahas Daniel Gross,  ialah Thomas Friedman, kolumnis The New York Times, Matt Miller, kolumnis The Washington Post, dan Michael Bloomberg, Datuk Bandar New York City. 

Mengapa para pengundi tidak sepatutnya mempercayai parti politik mereka sendiri, tulis Ezra Klein dalam Bloomberg semalam, mungkin kekecewaan yang mendalam pada diri saya terhadap media berita Amerika Syarikat adalah bahawa kita membenarkan dua parti memutuskan apakah yang "kiri" dan apakah yang "kanan."  Sokongan Demokrat menjadi "kiri," sokongan Republikan menjadi "kanan."

Tatkala di Amerika Syarikat sendiri, kekecewaan terhadap sistem dua parti semakin menjadi-jadi, di Malaysia pula, sebilangan orang begitu taksub terhadap sistem yang semakin usang ini.  Sebagaimana demokrasi tumbang di tempat lahirnya, iaitu Greece, demikian juga dengan sistem dua parti usang di tempat lahirnya, iaitu Amerika Syarikat yang kini bergelut dengan kelumpuhan politik. 

Alangkah ketinggalannya pihak penganjur yang mengadakan perdebatan tentang sistem dua parti di Malaysia. Jika anda mempunyai idea yang anda rasa hebat untuk diketengahkan, lebih baik anda melakukan kerja rumah terlebih dahulu.  Silap-silap idea anda itu tidak relevan lagi.  Jangan biarkan diri anda terjerumus ke dalam "perangkap majoriti" atau menjadi "tukang karut."


Pandang ke Finland, Amerika

JUMAAT,  24  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Memandangkan kemerosotan pendidikan di Amerika Syarikat dari segi penguasaan sains,   matematik, dan pembacaaaan terutamanya dalam kalangan pelajar,  maka ada yang mencadangkan negara itu memandag kejayaan  Finland (juga Korea Selatan). 

Nampaknya, cadangan supaya Amerika Syarikat memandang Finland masih berterusan apabila Diane Ravitch yang mengemukakan pandangan tentang pendidikan di Amerika, muncul dalam The New York Review of Books membahaskan pendidikan di Finland.  Dalam tulisan itu beliau mengulas buku Finnish Lessons:  What Can the World Learn from Education Change in Finland? karya Pasi Sahlberg.  


Seperti lazim, mana-mana ulasan buku yang diterbitkan dalam The New York Review of Books, akan menyoroti dan meninjau penulisan atau perbahasan sebelum menumpukannya terhadap buku yang diulas.  Setelah membahaskan kemerosotan pendidikan di Amerika Syarikat, Ravitch menegaskan bahawa bukannya sesuatu yang luar biasa untuk Amerika melihat negara lain sebagai model untuk pembaruan sekolah. Pada pertengahan abad ke-19, para pemimpin Amerika mengalu-alukan sistem Prussia untuk profesionalisme dan strukturnya.  Pada tahun 1960-an, Amerika berduyun-duyun ke England untuk mengagumi sekolah progresifnya.  Pada tahun 1980-an, Amerika yang iri hati menganggap kejayaan ekonomi Jepun berpunca daripada sistem sekolahnya. Kini, negara yang paling diutamakan ialah Finlad, dan untuk empat alasan yang baik.


Pertama, Finland mempunyai sebuah sistem sekolah prestasi tinggi di dunia, seperti diukur oleh Program for International Students Assessment (PISA), yang menilai pembacaan, literasi matematik, literasi sains dalam kalangan pelajar yang berusia 15 tahun di semua 34 buah negara Organisasi Kerjasama dan Ekonomi dan Pembangunan (OECD), termasuk Amerika Syarikat.


Kedua, dari perspektif Ameika, Finland ialah alam semesta alternatif.  Finland menolak semua "pembaharuan" yang kini popular di Amerika Syarikat, seperti ujian, sekolah piagam, baucar, bayaran merit, persaingan, penilaian guru dalam hubungan dengan markah ujian pelajar mereka.


Ketiga, dalam kalangan negara OECD, sekolah Finland mempunyai kurang variasi dari segi kualiti, bermakna bahawa sekolah berkenaan hampir mencapai kesamaan peluang pendidikan, suatu keunggulan Amerika.


Keempat, Finland meminjam banyak kebanyakan idea yang bernilai dari Amerika Syarikat, seperti kesamaan peluang pendidikan, arahan yang diiindividukan, penilaian portfolio, dan pembelajaran secara kerjasama.  Kebanyakan yang dipinjamnya berasal daripada karya ahli falsafah John Dewey. 


