Artikel Popular

Saturday, December 1, 2012

Fakta dan Angka

SABTU, 1 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Krisis hutang yang melanda zon euro, bermula dengan Greece, berjangkit ke Iceland, Portugal, dan Sepanyol,   mendorong sesetengah orang untuk mengetahui bagaimanakah hutang boleh menyebabkan sesebuah negara terumbang-ambing,  jatuh muflis, dan hilang kedaulatan.  Greece yang talian hayatnya terpaksa bergantung pada pelan penyelamat Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dicadangkan  supaya   mungkir, seperti yang dilakukan oleh Argentina, dan meninggalkan zon mata wang bersama itu.
            Dari semasa ke semasa, akan muncul negara yang terpaksa menanggung krisis hutang, misalnya pada tahun 1980-an melibatkan Amerika Latin, Afrika, dan negara bekas Kesatuan Soviet, dan Asia Tenggara pada bahagian kedua tahun 1990-an.  Eric Toussaint dan Damien Millet dalam buku Debt, the IMF and the World Bank:  Sixty Questions, Sixty Answers (Monthly Review, New York, 361 hlm., RM70.10), mengemukakan fakta yang lengkap dan penjelasan yang tuntas serta menarik tentang hutang.   
            Bermula dengan soalan apakah yang dimaksudkan dengan “negara membangun” dan menegaskan kekaburan istilah “pembangunan,” dalam Bab 1 juga dikemukakan soal jawab tentang jenis hutang untuk negara membangun.  Kedua-dua penulis menjelaskan bahawa hutang sesebuah negara terdiri daripada hutang dalaman dan hutang luaran (awam dan swasta).  Mereka juga menjelaskan bahawa hutang dalaman sesebuah negara meningkat dengan pesat sejak bahagian kedua tahun 1990-an dengan dorongan Bank Dunia dan IMF, dan pada tahun 2007, hutang awam dalaman meningkat tiga kali lebih banyak daripada amaun hutang awam luaran.
 Pada tahun tersebut juga, jumlah hutang luaran negara membangun dianggarkan AS$3.36 trilion yang terdiri daripada AS$1.35 trilion (40 peratus) hutang awam luaran dan AS$2.01 trilion (60 peratus) hutang swasta luaran. Sejak tahun 1980, hutang luaran negara membangun terus meningkat, dengan Amerika Latin mempunyai jumlah hutang luaran yang besar, diikuti oleh Afrika Sub-Sahara.  Bagi Asia Timur, hutang luaran yang rendah pada tahun 1980-an, meningkat pada bahagian pertama tahun 1990-an, yang akhirnya membawa kepada krisis 1997-1998, yang menyebabkan negara yang terlibat terpaksa membayar balik pinjaman dengan jumlah yang besar.  Selepas runtuhnya Tembok Berlin pada November 1989, negara bekas Kesatuan Eropah yang terpengaruh dengan etos neoliberal, menyaksikan hutang mereka meningkat apabila hutang awam luaran meningkat dengan ketara pada tahun 2007.
            Berhubung dengan hutang luaran negara membangun pada tahun 1960-an dan 1970-an, Toussaint dan Millet menegaskan bahawa bank swasta memainkan peranan yang menyebabkan negara tersebut bergelut dengan hutang.  Berikutan pelaksanaan Rancangan Marshall untuk membangunkan  semula Eropah selepas Perang Dunia Kedua, maka dolar menjelajah dunia.  Seterusnya, kedua-dua penulis menjelaskan bahawa berikutan “kejutan minyak” pada tahun 1973, negara pengeluar minyak menyimpan wang di bank-bank Barat yang membolehkan bank berkenaan memberikan pinjaman petrodolar kepada negara Selatan pada kadar yang rendah.  Pinjaman ini yang dikenali sebagai hutang luaran negara membangun yang awal tahun 1960-an hampir sifar, mencecah AS$36 bilion pada tahun 1970 dan AS$380 bilion pada 1980.
