Artikel Popular

Tuesday, May 31, 2011

Pasaran atau Tilam?

RABU,  1 Jun 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Jangan keliru.  Makalah ini bukan tentang tilam dan katil atau tilam dan bantal untuk tidur yang selesa.  Bukan juga kisah tilam yang diusung ke sana ke mari semasa perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira 10 tahun lalu.  Tetapi, makalah ini berkait dengan memilih tempat yang selamat untuk menyimpan wang ketika krisis kewangan global.  Selamat daripada kerugian, selamat daripada penipuan, dan selamat daripada kecurian.

Sejak pertengahan September lalu, pasaran saham dunia terus merudum, dan tidak dapat diingat bilakah kali terakhir pasaran saham melonjak secara berpanjangan.  Dengan merujuk kepada kejatuhan pasaran saham pada 6 Oktober, sesetengah penganalisis merumuskan dengan amat tepat:  “Hari ketakutan melanda pasaran.  Tidak ada orang yang ingin membeli saham, dan  sekali lagi, tidak ada orang yang ingin meminjamkan wang mereka.” Ketika Barack Obama “ditabalkan” sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44 pada 20 Januari lalu,  indeks Purata Industri Dow Jones (Dow) jatuh sebanyak 332.13 mata (4.01 peratus), iaitu kepada 7949.09 mata, meskipun melonjak sebanyak 279.01 mata (3.51 peratus) kepada 8228.10 pada hari berikutnya.  

Ribut ketakutan yang membadai  Lehman Brothers  tidak menunjukkan tanda akan reda. Obama dilaporkan mungkin memohon tambahan berbilion-bilion dolar daripada wang pembayar cukai untuk memperkukuh sistem perbankan Amerika Syarikat selepas beberapa penasihat penting beliau memberi amaran bahawa pakej penyelamat semasa bernilai AS$700 bilion tidak cukup untuk menyelamatkan masalah kewangan yang terus-menerus melanda negara itu. Bilangan institusi kewangan yang muflis,  diselamatkan atau dimiliknegarakan oleh kerajaan masing-masing  tidak terhitung banyaknya, dan yang terbaru  melibatkan Lloyd Banking Group dan Royal Bank of Scotland. 

Banyak yang melabur sejak beberapa tahun menanggung kerugian nilai bersih dalam sekelip mata.  Dikatakan bahawa ada yang ingin merangkak ke bawah tanah, menutup pintu, dan tidak ingin keluar sehingga isyarat yang jelas kedengaran.  Menurut  Bloomberg.com, Profesor Nouriel Roubini dari New York University meramalkan  bahawa akibat krisis kredit, institusi  Amerika menanggung   kerugian hampir AS$3.6 trilion, dengan separuh daripadanya terdiri daripada bank dan peniaga broker.  Sejak runtuhnya pasaran gadai janji subprima pada tahun 2007, kerugian dan penurunan nilai dalam syarikat kewangan di seluruh dunia lebih daripada AS$1 trilion.  Forbes.com pula melaporkan bahawa tahun 2008 sangat menakutkan orang terkaya di dunia apabila pasaran dan mata wang di seluruh dunia lintang-pukang.  Lebih 300 orang daripada 1125 jutawan yang diselaraskan dalam senarai tahunan Forbes pada Mac 2008 mengalami kerugian sekurang-kurangnya AS$1 bilion; berbelas-belas jutawan kerugian lebih AS$5 bilion.  Sepuluh orang terkaya dalam senarai 2008 merosot kekayaan kira-kira AS$150 bilion. Menurut laporan akhbar The Guardian, setiap pembayar cukai yang berjumlah 31 juta orang di Britain lenyap sebanyak 38,700 paun sterling sejak bermulanya kerkah kredit (credit crunch), apabila harga rumah menjunam, dan jualan drastik dalam pasaran saham telah menghapuskan 1.2 trilion paun sterling kekayaan negara itu.

Di tengah-tengah raksasa yang makan Wall Street”,  pada pertengahan Disember lalu komuniti pelaburan khususnya dan masyarakat umumnya dikejutkan dengan skim Ponzi Amerika Syarikat  yang dikendalikan oleh Bernard Madoff, bekas Pengerusi Pasaran Saham Nasdaq.  Senarai pelabur yang terlibat dalam skim ini terdiri institusi perbankan besar di dunia dan dana lindung nilai,  golongan kaya dan terkenal,  pesara, dan pertubuhan amal.  Antara mangsa yang tertipu dalam skim pelaburan ini  ialah usahawan ulung hartanah, Mortimer Zuckerman, yayasan pemenang Nobel, Elie Wiesel, dan pengarah filem Steven Spielberg. Dalam kalangan  institusi perbankan terbesar pula   ialah HSBC Holdings, Royal Bank of Scotland, dan Man Group (ketiga-tiganya dari Britain),   Grupo Santander SA (Sepanyol),    BNP Paribas (Perancis), dan   Nomura Holdings (Jepun),  semuanya dilaporkan  menjadi mangsa skim Ponzi Madoff yang dikatakan bernilai AS$50 bilion. 

Sesetengah pelabur mengatakan bahawa mereka telah dilesapkan, manakala yang lain bersedia untuk muncul memberikan keterangan.  “Ramai orang yang canggih yang terpedaya,” kata Harvey Pitt, bekas pengerusi Securities and Exchange Commission, badan kawal selia yang bertanggungjawab memantau dana pelaburan seperti yang dikendalikan oleh Madoff.
Pelabur, baik institusi mahupun individu mencurahkan berbilion-bilion dolar ke dalam dana pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan, iaitu digit berganda tahunan.  Memang menakjubkan kerana banyak orang yang berakal dan bukannya naif, yang menjadi mangsa Madoff. Jika pelabur yang bijak, termasuk  jutawan   tertipu, apatah lagi pelabur kecil yang ingin mencuba nasib dalam pasaran. Kegagalan pihak kawal selia  mengesan skim ini lebih awal mungkin mendorong orang ramai bertanya kepada siapa lagi mereka boleh menaruhkan kepercayaan bahawa pelaburan atau simpanan mereka terjamin. “Ini menjadikan penguatkuasaan undang-undang agensi kawal selia di Amerika kelihatan tidak masuk akal sama sekali,” kata Bradley Simon, peguam New York yang mengkhusus dalam jenayah kolar putih.

Pada umumnya,  bank tempat yang paling selamat untuk menyimpan wang jika dibandingkan dengan tempat lain.  Lagipun, menyimpan wang di bank lebih produktif, iaitu “wang menghasilkan wang” berbanding dengan menyimpan wang di bawah tilam. Namun, timbul ketakutan yang diperkukuhkan oleh masalah baru dalam kalangan bank Amerika, Eropah, dan di negara-negara lain seolah-olahnya bank akan lenyap. Sejak berlakunya krisis kewangan, banyak bank yang muflis, dan ini  melahirkan tanggapan bahawa bank bukan lagi tempat yang selamat untuk menyimpan wang. 

Kini,  bank tidak percaya bahawa penghutang, seperti syarikat dan individu akan membayar balik pinjaman.  Oleh itu, bank berhenti daripada memberikan pinjaman.  Para pelabur pula tidak percaya bahawa syarikat berupaya menghasilkan keuntungan dalam masa terdekat, dan oleh itu, mereka berhenti melabur.  Orang biasa tidak percaya bahawa rumah yang mereka beli akan bernilai seperti yang mereka bayar untuk membelinya dalam tempoh setahun, malah dalam beberapa bulan.  Maka, mereka keberatan untuk membeli rumah. 

Dalam hubungan ini, Linda Chavez, pengerusi Center for Equal Opportunity, organisasi penyelidikan dasar awam di  Sterling, Amerika, mencadangkan supaya kepercayaan dipulihkan.  “Kelunturan kepercayaan merebak  dengan sendiri.  Kesangsian menjadi pengabadian sendiri dan berjangkit.  Cabaran sekarang bagaimana cara terbaik memulihkan kepercayaan, dan melakukannya dengan cara tidak menjejaskan kebebasan atau kecekapan pasaran.”

Apabila pasaran saham lintang-pukang seperti yang berlaku sejak beberapa bulan lalu, para pelabur ingin keluar dari pasaran.  Mereka tidak tahan lagi menanggung kesakitan.  Mereka tidak ingin mengetahui apa-apa tentang sama ada pelaburan berisiko atau tidak.  Para pelabur dihantui oleh sesuatu yang sedang berlaku, iaitu kemelesetan, meskipun mungkin tidak seburuk Kemelesetan Besar. Alan Greenspan, bekas pengerusi Lembaga Rizab Persekutuan menyebut bahawa keadaan panik dalam pasaran diibaratkan nitrogen cecair yang berupaya membawa kemusnahan dengan pantas. 