Dalam Educational Change in Finland?, seperti yang dinyatakan  oleh Ravitch,  Pasi Sahlberg menjelaskan bagaimana sekolah negaranya (Finland), berjaya.  Pegawai kerajaan, penyelidik, dan bekas guru matematik dan sains, menyumbang kepada penambahbaikan sekolah Finland dengan membuat keputusan yang berani pada tahun 1960-an dan 1970-an.  Sejarah Finland adalah penting, tulis Sahlberg, kerana "memberikan harapan kepada mereka yang hilang kepercayaan terhadap pendidikan awam."


Sahlberg, seperti yang dijelaskan oleh Ravitch, mengkritik penggubal dasar Amerika Syarikat yang mencari penyelesaian berasaskan pasaran, seperti "persaingan yang sengit, lebih banyak data, penghapusan kesatuan guru, pembukaan lebih banyak sekolah piagam, atau menggunakan model pengurusan dunia korporat."  Sebaliknya, Finland menggunakan masa 40 tahun lalu membangunkan sistem pendidikan yang berbeza, satu daripadanya memberikan tumpuan terhadap penambahbaikan tenaga pengajar, pengehadan ujian pelajar kepada jumlah minimum yang perlu. pengutamaan tanggungjawab dan kepercayaan berbanding dengan kebertanggungjawaban, pemberian kepimpinan sekolah dan tahap daerah kepada golongan profesional pendidikan.


Di negara kita, Malaysia,  sebilangan orang mencadangkan supaya kita melihat Amerika Syarikat untuk memajukan sistem pendidikan kita.  Alasannya negara itu menggunakan bahasa Inggeris tanpa menyedari atau pura-pura tidak menyedari bahawa sistem pendidikan di negara itu bergelut dengan masalah kemerosotan.



Thursday, February 23, 2012

Kebijakan Keynes

KHAMIS,  23  Februari  2012
Oleh:  ZUKIFLI  SALLEH


Krisis kewangan 2007 - 2008 dan kemelesetan ekonomi global menyaksikan kepulangan beberapa ahli ekonomi yang bersemadi dalam kuburan masing-masing, seperti John Maynard Keynes, Hyman P. Minsky, dan Joseph Schumpeter yang idea mereka boleh dikatakan dilupakan oleh penggubal dasar dan kebanyakan ahli ekonomi sezaman.   

Pastinya, antara mereka itu, kepulangan Keynes yang paling menonjol sehingga kini, meskipun Keynesian ada kalanya dibayangi oleh neoliberalisme.  Pelaksanaan jimat-cermat di Eropah terutamanya, yang memberikan respons rabun jauh terhadap realiti fiskal yang semakin bertambah teruk - memetik Gordon Brown,   yang terbukti membawa kegagalan, menyebabkan sesetengah orang berfikir bahawa Keynes adalah betul.  

Khususnya untuk Greece yang baharu sahaja diselamatkan daripada muflis, untuk mengelakkan depression, negara itu memerlukan strategi pertumbuhan, bahas Timothy Garton Ash. Akibat pelaksanaan jimat-cermat, Greece dijangkakan merana dalam lima tahun lagi.  Bukan sahaja Greece, bahkan zon euro memerlukan pertumbuhan,  tetapi pertumbuhan mustahil dicapai kerana  jimat-cermat dilaksanakan secara berleluasa - langkah yang bercanggah dengan Keynesian. 

Balik kepada John Maynard Keynes, sesungguhnya, Robert Skidelsky mengambil keputusan yang betul lagi tepat apabila beliau menerbitkan buku pada September 2009, tentang teori ahli ekonomi yang agung yang sentiasa relevan, Keynes: The Return of the Master

Berhubung dengan krisis zon euro yang dilihat dari segi kesempurnaan kebijakan Keynes, seperti yang diperkatakan oleh  Charles Moore yang mengulas buku Keynes, The Economic Consequences of the Peace.   "Buku ini diterbitkan pada tahun 1919," tulis Moore dalam The Telegraph,  sambil mengakui, "saya agak terlewat untuk mengulas buku ini. Akan tetapi, pada pagi apabila zon euro cuba untuk memutuskan 'pelan penyelamat' terbaharu untuk Greece, karya klasik Keynes kelihatan rasa-rasa relevan."

