Artikel Popular

Sunday, August 19, 2012

Pemusnahan Kreatif

Ahad, 19 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Mitos utama abad ke-20 adalah bahawa “kapitalisme rasional.”  Dua orang ahli ekonomi yang banyak mempromosikan idea ini ialah John Maynard Keynes dan Joseph A. Schumpeter. Kedua-duanya memberikan respons terhadap krisis sejarah yang agung kapitalisme yang ditunjukkan dengan jelas dalam Perang Dunia Pertama, Kemelesetan Besar, dan Perang Dunia Kedua.  Demikian tulis John Bellamy Foster dalam Monthly Review pada tahun 2005, yang mendorong kapitalisme mewujudkan semula dirinya dari segi ideologi, di samping dari segi kebendaan. Dari segi keperluan ideologi, dua orang ahli ekonomi yang mencapai perkara ini lebih berkesan ialah ialah Keynes dan Schumpeter, bukan hanya kerana mereka  merupakan contoh unggul terbaik dalam ideologi ekonomi borjuis, tetapi juga kerana mereka wakil utama sains ekonomi borjuis.  Apa yang mereka tetapkan dalam analisis mereka ialah keperluan kapitalisme rasional dan sekurang-kurangnya harapan bahawa keperluan ini akan dicapai.
            Schumpeter yang pernah mengajar di Harvard University, ialah tokoh konservatif yang menentang Keynes dan Keynesianisme.  Beliau mempromosikan pendapat usahawan rasional sebagai intipati kapitalisme, menegaskan pertumbuhan monopoli/oligopoli, meskipun tidak dapat dielakkan, boleh membawa kepada akhirnya kematian kapitalisme.  Masalah kapitalisme, seperti yang beliau percaya, ialah sosiologi, iaitu kematian keadaan luaran yang perlu untuk pembangunan bebas fungsi keusahawanan.  Beliau menulis buku, The Theory of Economic Development dan Business Cycles, tetapi wawasan yang dibangunkan sepenuhnya tentang masa hadapan kapitalisme hanya muncul pada tahun 1942 apabila beliau menerbitkan Capitalism, Socialism, and Democracy yang daripada buku ini dipetik untuk Can Capitalism Survive?:  Creative Destruction and the Future of the Global Economy (Harper Parennial, New York, 2009, 195 hlm., RM36.95).
            Mampukah kapitalisme terus hidup (survive)?  Tanya Joseph Schumpeter dalam prolog buku ini, “Saya tidak fikir kapitalisme mampu,” dan terus menjelaskan, “akan tetapi, ini pendapat saya.”  Tidak memadai dengan penjelasan itu, beliau menambah secara berkias:   “Jika doktor meramalkan bahawa pesakitnya akan mati sekarang, ini tidak bermakna dia ingin pesakitnya itu mati.”  Persoalan yang dibangkitkan oleh Schumpeter hampir 70 tahun yang lalu, dipersegarkan  semula ketika jatuh bebas 2008-2009 apabila kapitalisme  dilanda krisis terburuk selepas Kemelesetan Besar.
            Ahli ekonomi dari Vienna ini pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan pertama Republik  Austria, awal-awal lagi mengakui bahawa atmosfera permusuhan terhadap kapitalisme yang patut dijelaskan kini menjadikan kapitalisme lebih sukar berbanding dengan kapitalisme jika sebaliknya akan membentuk pendapat rasional  tentang prestasi ekonomi dan prestasi budayanya.  Minda keseluruhannya berkembang daripada humor yang dengannya mengutuk kapitalisme.  Seterusnya, Schumpeter menjelaskan bahawa ujian pertama prestasi ekonomi ialah jumlah output, iaitu jumlah komoditi yang dikeluarkan dan perkhidmatan yang disediakan dalam unit masa, iaitu setahun, suku tahun, atau sebulan.    
            Dalam buku ini juga Schumpeter menyentuh aspek pengangguran, tetapi   sukar untuk mengagak pendirian beliau yang sebenar.  Pada mulanya, beliau menulis:  “Peruntukan yang lebih daripada cukup untuk golongan penganggur khususnya, bukan sahaja agak baik, tetapi meringankan beban.” Namun begitu, beliau mengingatkan sikap tidak bertanggungjawab dalam mewujudkan pengangguran dan dalam membiayai sokongan untuk golongan penganggur mungkin pada bila-bila masa mewujudkan masalah yang tidak dapat diselesaikan.  Dalam pada itu, beliau percaya setiap orang bersetuju bahawa pengangguran mesti merupakan satu isu yang paling penting dalam mana-mana perbincangan tentang kapitalisme.