Pelabur dan jutawan terkenal, Warren Buffett dalam wawancara “Dateline NBC” berkata bahawa Amerika Syarikat terjerumus dalam “Pearl Harbor ekonomi”.  “Penduduk Amerika,” menurut Buffett, pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway Inc., “dalam kitaran ketakutan yang menyebabkan orang ramai enggan berbelanja dan enggan melabur, dan menyebabkan semakin takut.  Kita akan mengatasinya, tetapi memerlukan masa.”  Nasihat beliau yang sering dipetik, iaitu  “seseorang itu patut berasa takut ketika orang lain tamak, dan dia patut tamak ketika mereka takut” tidak lagi dapat meyakinkan para pelabur.

Di manakah bahagian paling bawah? Soalan yang sering dikemukakan oleh para pelabur yang mencari kepastian untuk melabur apabila pasaran saham merudum, tetapi soalan ini sukar dijawab.  Kalaupun ada yang memberikan jawapan hanya sekadar ramalan dengan andaian tertentu. Tetapi,   para pelabur diingatkan supaya berhati-hati dengan ramalan pasaran, malahan ramalan yang dibuat oleh pakar.  Seperti yang pernah dilaporkan,  apabila tahun 2008 bermula, ahli strategi daripada 12 buah firma  besar Wall Street meramalkan tahap penutup dan perolehan indeks Standard and Poor’s 500 (S&P). Secara purata, ramalan untuk harga tahun berakhir 1640 dan perolehan AS$97.  Realitinya, S&P menutup tahun 2008 pada 903, dan perolehan dianggarkan pada AS$50.  Ahli strategi tidak selalunya silap, tetapi mereka secara tekal bertaruh tahun demi tahun bahawa pasaran meningkat, biasanya kira-kira 10 peratus, dan ini tidak selalunya tepat. 

Christine Benz dalam Morningstar.com menyatakan: “Apabila wang anda menghadapi risiko dalam pasaran saham, maka ada teori, dan kemudian ada realiti.  Dari segi teori, lebih baik menjadi pembeli ketika pasaran jatuh kerana anda mampu membeli lebih banyak ketika harga rendah.  Tetapi, apabila harga saham kian jatuh hari demi hari, seperti akhir-akhir ini, lebih mudah melihat nilai yang merosot dalam portfolio kita dan mahu mencampakkan teori itu.”
Untuk memulihkan keyakinan dan kepercayaan  para pelabur, Jon Birger dan rakan-rakannya dalam Fortune Special Issue: Investor’s Guide 2009 menasihatkan:  “Jangan tunggu bahawa detik sempurna apabila pasaran tenggelam hingga ke paras mutlak.  Ini kerana pada masa itu anda pasti harga mencecah kedudukan itu, detik telah berlalu, dan anda terlepas lantunan yang dramatik.”  Sejak Perang Dunia Kedua, indeks S&P melambung secara purata 32 peratus ketika sembilan bulan berikutan pasaran beruang (bear market): “Ini bermakna bahawa jika anda berkecuali daripada melabur, kemungkinan besar anda akan terlepas peluang untuk memperoleh laba yang besar.  Dalam kebanyakan keadaan, lebih baik membeli saham awal sedikit, dan menanggung beberapa kerugian kertas daripada melabur terlalu lewat.”  Ada yang mencadangkan supaya para pelabur melupakan sekejap kacau-bilau dalam dunia perniagaan.  Sebaliknya, dengan melihat masa  dan sabar, mereka  mungkin mahu mempertimbangkan pasaran dengan teliti.   

Ketika riang dan penuh semangat tidak rasional, para pelabur berlumba-lumba memasuki pasaran.  Ketika kebimbangan dan ketakutan yang rasional, seperti yang berlaku kini, mereka berlumba-lumba meninggalkan pasaran.  Ini kerana, bagi mereka, pasaran bukan tempat yang selamat untuk menaruh wang mereka.  Risiko kerugian serta penipuan terlalu tinggi.  Sebagai alternatif, mereka  mengutamakan wang tunai di tangan atau dengan kata lain, menyimpannya di bawah tilam, meskipun mungkin berlaku kecurian dan kebakaran.  Lebih baik wang musnah di tangan  sendiri daripada dibiarkan musnah di tangan orang lain.
            
          (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Mac 2009.)



Monday, May 30, 2011

Marx, Lenin, dan Luxemburg

SELASA, 31 Mei 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sempena Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, saya terfikir-fikir untuk menulis sesuatu untuk kaum buruh yang banyak mengukir sejarah dunia. Juga tentang kedinamikan mereka sebagai kuasa sosial, sebagaimana kedinamikan kaum tani di banyak negara Dunia Ketiga. Namun, tulisan ini bukannya tentang buruh secara langsung, tetapi tentang pemikiran tiga tokoh yang boleh dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan buruh, iaitu Karl Marx, V.I. Lenin, dan Rosa Luxemburg. Antara ketiga-tiga itu, Marx lebih menonjol kerana beliau dianggp sebagai ahli falsafah sosial dan ekonomi, meskipun Lenin pernah menerajui Revolusi Rusia dan ungkapan beliau yang sentiasa dipetik, “What is to be Done?” Dalam Dewan Masyarakat saya pernah mengulas buku Karl Marx dan Friedrich Engels, Communist Manifesto (dengan pengenalan David Harvey) yang telah dimasukkan dalam blog ini, “Dokumen Sejarah.” Demikian juga dengan buku Rosa Luxemburg, iaitu The Accumulation of Capital dan The Rosa Luxemburg Reader yang (diedit oleh Peter Hudis dan Kevin B. Anderson) yang pernah ulas dalam majalah yang sama, Jun 2005, “Legasi Luxemburg.”

Memilih ketiga-tiga tokoh itu untuk penulisan sempena Hari Pekerja, sepintas lalu seakan-akan “mengada-ngada” yang boleh membangkitkan persoalan apakah kerelevanannya? Kewajaran saya menulis Marx, Lenin, dan Luxemburg adalah kerana saya menemui tulisan terbaharu tentang dalam mereka: Marx dalam The Guardian, Lenin dalam MRZine, dan Luxemburg dalam The Nation. Sejak 4 April lalu, akhbar tersebut setakat ini menerbitkan lapan bahagian makalah yang ditulis oleh Peter Thompson, iaitu “Part 1: Religion, the Wrong Answer to the Right Question,” “Part 2: How Marxism Came to Dominate Socialist Thinking,” “Part 3: Men Make Their Own History,” “Part 4: 'Workers of the World, Unite!',” Part 5: The Problem of Power,” “Part 6: The Economics of Power,” “Part 7: The Psychology of Alienation,” dan “Part 8: Modernity and the Privatisation of Hope.”

Sementara Prabhat Patnaik, ahli ekonomi Marxis di India, baru-baru ini muncul dengan “Lenin and Keynes” dan Vivian Gornick dengan “History and Heartbreak: The Letters of Rosa Luxemburg” untuk edisi bercetak The Nation 2 Mei yang diperoleh lebih awal dalam talian.

Dalam bahagian pertama, seperti yang dibahaskan oleh Peter Thompson, pertimbangan Marx tentang agama, politik, ekonomi, dan masyarakat secara keseluruhan bukan hanya semata-mata latihan falsafah, tetapi percubaan aktif untuk mengubah dunia, untuk membantu dunia mencari inti baru. Ahli falsafah, menurut Marx, hanya mentafsirkan dunia dalam pelbagai cara; persoalan penting adalah untuk mengubah dunia.”

Makalah ini tidak bertujuan mengupas satu demi satu bahagian yang ditulis oleh Peter Thompson itu; sebaliknya memilih beberapa bahagian yang difikirkan sesuai dan relevan. Dalam bahagian empat, Thompson menumpukan penulisannya terhadap Communist Manifesto dengan menyatakan isu utama adalah bahawa kapitalisme mewujudkan keadaan untuk kejatuhannya sendiri. Buku yang terbit pada tahun 1848, bahas beliau “kemungkinan dibaca secara meluas dan dokumen politik yang paling berpengaruh pada zaman moden, tetapi juga kemungkinan paling disalahfahami dan disalahpetikkan.” Bagi Marx, hal ini bukan hanya persaingan politik, tetapi adanya pertentangan struktur yang “tidak dapat tidak membawa kemenangan kepada proletariat” menewaskan borjuis yang membangunkan kuasa produktif, yang mencipta “penggali kubur” mereka sendiri. Walau bagaimanapun. Thompson mengakui bahawa kemungkinan terlalu awal untuk mengatakan, sama ada ramalan Marx penggulingan yang tidak dapat dielakkan terhadap golongan borjuis adalah betul, tetapi kuasa para pekerja bersatu untuk memperoleh konsesi daripada negara melalui pembaharuan sosial adalah sesuatu yang Marx tidak bersusah payah untuk melakukannya dalam manifesto. Beliau memetik seruan adalah mudah: Pekerja dunia, bersatu!

