Artikel Popular

Friday, June 10, 2011

Selamatkan Kapitalisme



SABTU,  11  Jun 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH


Roger Bootle dalam bukunya, The Trouble With Markets:  Saving Capitalism From Itself (Nicholas Brealey Publishing, London, 276 hlm., RM120)  mencuba untuk meneroka masa hadapan ekonomi dan masa hadapan sistem pasaran itu sendiri.  Beliau membahaskan bahawa krisis kewangan 2007/2009 bukannya berpunca daripada satu faktor, sebaliknya daripada banyak faktor, seperti banker yang tamak haloba, para peminjam yang naif, bank pusat yang silap dan pengawal selia yang tidak cekap, pengguna  Barat  yang tidak berasa puas, dan penyimpan China yang terlalu berjimat cermat.  Penjelasan beliau tentang krisis memberikan penekanan perhubungan antara “kebanjiran simpanan” Asia Timur yang diterajui oleh China dengan “kebanjiran wang” Amerika. 
Sesungguhnya, Susutan Besar (Great Implosion) mendedahkan bukan sahaja pengambilan risiko yang berlebihan dalam pasaran dan bagaimana rapuhnya sistem kewangan, bahkan juga mendedahkan bagaimana sembapnya sektor kewangan.  Susutan Besar ini menunjukkan kegagalan pasaran dari segi menetapkan pampasan eksekutif  pada amnya, dan bayaran dalam sektor kewangannya secara khusus.  Bagi Bootle,   telah pun jelas bahawa untuk dunia secara keseluruhan, Susutan Besar ini merupakan kemerosotan terburuk dalam tempoh pasca-Perang Dunia Kedua.
Bootle,   salah ahli ekonomi terkenal di Britain, memerhatikan bahawa pada September 2008, dunia kewangan yang dibina begitu kukuh runtuh bagaikan ditelan  ke dalam lubang hitam.  Beberapa buah bank terbesar muflis, manakala yang lain hanya dapat diselamatkan oleh suntikan wang awam yang cukup banyak, pasaran kewangan terumbang-ambing di pinggir kegawatan, harga rumah menjunam, harga saham lintang-pukang, dan berjuta-juta orang menggeletar mengenangkan masa depan hadapan mereka.  Pada tahap yang paling teruk,  kira-kira 60 peratus kekayaan pasaran saham dunia, setara dengan dua tahun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat lenyap, iaitu kira-kira AS$30 trilion.  Sedangkan, sebelum  peristiwa 2007/2009, ekonomi dunia kelihatan kuat, dan bahkan orang ramai berbicara tentang transformasi dalam prospek ekonomi.
Tahun 1930-an dianggap Kemelesetan Besar dan 1970-an Inflasi Besar. Tulis Bootle,  “tahun 1990-an dianggap Kesederhanaan Agung.  Sekarang, Susutan Besar.”  Beliau  akur bahawa peristiwa 2007/2009 idea bahawa pasaran berfungsi dan kerajaan tidak berfungsi, tidak dapat dipertahankan lagi.  Jelas bahawa  pasaran kewangan  tidak berfungsi,  dan pasaran itu menjadi punca dan bukannya menyerap kekacauan dan ketidakstabilan.  Anehnya, kerajaan yang tidak anggap berfungsi itu terpaksa menyelamatkan pasaran kewangan.  Masalah pasaran adalah bahawa tidak semua pasaran  sama.  Sesetengahnya berfungsi dengan baik, sesetengahnya hampir-hampir tidak berfungsi sama sekali.
Sebagaimana beberapa penulis lain, seperti Joseph Stiglitz, Roger Bootle juga menolak andaian bahawa jika kerajaan Amerika tidak membiarkan Lehman Brothers runtuh pada September 2008, nescaya krisis adalah kecil, iaitu tanpa kesan yang sangat teruk, jauh sekali  kemelesetan. Meskipun keruntuhan Lehman adalah kritikal dalam rentetan peristiwa yang menjurus ke dalam lembah malapetaka, tetapi tegas beliau, melihat sistem yang wujud, pastinya di tempat lain, pada masa lain, ada Lehman.  Dan, kerajaan pastinya atas pertimbangan bencana moral dan keterbatasan sumber, tidak akan menyelamatkan satu demi satu bank yang muflis. 
