Artikel Popular

Sunday, January 1, 2012

Meneruskan Kerja yang Belum Selesai

AHAD, 1 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


(Para pembaca yang budiman, sempena tahun baru 2012, saya memilih ulasan buku Samir Amin, The Law of Worldwide Value yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Oktober 2011 sebagai penghormatan kepada beliau yang genap usianya 80 tahun baru-baru ini.  Tentang beliau, John Bellamy Foster telah menulis dalam Monthly Review, Oktober lalu, di bawah tajuk, "Samir Amin at 80:  An Introduction and Tribute."  Memang menjadi harapan saya untuk terus mengikuti tulisan dan pemikiran Samir Amin dan mengetengahkannya kepada para pembaca untuk dikongsi bersama. SELAMAT  TAHUN BARU - Zulkifli  Salleh.)

Buku ini, The Law of Wordwide Value, tebalnya kurang daripada 150 halaman, tetapi untuk menyudahkan pembacaan memerlukan masa yang agak lama.  Membaca tulisan  Samir Amin, sebagaimana juga membaca tulisan sahabatnya, Immanuel Wallerstein,  memang sesuatu yang amat bernilai dan berbaloi.  Akan tetapi,  membaca buku  terbaharu beliau, memang menuntut ketekunan dan kesabaran para pembaca.  Buku ini sebenarnya semakan secara meluas dan diperkembangkan daripada buku yang pada mulanya diterbitkan sebagai The Law of Value and Historical Materialism (New York:  Monthly Review Press, 2010, 144 hlm. RM60.60). Dalam edisi baru ini, Samir Amin mengemukakan pendekatan baru untuk analisis Marxian tentang krisis sistem kapitalis lewat berhubung dengan oligopoli digeneralisasikan, dikewangankan, dan diglobalisasikan, berikutan keruntuhan kewangan tahun 2008.
         Dalam pengenalan edisi bahasa Inggeris, Samir Amin menegaskan bahawa Karl Marx merupakan permulaan kritikan radikal tentang zaman moden, bermula dengan kritikan tentang dunia sebenar.  Kritikan radikal ini tentang kapitalisme menuntut dan membolehkan penemuan asas pengasingan (alienation) pasaran, tidak dapat dipisahkan daripadanya, eksploitasi buruh.  Marx, bahas Amin, menghubungkan kritikan dunia sebenar ini dengan kritikan wacana tentang realiti itu.
        Samir Amin mengesyorkan  bahawa untuk menjadi “Marxis” adalah untuk meneruskan kerja yang Marx hanya mulakan, meskipun permulaan itu adalah tentang kuasa yang tidak ditandingi.  Usaha tidak boleh berhenti pada Marx, tetapi memulakannya daripada beliau, dan inilah yang tersurat dalam penerbitan edisi baru buku Samir Amin ini.  Penulisan  Amin  bertitik tolak daripada buku Capital Marx (Jilid I, II, dan III),  dan beliau mengingatkan tanpa konsep nilai, maka tiada makna terhadap konsep pengumpulan modal.  Justeru, beliau mengemukakan tiga tahap dalam transformasi nilai dalam harga pengeluaran, harga pasaran, dan harga diglobalisasikan.  Bagi beliau, mustahil untuk “memahami dunia” melalui analisis realistik tentang benar-benar kewujudan kapitalisme di luar rangka kerja yang dijejaki oleh pengolahan transformasi nilai ini.
        Setelah membincangkan bagaimana nilai diwujudkan dalam pengeluaran secara terperinci dengan menggunakan kaedah statistik,  Samir Amin  mengemukakan empat tesis yang memberikan tumpuan terhadap pertalian dalam kalangan hukum pengumpulan kapitalis (ekonomi) pada satu pihak, dan perjuangan sosial dalam maksud yang lebih luas, pada satu pihak yang lain.  Seterusnya, beliau mengingatkan bahawa kapitalis sentiasa mencuba untuk menaikkan nilai kadar lebihan.
        Apabila Samir Amin memberitahu bahawa tujuan beliau menghasilkan edisi baru ini adalah untuk meneruskan kerja Marx yang belum selesai, persoalan segera yang muncul adakah pemikiran Marx masih relevan?  Berakhirnya  Perang Dingin runtuhnya Kesatuan Soviet, pemikiran Marx dikatakan menjadi usang, manakala golongan Marxis terpaksa berundur.  Saki-baki yang ada terpaksa berkubu di tempat tertentu, antaranya di Monthly Review untuk meneruskan sisa-sisa perjuangan.
       Namun, Marx tidak dapat tidur nyenyak di kuburannya kerana selepas kekalahan itu, kapitalis pula  dilanda satu demi satu krisis, dan yang terbaharu krisis kewangan 2007 – 2009 yang mengheret dunia ke kancah kemelesetan yang terburuk sejak Kemelesetan Besar.  Memetik sejarawan Eric Hobsbawm, “sosialis muflis, kapitalis krisis.”  Berikutan krisis itu, seperti yang pernah dibangkitkan oleh Nouriel Roubini dan Stephen Mihm dalam buku Crisis Economics:  A Crash Course in the Future of Finance, “John Maynard Keynes menjadi ikut-ikutan orang ramai, demikian juga dengan Joseph Schumpeter, Hayman Minsky, Irving Fisher, dan bahkan Karl Marx.  Kemunculan mereka secara tiba-tiba adalah signifikan, jika menjadi petanda:  semua menjadikan kesan mereka mengkaji bagaimana kapitalisme boleh runtuh dalam krisis.”  Di tengah-tengah krisis kewangan melanda dunia, gambar Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy  dilukis sedang membaca  Das Capital Karl Marx,  walaupun beliau merupakan penganut setia pasaran bebas.