Di sini, elok dirujuk komen atau pandangan ringkas tentang buku Communist Manisfesto oleh Rustam A. Sani dalam dalam bukunya, Menjelang Reformasi. Dalam bab “Kapitalis Baru atau yang Sama,” Rustam sempena sambutan 150 tahun buku itu, menyatakan “salah satu kesan berakhirnya Perang Dingin yang menandakan runtuhnya projek politik sistem kapitalis terencana secara pusat (yang mendakwa diilhamkan oleh Marx) di Kesatuan Soviet ialah terdapatnya penafian terhadap sosial Marx pada keseluruhannya.


Merujuk nama yang diberikan, iaitu “Era Pasca-Marx,” Rustam cuba menyangkal pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa “salah satu ‘kelemahan’ pengajaran ilmu ekonomi di pusat-pusat pengajian tinggi kita ialah kerana ekonomi Marx masih diajarkan sebagai suatu perspektif yang diterapkan dalam memahami realiti ekonomi masa kini.” Sebaliknya, hujah Rustam, dalam pelbagai kalangan pemikir ilmu ekonomi hari ini, pelbagai aspek teori ekonomi Marx didapati masih merupakan alat teoretis yang berguna bagi memahami pelbagai ekonomi global – baik secara langsung mahupun melalui jalur pemikiran yang kuat yang dipengaruhi atau diilhami Marx.”

Rustam juga memetik kata-kata sejarawan terkenal, Eric Hobsbawm dalam edisi perayaan terbitan Verso buku tersebut: “Dunia yang diperikan oleh Marx dan Engels pada tahun 1848 … jelas merupakan dunia yang kita didiami 150 tahun kemudian.” Bahkan, Rustam terus mempertahankan Marx dengan berkata, “sistem kapitalis yang kita kritik hari ini, bagi saya, bukanlah sistem kapitalis yang baru, tetapi sistem kapitalis yang sama seperti yang telah diperikan oleh Marx pada tahun 1848.

Memeranjatkan Communist Manifesto dipetik dan dikagumi oleh penulis neolioberal dan kolumnis The New York Times, iaitu Thomas Friedman, seperti yang dapat ditatapi dalam bukunya, The World is Flat: A Brief History of the Globalized World ini the 21st Century. Ulasan buku Friedman ini telah saya masukkan dalam blog ini, dan dengan itu, tidak perlu diulangi lagi di sini.

Dalam bahagian kelima, masalah kuasa, Peter Thompson, mengetengahkan Marx bersama-sama dengan Lenin dan Rosa Luxemburg. “Jika wujud satu perkara yang memisahkan biri-biri revisionis dengan kambing Leninis,” bahas Thompson “ialah bahawa persoalan kuasa: apakah kuasa, bagaimana anda mengambilnya, bagaimana mempertahankannya, dan bagaimana anda berpegang padanya?” Tambah beliau tentang gabungan dengan Lenin “jika kita menganggap Marx ialah ahli teori revolusi, maka Lenin ialah orang yang berusaha menyatukan teori dengan amalan atau praktik.” Dalam membahaskan, sama ada wujud kesinambungan antara Marx, Lenin, dan Stalin, Thompson membangkitkan kritikan Luxemburg terhadap Lenin. Selain itu, beliau menyatakan bahawa ada golongan yang menganggap terhentinya antara Marx dengan Lenin dan yang mengagumi Max kerana kemahiran analitisnya, tetapi menentang langkah kediktatoran Lenin.

Owen Hatherley dalam ulasan buku Why Marx Was Right oleh Terry Eagleton baru-baru ini menulis bahawa Marx dan Lenin, kedua-duanya gemar berjenaka. Justeru, mereka akan menghargai ironi bahawa sejak krisis kewangn sekarang bermula, analisis mereka tentang ketidakstabilan kapitalisme yang memusnahkan disahkan secara luar biasa pada masa yang sama gerakan yang mereka kononnya idam-idamkan dalam keadaan tiada kuasa dan nazak. Memetik persoalan yang sering dikemukakan pada tahun 2008 oleh beberapa makalah jurnal gedung kapitalisme, “Adakah Marx betul,” Hatherley menjawab, “tetapi revolusi proletariat secara aneh gagal bangkit untuk memberikan respons terhadap krisis itu.” Dalam ulasan itu juga, beliau mengulas biografi ringkas, Lenin oleh Lars T Lih yang menafikan bahawa pemikiran dan amalan Lenin melibatkan “bimbang tentang para pekerja,” dan bahawa Lenin teruk betul optimis tentang organisasi kelas pekerja. Bagi Lenin, pemimpin revolusioner mempunyai tanggungjawab untuk membawa kelas pekerja ke kancah revolusi, dan semua teori di dunia ini tidak membantu jika keadaan politik dan ekonomi tidak ada. Lenin percaya bahawa Perang Dunia Pertama menawarkan peluang sebenar untuk memusnahkan kapitalisme.

Dalam Lenin and Philosopy and Other Essays, Louis Althusser, antaranya mengatakan bahawa politik yang memutuskan segala-galanya. Bukan politik secara umum: politik Marxis-Leninis. Tambah beliau, “apabila saya memahami politik Marxis-Leninis, saya mula mempunyai kegemaran yang mendalam terhadap falsafah juga, kerana akhirnya saya memahami tesis hebat Marx, Lenin, dan Gramsci: bahawa falsafah pada asasnya, politik.” Tercetusnya Pemberontakan Arab kedua, membangkitkan semula pesanan terkenal Lenin bahawa “kuasa terletak di jalan-jalan.”

Lenin pernah berpesan bahawa cara terbaik untuk memusnahkan sistem kapitalis adalah dengan merosakkan nilai mata wang (is to debauch the currency) yang dianggap betul oleh John Maynard Keynes dalam bukunya, Essays in Persuasion. Tiada cara paling halus, yang paling pasti, untuk mengubah asas yang wujud dalam masyarakat berbanding dengan cara merosakkan nilai wang. Proses ini, bahas Keynes ini menarik semua kuasa hukum ekonomi tersembunyi ke sebelah pemusnahan, dan melakukannya dengan cara yang tiada seorang pun dalam sejuta manusia mampu mendiagnosis. Namun begitu, Michael V. White dan Kurt Schuler mempersoalkan siapa yang benar-benar berkata demikian: Keynes atau Lenin?

Dalam “Lenin and Keynes,” Prabhat Patnaik cuba melihat beberapa persamaan antara kedua-duanya: seorang pensyarah di Cambridge, dengan lebih sebelah kaki ke  dalam kerajaan British; penyokong Parti Liberal, yang menentang kuat Revolusi Bolshevik. Seorang lain ialah revolusioner Rusia, menghabiskan masa bertahun-tahun dalam buangan dalam kemiskinan yang teruk, terbenam dalam konflik yang sengit dalam kalangan √©migr√©, hingga baru-baru ini berhadapan dengan kebangkitan revolusioner yang berusaha gigih dan berkemungkinan beliau memahami dengan kejelasan itu bahawa beliau datang untuk menerajuinya, menghadapi perang saudara, epidemik tifus, dan percubaan membunuh yang akhir meragut nyawanya.

Di sebalik perbezaan yang ketara itu, Prabhat Patnaik, mencuba untuk mencari persamaan antara kedua-dua tokoh itu. Untuk permulaan, bahas beliau, kedua-duanya berasa hormat intelektual yang mendalam antara satu sama lain, meskipun wujud perbezaan politik mereka. V.I. Lenin pernah menggelar John Maynard Keynes, “pencinta damai borjuis British,” “buta seni borjuis kecil,” dan “musuh Boslshevisme yang tidak dipujuk. Namun, Lenin mengasaskan seluruh tesisnya tentang mengapa keadaan sudah matang untuk revolusi dunia pada analisis Keynes dalam The Economic Consequences of the Peace. Bahkan, beliau memuji Keynes bahawa “tiada seorang pun pernah menulis tentang kapitalisme lebih daripada Keynes. Sementara Keynes pula, bahas Patnaik, bukan sahaja merujuk dalam beberapa tempat kepada ‘kilauan’ Lenin, tetapi juga dalam buku yang sama, berkata tepat pada masanya tentang inflasi: ‘Lenin pernah berpesan cara terbaik untuk memusnahkan sistem kapitalis adalah dengan merosakkan nilai mata wang;… Lenin pastinya betul.’”

Lenin, melihat modal kewangan, tegas Patnaik, sebagai berusaha gigih di mana-mana sahaja untuk menguasai dan untuk memperoleh “wilayah ekonomi” sambil mengorbankan lawan. “Justeru, persaingan antara modal kewangan ‘negara’ yang berbeza (kepunyaan ‘negara’ besar), setiap satu disokong oleh Negaranya, yang mulai sekarang, mengambil bentuk peperangan antara imperialis yang banyak menumpahkan darah, seperti yang ditunjukkan dalam Perang Dunia Pertama.” Lari daripada kesusahan ini hanya mungkin dengan cara menggulingkan sistem kapitalisme yang dikuasai kewangan dan dengan menunjuki sosialisme.”