Bootle juga menolak pandangan bahawa subprima merupakan punca utama tercetusnya krisis kewangan semasa.  Tanpa menafikan bahawa pinjaman subprima yang  memulakan krisis, beliau membahaskan “Bank-bank akan menanggung sengsara yang  amat sangat akibat  kerugian dalam hartanah yang pastinya tidak dapat dielakkan. Subprima kebetulannya menjadi pencetus.” Mengaitkan malapetaka 2007/2009 dengan subprima seakan-akan mengatakan Perang Dunia Pertama berpunca dengan pembunuhan Archduke Franz Ferdinand di Sarajevo pada tahun 1914.  “Berdasarkan sistem kewangan yang wujud, seandainya krisis subprima tidak berlaku, sesuatu yang lain akan berlaku.”
Seterusnya, Roger Bootle mengingatkan lupakan penjelasan rungutan “jika hanya.”  Asas krisis ini agak mudah dan agak umum:  pemberian pinjaman berlebihan oleh bank kepada peminjam yang tidak boleh dipercayai, bersama-sama dengan modal yang tidak cukup.
Berhubung dengan pertanyaan Ratu Elizabeth kira-kira dua tahun lalu, “mengapa tiada seorang pun melihat krisis yang muncul,” Bootle mempunyai  jawapannya bahawa banyak yang melihatnya.  Meskipun benar bahawa tiada  sesiapa pun melihatnya secara keseluruhan, tetapi banyak juga yang melihat sebahagian besar krisis itu.  Masalahnya, tegas beliau, “amaran mereka tidak diendahkan.”
Bootle  mendedahkan satu demi satu individu dan institusi yang bertanggungjawab terhadap keadaan kucar-kacir semasa   dalam  “galeri penyangak”.   Beliau tidak lupa memasukkan  satu lagi kumpulan manusia yang bersalah yang biasanya lepas begitu sahaja daripada semua kesalahan dan tanggungjawab.  “Sesungguhnya,” tulis beliau, “saya percaya, mereka ialah satu-satunya yang bertanggungjawab sepenuhnya.”  Beliau merujuk kumpulan ini ialah ahli ekonomi yang terdiri senarai panjang profesor, pemikir, dan guru yang pertamanya mengemukakan dan kemudiannya, menyebarkan idea yang mendasari bencana ini.
Dan, idea itu, menurut Bootle terlalu banyak: idea pasaran tahu yang terbaik; idea bahasa pasaran adalah “cekap”; idea bahawa tiada alasan yang kukuh untuk prihatin terhadap tahap dan struktur gaji dalam perbankan; idea bahawa gelembung tidak boleh wujud; idea bahawa dalam persoalan ekonomi, manusia adalah selalunya “rasional”; idea bahawa jika China dan negara-negara lain ingin menyimpan secara besar-besaran, kita hanya sekadar berdiam diri dan berasa seronok; idea bahawa bank pusat sepatutnya dibenarkan tanpa skop untuk pertimbangan dan sepatutnya dikawal dengan peraturan yang dijelaskan dengan ketat; dan idea bahawa sejarah ekonomi dan kewangan ialah satu negara lagi (another country).
Menyedari keterbatasan kemampuan ahli-ahli ekonomi, Bootle menulis:  Saya sedar bahawa kita mesti berhati-hati dalam memikirkan “masa hadapan” sebagai tempoh tunggal.  Krisis kewangan 2007/2009 mengubah dunia menjadi keadaan yang terdesak, tidak normal.
Dalam The Trouble With Markets, Bootle menyatakan gelombang pasang surut yang melanda sistem kewangan pada 2007/2009 bukan hanya mencetuskan huru-hara dalam kalangan bank pelaburan dan institusi kewangan secara besar-besaran, tetapi juga memusnahkan kewangan banyak individu persendirian.  Harga ekuiti jatuh, harga harta jatuh, harga komoditi jatuh, kadar faedah jatuh.  Bahkan, harga emas akhirnya jatuh.  Hanya bon kerajaan memberikan laba kepada para pelabur. Dari Oktober 2007 hingga Mac 2009, harga ekuiti jatuh lebih 50 peratus di Amerika, Jerman, dan Perancis, dan hanya kurang sedikit daripada kadar tersebut. Beliau mengingatkan, kejatuhan harga aset dengan cepat bermakna kegagalan institusi kewangan. 
Dalam membahaskan bagaimana dunia dapat keluar daripada keadaan kucar-kacir ini, Bootle tidak bersetuju dengan pandangan bahawa krisis ini akan berakhir dengan sendirinya, iaitu tidak perlu berbuat apa-apa.  Beliau sedar bahawa bagi sesetengah orang, kemelesetan membersihkan sesuatu dan mengasingkan sesuatu.  Sememangnya, silap jika ada orang menganggap bahawa kemelesetan adalah seperti demam:  biarkan sahaja demam itu kerana akhirnya  akan sembuh dengan sendirinya.  Dari segi ekonomi, bahas Bootle, “tidak melakukan sesuatu” didukung oleh golongan ahli ekonomi Austria yang diterajui oleh Friedrich von Hayek yang tidak bersetuju dengan John Mynard Keynes pada tahun 1930-an, dengan hujah bahawa ekonomi sepatutnya dibiarkan berbuat sesuka hati.