        Persoalan seterusnya, ialah kerelevanan konsep nilai yang menjadi teras buku ini.  Bagi Amin, pengenalpastian nilai sebagai paksi pusat untuk analisis kritis ekonomi kapitalisme, dan dengan itu, kehadirannya, disembunyikan oleh fungsi transformasinya ke dalam harga yang diperhatikan, bukannya tanpa masalahnya.     Beliau menyedari wujud  pandangan bahawa hukum nilai adalah “usang.” Hukum itu diterapkan untuk fasa pembuatan perindustrian, dengan sendirinya menjadi ketinggalan zaman oleh pembentukan “kapitalisme kognitif” sezaman. Dalam hubungan ini, beliau berhujah bahawa ciri penting kapitalisme hari ini sebagaimana semalam, berasaskan hubungan sosial memperoleh dominasi modal dan eksploitasi tenaga buruh yang bersekutu dengannya. Untuk seketika, beliau terpaksa membahaskan konsep kapitalisme kognitif yang ciptaannya terletak  pada penyerahan kepada kaedah ekonomi  kasar yang berasaskan “ukuran” produktiviti khusus “faktor pengeluaran” (buruh, modal, dan alam). Kapitalisme kognitif merupakan oksimoron,  isytihar Samir Amin untuk menunjukkan  beliau terhadap konsep itu.
        Jilid I Capital, seperti yang dinyatakan oleh Samir Amin, ialah asas hukum nilai, manakala dalam Jilid II, Marx menumpukan perhatian pada hujah “ekonomi” semata-mata: cuba menunjukkan bahawa pengumpulan boleh berlaku dalam sistem kapitalis “tulen,” dan untuk menunjukkan keadaan teknikal untuk keseimbangan dinamik.  Sementara dalam Jilid III Capital, Amin dapat mengesani bahawa bahasa Marx mengalami perubahan secara tiba-tiba.  Bahasanya tidak lagi mempersoalkan fetisyisme dan pengasingan komoditi, atau  nilai tenaga buruh dan nilai lebihan.  Marx berbicara tentang kelas sosial kerana mereka muncul dalam realiti konkrit dan beliau mula pergi melampaui ekonomi politik dan membangunkan hujahnya dari segi materialisme sejarah.
        Walau bagaimanapun, Samir Amin mengakui bahawa teori yang dikemukakan oleh Marx itu tidak cukup kerana beliau tidak menunjukkan apa-apa kesukaan untuk menggunakan “penawaran dan permintaan,” dan apabila Marx melakukannya, beliau biasanya membangkitkan soalan dari mula lagi, “apakah kuasa sebenar menentukan penawaran dan permintaan ini? Di sini, bahas Amin, “kita tidak menemui apa-apa semacam itu.  Teori tidak lengkap sejak mula lagi lantai dan siling yang dibincangkan itu masing-masing terlalu rendah dan terlalu tinggi.”  Tambah beliau lagi, “kadar faedah tidak boleh sifar kerana jika demikian, maka tidak wujud pemberi pinjaman.  Kadar faedah tidak boleh sama dengan kadar keuntungan kerana dengan itu, kapitalis produktif akan berhenti untuk mengeluar, dan dengan itu, mereka tidak akan meminjam.
        Memetik kritikan radikal ekonomi politik yang dimulakan oleh Marx, maka Amin menegaskan bahawa kapitalisme bukan hanya dinyatakan semata-mata menerusi harta persendirian dalam makna sebenar pengeluaran.  Kapitalisme juga sama-sama dinyatakan  instrumen pemilikan berbanding dengan harta “sebenar” ini. Dalam bahagian lain, Amin menjelaskan bahawa kapitalisme tidak semuanya wujud dalam imaginasi pendeta atasannya.  “Kapitalisme melalui pengeraman yang lama, tujuh hingga 10 abad sebelum Revolusi Perancis dan Revolusi Perindustrian, melibatkan semua masyarakat Afro-Eurasian, dari China ke Timur Tengah ke kota-kota Italy, sehingga kapitalisme akhirnya tergumpal ke dalam bentuk sejarahnya, iaitu kapitalisme Eropah.”  Kapitalisme juga, menurut beliau, jauh daripada menetap, seperti yang terbentuk dalam “berakhirnya sejarah,” tetapi parentasis ringkas dalam sejarah.