Keynes yang mencadangkan campur tangan Negara, manakala bagi Lenin, respons terhadap seruannya untuk penggulingan kapitalisme. Revolusi Bolshevik, dan pembentukan Communist International, iaitu perjuangan Kesatuan Soviet menentang fasisme, sumbangannya terhadap kebijajahan pascaperang dan penyebaran sosialisme, membentuk bersama-sama saga epik abad ke-20.

Dalam kalangan pemikir Marxis utama pada zaman Revolusi Rusia, Rosa Luxemburg, yang berketurunan Yahudi Poland, muncul sebagai tokoh yang berbicara untuk masa sekarang. Legasi Luxemburg terus subur dalam era global tatkala kapitalis pasaran semakin dominan dan kritikan terhadap kuasa birokratik diterima secara meluas dalam gerakan untuk kebebasan manusia. Demikian tulis saya dalam ulasan buku beliau yang saya nyatakan sebelum ini. Adrieene Rich pada blurb The Rosa Luxemburg Reader dengan penuh sanjungan menyatakan bahawa Luxemburg menjelajah abad ke-21 bagaikan “burung utusan” yang maha agung, menjangkau setiap benua dan sejarah untuk mengingatkan kita bahawa keadan masa kini bukannya sesuatu yang baru, tetapi merupakan kesinambungan konflik manusia yang berpanjangan, yang berubah hanya dari segi keamatan dan skop.

Vivian Gornick baru-bari ini muncul dalam The Nation dengan “History and Heartbreak: The Letters of Rosa Luxemburg” memulakan penulisan dengan mengingati wanita radikal ini. “Semasa saya kecil,” tulis Gornick, “saya diberitahu beliau sosialis agung. Beliau mengkritik Lenin. Beliau mati dibunuh.” Setelah memperkenalkan latar belakangnya sejak kecil, dihantar melanjutkan pengajian di Zurich, dan pada musim luruh 1890, Rosa berkenalan dengan Leo Jogiches, seorang revolusioner pelajar. Sejak zaman remajanya, Rosa melihat politik radikal sebagai cara untuk hidup sekurang-kurangnya. Beliau ingin segala-galanya: perkahwinan dan anak-anak, buku dan muzik, berjalan petang musim panas dan revolusi. Rosa bukan sekadar memperlihatkan dirinya sebagai intelektual, tetapi juga beliau aktif dalam politik: beliau dan Leo menubuhkan Parti Marxis Poland.

Kemudian Rosa berpindah ke Berlin dan aktif dalam Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD), parti sosialis yang paling berkuasa di Eropah. Sepanjang dua dekad berikutnya, Luxemburg menulis buku, esei, dan makalah tentang satu aspek politik radikal atau yang lain; mengambil bahagian secara tetap dalam lawatan berceramah yang panjang merentas Eropah; mengajar di sekolah parti; dan membesar menjadi seorang anggota yang paling petah berkata-kata dan berpengaruh sayap kiri yang kian menyusahkan dalam SPD. Luxemburg percaya bahawa hati dan jiwa kapitalisme dalam semua bentuknya perlu dibanteras semata-mata menerusi pemberontakan spontan pekerja berpangkat rendah seandainya pula menjadi demokrasi sosial. Bagi beliau, perkataan “mogok am” adalah muktamad.

Beliau dicampakkan ke dalam penjara beberapa kali menyebabkan semakin keliru dari segi semangatnya, meskipun mindanya masih cergas. Pada musim panas 1918, ketika masih dalam penjara dan kini beliau kini menderita terhadap apa yang berlaku di Rusia, di samping di Eropah, beliau menyiapkan risalah yang dikenali The Russian Revolution yang hingga hari ini, diiktiraf sebagai salah satu dokumen yang paling bersemangat dalam pemikiran politik moden.
Menjelang abad ke-20, Luxemburg bertemu Lenin; meskipun beliau mengagumi daya intelek dan keazaman Lenin, beliau tetap mengkritik Lenin. Bagi beliau, Lenin “lebih tertumpu terhadap mengawal parti, dan bukan menyuburkan parti, mengecilkan parti, bukannya memajukannya, mendisiplinkan dengan ketat, bukannya menyatupadukan parti. Hal ini, fikir beliau, tidak memberikan petanda baik.

Ketiga-tiganya, iaitu Marx, Lenin, dan Luxemburg, boleh dikatakan belayar dalam sebuah kapal, tetapi tidak semestinya sentiasa sehaluan. Luxemburg misalnya, ketika dalam penjara masih membaca Tolstoy, tidak membaca Marx. Setahun selepas Lenin berkuasa dan enam bulan sebelum Luxemburg meninggal dunia, beliau menulis dalam penjara menyatakan dan mengkritik kesilapan Lenin yang menyekat kebebasan. Pastinya, ketiga-tiganya, terutamanya Marx memberikan sumbangan yang besar terhadap dunia intelektual dengan pemikirannya yang sentiasa mengundang perdebatan. Apabila pemikiran mereka, terutamanya Marx diketengahkan semula pastinya tidak memeranjatkan sama sekali.

Sunday, May 29, 2011

Subsidi dan Defisit: Tiada Penyelesaian daripada Ahli Politik

AHAD,  29  Mei 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Melihat tindak-tanduk ahli politik di negara ini, perasaan jengkel, jijik, dan meluat dalam diri saya bagaikan membuak-buak.  Namun, perasaan itu bukannya tidak rasional, dan bukan juga tentang pertarungan moral yang berkaitan dengan  video seks yang banyak menghasilkan cerita berbingkai. Sebaliknya, berhubung dengan subsidi dan defisit yang merupakan suatu isu yang berpanjangan, tetapi tidak ada  pelan tindakan yang konkrit, baik yang kini bertakhta di Putrajaya, mahupun yang merancang perarakan ke pusat pentadbiran Persekutuan itu. Kalaupun  ada rancangan, kedua-dua pihak tidak mampu keluar daripada bingkai politik dan pilihan raya umum.  Justeru,  apabila kerajaan mengumumkan tidak ada kenaikan harga untuk petrol RON95, diesel, dan gas petroleum cecair,  pihak pembangkang mengatakan kerajaan takut akan kemarahan rakyat. Inilah kegemaran  politik pembangkang, iaitu menunggu keputusan kerajaan, kemudian mereka mengemukakan komen mereka: jika kerajaan kata “A”, mereka ambil jalan mudah dengan mengatakan  “B.”  Lalu para penyokong mereka melompat bersorak keriangan. 

Setelah mengaibkan rakyat Malaysia bahawa ketagih subsidi seperti ketagih candu,  Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, seperti yang dilaporkan oleh The Star semalam, “subsidi meningkat daripada RM12 bilion kepada RM20 bilion.  Seperti yang saya nyatakan dalam blog sebelum ini bahawa dalam Belanjawan 2011 kerajaan berjanji untuk memberikan subsidi kepada rakyat sebanyak  11.2 peratus atau kira-kira RM23.74 bilion daripada RM211,987 juta.  Ketika membentangkan belanjawan (bukan bajet) itu yang disiarkan secara langsung di seluruh negara, Najib yang juga Menteri Kewangan Pertama, bercakap bergegar-gegar, tetapi  semalam beliau berkata dengan  nada yang lemah:  “Ini bermakna kita perlu mencari RM8 bilion yang dianggarkan, yang bukannya satu jumlah yang besar.”   

Dari segi matematik mudah, melainkan jika saya memetik sumber yang silap, maka  setakat ini, setelah digunakan RM12 bilion, peruntukan subsidi masih berbaki kira-kira RM11 bilion, dan dengan itu, tidak timbul soal untuk mencari peruntukan tambahan.  Kalaupun kerajaan perlu mencari peruntukan tambahan, Najib sebagai Perdana Menteri,  tidak sepatutnya mengeluh dengan mengatakan “yang bukannya satu jumlah yang besar.” Kenyataan seperti ini memberi gambaran bahawa beliau seorang putus asa,   sedang menempuh jalan buntu, dan bukannya seorang pemimpin yang  mampu merungkaikan masalah rakyat dan negara.  Bagaimana seseorang yang berpegang pada strategi lautan biru, tiba-tiba menjadi pesimistik: dalam mana-mana situasi, peluang dan ancaman saling wujud.  

