Artikel Popular

Sunday, February 20, 2011

Kebangkitan China Suatu Ancaman?


AHAD, 20 Februari 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH
  
Di bawah “Series:  Will China Rule the World?”  akhbar The Guardian menerbitkan beberapa makalah, antaranya yang ditulis oleh  John Gray dan Martin Jacques.  Dalam  “China and the End of Westernisation” Gray menegaskan  bahawa kebangkitan China bukan sahaja mengubah geopolitik global,  bahkan juga mengubah cara dunia berfikir.  Konsepsi berpusat kepada Barat tentang kemodenan yang membentuk pemikiran dan penggubalan dasar hampir seluruh dunia sejak 100 tahun lalu akan menjadi longgokan sampah sejarah.  Meskipun semakin diakui bahawa kebangkitan ekonomi China akan mengubah dunia,  Jacques dalam “Welcome to China’s  Milliennium”  berhujah andaian bahawa kesan politik dan budaya daripada kebangkitan China tidak sedalam kesan kebangkitan ekonomi adalah salah sama sekali:  impak politik dan budaya akan sekurang-kurangnya sedalam impak ekonomi.
            Jika abad ke-19 dikuasai oleh Empayar British, abad ke-20 dikuasai oleh Amerika Syarikat, kini kita memasuki abad Asia yang dikuasai oleh kebangkitan China dan mata wangnya.  Demikian tulis ahli ekonomi, Nouriel Roubini dalam “The Almighty Renminbi?” yang diterbitkan oleh The New York Times pada Mei lalu. Beliau mengingatkan kemungkinan status dolar sebagai mata wang rizab utama akan lenyap tidak lama lagi tidak boleh dipandang ringan:  “Dolar mungkin dicabar oleh mata wang lain, kemungkinan besar renminbi China.  Keadaan ini merupakan beban yang serius terhadap Amerika, dan keupayaan negara itu untuk membiayai belanjawan dan defisit perdagangan akan hilang.”
            Tatkala negara ekonomi utama,  seperti Amerika, Jepun, Jerman, dan United Kingdom mengalami kemelesetan, manakala pada tahun 2009, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  dunia diunjurkan menguncup 2.9 peratus,  ekonomi China diunjurkan tumbuh 7.7 peratus.   Menurut unjuran Goldman Sachs, ekonomi China akan mengatasi Amerika pada tahun 2027, dan pada 2050, saiznya  hampir dua kali ganda. Kebangkitan China bersama-sama India khususnya, akan melabuhkan tabir zaman Barat yang bermula kira-kira tahun 1800.  “Sebagai ganti universalisme Barat, kita akan mendapati diri kita hidup dalam dunia yang semakin tidak lazim apabila budaya bukan Barat, dan China akan muncul sebagai pengaruh utama,” tulis Martin Jacques.
            Kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dan kemungkinan ancamannya terhadap negara tertentu semakin mendapat perhatian, terutamanya ketika berlakunya krisis kewangan global dan dunia terjebak dalam kemelesetan. Bagi rakyat Malaysia, sejak kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad,  kepada  Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, dan kini Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, kita sering diberitahu bahawa kebangkitan China bukannya sebagai ancaman.  Sebaliknya,  kebangkitan negara itu akan memberikan kesejahteraan dan kestabilan kepada Malaysia dan negara-negara lain, khususnya di rantau Asia ini. 
            Namun, dijangkakan bahawa pertumbuhan ekonomi China yang dramatik dan meningkatnya pengaruh geopolitik negara itu akan membentuk ancaman ekonomi, ketenteraan, dan budaya terhadap Barat.  China akan muncul sebagai hegemoni dunia pada masa akan datang.  Dalam The Rise of China and the Demise of the Capitalist World Economy  (Monthly Review Press; 208 hlm.; RM68.89),  Minqi Li menganalisis kuasa ekonomi China yang semakin meningkat dan impaknya terhadap sistem kapitalis global.  Pengarang membahaskan akibat kemasukan China ke dalam sistem kapitalis global dari segi cabaran yang mendepani masyarakat manusia daripada kekangan ekonomi, politik, dan alam sekitar.  Dengan menggabungkan perspektif Marxisme dan teori sistem-dunia, di samping mengkaji batas ekologi untuk pertumbuhan,  Li menegaskan bahawa China berkemungkinan memburukkan lagi percanggahan utama dalam kapitalisme dunia yang boleh menyebabkan berkuburnya sistem-dunia, iaitu kapitalisme  yang wujud kini.  Pengarang berhujah bahawa sistem-dunia ini akan berakhir tidak lama lagi dan akan digantikan oleh beberapa sistem lain atau sistem-sistem. 
            Seperti yang dinyatakan dalam “Preface: My 1989” buku ini lebih tertumpu kepada “berkuburnya ekonomi-dunia kapitalis” berbanding dengan “kebangkitan China.”  Kebangkitan China hanya dibincangkan setakat kebangkitannya daripada proses sejarah yang sama yang menyumbang kepada berkuburnya sistem-dunia yang wujud kini.  “Buku ini membincangkan proses sejarah-dunia yang mendasari, yang membawa kepada konteks sejarah-dunia semasa yang mencerminkan tanggapan terhadap China sebagai ancaman kepada Barat dan tanggapan   terhadap China sebagai kuasa dunia yang tidak berbahaya sedang meningkat,”  tulis Minqi Li, pensyarah ekonomi di University of Utah. 