       Dalam buku ini, Amin juga menjelaskan konsep yang diperkenalkan oleh Marx, iaitu pengasingan (alienation) yang menurut Amin, “seperti zaman terdahulu, pengasingan dunia kapitalis moden, mengasingkan ‘roh daripada jasad’ dan memberikan keutamaan kepada roh (hari ini, harta) berbanding dengan jasad (hari ini, buruh).
       Berikutan berlakunya krisis kewangan semasa,  banyak tumpuan diberikan terhadap financialization, seperti yang lazim diperkatakan bukan sahaja tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sebenar, tetapi turut menyebabkan krisis kewangan semasa.   Financialization,  bukan sekadar menyediakan satu-satu kemungkinan saluran keluar tunggal untuk modal lebihan, tetapi juga  menyediakan satu-satu rangsangan untuk pertumbuhan yang lembap yang diperhatikan sejak tahun 1970-an.  Untuk menggulung balik financialization hanya akan melemahkan lagi pertumbuhan ekonomi “sebenar.”  Walau bagaimanapun, Amin  mengingatkan bahawa  financialization yang tidak dapat dielakkan ini meningkatkan keadaan mudah terjejas keseimbangan global dan menambah kejadian “krisis kewangan” yang seterusnya dipindahkan kepada ekonomi sebenar.
        Bagi Amin, seperti yang dijelaskan dalam “Bab Tiga:  Sewa Tapak,”  Marx memberikan jawapan mudah  kepada soalan bagaimana sewa ditentukan, iaitu merujuk realiti ekonomi sahaja. Marx menyatakan bahawa adalah perbezaan dalam komposisi organik modal yang rendah dalam pertanian yang menentukan nilai yang dikekalkan oleh tuan tanah.  Dalam buku ini, dinyatakan bahawa yang tidak kurang menarik, ialah konsep teoretis Amin tentang “sewa imperialis” yang diperoleh daripada penskalan upah yang berbeza secara radikal yang dibayar untuk buruh yang sama di negara Utara dan Selatan, yang kesan adalah untuk menyediakan modal Utara dengan untung yang cukup untuk membolehkannya meredakan untuk tempoh yang panjang persengketaannya dengan golongan proletariat Utara.  Beliau menjelaskan bahawa sewa imperialis benar-benar sama dan  hingga  tidak boleh dipisahkan yang dihubungkan  dengan hak istimewa monopolistik lain, khususnya yang melibatkan akses kepada teknologi, komunikasi, dan kepada persenjataan pemusnahan besar-besaran.
       Membaca mana-mana buku Samir Amin, lazimnya  para pembaca akan disajikan perbincangan tentang kapitalisme, pengumpulan modal,  pertukaran tidak seimbang, dan sistem dunia.  Amin mengakhiri bukunya ini dengan mengajak para pembaca mengadili, sama ada teori sistem kapitalis dunia dan hukum  nilai diglobalisasikan adalah  bernilai (roadworthy), secara betul memperkembang karya Marx,  dan menghormati semangat karya berkenaan. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...