            Selain bank swasta, Toussaint dan Millet mendedahkan bahawa Bank Dunia memainkan peranan dalam menjerat negara membangun dengan beban hutang.  Institusi yang diwujudkan di Bretton Woods pada tahun 1944, meningkatkan pinjaman kepada negara Dunia Ketiga  dalam jumlah yang cukup besar sejak tahun 1968 sehingga seterusnya, apabila Robert McNamara ialah ketua Lembaga Pengarah yang mula mengubah dasar Bank Dunia:  menggunakan hutang sebagai senjata geopolitik.  Dari tahun 1968 hingga 1973 (lima tahun), Bank Dunia memberikan lebih banyak pinjaman jika dibandingkan dengan tempoh antara tahun 1945 hingga 1968 (25 tahun). Bank Dunia,   termasuk International Bank for  Reconstruction and Development (IBRD) dan International Development Association (IDA), bersama-sama terlibat dalam pemberian pinjaman, misalnya dari tahun 1945 hingga 2007, IBRD memberikan pinjaman AS$433 bilion kepada pelbagai peminjam, manakala IDA komited dengan sendirinya sebanyak AS$181 bilion.  Pada akhir tahun 2005, Bank Dunia mempunyai AS$200 bilion dalam bentuk kredit yang belum dibayar balik.
            Dalam beberapa krisis hutang yang melanda sesetengah negara, seperti Mexico, negara Asia Tenggara, Rusia, Brazil, Ecuador, Turki, dan Argentina, IMF, bertindak seperti lazim, iaitu menyediakan pinjaman kepada negara berkenaan bukannya untuk tujuan membantu sejumlah besar penduduk yang kesusahan, tetapi untuk menyelamatkan pemiutang kaya yang terlibat dalam pelaburan spekulatif, daripada jatuh muflis.  “Sejak 25 tahun lalu,” tulis Toussaint dan Millet, “IMF, Bank Dunia, Kelab Paris, dan Kelab London, dilihat bahawa dasar yang sama dikekalkan demi mementingkan negara kaya.”
            Dalam  buku ini,  Toussaint dan Millet menyatakan peranan evolusi kadar faedah dalam krisis hutang pada tahun 1982, apabila peningkatan kadar faedah menyebabkan negara Selatan terpaksa membayar balik hutang dengan pendapatan yang kurang akibat kejatuhan harga komoditi.  Mexico negara pertama mengumumkan bahawa negara itu tidak mampu membayar balik hutang, disusuli oleh Argentina dan Brazil.  Krisis hutang pada masa itu melanda sebuah demi sebuah negara Selatan, bahkan negara Eropah Timur, terutamanya Poland, sejuruh kemudian Yugoslavia dan Romania, turut terbabit.  Secara ringkas, krisis hutang tersebut berpunca daripada dua fenomena yang berlaku dalam penggantian yang cepat, iaitu peningkatan yang besar dalam amaun yang perlu dibayar balik disebabkan kenaikan mengejut dalam kadar faedah yang dibuat oleh Washington;  dan kejatuhan harga secara besar-besaran produk yang dieksport dalam pasaran global oleh negara yang berhutang, yang hasil daripada penjualan itu digunakan untuk membayar balik pinjaman mereka dan menghentikan pinjaman bank.
            Krisis kewangan semasa yang melanda dunia turut disentuh oleh kedua-dua penulis, apabila  sejak Ogos 2007, bank-bank Amerika Syarikat dan Eropah sering mendapat liputan berita berhubung dengan krisis yang teruk yang bank berkenaan hadapi yang dikenali sebagai krisis suprima.   Toussaint dan Millet memetik anggaran IMF bahawa jumlah turun nilai yang terpaksa ditanggung oleh bank dan institusi kewangan untuk tahun 2007 – 2010, “termasuk kira-kira AS$1 trilion yang telah lesap, mungkin hampir AS$4.1 trilion terhadap aset yang berasal dari Amerika Syarikat, Eropah, dan Jepun.”
            Sasaran kritikan seterusnya terhadap pelaksanaan penyelarasan struktur oleh IMF dan Bank Dunia yang banyak menimbulkan keperitan hidup rakyat jelata di negara yang terlibat.  Di negara membangun, berikutan ketiadaan upah minimum yang dijamin, kerajaan campur tangan dalam bentuk penyediaan subsidi keperluan asas.  Walau bagaimanapun, kedua-dua badan dunia itu mendesak supaya subsidi tersebut ditamatkan.  Akibatnya, rakyat jelata  terpaksa menanggung kos sara hidup yang lebih tinggi, dan di sesetengah negara, kerana kebuluran, rakyat bangkit mencetuskan rusuhan.