Seterusnya, dengan pantas beliau berhujah:  “Saya tidak fikir pengangguran dalam kalangan kecelakaan, seperti kemiskinan, yang  evolusi kapitalisme  sentiasa boleh membasmikan dengan sendirinya.  Saya juga tidak fikir bahawa wujud mana-mana kecenderungan untuk peratusan pengangguran untuk meningkat dalam jangka panjang.”   Tidak lama kemudian, Schumpeter mengakui bahawa “sama ada berpanjangan ataupun sementara, semakin teruk ataupun tidak, pengangguran tidak disangsikan merupakan dan selalunya menjadi kesengsaraan.  Namun begitu, saya berpendapat tragedi sebenar bukannya pengangguran per se, tetapi pengangguran dicampur dengan mustahilnya menyediakan sokongan dengan secukupnya untuk golongan yang menganggur tanpa mengurangkan keadaan pembangunan ekonomi yang seterusnya (italic oleh beliau). 
Dalam bahagian awalan buku ini, Robert J.  Samuelson daripada Newsweek menulis:  Dianggap  oleh banyak ahli ekonomi sebagai analisis yang paling indah tentang kapitalisme yang pernah ditulis, Can Capitalism Survive? memperkenalkan teori Joseph A.  Schumpeter tentang “pemusnahan kreatif,” menyatakan bahawa dalam ekonomi kapitalis, inovasi baru menghakiskan kedudukan firma yang sudah mapan, tetapi juga menyediakan jalan yang baru dan tidak dapat diramalkan sebelum ini untuk pertumbuhan ekonomi.
Bagi Schumpeter, tumpuan penting untuk digarapkan dalam berurusan dengan kapitalisme kita berurusan dengan proses evolusi.  Justeru, kapitalisme, menurut beliau, adalah mengikut sifat bentuk atau kaedah perubahan ekonomi dan bukan sahaja tidak pernah, tetapi tidak pernah  menjadi pegun. Beliau juga menjelaskan proses pemusnahan kreatif yang merupakan fakta penting tentang kapitalisme.  Proses ini ialah apakah kapitalisme terdiri daripada dan apakah setiap kapitalis prihatin untuk hidup dengan proses itu.   Pemusnahan kreatif seperti yang dibahaskan  oleh Schumpeter melibatkan pasaran dan organisasi dalam proses yang berterusan:  “Pembukaan pasaran baru, asing dan tempatan, dan pembangunan organisasi daripada kedai kraf dan kilang kepada perniagaan, seperti U.S. Steel menjelaskan proses sama mutasi perindustrian jika saya boleh menggunakan istilah biologi, yang merevolusikan secara berterusan sktruktur ekonomi dari dalam (italic oleh beliau), secara berterusan memusnahkan yang lama, secara berterusan mencipta yang baru.” 
Keraguan terhadap campur tangan kerajaan dikatakan bergerak seiringan dengan teori keusahawanan yang sangat berpengaruh yang dibina oleh Schumpeter bahawa kapitalisme mengandungi gelombang inovasi ketika makmur, disusuli oleh keadaan mengangin yang teruk (brutal winnowing) ketika kemelesetan.  Keadaan mengangin ini pastinya  tidak boleh dielakkan dan tidak boleh diminimumkan.  Keadaan ini memang menyakitkan, tetapi pelarasan positif yang mereka yang selamat akan mewujudkan orde ekonomi baru.    Beliau melihat kitaran melambung-pecah (boom-bust cycles) yang kedua-duanya melibatkan penciptaan modal baru dan  pemusnahan modal lama sebagai tidak boleh dipisahkan daripada kemajuan.