              Sehingga akhir tahun 1820, China masih kekal sebagai ekonomi wilayah yang besar di dunia di bawah satu bidang kuasa politik, menyumbangkan sekurang-kurangnya satu pertiga keluaran dunia kasar.  Namun, pada masa itu, British sedang memperluaskan geografi ekonomi-dunia kapitalis untuk mewujudkan empayar dunia yang sebenar.   Penaklukan British terhadap India dengan tumbangnya Empayar Moghul pada tahun 1757, ekonomi global berpusat semula di Eropah Barat.  British menunjukkan kekuatan ketenteraanya ke atas China seperti yang dibukti dalam dua Perang Candu (1839 – 1842 dan 1856 – 1860).  Selepas Perang Petinju (Boxer War) 1900-1901, China secara keseluruhannya menjadi negara pinggir kepada ekonomi-dunia kapitalis, sistem perdagangan ufti Asia Timur berkecai sama sekali, dan China menjadi negara kurang berdaulat, iaitu negara separuh kolonial.  Beberapa wilayah di China dipecahkan mengikut lingkungan pengaruh kuasa besar dunia – Britain, Perancis, Jerman, Rusia, Austria, Italy, Amerika Syarikat, dan Jepun.   
            Pada tahun 1500, Eropah Barat  mendahului China dari segi KDNK per kapita.  Pada pertengahan abad ke-20, China jatuh kepada salah sebuah negara yang termiskin di dunia, tetapi sejak itu, ekonomi dan kedudukan geopolitik negara itu meningkat secara dramatik.  Pada tahun 1979, Deng Xiaoping secara aktif bertanggungjawab terhadap Parti Komunis dan memulakan “pembaharuan ekonomi.”  Pada peringkat awal, pembaharuan ekonomi ini, menurut Minqi Li, memberikan manfaat kepada setiap lapisan penduduk, baik kaum tani di desa mahupun golongan pekerja di bandar.  
            Pada tahun 1990-an, jelas bahawa struktur institusi neoliberal menjadi dominan dalam ekonomi-dunia kapitalis, dan globalisasi tidak dapat dipisahkan daripada neoliberalisme.  Menerusi integrasi yang sangat besar dan cukup dalam bagi ekonomi pinggir atau separuh pinggir ke dalam ekonomi dunia-kapitalis dalam bentuk perdagangan dan liberalisasi kewangan, maka modal di zon pusat ditempatkan semula di pinggir atau separuh pinggir.  “Kebangkitan China dan kebangkitan India,” tulis Li, “perlu difahami dalam konteks ini.”  Tambah beliau lagi, “tanpa pembukaan China dan India, dan kebangkitan ekonomi kedua-dua buah negara ini, neoliberalisme terbukti bukan sahaja amat merugikan golongan pekerja, tetapi juga terhadap golongan kapitalis dan mungkin berakhir dalam hayat  yang amat pendek.”  Sebagaimana golongan Kiri lain, Li yang terpengaruh dengan pemikiran Immanuel Wallerstein dan Karl Marx,  mengkritik neoliberalisme, tetapi beliau juga  mengakui  kebangkitan China dan kemenangan neoliberalisme.
            Dalam buku yang padat dengan rajah dan jadual ini, Li menunjukkan bahawa kebangkitan dunia kapitalis menyebabkan berkuburnya Empayar China.  Kini, kemungkinannya sejarah akan berubah, iaitu kebangkitan China menyebabkan berkuburnya dunia kapitalis. Seperti yang cuba dipolemikkan oleh beliau: “Dengan kebangkitan China, bolehkan ekonomi-dunia kapitalis terus wujud?” 
            Dengan menyusur kebangkitan dan kejatuhan hegemoni Belanda, kemudian kebangkitan dan kejatuhan hegemoni Pax Britannica, dan seterusnya, kebangkitan dan kejatuhan Pax Americana, pengarang cuba menunjukkan bahawa empayar  tidak kekal selama-lamanya.  “Oleh sebab Amerika hilang keupayaannya untuk mengatur geopolitik global dan ekonomi global,” tegas Li, “negara ini tidak lagi dalam kedudukan untuk menyediakan penyelesaian tahap sistem untuk masalah tahap sistem.  Sistem-dunia yang wujud kini secara terdesak memerlukan kepimpinan sistemik baru.”
            Namun, dengan mengemukakan persoalan, “adakah wujud kuasa geopolitik yang berpotensi menggantikan Amerika Syarikat untuk menjadi hegemoni akan datang?”  seakan-akannya  pengarang  sendiri tidak dapat memberikan kepastian. Ini kerana, menurutnya, pada abad ke-20, negara bangsa tradisional menjadi terlalu “kecil” untuk menjadi pemain dalam permainan kuasa hegemoni. Dari segi penduduk dan saiz wilayah, hanya China, Kesatuan Eropah, Rusia, dan Brazil layak dalam senarai calon. 
            “China kini dianggap secara meluas untuk kemungkinan muncul sebagai hegemoni pada masa akan datang, dan lambat-laun, China akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar dunia,” tegas Li.  Namun, beliau mengakui bahawa dari aspek lain, kelemahan China sukar diselesaikan.  China lemah dari segi ketenteraan.  Tentera laut dan udaranya tidak dapat menandingi Amerika atau Rusia, dan terlalu bergantung pada teknologi yang dibekalkan oleh Rusia.  China ketinggalan daripada Amerika,  Eropah Barat, dan Jepun dalam penyelidikan saintifik asas dan pembangunan teknologi asli.  Yang paling penting, dalam kalangan semua  kuasa besar,  China dan India memiliki anugerah sumber yang teruk jika dalam hubungan dengan penduduk mereka. 
            Penguasaan China terhadap ekonomi dunia  tidak dapat dinafikan lagi, tetapi yang kurang pasti, potensi negara itu untuk muncul sebagai hegemoni.  Yang paling pasti, kebangkitan China akan menguburkan ekonomi-dunia kapitalis.
            (Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat September 2009.)
     

           
           







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...