            Sementara pada pihak kerajaan pula, untuk mengimbangkan belanjawan, negara bertindak balas terhadap syarat IMF dan Bank Dunia dengan mengenakan pemotongan drastik dalam perbelanjaan awam, yang dikenali sebagai belanjawan bukan produktif, iaitu pendidikan, kesihatan, perumahan, dan infrastruktur. 
            Selain bank swasta, Bank Dunia, dan IMF, Toussaint dan Millet mendedahkan bahawa Kelab Paris yang ditubuhkan pada tahun 1956 juga berperanan dalam keberhutangan negara membangun. Lima puluh tahun kemudian, Kelab Paris bersama-sama  IMF dan Bank Dunia, menjadi instrumen penting dalam strategi yang dibangunkan oleh negara pemiutang untuk mengekalkan kawalan terhadap ekonomi dunia.  Pada mulanya tidak banyak negara yang berhutang mengadakan perbincangan dengan Kelab Paris yang ditubuhkan dengan tujuan membantu negara Selatan menyelesaikan masalah hutang mereka.  Antara tahun 1956 hingga akhir 1980, hanya 30 perjanjian ditandatangani dengan Kelab Paris. Namun, berikutan krisis hutang pada permulaan tahun 1980-an, Kelab Paris kerap bermesyuarat; antara permulaan 1981 hingga September 2008, 373 perjanjian ditandatangani oleh 83 buah negara penghutang. 
            Oleh sebab banyak negara membangun bergelut dengan hutang, timbul persoalan bagaimana jika hutang tersebut dibatalkan.  Toussaint dan Millet yang menyentuh perkara ini  menegaskan pembatalan  pernah berlaku pada tahun 1776 apabila 13 koloni British di Amerika Utara membentuk Amerika Syarikat, dan menamatkan pergantungan pada kerajaan British.  Pembatalan hutang seperti ini dikenali sebagai enggan membayar hutang.  Kaedah lain pembatalan hutang ialah penimbangtaraan yang menguntungkan dan  pembatalan yang diaku kalah oleh kuasa dominan.
            Walau bagaimanapun, Toussaint  dan Millet membangkitkan bahawa pembatalan hutang negara membangun melibatkan persoalan moral, persoalan politik, persoalan ekonomi, persoalan undang-undang, persoalan alam sekitar, dan  persoalan agama.  Lazimnya, IMF dan Bank Dunia, mengenakan syarat pembatalan hutang, tetapi di negara Selatan yang mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif, mereka juga turut bersuara. 
            Toussaint  dan  Millet menolak kemungkinan pembatalan hutang negara membangun akan mencetuskan krisis kewangan global kerana jumlah hutang awam luaran mereka, seperti yang dinyatakan di atas ialah AS$1.35 trilion, jauh lebih rendah daripada negara tiga serangkai yang pada tahun 2007 bernilai AS$30 trilion – lebih 22 kali ganda.  Sementara hutang Amerika Syarikat (kerajaan, isi rumah, dan perniagaan) ialah AS$49 trilion, atau 36 kali hutang negara membangun yang didesak supaya dibatalkan.  Inilah hakikat yang jelas bahawa hutang awam luaran   negara membangun kurang daripada dua peratus peminjaman global.  Justeru, pembatalan hutang tersebut tidak membahayakan kewangan global. 
            Lebih jauh lagi, kedua-dua penulis mencadangkan kempen antarabangsa untuk membatalkan hutang yang kini merupakan nadi dalam gerakan untuk globalisasi alternatif.  Di negara Dunia Ketiga, tegas mereka, kempen untuk bukan bayaran hutang luaran semakin agam dan popular antara tahun 1982 hingga 1990 di Amerika Latin, benua yang paling terjejas oleh krisis hutang.
            Walaupun dipersembahkan dalam bentuk soal-jawab, buku ini disusun mengikut bab, menjadikan buku ini menarik. Selain itu, jawapan yang dikemukakan adalah terperinci, disokong dengan fakta dan angka.  Untuk memahami krisis hutang zon euro sekarang,  buku wajar dijadikan rujukan. 
          (Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Januari 2012.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...