Di sebelah pembangkang pula, jika bercakap tentang subsidi,  untuk memperlihatkan diri mereka pembela rakyat, maka sasaran mereka ialah subsidi  yang diberikan kepada  pengeluar  tenaga bebas (IPP) yang menurut mereka berjumlah RM19 bilion setahun. Inilah yang mereka canangkan ke sana ke mari, ke hulu ke hilir.  Mereka seolah-olahnya ingin menjadi jaguh pertarungan antara Main Street lawan Wall Street: rakyat melawan korporat; massa melawan modal. Juga untuk mendedahkan bahawa kerajaan memberikan subsidi kepada kroni mereka dengan sejumlah yang besar, sedangkan kerajaan pula tidak berusaha untuk menjelaskannya kepada rakyat jelata.  Akibat, makin meronta-ronta pembangkang menyerang kerajaan yang dituduh bersekongkol dengan beberapa syarikat IPP.

Terima kasih kepada Jagdev Singh Sindhu yang dalam Star BizWeek semalam mendedahkan perbelanjaan sebenar. Pada tahun lalu, subsidi yang diberikan kepada sektor tenaga ialah RM5 bilion untuk Tenaga Nasional Berhad, RM6.2 bilion untuk IPP, dan RM7.7 bilion untuk sektor bukan tenaga. 

Untuk lebih bersikap adil, ini bermakna bahawa bukannya IPP sahaja yang menikmati subsidi gas,  seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang.  Selain subsidi gas, pastinya kerajaan juga memberikan subsidi kepada sektor lain, misalnya industri yang baru tumbuh agar industri berkenaan berdaya saing, tetapi seperti ini tidak pernah diungkitkan.    

Seperti yang diketahui, IPP wujud kira-kira  15 tahun lalu, iaitu  ketika pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih lagi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.  Namun, cara beliau “berlakon”  di hadapan orang ramai  seolah-olahnya  beliau tidak ada kena mengena langsung dengan kewujudan IPP, dan ini satu pendustaan.  Apa-apa sahaja penyelewengan yang berlaku antara 1982 hingga 1998, Anwar  tidak boleh dengan mudah cuci tangan kerana dalam tempoh itu beliau muncul  daripada Timbalan Menteri kepada Timbalan Perdana Menteri (dan beberapa kali, memangku Perdana Menteri, yang terakhir tahun 1997 – yang dilihat oleh banyak orang  sebagai persiapan untuk mara setapak lagi).  Memang aneh apabila seseorang yang bertahun-tahun bergelumang dalam “telaga tahi,” tiba-tiba keluar dan mengatakan dirinya bersih!

Sebagaimana dengan subsidi, baik kerajaan mahupun pembangkang, masing-masing tidak mempunyai pelan tindakan tentang menangani defisit  yang boleh diteliti dan dinilai oleh orang ramai.  Sebenarnya, kita  tidak mempunyai individu, seperti Paul Ryan, Pengerusi Jawatankuasa Belanjawan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang sanggup mengemukakan The Path to Prosperity untuk   mengurangkan defisit yang menggunung.  Meskipun dengan langkah  itu itu beliau menjadi sasaran kritikan yang bertalu-talu,  antaranya daripada Paul Krugman, John Cassidy, dan Kevin Drum, tetapi sekurang-kurangnya beliau mempunyai perancangan yang jelas.  Perlu diingat bahawa penulisan yang jelas datangnya daripada pemikiran yang jelas, dan pastinya juga, pelaksanaan yang berkesan datangnya daripada perancangan yang konkrit yang dalam konteks Malaysia gagal dikemukakan oleh sama ada  kerajaan ataupun pembangkang.

Pada tahun 2008, defisit ialah 4.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat kepada tujuh peratus pada tahun 2009,  5.6 peratus 2010,  dan   5.4 peratus pada tahun ini.  Defisit  dalam bahasa yang mudah, bermakna kerajaan berbelanja di luar kemampuan.  Perbelanjaan defisit yang disasarkan secara berhati-hati, dapat merangsangkan ekonomi dalam jangka pendek dan memperkukuh pertumbuhan dalam jangka panjang.   Penerima Hadiah Nobel, Joseph E.  Stiglitz dalam The Roaring Nineties:  Why We’re Paying the Price for the Greediest Decade in History, mengingatkan bahawa mengurangkan defisit perkara yang mudah:  “potong perbelanjaan dan naikkan cukai.” 

Belanjawan negara terbahagi kepada perbelanjaan mengurus   (iaitu  emolumen, perbelanjaan lain, bekalan dan perkhidmatan, subsidi, bayaran khidmat hutang, pencen dan ganjaran, dan pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri), dan perbelanjaan pembangunan (iaitu perkhidmatan ekonomi, perkhidmatan sosial, keselamatan, dan pentadbiran am). Dalam Belanjawan 2011, perbelanjaan mengurus lebih 75 peratus, terlalu tinggi jika dibandingkan dengan perbelanjaan pembangunan.  

Kepada pembangkang, mungkin ramai yang ingin mengetahui pelan tindakan mereka untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan defisit, bukannya ‘balik-balik” bertempik subsidi  IPP dan  rasuah serta penyelewengan.  Adakah dengan memotong perbelanjaan mengurus atau perbelanjaan pembangunan, atau kedua-duanya.  Atau memotong  perbelanjaan bersama-sama dengan menaikkan cukai? Jangan asyik tunggu dan lihat dan mencari-cari di manakah kelemahan kerajaan.  

Meskipun kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan pembangkang memperlihatkan keprihatinan masing-masing terhadap subsidi dan defisit, namun masuk bab penyelesaian kedua-duanya “sejuk kaki,” dan mengambil jalan mudah: tuding jari.  Sesungguhnya, satu malapetaka kepada negara ini kerana mempunyai ahli politik yang banyak bercakap, tetapi gersang dengan tindakan.  Akibatnya, politik di negara ini sarat dengan pendustaan.

Friday, May 27, 2011

Akhbar di Persimpangan

SABTU,   28  Mei 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Yang sering menjadi bahan berita atau liputan akhbar (juga majalah) adalah akhbar itu sendiri, iaitu tentang masa depan industri penerbitan ini dan tentang dunia kewartawanan.  Tatkala dunia dilanda krisis kewangan 2008-2009, akibat kemerosotan sumbangan iklan yang menjadi nadi kelangsungan akhbar, maka industri persuratkhabaran  menghadapi keadaan yang cukup genting lagi runcing.  Selain faktor sumbangan iklan, kemajuan teknologi, khususnya Internet dikatakan memberikan saingan yang cukup sengit terhadap penerbitan akhbar, seperti yang pernah dibahaskan secara ringkas oleh James Fallows, “Who Exactly is Killing the Press” dua tahun lalu. Akhbar  bagi  Maureen Dowd, ibarat bintang filem yang kesunyian pada zaman tua,  terkejut   mendapati dirinya lapuk akibat perubahan teknologi.  Meskipun wartawan masih popular, dalam kehidupan sebenar mereka merasa seram sejuk.  Namun, beliau masih menaruh harapan terhadap dunia persuratkhabaran dan juga berkias tentang  kewartawanan bercetak bahawa “orang tua hidup lebih lama.”
RealClearPolitics pernah  menyenaraikan 10 akhbar metro di Amerika Syarikat yang dalam kesusahan, antaranya  The Christian Science Monitor yang terpaksa meninggalkan edisi bercetaknya sejak Oktober 2008, kemudian berlaku runtuhan.  The Tribune Co. yang mula-mula memfailkan perlindungan kebankrapan, disusuli oleh Minneapolis Star Tribune, Journal Register, dan Philadelphia Newspapers.  Antaranya akhbar yang menghadapi kesukaran itu ialah New York Daily News, Los Angeles Times, St. Paul Pioneer Press, Chicago Sun-TimesThe Detroits News, dan The Miami Herald,  yang mengalami kemerosotan pengedaran sejak tahun 2007. “Bahkan, Washington Post, salah sebuah akhbar yang paling stabil, dilaporkan 77 peratus kejatuhan  perolehan dalam suku pertama 2008.  Dalam landskap akhbar muram pada hari ini, tiada satu akhbar pun yang selamat.
Tatkala dunia masih bergelut dengan kemelesetan yang terburuk  sejak Perang Dunia Kedua,  Michael Liedtke, editor perniagaan, Associated Press menulis bahawa langganan akhbar di Amerika Syarikat jatuh dengan ketara, dengan  banyak orang menggunakan Internet sebagai sumber berita.  Antara April – September 2009, pengedaran harian purata 379 buah akhbar di negara itu jatuh sebanyak 10.6 peratus pada  kadar yang pantas jika dibandingkan dengan tempoh enam bulan pada tahu  sebelumnya.  Kejatuhan ini  dipacu sebahagiannya oleh kenaikan harga yang tinggi yang dikenakan oleh penerbit yang berebut-rebut untuk mengimbangi jualan periklanan yang terjejas dengan teruk.

