Artikel Popular

Saturday, November 19, 2011

Berakhirnya Utopia Ekonomi

SABTU,  19  November 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Nama John Cassidy memang tidak asing kerana penulisannya dapat diikuti dalam The New Yorker dan The New York Review of Books, antaranya.  Cassidy – salah seorang wartawan kewangan  yang turut membanjiri pasaran dengan buku tentang kegagalan ekonomi semasa.  Beliau  muncul dengan  bukunya, How Markets Fail:  The Logic of Economic Calamities (London:  Penguins Books, hlm. 390, RM54.95) yang membahaskan dan mengupas kebangkitan dan kejatuhan ideologi pasaran bebas yang menjadi keagungan Alan Greenspan, bekas Pengerusi Rizab Persekutuan.  Sebagaimana beliau tulis dalam pengenalan, melalui gabungan sejarah idea dan naratif krisis kewangan, beliau membahaskan bahawa “kita tidak dapat memahami peristiwa terbaharu ini tanpa mengambil kira konteks intelektual dan sejarah yang didedahkan.”

            Tidak seperti buku-buku lain tentang krisis kewangan 2007-2009, dalam  buku ini, Cassidy cuba memeriksa dengan teliti ekonomi yang mendasari krisis dan menjelaskan bagaimana mengejar kepentingan peribadi rasional, yang menjadi asas ekonomi pasaran bebas mencetuskan dan memanjangkan krisis berkenaan.  Selepas berdekad-dekad ahli  ekonomi menegaskan bahawa cara terbaik untuk memastikan kemakmuran  adalah dengan mengecilkan penglibatan kerajaan dalam ekonomi dan biarkan sektor  swasta mengambil alih peranan itu, berlaku krisis yang  paling buruk. Akibatnya,  pemikiran intelektual, seperti Freidrich Hayek, Milton Friedman, Arthur Laffer, dan Sir Keith Joseph yang menyumbang kepada revolusi balas Margaret Thatcher dan Ronald Reagan pada akhir tahun 1970-an, dipersoalkan kerana menyebabkan dunia porak-peranda.
            Reaksi terhadap sesuatu peristiwa yang melampau yang berlaku di Amerika, seperti serangan terhadap Pearl Habor, serangan 11 September, dan Taufan Katrina, selalunya dikatakan bahawa  peristiwa tersebut tidak dapat diramalkan.  Demikian dengan krisis gadai janji suprima seolah-olahnya tidak ada sesiapa pun yang memberikan amaran.  Namun, Casiddy mengingatkan bahawa seawal tahun 2002 lagi, beberapa pengulas, termasuk beliau sendiri, bahawa di banyak tempat di Amerika, nilai hartanah telah jatuh.  Satu alasan mengapa amaran tidak dipedulikan ialah penafian. Greenspan, Pengerusi Rizab Persekutuan ketika itu,  berkali-kali menafikan bahawa  hartanah mengalami penderitaan gelembung.
            Bagi Cassidy, kegagalan pasaran tidak dapat difahami tanpa merujuk kepada konsep yang diperkenalkan oleh ahli ekonomi,  John Kenneth Galbraith, iaitu kebijakan konvensional yang lebih kurang serupa dengan kesarjanaan yang bijak.  Dalam hubungan ini, beliau cuba mengesani bagaimana kebijakan konvensional itu dibentuk yang melibatkan pengembaraan penuh peristiwa intelektual:  bermula di Glasgow pada abad ke-18 kemudian menjelajah ke London, Lausanne, Vienna, Chicago, New York, dan Washingto, D.C. “Ekonomi utopia,” tulis Casiddy, “mempunyai sejarah yang panjang dan terkenal.”
            Membaca How Markets Fail seperti membaca buku aliran pemikiran ekonomi, tetapi dengan   tajuk yang cukup  kreatif, antaranya:   “Adam Smith’s Invisible Hand,”  “Friedrich Hayek’s Telecommunication System,” “The Perfect Markets of Lausanne,” “The Prof and the Polar Bears,” “Keynes’s Beauty Contest,”  “Hyman Minsky and Ponzi Finance,” “Greenspan Shrugs,” “London Bridge is Falling Down.”
Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu ekonomi utopia, ekonomi berasaskan realiti, dan kerkah besar.”  Dalam ekonomi utopia  yang sejarahnya daripada Adam Smith kepada Greenspan,   Cassidy tidak hanya menumpukan  perbincangannya pada Friedrich Hayek, Milton Friedman, dan pengikut mereka di “Sekolah Chicago,” semata-mata, tetapi  beliau juga memasukkan pemerian teori formal pasaran bebas yang ahli ekonomi rujuk sebagai  teori keseimbangan umum.   Meskipun jenama ekonomi utopia Friedman lebih dikenali, tetapi bahas Cassidy, “pendedahan matematik  yang berkait dengan nama, seperti Leon Walras, Vilfredo Pareto, dan Kenneth Arrow menjelaskan aspek yang tiada rasa kagum dengan banyak pandangan ahli ekonomi profesional tentang pasaran bebas.”
Ahli ekonomi klasik mewajarkan syor mereka atas alasan ekonomi, tetapi wujud juga unsur moral yang kuat untuk pengajaran mereka.  Adam Smith percaya bahawa kerajaan mempunyai tugas melindungi orang awam daripada penipuan kewangan dan panik spekulatif. Namun, Alan Greenspan  dan yang lain yang mendakwa diri mereka keturunan Smith,   jarang-jarang menyebut pandangannya yang ragu-ragu terhadap sistem perbankan.  “Pendapat bahawa pasaran kewangan adalah rasional dan mekanisme membetulkan dengan sendiri merupakan ciptaan 40 tahun lalu.”  Teori tangan tidak nampak yang diperkenalkan oleh  Smith, bahas Cassidy,   tidak pernah bertujuan supaya  diterapkan untuk kewangan. 
Walaupun taksub terhadap pasaran bebas, tetapi akhirnya Greenspan mengakui bahawa  kecacatan ideologi anutannya.  “Saya buat silap,” akui beliau ketika   “disoal siasat”   oleh Jawatankuasa Dewan Tentang Pengawasan dan Pembaharuan Kerajaan yang dipengerusikan oleh anggota Kongres Demokrat  Henry Waxman pada 23 Oktober 2008 di tengah-tengah kerakusan krisis ekonomi.
Dalam bab “kemenangan ekonomi utopia, Cassidy mengetengahkan Robert Lucas, seorang lagi ahli ekonomi  Chicago, dan penerima Hadiah Nobel Ekonomi tahun 1995, tetapi berbanding dengan Milton Friedman, beliau tidak sangat dikenali.  Salah seorang ahli ekonomi terpengaruh sejak Perang Dunia Kedua, Lucas dan rakan-rakannya membina  cara baru pemikiran tentang dasar ekonomi, secara berkesan memperluas pendekatan pasaran cekap untuk seluruh ekonomi. Bagi beliau, percubaan kerajaan untuk mengurus ekonomi adalah tidak perlu, tidak produktif atau kedua-duanya.  Idea Lucas adalah mengandaikan bahawa setiap orang tahu benar-benar bagaimana ekonomi berfungsi.  Dalam ekonomi Lucasian, bahas Cassidy, “pengangguran merupakan persoalan pilihan.  Tenaga buruh menganggur ketika Kemelesetan Besar adalah kerana mereka tidak mahu bekerja pada upah yang ditawarkan.”  Cassidy cuba menarik perhatian bahawa seorang ahli ekonomi liberal menuduh Lucas melakukan ekonomi fasis.
Meskipun gagal menguji realiti, teori Lucas kekal dengan sungguh berpengaruh dalam dunia akademik.  Pada tahun 1980-an dan 1990-an, para pengikutnya memperluas pendekatan jangkaan rasional dalam pelbagai cara dan dipasarkan dengan nama baru:  ekonomi klasik baru. Namun, memeranjatkan pada pertengahan tahun 1990-an, banyak ahli ekonomi terpaksa berurusan dengan dunia sebenar berbanding dengan membina  teori anggun dari segi matematik mengenainya, akhirnya meninggalkan ekonomi Lucasian dan ahli ekonomi muda yang terdidik dalam ekonomi itu. Banyak yang mengganggap bahawa ekonomi Lucasian terlalu akademik, terlalu matematik, seperti yang pernah dibangkitkan oleh ahli ekonomi  Joseph Stiglitz:  “Jelas bahawa ekonomi klasik baru tidak relevan.”