Hanya kerana  masalah itu berasal yang mungkin dijelaskan sebagai “Austrian”, tetapi tidak bermakna penyelesaiaannya juga mesti  “Austrian.”  Tegas Bootle lalu beliau mengemukakan empat komponen penting untuk keluar daripada kucar-kacir semasa ini:  membina semula sistem perbankan dan kemampuannya untuk memberikan pinjaman; merangsang pendapatan, kekayaan, dan kecairan; penstabilan kewangan awam tanpa mengenakan potongan yang besar pendapat peribadi secara keseluruhan; dan pemulihan keyakinan.
Beberapa kali Bootle menarik perhatian  bahawa di sesetengah tempat pasaran berfungsi dengan baik,  manakala di setengah-setengah tempat tidak. Kegagalan pasaran ini, iaitu dengan sistem kewangan menyusut pada tahun 2007/2009,  banyak orang berkata bahawa berakhirnya kapitalisme yang kita kenali selama ini.  Namun begitu, tegas Bootle, “keadaan ini tidak semestinya  membawa ancaman kepada kapitalisme itu sendiri, meskipun dunia terhumban ke dalam kemelesetan yang teruk.”  Demi menyelamatkan kapitalisme daripada dirinya sendiri, kita perlu berurusan dengan kemampuan bagi pasaran kewanga untuk mencetuskan huru-hara, dan ini memerlukan kawal selia yang lebih baik.  Justeru, beliau mengemukakan beberapa tindakan yang diperlukan, yang bermula dengan kawal selia bank dan institusi kewangan, kemudian  dasar  makroekonomi, dan disimpulkan dengan perbincangan rejim monetari antarabangsa. Secara terperinci, tindakan itu merangkumi  skim kawal selia perbankan; pembaharuan kewangan yang lebih luas; penyusutan hutang awam; penyasaran inflasi dan harga aset; unjuran pemalsuan; ilusi kewangan; wang global; tekanan terhadap negara yang mempunyai lebihan; dan pembaharuan ekonomi.
“Yang diperlukan sekarang,” tulis Bootle, “bukannya penolakan terhadap kapitalisme, tetapi sebaliknya pembaharuan radikal beberapa institusi dan amalan.”  Beliau juga menafikan bahawa bukunya ini antipasaran yang kemungkinannya dibayangkan oleh sesetengah pembaca. Kegagalan pasaran kewangan tidak menandakan bahawa kapitalisme lenyap.
Kini, seperti yang ditunjukkan oleh Bootle, wujud jenis kapitalisme yang berbeza yang kemungkinan kesemuanya akan terus wujud:   kapitalisme Amerika yang sebahagian terbuka untuk semua, sebahagian dikawal selia dengan ketat; kapitalisme terbuka United Kingdom yang dikuasai kewangan; kapitalisme birokratik Perancis dan Jerman; kapitalisme negara kebajikan Scandinavia; kapitalisme raja perompak Rusia; kapitalisme terurus Singapura; dan kapitalisme negara atau kerajaan China.
Roger Bootle mengenal pasti “who got it right?”  Dalam kalangan ahli ekonomi yang meninggal dunia, beliau tanpa sebarang keraguan menyebut  John Mynard Keynes, John Kenneth Galbraith, dan Hyman Minsky.  Dalam kalangan yang masih hidup ialah Joseph Stiglitz dan Nassim Nicholas Taleb.  Dan, memeranjatkan dalam kalangan pemimpin politik, bukannya dari Eropah atau Amerika, tetapi dari dua buah negara yang berjiran, iaitu (Tun) Dr. Mahathir Mohamad dari Malaysia dan Lee Kuan Yew dari Singapura.  Dalam kalangan negara di dunia ialah China kerana berani  menentang golongan fundamentalis pasaran.  Dari segi wawasan tulen dan pemahaman, ialah Perancis.
Melihat pendekatan yang dicadangkan oleh Roger Bootle seolah-olahnya beliau  menggunakan jampi mantera sosialisme untuk menyelamatkan kapitalisme.   Meskipun banyak kritikan yang beliau lemparkan terhadap pasaran kewangan, namun dogmanya  tetap kapitalisme.
(Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi April  2011.)




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...