The Wall Street Journal mengatasi USA Today sebagai akhbar yang jualan tertinggi di negara itu, dengan pengedaran purata Isnin-Jumaat meningkat 0.6 peratus menjadi 2.02 juta naskhah, menjadikanya hanya sebuah akhbar yang tersenarai dalam 25 ke atas yang meningkat pengedarannya.  Sementara USA Today mengalami keterhakisan yang teruk dalam sejarahnya selama 27 tahun, jatuh lebih 17 peratus dari segi pengedaran, iaitu kepada 1.90 juta naskhah.  Akhbar itu, yang dimiliki oleh Gannett Co., menyalahkan pengurangan dalam perjalanan yang banyak menyumbang kepada kekurangan pengedaran kerana banyak jualan naskhah tunggalnya adalah di lapangan terbang dan hotel.  The New York Times pula kekal di tempat ketiga dengan edaran 927,851 naskhah, jatuh sebanyak 7.3 peratus dari tempoh yang sama tahun 2008.  Edisi Ahad akhbar ini kekal sebagai penjual hujung minggu tertinggi, iaitu 1.4 juta naskhah, jatuh sebanyak 2.6 peratus.

Seterusnya, pada tahun lalu, Audit Bureau of Circulations yang juga dipetik oleh Associated Press, memaklumkan bahawa pengedaran akhbar di Amerika Syarikat terus jatuh dengan teruk, meskipun kadar kejatuhan itu perlahan jika dilbandingkan dengan tempoh enam bulan sebelum ini.  Pengedaran hari Isnin – Jumaat purata jatuh 8.7 peratus dalam tempoh enam bulan berakhir 31 Mac, manakala pengedaran hari Ahad jatuh 6.5 peratus.  Meskipun lebih baik daripada kejatuhan dari April – September tahun lalu, 25 akhbar teratas di negara itu mengalami kejatuhan pengedaran yang besar.  Pengedaran The San Francisco Chronicle Isnin – Jumaat jatuh hampir 23 peratus dari tahun sebelumnya, kepada 241,330 naskhah, manakala pengedaran Isnin – Jumaat The Washington Post,  jatuh 13.1 peratus, kepada 578,482 naskhah dan jatuh 8.2 peratus, kepada 797,679 naskhah untuk hari Ahad.  USA Today mengalami kejatuhan  13.6 peratus daripada pengedarannya dan secara purata 1.83 juta naskhah.  Kemerosotan yang berterusan ini bahawa bermula dengan kelembapan perjalanan ketika kemelesetan yang mengecilkan jualan yang akhbar itu terutamanya popular, seperti hotel dan lapangan terbang. The Wall Street Journal terus mengekalkan kedudukannya yang teratas dari segi pengedaran, iaitu meningkat sebanyak 0.5 peratus, kepada 2.09 naskhah.  Walau bagaimanapun, akhbar itu sedikit merosot dari segi pengedaran dalam edisi bercetak: pengedaran dalam talian meningkat kira-kira 31,000 naskhah dari tahun lalu, kepada 414,025 naskhah, mengimbangi kemerosotan kira-kira 20,000 naskhah edisi bercetak.

Tahun lalu juga menyaksikan persaingan yang disebut mungkin perang akhbar Amerika yang hebat yang akhir, yang melibatkan The Wall Street Journal dengan The New York Times.  Dan Rupert Murdoch, pemilik The Wall Street Journal, dilaporkan ingin memenangi peperangan itu dengan merebut pembaca dan pengiklan daripada akhbar pesaing.  Namun, The New York Times dikatakan tidak mudah ditundukkan kerana akhbar itu mempunyai banyak pembaca dan banyak daripada mereka pembaca yang setia, dan dengan itu, tidak mudah untuk menawan “medan” akhbar itu.  Menyaingin The New York Times merupakan perjuangan yang Murdoch ada dalam fikirannya apabila News Corp. membeli The Wall Street Journal daripada syarikat induknya Dow Jones & Co. dengan harga AS$5 bilion pada tahun 2007.


Meskipun pada tahun 2010 pada amnya kemerosotan akhbar tidak seteruk tahun sebelumnya, namun beberapa akhbar terpaksa juga memfailkan perlindungan kebankrapan menandakan kesukaran yang terpaksa ditempuhi dalam industri persuratkhabaran.  Pada  Januari tahun itu menyaksikan Affiliated Media Inc., syarikat pemegangan MediaNews Group, pemilik 54 akhbar harian Amerika, mencuba menyusun semula kewangannya di mahkamah  kebankrapan.  Dalam tempoh 13 bulan lalu, dikatakan sekurang-kurangnya 14 penerbit akhbar kini memfailkan perlindungan kebankrapan.  Penerbit akhbar harian Morris Publishing Group juga berbuat demikian  dan merancang mengurangkan hutangnya kira-kira sebanyak AS$288.5 juta.  Akhbar terpaksa bergelut ketika kemelesetan dan para pembaca pula beranjak kepada berita dalam talian.  Bagi Morris yang dimiliki oleh persendirian, situasi dikatakan lebih teruk kerana syarikat itu juga dibebankan dengan hutang yang kebanyakannya terkumpul daripada pengambilan beberapa akhbar pada tahun 1990-an.

Sementara Tribune Company berjaya  memohon  kelulusan mahkamah   untuk rancangan penyusunan semula  pada Febuari 2010.   Tribune yang memiliki Los Angeles Times, Chicago Tribune, The (Baltimore) Sun, dan beberapa akhbar lain, bersama-sama 23 buah stesen televisyen, memfailkan perlindungan kebankrapan pada Disember 2008 kerana kekurangan hasil periklanan dan beban hutang yang teruk, iaitu AS$13 bilion.

David Carr menyelidik dan mengkritik dengan panjang lebar   dalam The New York Times tentang budaya kebankrapan Tribune Company yang dijual pada harga AS$8.2 bilion pada Januari 2008. Meskipun direka cipta semula, tetapi tidak membuahkan hasil, dengan pemfailan kebankrapan dalam tempoh kurang setahun pembelian oleh hartawan Sam Zell, menjadikan kebankrapan terbesar dalam sejarah industri media di Amerika. Lebih 4200 orang hilang pekerjaan sejak pembelian itu, manakala sumber untuk akhbar-akhbar Tribune dan stesen televisyen dipotong.


Di sebalik keruntuhan urus janji dan kebankrapan Tribune merupakan contoh klasik megah diri,  tulis Carr yang merujuk kepada Zell, mogul hartanah yang pada hakikatnya tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan akhbar.  “Meskipun banyak syarikat media cuba memotong kos dan taktik baru dalam beberapa tahun kebelakangan, Tribune terutamanya agresif dari segi merancang daya penarik publisiti dan dalam mencampuradukkan periklanan dengan bahan editorial.  Usaha itu mengasingkan pekerja dan khalayak lama yang akhbar itu layani.”

Meskipun akhbar terpaksa menempuh pelbagai  kesukaran, perniagaannya masih menarik tokoh perniagaan terkenal untuk menceburinya.  Misalnya,  Carlos Slim, hartawan perbankan dan telekom yang pernah dinobat orang terkaya di dunia, menyuntik modal dalam New York Times Company, kumpulan media yang kesukaran,  sebanyak AS$250 juta, meskipun beliau perlu mengakui kesilapan pelaburannya dalam akhbar The Independent.

Walau bagaimanapun, Warren Buffett yang semasa kecil, satu kerja pertamanya ialah menghantar akhbar, dan memiliki beberapa akhbar serta mempunyai pelaburan yang besar dalam Washington Post Company, menganggap masa depan industri persuratkhabaran adalah muram.  “Bagi kebanyakan akhbar di Amerika Syarikat,” kata Buffett, “kami tidak akan membelinya pada mana-mana harga.  Akhbar mempunyai kemungkinan menanggung kerugian yang tanpa kesudahannya.” Untuk menunjukkan pergantungan akhbar pada periklanan, beliau menambah,  “Selagi akhbar adalah penting kepada para pembaca, akhbar penting kepada periklanan.  Akan tetapi, berita kini boleh didapati di banyak tempat lain.”