Walau bagaimanapun, Cassidy mengingatkan bahawa masalah bukannya  matematik per se, tetapi bagaimana matematik digunakan (atau disalahgunakan).  Tambah beliau lagi, ketika  10 tahun lalu, banyak ahli ekonomi yang bekerja di bank pusat dan kementerian kewangan mendakap mesra apa yang dikenali sebagai model Keynesian Baru.  Meskipun nama melekat pada model tersebut, model ini terhutang budi sekurang-kurangnya pada Lucas, sebagaimana model berkenaan terhutang budi pada Keynes.
Pandangan diracuni Keynes tentang dunia kewangan, seperti yang dinyatakan dalam buku ini adalah konsisten dengan kritikan beliau secara keseluruhan terhadap ekonomi utopia.  Dalam membahaskan bahawa tindakan kepentingan diri individu membawa hasil yang diingini dari segi sosial, penganut tangan tidak nampak menjadi mangsa kepada falasi komposisi, hujah Keynes, mengelirukan jumlah dengan bahagian-bahagian.  Jika pada permulaan  tanda kemerosotan ekonomi  orang ramai memikirkan masa depan mereka, bahkan keberatan berbelanja, keadaan ini menurut istilah terkenal Keynes “pengganda,”  dan turut membantu menjelaskan bagaimana kejutan kecil secara relatif untuk ekonomi boleh membawa kepada kemelesetan.  Justeru, bagi Keynesianisme, “rawatan yang paling boleh dipercayai untuk kemelesetan yang dalam ialah ‘pakej rangsangan’  kerajaan besar.” 
Keynes berasa ragu-ragu terhadap pandangan sesetengah ahli ekonomi  bahawa penggunaan dasar fiskal tidak perlu kerana bank pusat boleh memotong kadar faedah dan memulihkan ekonomi dengan cara itu.  Apabila ekonomi merosot, hujah Keynes, “orang yang kaya cenderung untuk lari daripada kertas kewangan yang berisiko, seperti saham,  mengalihkan portfolio mereka  kepada tunai. 
Seperti yang lazim diperkatakan bahawa krisis ekonomi semasa mendorong orang untuk merujuk semula kepada pemikiran John Maynard Keynes, dan tidak ketinggalan kepada Hyman Minsky yang bukunya pernah diulas dalam Dewan Ekonomi.  Minsky  mengkritik Wall Street yang kuasa tidak stabil yang mengancam kestabilan kewangan dan ekonomi yang serius, juga mengingatkan bahawa dalam sistem kapitalis,  banyak spekulasi aliran tunai dan keadaan pasaran kewangan berlaku melalui sistem perbankan yang bertindak sebagai pengagih utama modal.  Sebagaimana Keynes, Minsky juga mengalami nasib yang sama, iaitu diketepikan ketika ahli ekonomi arus perdana begitu terpesona dengan hipotesis pasaran cekap.  “Pada tahun 1980-an dan 1990-an, tulis Cassidy, “hanya ahli ekonomi Marxis yang kecil bilangannya berminat dan bersimpati pada pemikiran Minsky.  Mereka   memberikan tumpuan terhadap financialization ekonomi Amerika.”
Cassidy dapat mengesan bahawa wujud persamaan antara Minsky dengan ahli ekonomi Marxis, Paul Sweezy, meskipun kedua-keduanya tidak bersetuju dengan segala-galanya.  Kedua-dua ahli ekonomi berkenaan  memajukan daya kritis yang sangat tinggi yang membolehkan mereka melihat dengan jelas sebelum banyak ahli ekonomi arus perdana, bahawa model memacu kapitalisme dari segi kewangan telah muncul.  Kedua-duanya bersetuju dalam jenis ekonomi ini, hanya cara untuk mencegah kestabilan yang menular adalah  kerajaan memainkan peranan yang lebih aktif.
Buku ini  bukannya tentang krisis ekonomi semata-mata, tetapi juga tentang teori ekonomi yang cukup luas.  Sebagaimana ahli ekonomi yang lain, misalnya Stiglitz, Cassidy juga bersetuju dengan peranan kerajaan dalam ekonomi, “kerajaan yang berkesan merupakan persoalan menentukan keseimbangan yang betul antara autonomi dengan  penyelarasan.”   Beliau juga berpegang pada semangat pragmatik ekonomi berasaskan realiti dengan memetik soalan popular Lenin, “Apakah yang perlu dilakukan?”  Di sini  Cassidy sekali lagi  memetik Minsky, bahawa “Wall Street  perlu dikawal.”
(Nota:   Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Jun 2011.)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...