Artikel Popular

Saturday, December 8, 2012

Orde Politik

SABTU, 8 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pada awal tahun ini, Francis Fukuyama menulis dalam Foreign Affairs, melahirkan kebimbangan beliau tentang  kelangsungan demokrasi liberal berikutan kemerosotan golongan kelas menengah. Fukuyama yang terkenal dengan gagasan demokrasi liberal, dalam buku terbaharunya, The Origins of Political Order:  From Prehuman Times to the French Revolution (Farrar, Straus and Giroux, New York, 585 hlm., RM129.50),  menegaskan bahawa demokrasi liberal moden  berjaya menggabungkan semua tiga set institusi dalam keseimbangan yang stabil, iaitu negara, kedaulatan undang-undang, dan kerajaan yang bertanggungjawab.
“Negara menumpukan dan menggunakan kuasa, untuk melaksanakan pematuhan undang-undang terhadap warganegaranya dan mempertahankan dirinya terhadap negara dan ancaman lain.  Sebaliknya, kedaulatan undang-undang dan kerajaan yang bertanggungjawab, mula-mulanya dengan memaksa negara menggunakan kuasanya menurut peraturan awam tertentu dan telus, dan kemudian dengan memastikan bahawa negara tertakluk kepada keazaman rakyat jelata.” 
Bagi Fukuyama, demokrasi tanpa kedaulatan undang-undang boleh memperkukuh pembahagian sosial;  kedaulatan undang-undang tanpa negara yang kuat boleh membawa kepada ketidakstabilan politik.  Sementara kerajaan yang bertanggungjawab, tegas beliau, “bermakna bahawa pemerintah percaya bahawa mereka bertanggungjawab kepada rakyat mereka dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan mereka.” 
Kini, wujud perbincangan yang meluas tentang keruntuhan sistem Westphalian tentang negara bangsa berdaulat,  hujah   Dov S. Zakheim dalam The National Interest yang memulakan penulisannya berhubung dengan kebangkitan semula empayar lama, iaitu China, India,Turki, dan Rusia. Mungkin secara kebetulan,  ketiga-tiga empayar  lama tersebut,  iaitu China, India, dan Islam (Turki dan Mesir) diibahaskan   oleh Francis Fukuyama.
Seperti yang dinyatakan oleh beliau sendiri, buku ini diilhamkan daripada kajian klasik gurunya, Samuel Huntington dalam Political Order in Changing Societies.  Fukuyama bermula dengan pembentukan masyarakat puak atau kabilah, kemudian kepada kemunculan secara beransur-ansur komuniti politik yang tersusun dan kebangkitan negara wilayah, yang beliau tegaskan, “pembinaan negara,”  bermula dengan China. Fukuyama menjelaskan mengapa beliau tidak memberikan perhatian terhadap Greece dan Rom, sebaliknya terhadap China dalam mengkaji kebangkitan negara  kerana hanya China mewujudkan negara moden, berdasarkan takrif Max Weber. Maksudnya, China berjaya membangunkan sistem pentadbiran birokratik yang berpusat dan seragam yang mampu memerintah jumlah penduduk yang besar dan wilayah yang luas berbanding dengan Eropah Meditteranean.
            Dari China, Fukuyama menumpukan perbincangan terhadap  India, yang menurut beliau, beralih daripada masyarakat puak kepada masyarakat tahap negara pada masa yang lebih kurang sama dengan China. Orde politik, tegas Fukuyama, bermula di China purba.  Pada zaman Dinasti Qin pada 221 Sebelum Masihi, kira-kira 10,000 ketua berasingan di seluruh Asia dikumpulkan ke dalam sebuah negara tunggal.