Industri persuratkhabaran bukan sahaja muram di Amerika Syarikat, tetapi juga di tempat-tempat lain.  Bahkan di bumi Gutenberg sendiri, orang Jerman menghadapi masa depan digital mereka.  Para pakar berkata bahawa akhbar dan majalah Jerman mula mengharungi kesusahan sebagaimana rakan sejawat mereka di Amerika.  Takut akan kemaraan digital, mendorong Canselor Jerman Angela Merkel mengisytiharkan di upacara untuk ulang tahun ke-175 penerbit Bertelsamann/Random House, bahawa masih wujud buku kertas dan akhbar bercetak 50 tahun dari sekarang, yang disambut oleh tepukan gemuruh para hadirin. Jika dibandingkan dengan negarea Eropah lain atau Amerika Syarikat, bilangan langganan untuk majalah dan akhbar di Jerman tidak merosot terlalu pantas.  Namun, kecenderungan dapat diperhatikan bahawa dalam kajian terbaharu, 35 peratus daripada orang yang berumur 16 tahun hingga 39 tahun lebih suka menerima semua maklumat mereka melalui Internet.  Masa untuk perubahan besar dalam industri penerbitan sedang berlaku. Bahkan, aduan daripada editor akhbar Jerman kedengaran sama-sama menyeramkan dengan mereka di Amerika:  kekurangan  pengedaran, kesusutan periklanan, pemberhentian pekerja, dan bagi mereka masih bernasib baik untuk terus bekerja: beban kerja yang meningkat, melakukan segala-galanya.  Sesetengah orang Jerman semakin bimbang tentang kemungkinan bahawa kanak-kanak yang hanya beberapa tahun lalu akan membesar tanpa mana-mana rasa cinta, sama ada praktikal atau sentimental terhadap dunia bercetak.
Demikian juga Perancis sehingga mendorong Presiden Nicolas Sarkozy mengumumkan 600 juta euro dalam bentuk bantuan industri akhbar yang kesusahan di negara itu.  Beliau mengisytiharkan setiap orang yang berusia 18 tahun di Perancis akan langganan percuma setahun untuk akhbar yang mereka pilih untuk menggalakkan minat membaca. Krisis melanda akhbar Perancis adalah kalangan tidak sekali menguntungkan di Eropah, dibendung oleh kesatuan cetak komunis yang ketat, kurangnya kiosk yang menjual akhbar dan kemerosotan pembaca yang jauh lebih rendah daripada di United Kingdom dan Jerman.  Kerajaan Perancis memberi  1.5 bilion euro dalam bentuk bantuan kerajaan langsung dan tidak langsung kepada akhbar setiap tahun.  Sarkozy mengumpamakan akhbar dengan mana-mana industri lain yang memerlukan bantuan, seperti sektor automobil. 

Namun, segala bantuan kerajaan Perancis  itu tidak mampu memastikan  Le Monde, akhbar Perancis yang paling berprestij kekal pada  pemilikan yang asal apabila pada Jun tahun lalu, akhbar yang menanggung kerugian 25 juta euro terpaksa berpindah milik.   Pengedarannya  jatuh sebanyak empat peratus pada tahun 2009, iaitu kepada 288,000 naskhah, dan mana-mana pembeli dijangkakan menjelaskan hutang Le Monde sebanyak 125 juta euro, termasuk pinjaman kecemasan 25 juta euro pada tahun itu.

Dan,  akhbar di Malaysia juga tidak terkecuali.  Memetik  Audit Bureau of Circulations Malaysia, Agence France-Presse (AFP) pada Februari 2009 melaporkan bahawa pada tahun yang berakhir Jun 2008, pengedaran akhbar harian purata adalah 2.5 juta naskhah, jatuh daripada 2.54 juta naskhah pada tahun sebelumnya.  Alkhbar tradisional Malaysia dikatakan menghadapi cabaran serius daripada portal berita dalam talian, yang memperoleh reputasi kerana pantas dan lebih boleh dipercayai jika dibandingkan dengan akhbar yang mesra kerajaan.

Zacks Equity Research dalam Publishing Industry Review and Outlook pada Julai 2010 menyatakan bahawa industri penerbitan sejak sekian lama bergelut dengan hasil periklanan yang merosot, dan kegawatan ekonomi global baru-baru ini memburukkan lagi keadaan.  Keadaan ini  datang dalam olak buri kejatuhan sekular jangka panjang kerana lebih banyak pembaca memilih untuk mendapatkan berita percuma dalam talian, dan dengan itu, menjadikan model percetakan-periklanan semakin tidak relevan.

Menurut Zacks Equity Research lagi, akhbar lebih teruk daripada majalah kerana opsyen berita berasaskan berita berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan.  Keterhakisan selama dua dekad dalam pengedaran akhbar memperkuat kemerosotan dalam hasil periklanan. Kebanyakan pemerhati media melihat tahun 2009 sebagai titik perubahan dalam industri ini.  Pengedaran juga menjadi mangsa kepada potongan belanjawan dengan syarikat akhbar mengurangkan bilangan halaman bercetak dan staf bilik berita dalam menghadapi kelembapan. Kemerosotan dalam pengedaran akhbar yang berlaku sejak 1990-an hingga 2000-an, semakin pantas. Pada mulanya, pengedaran akhbar jatuh kurang daripada satu peratus, tetapi kadar kemerosotan meningkat kepada dua peratus pada 2005, tiga peragtus pada 2007, dan empat peratus pada 2008, dengan semakin banyak pembaca berpindah ke Internet.  Walau bagaimanapun, data terbaharu yang dikeluarkan   Audit Bureau of Circulations menunjukkan bahawa kadar kemerosotan dalam pengedaran diredakan.  Pengedaran akhbar yang jatuh 8.7 peratus untuk enam  bulan berakhir 31 Mac 2010, mencerminkan penambahbaikan terhadap kemerosotan 10.6 peratus yang dicatatkan untuk enam bulan yang berakhir 30 September 2009.

Di manakah silapnya?  Benarkah Internet menjadi saingan utama terhadap akhbar bercetak? Yang pasti,  tiada kesepakataan tentang cabaran Internet terhadap akhbar.   Memang  berlaku di Amerika Syarikat, dalam keadaan tertentu, Internet menggantikan akhbar.  Tapak Web hyperlocal menyampaikan berita tanpa akhbar, seperti yang dilaporkan dalam The New York Times.  Jika akhbar tempatan terpaksa ditutup, tapak Web ini akan menyampaikan berita tentang komuniti.  Sememangnya, syarikat Internet mencuba membangunkan tapak sedemikian lebih satu dekad, tetapi hanya kini kehadiran mereka  dirasai berikutan penutupan beberapa akhbar bercetak.  Pastinya, seperti media tradisional, tapak hyperlocal terpaksa mencari jalan untuk membawa hasil yang cukup untuk menyokong perniagaan mereka.  Setakat ini, mereka mempunyai hanya kejayaan yang terhad  dalam menjual iklan. 

Georgie Ann Geyer berkata bahawa bukannya Internet, sebaliknya pemilikan awam yang merupakan faktor sebenar kemerosotan akhbar.  Pada pandangan umum, kemerosotan pengedaran akhbar di Amerika, menurut Georgie, berpunca daripada pertama para pembaca berpindah daripada akhbar kepada berita Internet, dan kedua, keruntuhan kewangan umum di negara itu, dengan penarikan keluar kewangan dan periklanan yang meletakkan akhbar tanpa pendapatan yang lumayan.  “Akan tetapi, daripada pengalaman saya, ini bukannya masalah utama sama sekali.”  Masalah bermula, tambah beliau, “apabila akhbar mula ‘menjadi syarikat awam’ untuk menerbitkan saham awam, biasanya pada tahun 1980-an, dan dengan itu, menjadi  terhutang budi bukannya kepada komitmen profesional dan moral keluarga akhbar lama, tetapi kepada kaunselor pelaburan yang tamak dan rakus yang sama yang menyebabkan Wall Street runtuh sekarang.”   Georgie juga mengakui bahawa kegagalan akhbar bukannya tidak boleh dielakkan sama sekali. Kegagalan ini berlaku kerana sangat khusus, dan untuk kebanyakan bahagian, dan sama sekali boleh dielakkan, iaitu tindakan yang diambil oleh lelaki dan wanita yang tamak dan angkuh dan yang jelas sedikit memikirkan apakah jenis negara yang mereka sediakan untuk masa depan.

Sebagaimana dunia kewangan yang jatuh bebas, demikian juga dunia persuratkhabaran yang seakan-akan mengikut jejaknya.  Sebagaimana dunia kewangan, pertanyaan yang serupa dikemukakan untuk akhbar:  mampu akhbar diselamatkan? Bagaimana kelangsungannya? Atau memetik Cathy Young tatkala dunia persuratkhabaran kian muram: “mampukah akhbar terus hidup?” Ketika gergasi media terhuyung-hayang, tulis Cathy dalam  RealClearPolitics, dihentam bertubi-tubi oleh Internet dan krisis ekonomi, menyelamatkan akhbar menjadi topik hangat.  Memang betul-betul ironik bahawa media dalam talian yang banyak memudahkan kerja para wartawan dan memperluas khalayak pembaca mereka, juga meninggalkan banyak orang menganggur.  Beliau menegaskan bahawa masyarakat benar-benar memerlukan media profesional, justeru keperluan dapat dipenuhi apabila “media arus perdana” saling lengkap melengkapi dengan blog.  “Media yang bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam demokrasi.  Walau bagaimanapun, pembela media arus perdana akan melakukan dengan baik untuk mengakui beberapa kegagalan mereka.”