Selepas Perang Dunia Pertama, pihak bersekutu perlu memutuskan, sama ada mengenakan "perdamaian Cathaginian" terhadap Jerman, yang pada pandangan Keynes, silap dari segi moral dan ekonomi.   "Jika perjanjian itu dilaksanakan," bahas Keynes, "Jerman dari segi ekonomi renyuk.  Jika Jerman dari segi ekonomi renyuk, negara itu tidak dapat membayar. Jika Jerman tidak dapat membayar,  seluruh harapan Eropah untuk pemulihan ekonomi terlekat pada pemampasan yang akan berasa kecewa. Pengangguran, inflasi, dan depression akan merayau-rayau di benua ini."

Orang ramai tidak faham, hujah Keynes, seperti yang dipetik oleh Moore, bahawa pengaturan biasa kapitalisme telah diganggu dengan sangat teruk oleh Perang Dunia Pertama:  "semua hubungan kekal antara penghutang dengan pemiutang, yang membentuk asas  muktamad kapitalisme, benar-benar kacau kerana hampir tidak bermakna."

Jelas Moore, belajar daripada bencana Versailles, pihak yang menang dalam Perang Dunia Kedua, mencuba idea Keynes tentang perdamaian yang betul.  Mereka membantuk pihak yang tewas, dan Amerika membantu setiap orang. Langkah ini berkesan.  Jerman menjadi negara yang aman, demokratik, makmur, dan akhirnya bersatu. Berdasarkan semangat inilah apa yang Kesatuan Eropah kini diwujudkan pada tahu  1950-an.  Akan tetapi, pewujudkan euro pada akhir abad ke-20, segala-galanya balik semula kepada asal.  

Selagi krisis ekonomi, maka selagi itulah, sebagaimana ingatan terhadap Karl Marx, demikian juga ingatan terhadap John Maynard Keynes, tidak mudah dilupakan. Idea atau pemikiran ekonomi yang ada tidak mampu menandingi Marx dan Keynes.

Wednesday, February 22, 2012

Mitt Romney: Kapitalis Kroni Obama dan Retorik Anti-China

KHAMIS, 23 Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Mitt Romney, salah seorang calon Presiden daripada Republikan untuk Pilihan Raya Presiden 2012,  pada suatu ketika mendahului pesaing-pesaingnya, sejak akhir-akhir ini mula terjejas, dan didapati kurang menyengat.  Untuk pemilihan awal di Michigan, beliau diperhatikan  disaingi sengit oleh Rick Santorum, dan bahkan  bergelut dengan kekalahan.   


Berbanding dengan calon-calon Republikan dan Presiden Barack Obama sendiri - dengan George Soros - penyumbang setia Demokrat  yang tidak muncul-muncul,  Romney merupakan kesayangan Wall Street dan mendapat sokongan Donald Trump. Beliau boleh dikatakan mewakili golongan satu peratus, maka tidak memeranjatkan apabila beliau secara  terbuka menyatakan bahawa beliau  tidak mempedulikan golongan miskin. 


Pada awal bulan ini, Mitt Romney menulis mengkritik kapitalisme kroni yang diamalkan oleh Presiden Barack Obama dalam pelan penyelamat  di Detroit.   Beliau menuduh Obama melakukan  kapitalisme kroni secara besar-besaran, yang meskipun menyelamatkan industri auto tiga tahun lalu, sebenarnya demi kepentingan kesatuan sekerja yang merupakan penyokong Obama dan Demokrat. Romney percaya bahawa tanpa campur tangan, keadaan menjadi lebih baik melalui apa yang cadangkan kemuflisan terurus. 


Kemuflisan terurus, tulis Romney, "kedengaran seperti menandakan berakhirnya riwayat.  Akan tetapi, hakikatnya, merupakan cara untuk syarikat yang bermasalah untuk menyusun semula dirinya secara pantas, memasuki dan meninggalkan kamar mahkamah ada kalanya berminggu-minggu atau berbulan-bulan, dan bukannya bertahun-tahun, dan kemudian kembali kepada operasi yang menguntungkan." 


Presiden Obama dalam melaksanakan pelan penyelamat untuk General Motors (GM) dan Chryster, seperti yang pernah diberitahu oleh ahli strateginya, David Axelrod dalam Time lebih setahun lalu,  beliau tidak mahu industri auto Amerika lenyap ketika beliau menjadi Presiden.  Hasil pelan penyelamat, industri auto dapat diselamatkan, manakala GM menghasilkan keuntungan. Namun, Romney menyerang tindakan Obama itu: Pada musim bunga 2009, meskipun pasaran bebas melakukan apa yang terbaik, kita ghairah terhadap kapitalisme kroni, gaya Obama.