Kemudian, kira-kira 2500 tahun lalu, India melencong jauh kerana kebangkitan agama Brahman baru, yang mengehadkan kuasa yang mana-mana kenegaraan India dapat capai dan dalam sesetengah maksud itu, menyediakan laluan untuk demokrasi India moden. Sementara di Timur Tengah, tegas beliau, pada zaman Nabi Muhammad S.A.W., juga masyarakat puak atau kabilah yang tersusun; wilayah itu bukan sahaja tempat lahirnya agama Islam, tetapi juga lahirnya institusi hamba-tentera yang membolehkan kenegaraan tertentu di Mesir dan Turki berubah menjadi kuasa politik utama.
Dalam tiga wilayah itu, Fukuyama memberikan liputan tentang institusi negara yang dibentuk secara langsung daripada masyarakat puak.  Organisasi sosial awal awal di China, India, dan Timur Tengah berasaskan pertalian agnatik; negara diwujudkan untuk mengatasi pengehadan yang dikenakan oleh masyarakat tahap puak.  Dalam setiap kes, pembina negara menunjukkan bagaimana untuk menjadikan individu setia pada negara berbanding pada kumpulan persanakan tempatan mereka.
Dari tiga buah “empayar lama” ini, Fukuyama beralih ke Eropah untuk membahaskan pembinaan negara.   Di benua itu, beliau mengetengahkan peranan Gereja Roman Katolik dalam membasikan adat puak, terutamanya yang berkait dengan pewarisan, dan dalam menginstitusikan kedua-duanya, iaitu kedaulatan undang-undang dan pengasingan kuasa duniawi dan kerohanian. Masyarakat Eropah, hujah Fukuyama, berasaskan individualistik sejak awal lagi, dalam erti kata bahawa individu dan bukannya keluarga atau kumpulan sanak mereka boleh membuat keputusan penting tentang perkahwinan, harta, dan isu peribadi lain.  “Individualisme dalam keluarga merupakan tonggak semua invidualisme lain.  Invidualisme tidak menunggu kewujudan negara yang mengiystiharkan hak sah individu dan menggunakan kekuatan kuasa paksaan untuk menguatkuasakan hak tersebut.”  Sebaliknya, jelas beliau, negara dibentuk ke atas masyarakat yang individu telah pun menikmati kebebasan yang cukup luas daripada obligasi sosial kepada serumpun.”  Di Eropah, pembangunan sosial mendahului pembangunan politik.
Keluarbiasaan Eropah dari segi pembentukan negara, menurut Fukuyama, kurang berasaskan kemampuan pembina negara awal untuk menggunakan kuasa ketenteraan berbanding dengan keupayaan mereka melaksanakan keadilan. Pertumbuhan kuasa dan kesahan negara Eropah muncul tidak dapat dipisahkan daripada kemunculan kedaulatan undang-undang.  Namun, beliau menjelaskan bahawa negara Eropah awal melaksanakan keadilan, tetapi tidak semestinya undang-undang.  Undang-undang berakar umbi di mana-mana sahaja, sama ada dalam agama ataupun dalam adat puak ataupun komuniti tempatan lain.
Oleh sebab sebahagian besar buku ini tertumpu pada pembinaan negara, maka Fukuyama juga  membahaskan teori pembentukan negara, yang menurut beliau, ahli antropologi dan arkeologi, membezakan antara apa yang mereka sebut pembentukan negara “asli”  dengan “bersaing.”  Pembentukan negara asli merupakan kemunculan awal negara (atau ketua) daripada masyarakat tahap puak.  Pembentukan negara bersaing hanya berlaku selepas negara pertama itu telah muncul.  Walaupun wujud banyak contoh sejarah pembentukan negara bersaing, tidak ada seorang pun pernah memerhatikan versi pembentukan negara asli, dan dengan itu, kewujudannya hanya berdasarkan spekulasi, iaitu kontrak sosial, pengairan, tekanan penduduk, peperangan dan keganasan, dan penerapan lilit (circumscription).