Cathy juga memetik editorial The New Republic yang mengeluh bahawa “hentaman akhbar”  sama ada daripada sayap kanan ataupun golongan kiri  yang menuduh media conformism yang mewujudkan “suasana membahayakan” yang melemahkan autoriti akhbar.  Beliau mendedahkan contoh yang didokumentasikan dengan baik tentang bias media yang membawa kepada pemberitaan cincai, dengan wartawan hanyalah mengitar semula siap siar akhbar kumpulan sokongan terhadap isu, seperti keganasan rumah tangga, ketiadaan tempat berteduh, atau bahaya pemilikan senjata api.  “Akhbar,” tulis Cathy, “menjadi sasaran kritikan yang tidak adil, tetapi akhbar tidak dapat dibebaskan daripada tanggungjawab kerana kerosakan terhadap reputasinya.”

Sebelum ini, tidak banyak akhbar yang mengenakan bayaran terhadap para pelanggan atau pembaca yang membaca artikel  akhbar berkenaan dalam dalam talian, kecuali The Financial Times yang  melaksanakannya  pada tahun 2002.  Namun,  kebelakangan ini, akhbar berlumba-lumba mengenakan bayaran, atau apa yang disebut oleh Eric Pfanner, “satu demi satu, penerbit lailn mula melihat kebijakan cara akhbar The Financial Times.” Rupert Murdoch, Ketua Eksekutif News Corporation, menyatakan hasrat bahawa syarikat akan mengenakan bayaran untuk semua tapak Web beritanya.  Rancangan itu melibatkan akhbar utama syarikat di Amerika Syarikat, Britain, dan Australia; sebelum ini, akhbarnya, iaitu The Wall Street Journal telah mengenakan bayaran.  The New York Times yang pada tahun 2009 berura-ura mengenakan bayaran, baru-baru ini telah melaksanakannya apabila para pembaca diberikan percuma hanya setakat 20 artikel sebulan.

Walau bagaimanapun, Cathy Young berpendirian bahawa kecuali The Wall Street Journal, mengenakan bayaran untuk laman Web terbukti tidak dapat dilaksanakan. Alasan utamanya adalah bahawa orang ramai yang membaca berita dan komentar dalam Internet biasanya memperoleh kandungan mereka dari banyak tapak yang berbeza.  Inilah kelebihan Internet, tegas beliua, “anda boleh pergi dari The Washington Post ke London Times sekadar mengklikkan tetikus, dan mengikuti penghubung dalam satu sebuah cerita untuk membaca yang lain.”  Beliau mengingatkan bahawa jika setiap tapak mula menyembunyikan kandungannya di sebalik tembok bayaran, nescaya para pembaca akan menghadapi, sama ada bil yang cukup besar ataupun pilihan yang sangat terbatas, dan banyak yang akan mencuba  memintasi keperluan langganan.

Akhbar bertalu-talu dihadapkan dengan pertanyaan yang berkaitan dengan kelangsungannya: mampukah akhbar terus hidup?  Michael Hirschorn  turut  membahaskan kelangsungan akhbar dan kewartawanan dengan menjadikan The New York Times yang pada tahun 2009 menanggung hutang lebih AS$1  bilion dan hanya memiliki rizab tunai hanya AS$46 juta, sasaran kritikannya.  “Akan tetapi, bagaimana jika media lama mati begitu cepat?  Bagaimana jika taufan datang bersama-sama dan memusnahkan gumuk secara keseluruhannya? Secara lebih khusus, bagaimana jika The New York Times lenyap daripada perniagaan, katakan Mei ini?”

Tambah Hirschorn lagi dengan cukup sentimental, “runtuhnya kewartawanan cetak harian akan bermaksud banyak perkara.  Bagi kalangan kita yang sudah tua untuk masih mengambil berat tentang keluar rumah  pagi Ahad untuk edisi penyendal kita The New York Times, ini bermakna berakhirnya jenis tertentu ritual beradab yang menentukan kebanyakan kehidupan dewasa kita.  Ini juga bermakna berakhirnya jenis tertentu kewujudan bandar kuasi-bohemian untuk beribu-ribu orang penulis, wartawan, dan intelektual awam  kelas menengah yang pintar yang hingga kini mempunyai jenis kehidupan separuh tertawan tentang minda.  Dan, ini akan merosakkan dengan teruk kemampuan akhbar untuk berkhidmat sebagai benteng demokrasi.”

Beliau cuba menarik perhatian bahawa jika anda mendengar sedikit laungan dan melihat sedikit compang-camping pakaian berhubung dengan kematian yang berlaku terhadap institusi, iaitu kewartawanan berkualiti tinggi, ini adalah kerana orang awam secara keseluruhannya dilatih supaya memandang rendah kepad wartawan dan kewartawanan.  Internet melakukan terlalu banyak untuk menggalakkan penggunaan berita yang malas, manakala hampir-hampir membanteras perbezaan ketara dalam jenama akhbar.

Pada Disember tahun lalu, John Lanchester muncul dengan tulisan yang cukup panjang dalam London Review of Books  yang juga mengemukakan pertanyaan yang serupa: mampukah akhbar terus hidup?  Beliau juga meneliti kemerosotan pengedaran akhbar dan pendapatan iklan yang memudarkan dunia persuratkhabaran.  Kekuatan sejarah perniagaan akhbar, tegas Lanchester dari sudut pandangan ekonomi, adalah pada hakikatnya perniagaan ini menawarkan dua arus hasil, iaitu jualan dn periklanan.  Kedua-duanya sejak beberapa tahun ditekan dengan teruk.  Beliau memetik sumber daripada Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), bahawa antara tahun 2004 hingga 2009, industri persuratkhabaran Amerika Syarikat kehilangan 34 peratus pembacanya, manakala di United Kingdom kehilangan pembaca 22 peratus. Namun, beliau pasti bahawa permainan belum berakhir untuk media bercetak.  Beliau sekali lagi memetik OECD tentang kos yang tinggi yang perlu ditanggung oleh akhbar, dan kos ini tidak berkaitan dengan kerja editorial, seperti pengeluaran, penyelenggaraan, pentadbiran, promosi dan periklanan, dan pengedaran. Kos tetap yang besar ini menjadikan organisasi akhbar lebih mudah terdedah pada kemerosotan dan kurang tangkas untuk bertindak balas terhadap persekitaran berita dalam talian.  Semua kos ini tidak perlu lagi ditanggung sekiranya akhbar beralih kepada Internet. Namun, beliau mencadangkan organisasi akhbar mengenakan bayaran kepada pelanggan dalam talian.

“Saya sama-sama berasa pasti dalam mengatakan bahawa apakah media bercetak perlukan, lebih daripada yang lain, tulis Lanchester, “ialah mekanisme pembayaran yang baru untuk pembacaan dalam talian, yang membenarkan anda baca apa-apa sahaja yang anda suka, di mana-mana jua diterbitkan, dan mengenakan kamu bayaran pada asas beragregat, sama ada bulanan ataupun tahunan atau apa-apa jua.”

Kemerosotan industri persuratkhabaran Amerika sekarang, dengan  wartawan diberhentikan kerja, akhbar pula dikurangkan atau ditutup, bagi Alexander Cockburn, kerana kegagalan akhbar itu sendiri memainkan peranannya:  “Lebih kurang, sejak berdekad-dekad, akhbar arus perdana selalunya secara melampau, mengganggu dan mensabotajkan usaha untuk menambaikkan keadaan sosial dan politik kita.”  Beliau mengingatkan bahawa “menangis jangan untuk akhbar semalam, untuk Fourth Estate lama. Pada setiap jam yang kritikal, dalam setiap dekad, akhbar mengecewakan kita.”  Keperluan  untuk memperoleh sumber periklanan, menurut Cockburn, menghalang akhbar daripada melaungkan suara kebenaran.

Untuk membicarakan masa hadapan akhbar, iaitu kelangsungan media ini, sesungguhnya merupakan satu topik yang panjang.  Memang disedari bahawa meskipun tulisan agak panjang, masih ada perkara penting yang tertinggal.  Misalnya, aspek kewartawanan walaupun disentuh, tetapi tidak diberikan analisis yang mendalam dalam tulisan ini.  Di mana-mana sahaja orang mula merasakan bahawa dunia persuratkhabaran seperti yang kita kenali sekarang kini berada di persimpangan.  Kemerosotan jumlah pengedaran dan hasil periklanan dan kewujudan persaingan Internet mengheret  dunia persuratkhabaran  dalam pergelutan yang sengit.  Kemuraman dunia persuratkhabaran pastinya turut memberi kesan yang mendalam terhadap dunia kewartawanan, khususnya tentang profesionalisme seandainya akhbar terpaksa memberi laluan kepada Internet.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...