Seterusnya, Joseph Schumpeter membahaskan pemusnahan kreatif dalam konteks yang lebih khusus, iaitu dalam amalan monopoli dan persaingan sempurna.  Antaranya, beliau menjelaskan bahawa perniagaan lama dan industri mapan, sama ada diserang secara langsung ataupun tidak, masih hidup dalam dekah saka (perennial gale).   Situasi muncul dalam proses pemusnahan kreatif yang  banyak firma yang terpaksa musnah yang meskipun begitu, mampu untuk hidup secara bertenaga dan sihat dan berguna jika firma itu mampu menempuh keributan tertentu.
Beliau percaya bahawa kaedah pengeluaran baru atau terutamanya komoditi baru, tidak menganugerahkan monopoli per se, bahkan jika digunakan atau dikeluarkan oleh firma tunggal.  Hal ini demikian kerana produk daripada kaedah baru terpaksa bersaing dengan produk daripada kaedah lama dan komoditi baru perlu diperkenalkan, misalnya jadual permintaannnya perlu dibina. 
Persaingan sempurna, iaitu  kemasukan bebas dalam setiap industri menggalakkan kecekapan kerana amalan sedemikian itu merupakan syarat peruntukan optimum sumber, dan dengan itu, memaksimumkan output.  Namun begitu, Schumpeter mengakui bahawa  kemajuan ekonomi tidak secocok dengan persaingan sempurna.  Hal ini demikian kerana, pengenalan kaedah baru pengeluaran dan komoditi baru jarang-jarang sekali dapat difikirkan dengan sempurna, dan tepat secara sempurna, iaitu persaingan sejak mula-mula lagi.  Hakikatnya, persaingan sempurna  merupakan dan selalunya digantung sementara waktu bila-bila jua sesuatu yang baru diperkenalkan.
 Schumpeter juga mengakui bahawa peluang untuk perusahaan dan pelaburan swasta akan terhapus dengan mengemukakan beberapa alasan utama:  ketepuan, penduduk, tanah baru, kemungkinan teknologi, dan keadaan apabila banyak peluang pelaburan yang wujud dimiliki oleh sfera awam berbanding dengan pelaburan swasta. 
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Joseph Schumpeter terkenal dengan teori keusahawanan, tetapi beliau juga menjelaskan keusangan fungsi keusahawanan dengan mengemukakan andaian yang tidak realistik, iaitu kaedah pengeluaran mencapai keadaan sempurna sehingga tidak menerima penambahbaikan seterusnya.  Lebih kurang, bahas beliau, “keadaan statik atau kaku   menyusul.  Kapitalisme yang pada dasarnya merupakan proses evolusioner akan menjadi atrofik.”  Sehubungan dengan itu, Schumpeter mengingatkan fungsi usahawan adalah untuk melakukan pembaharuan atau merevolusikan pola pengeluaran dengan mengeksploitasikan rekaan, atau lebih secara umum, kemungkinan teknologi yang tidak dicuba untuk  mengeluarkan komoditi baru atau mengeluarkan komoditi lama dengan cara baru, dengan membuka sumber baru bekalan bahan atau saluran baru untuk produk, dengan mengatur semula industri, dan seterusnya.
  Melihat krisis kewangan dan kemelesetan  masa kini, banyak orang bersetuju bahawa kapitalisme berada di hujung perjalanan. Namun begitu, seperti yang Schumpeter jelaskan, kematian kapitalisme dapat dielakkan dengan mewujudkan pertumbuhan dinamik yang memerlukan inovasi dan turun naik yang konstan yang merupakan intipati kapitalisme.     Proses kapitalis bukan sahaja memusnahkan rangka institusinya sendiri, bagi beliau,  “tetapi juga mewujudkan keadaan untuk yang lain.  Pemusnahan mungkin perkataan yang tidak betul.  Mungkin saya patut bercakap tentang transformasi.”
Sebagaimana John Maynard Keynes,  Joseph Schumpeter – kedua-duanya pendukung ideologi ekonomi borjuis,  berusaha menyelamatkan  kapitalisme apabila beliau berhujah:  “Integrasi perindustrian jauh daripada lengkap.  Persaingan, sebenar dan potensi, masih merupakan faktor utama dalam mana-mana situasi perniagaan.  Perusahaan masih aktif, kepimpinan kumpulan borjuis masih merupakan penggerak utama proses ekonomi.  Golongan kelas menengah masih merupakan kuasa politik.  Standard borjuis dan motivasi borjuis, meskipun semakin dilemahkan, masih hidup.”    
(Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, September 2011.)   

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...