Untuk memahami makna kedaulatan undang-undang, maka  perbezaan antara undang-undang dengan perundangan perlu difahami.  Setelah membincangkan pembangunan politik dari segi pembinaan negara, iaitu kemampuan negara menumpukan dan menggunakan kuasa, Fukuyama menjelaskan kedaulatan undang-undang sebagai komponen berasingan orde politik yang mengehadkan kuasa negara.  Pemeriksaan pertama terhadap kuasa eksekutif bukannya yang dikenakan perhimpunan demokratik dan pilihan raya.  Sebaliknya, hasil masyarakat yang mempercayai bahawa pemerintah perlu beroperasi di bawah undang-undang.  Justeru, pembinaan negara dan kedaulatan undang-undang saling wujud dalam ketegangan tertentu. 
Di negara membangun sezaman, jelas Fukuyama, satu defisit politik yang besar terletak pada kelemahan relatif kedaulatan undang-undang.  Daripada semua komponen negara sezaman, institusi perundangan yang berkesan mungkin paling sukar dibina. Misalnya, negara Amerika Latin kini terlalu demokratik, tetapi kedaulatan undang-undang sangat lemah.
Dalam buku ini, Fukuyama turut menyentuh perbicangan yang meluas tentang hubungan antara kedaulatan undang-undang dengan pembangunan ekonomi yang menunjukkan bahawa kemunculan dunia moden, termasuk kemunculan ekonomi kapitalis, secara meluas bergantung pada kewujudan kedaulatan undang-undang terlebih dahulu.  Ketiadaan kedaulatan undang-undang yang kuat menyebabkan negara miskin tidak mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi. Namun, beliau menjelaskan bahawa perbincangan tersebut terlalu keliru dan tidak konsisten berhubung dengan takrif asas kedaulatan undang-undang dan bagaimana untuk mengukur kehadiran atau ketiadaannya. Selain itu, teori yang mengaitkan komponen berbeza kedaulatan undang-undang dengan pertumbuhan ekonomi boleh dipersoalkan dari segi empirikal.
Set institusi terakhir yang dibahaskan oleh Francis Fukuyama yang menjadi tonggak demokrasi liberal ialah kerajaan yang bertanggungjawab, yang menurut beliau,  dapat dicapai dengan beberapa cara, antaranya pendidikan moral, bentuk yang berlaku di China dan negara yang dipengaruhi oleh Confusianisme Cina. Secara keseluruhan, perbincangan tentang kerajaan yang bertanggungjawab tertumpu pada pengalaman empat hasil pembinaan negara Eropah dan untuk alasan tertentu, mengapa hasil ini bercapah daripada satu sama lain. Keempat hasil pembinaan negara itu ialah:  absolutisme lemah, iaitu monarki Perancis dan Sepanyol pada abad ke-16 dan ke-17; absolutisme yang berjaya, iaitu  monarki Rusia; oligarki gagal, seperti yang berlaku di Hungary dan Poland akibat tindakan golongan aristokrat mengenakan had perlembagaan terhadap kuasa raja, yang kemudiannya terus lemah dan gagal membina negara moden; dan kerajaan bertanggungjawab bahawa akhirnya, England dan Denmark mampu memajukan kedua-duanya, iaitu kedaulatan undang-undang yang kuat dan kerajaan bertanggungjawab.
Mengakui berlakunya kemerosotan politik yang terdiri daripada dua jenis, iaitu ketegaran institusi dan repatrimonialization, seterusnya Fukuyama menjelaskan bahawa kegagalan demokrasi moden yang paling ketara pada abad ke-21,  ialah kemungkinannya kelemahan negara.  Demokrasi sezaman terlalu mudah menempuh jalan buntu dan tegar, dan dengan itu, tidak mampu membuat keputusan yang sukar demi memastikan ekonomi jangka panjang dan kelangsungan politik, seperti yang berlaku di India dan Amerika Syarikat. Namun, beliau menegaskan bahawa masyarakat dengan kebertanggungjawaban politik  akan terus wujud berbanding dengan masyarakat tanpa kebertanggungjawaban politik.  Bagi beliau, kebertanggungjawaban politik menyediakan laluan aman ke arah adaptasi institusi.
(Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, September 2012.)
            

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...