Kritikan Romney terhadap pelan penyelamat auto industri, mengundang padah, mendedahkan  kepura-puraan ideologi  kerana beliau menyokong Wall Street diselamatkan.  Charles Lane yang menulis dalam The Washington Post mengingatkan bahawa pelan penyelamat untuk pembuat kereta kos dan faedah untuk Romeny, Santorum, dan Obama.


Setelah mengkritik kapitalisme kroni Barack Obama, seterusnya Mitt Romney menulis dalam The Wall Street Journal bagaimana Amerika Syarikat perlu menangani kebangkitan China.  Bermulanya abad China, tulis beliau, dan berakhirnya abad Amerika, bukannya sesuatu yang tidak dapat dielakkan.  "Amerika mempunyai kekuatan yang wujud yang menjamin kita kelebihan bersaing mengatasi China dan seluruh dunia.  Walau bagaimanapun, kita mesti memulihkan kekuatan ini."


Jelas Romney, "menopang kedudukan fiskal dan ekonomi kita, membina semula ketenteraan kita, dan memperbaharui kepercayaan terhadap nilai kita.  Kita mesti menggunakan kekuatan ini dalam dasar kita ke arah China untuk menjadikan laluannya ke hegemoni serantau lebih tinggi kosnya berbanding dengan laluan alternatif menjadi rakan kongsi yang bertanggungjawab dalam sistem antarabangsa.''


Seterusnya, beliau mendakwa Barack Obama sebenarnya bergerak ke arah yang silap.  Pencapaian yang bersinar-sinar pertemuan di Washington minggu ini dengan Xi Jinping, Naib Presiden China dan berkemungkinan pemimpin masa depan adalah gemilang dan upacara yang kosong.


Selain mengkritik Obama dalam hubungan dengan China, dan kerana dasar dan  kegagalan kepimpinannya, ketenteraan Amerika menanggung pemotongan perbelanjaan bernilai AS$1 trilion sepanjang dekad datang, Romney juga menyerang China.  "Kita mesti mengubah laluan.  Dalam bidang ekonomi, kita mesti berhadapan secara langsung amalan China yang disalahgunakan dalam bidang perdagangan, harta intelek, dan penilaian mata wang.  Meskipun saya bersedia untuk bekerja dengan para pemimpin demi memastikan negara kita kedua-duanya berfaedah daripada perdagangan, saya tidak akan meneruskan hubungan ekonomi yang menghargai penipuan China dan menghukum syarikat dan pekerja Amerika. 


Berhubung dengan kelebihan bersaing Amerika yang dibanggakan oleh Mitt Romney, tidak dapat dipastikan sejauh mana ketepatannya.  Hal ini demikian kerana, seperti yang dibahaskan oleh Robert J. Samuelson dalam The Washington Post, dapat disimpulkan bahawa "daya saing Amerika merosot, sedangkan China terus mara."  China, tegas Eugene Robinson, "tanpa mengira buruk baiknya, ialah negara serius. Amerika Syarikat lebih baik bertindak seperti China."


Sebenarnya, retorik anti-China Romney mempunyai risikonya.  Beliau mempunyai latar belakang perbankan pelaburan dan mesej pasaran bebas yang kelihatan beliau calon pilihan komuniti perniagaan Amerika, kecuali apabila beliau bercakap tentang China. Seperti yang dibahaskan oleh Alex Roarty  dalam The Atlantic, calon harapan Republikan kelihatan seperti anggota kesatuan sekerja yang berpiket berbanding dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif apabila beliau menggariskan agenda Rumah Putihnya untuk China, mendesak tarif dan mengheboh-hebohkan ancaman perang perdagangan.  Beliau memperluas percakapan yang kerasnya melalui makalahnya dalam The Wall Street Journal, memperlihatkan contoh retorik fahaman perlindungan, yang beliau mengatur kedudukan terlalu banyak untuk kempen Presiden beliau.


Jon Huntsman, bekas calon Presiden Amerika Syarikat, juga daripada Republikan, dan pernah berkhidmat sebagai duta besar Amerika Syarikat ke China,  turut mengkritik dasar China Romney itu. Memang bukan sesuatu yang luar biasa untuk calon mengatakan sesuatu tentang China.  "Memang mudah bercakap tentang China dari segi faktor takut berbanding dengan faktor peluang."


Mungkin retorik Romney tidak kena masanya kerana diluahkan ketika Amerika Syarikat meraikan sempena 40 tahun  hubungan dengan China



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...